Sambungan..
Fasal: termasuk di antara perkara yang patut
diberi perhatian dan ditekankan iaitu:
Menjaga
kehormatan Al Quran
daripada perkara-perkara yang diambil mudah oleh mereka yang lalai iaitu ketika
membaca secara beramai-ramai. Antaranya adalah:-
a) Menjauhi gelak tawa,
bertingkah-tingkah suara dan bersembang-sembang di sela-sela pembacaan Al
Quran, melainkan percakapan yang sangat-sangat diperlukan. Hendaknya mereka
menuruti perintah Allah SWT: ”Dan apabila dibacakan Al Quran, maka hendaklah
kamu semua mendengar dengan penuh perhatian kepada bacaan itu dan diamlah,
mudah-mudahan kamu semua beroleh kerahmatan.” (Al A’raf, 204)
Sepatutnyalah mereka berpedoman dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi
Daud daripada Ibn Umar r.anhu bahawa: Apabila membaca Al Quran, beliau tidak
akan berkata-kata sehinggalah selesai membaca apa yang dikehendakinya.
(Al Bukhari juga meriwayatkan di dalam Sohihnya dengan kata: Beliau
tidak akan samasekali berbicara sehingga selesai daripadanya. Beliau
menyebutkan hadith ini di dalam Kitab Tafsir pada firman Allah Ta’ala: ”Wanita-wanita
kamu adalah ladang bagi kamu”. –Al Baqarah, 223)
b) Bermain-main dengan tangan atau lainnya.
(Seperti mematah-matahkan jari, memusing-musingkan dua ibu jari atu sama lain,
bermain-main dengan hujung baju atau tikar, menggaris-garis di atas karpet dan
seumpamanya-pent). Sesungguhya dia sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka
janganlah dia berkelakuan endah tidak endah di hadapanNya.
c) Antaranya lagi:
Melihat-lihat kepada perkara-perkara yang melalaikan dan menghilangkan
tumpuannya.
d) Dan yang lebih teruk
daripada semua ini adalah: Memandang kepada apa yang tidak dibolehkan
memandangnya seperti budak lelaki yang amrad dan lainnya. Ini kerana memandang
kepada budak lelaki yang amrad lagi tampan (jambu-pent) tanpa keperluan itu
adalah haram, tidak kira samaada disertai syahwat atau tanpa syahwat.
Juga tidak kira samaada dirinya aman daripada fitnah atau tidak aman
daripadanya.
(maksud aman daripada fitnah adalah seperti seorang yang menyangka dirinya
tidak akan tergerak nafsu dalam memandang amrad disebabkan ilmunya yang hebat,
atau kedudukannya sebagai seorang syeikh atau seumpamanya -pent.)
Ini adalah mazhab (pendapat) yang sahih lagi terpilih di sisi para ulama. (Iaitu haramnya memandang amrad tanpa
keperluan). Sesungguhnya Imam Asy Syafie dan para ulama yang tidak terhitung
bilangannya telah menyatakan keharamannya.
Dalilnya adalah firman Alah Ta’ala:
”Katakanlah kepada kaum mukminin untuk
mereka menahan pandangan mereka (daripada yang diharamkan)”.
(An Nuur, 30).
Disebabkan bahawa amrad itu adalah seperti perempuan juga, bahkan
kadangkala sebahagian mereka atau kebanyakan mereka lebih cantik daripada
kebanyakan wanita.
Kerana itu ia lebih menguatkan lagi sebab-sebab untuk berlakunya perkara
yang tidak elok, juga kerana jalan untuk berlakunya kejahatan disebabkan amrad
itu lebih mudah dan terbuka berbanding dengan para wanita. Maka oleh sebab itu,
pengharamannya lebih utama.
Kata-kata para salaf agar menjauhi mereka (para amrad itu) sangat banyak
untuk dihitung. Dan sesunguhnya mereka menamakan amrad itu sebagai (Antaan)
yakni ”sesuatu yang berbau busuk”
disebabkan mereka itu membawa keburukan dari segi syarak.
*maksud membawa keburukan di sini bukanlah salah amrad itu yang dikurniakan
wajah yang cantik, tetapi disebabkan fitnah/ujian yang disebabkan oleh wajah
itu bagi yang memandangnya –pent.
Adapun memandangnya ketika berjual-beli, menerima dan memberi barang,
mengubat dan mengajar serta yang seumpamanya daripada tempat-tempat yang
berlaku keperluan padanya, maka ia adalah dibolehkan kerana keperluan.
Tetapi ia (hukum ini)
mengehadkan orang yang memandang itu sekadar keperluan sahaja. Tidak boleh
berlama-lama memandang tanpa keperluan. Demikian juga seorang guru, hanyasanya
dibenarkan ia memandang sekadar perlu sahaja.
Dan diharamkan kepada semua mereka yang tersebut di atas memandang
dengan syahwat. Tidak sahaja dikhususkan kepada golongan amrad ini, bahkan diharamkan
kepada sekelian mukallaf memandang dengan syahwat kepada sesiapa jua samaada
yang dipandang itu lelaki atau perempuan, mahramkah perempuan itu atau bukan.
Melainkan ia
memandang kepada isterinya atau hamba perempuannya yang dibolehkan ia
bersedap-sedap dengannya.
Sampaikan ada dikalangan Ashaab kami (Ulama Syafi’iyyah) berkata:
Haram seseorang itu memandang dengan syahwat kepada mahramnya seperti anak
perempuannya dan ibunya. Wallahu a’lam.
Wajarlah kepada
sekalian yang hadir di dalam majlis bacaan Al Quran, apabila mereka melihat
sesuatu daripada kemungkaran-kemungkaran ini atau kemungkaran lainnya untuk
mereka menegahnya mengikut kadar kemampuan.
Iaitu dengan
tangannya jika ia berkuasa, dengan lisannya jika ia tidak mampu dengan tangan.
Jika tidak, maka hendaklah ia mengingkari dengan hatinya. Wallahu a’lam.
***
Bersambung...
No comments:
Post a Comment