Sambungan..
FASAL: SENTIASA MEMELIHARA
BACAAN PADA WAKTU MALAM
Hendaklah seorang
penghafal Al Quran itu mengambil berat amalan membaca Al Quran pada waktu
malam.
Firman Allah Ta’ala:
”Daripada kalangan Ahli Kitab itu satu
golongan yang bangun membaca ayat- ayat Allah pada waktu malam sambil mereka
bersujud (solat). Mereka itu beriman kepada Allah dan hari kemudian, menyuruh
kepada kebaikan dan mencegah dari perbuatan mungkar serta bersegera melakukan
perkara-perkara yang baik. Mereka itulah orang-orang yang soleh”.
Di dalam hadis
yang sahih disebutkan: ”Sebaik-baik
lelaki adalah Abdullah (Ibn Umar) seandainya dia bangun malam”.
Di dalam hadis
sahih yang lain Baginda SAW bersabda: ”Wahai
Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti seseorang yang bangun malam,
kemudian meninggalkannya” (amalan qiyamullail).
At Tabrani dan
lain-lain meriwayatkan daripada Sahl bin Saad ra sabda Nabi SAW: ”Kemuliaan seorang mukmin itu pada
qiyamullailnya”. Hadis dan atsar tentang perkara ini banyak sekali.
Ada sebuah
riwayat daripada Abil Ahwas Al Habsyi katanya: ”Jika ada seorang lelaki berjalan mengelilingi kota pada malam hari, ia
akan terdengar seolah-olah dengungan lebah (akibat bacaan Al Quran penduduk
kota), dan akan berkata; “Bagaimana halnya mereka itu yang merasa aman,
sedangkan mereka ini ketakutan”.
Daripada Ibrahim
An Nakhai’e, ia berkata: ”Bacalah (Al Quran)
di malam hari, sekalipun sekadar masa memerah susu seekor kambing” (bandingan
kepada singkatnya masa yang di ambil).
Berkata Yazid ar Raqasyi
ra: ”Jika aku tertidur, kemudian terjaga,
kemudian aku tidur kembali, kedua mataku tetap terjaga”.
Aku (Imam An
Nawawi) katakan: ”Solat malam itu diutamakan
kerana bacaan pada waktu itu lebih mudah meresap ke hati, terjauh daripada
kesibukan, kelalaian dan urusan menunaikan keperluan hidup serta lebih terjaga
daripada riya dan lainnya yang boleh menghancurkan amal, ditambah pula dengan
pemberitahuan syarak tentang kebaikan-kebaikan yang terdapat di malam hari.
Isra’ Rasulullah saw juga sesungguhnya berlaku di waktu malam”.
Juga hadis yang
mengatakan: ”Tuhanmu akan turun ke langit
dunia pada setiap malam setelah berlalu separuh malam dan berfirman: apakah ada
orang yang berdoa maka aku
perkenankannya?” Sehingga akhir
hadis.
Di dalam sebuah
hadis Rasullullah SAW bersabda: ”Pada setiap malam ada satu ketika yang mana doa akan dimakbulkan Allah”.
Penulis Bahjatul Asrar
meriwayatkan dengan sanadnya daripada Sulaiman Al Anmathi katanya: Aku melihat Ali
bin Abi Talib di dalam mimpiku sedang bersyair:
”Kalaulah tiada orang yang sentiasa bangun di malam
hari,
Dan
berpuasa di siang hari,
Pasti
akan bergoncang bumi yang di bawah kakimu akibat takutnya,
Kerana kamu adalah kaum yang jelek dan
tidak berlaku taat pula”.
Ketahuilah! Bahawa fadhilat qiyamullail akan terhasil, baik dengan berjaga sedikit
atau banyak. Meskipun berjaga banyak untuk qiyamullail
itu lebih utama, namun sentiasa berjaga sepanjang-panjang malam dimakruhkan
jika dilakukan berterusan seandainya ia boleh memudaratkan diri.
Apa yang
menunjukkan bahawa fadhilatnya kan
terhasil walaupun dengan sedikit berjaga adalah sabdaan Nabi di dalam hadis
Abdullah bin Amru ibn al Ash : “Sesiapa
yang berjaga untuk membaca sepuluh ayat tidak akan dicatatkan sebagai orang
yang lalai, sesiapa yang membaca seratus ayat akan dicatat sebagai orang yang
taat, sesiapa yang membaca seribu ayat akan dicatat sebagai orang yang
menunaikan hak” (muqsitin: berlaku adil) riwayat Abu Dawud dan selainnya.
Ats Tsa’labi
meriwayatkan daripada Ibn Abbas ra: “Barangsiapa
yang bersolat dua rakaat pada waktu malam, maka dia dikira sebagai orang yang
bersujud dan berdiri mentaati Allah sepanjang malam”.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment