Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Thursday, August 1, 2013

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW KETIKA BANGUN DARIPADA SUJUD


Petunjuk Baginda SAW Ketika Bangun Daripada Sujud.


Adalah Baginda SAW jika selesai daripada sujudnya yang pertama, Baginda akan mengangkat kepalanya lalu duduk di antara dua sujud dengan kadar seperti kadar lama sujudnya tadi.

Kemudian Baginda SAW akan membaca :

(( Wahai Tuhan! Ampunilah aku, Wahai Tuhan! Ampunilah aku.))

Atau juga;

(( Wahai Tuhanku! Ampunilah aku, kasihanilah diriku, perbaikilah kekuranganku, kurniakanlah aku hidayah, dan anugerahkanlah aku rezeki.)).

Kadangkala Baginda melamakan duduknya ini sehingga disangkakan bahawa Baginda sudah lupa.

Baginda juga tidak pernah bangun selepas daripada sujudnya yang kedua selagimana tidak duduk terlebih dahulu[1]. Dan Para Fuqaha (ulamak feqah) menamakan duduk ini sebagai “Duduk Istirahah”.

Sebahagian daripada para ulama itu menganggap duduk ini sebagai sunnah. Manakala sebahagian lagi menganggap ianya kerana hajat/keperluan, dari itu ia tidak disunnahkan bagi mereka yang tidak berhajat kepada duduk tersebut.[2]

Apabila bangun sahaja, Baginda terus memulakan bacaan tanpa tangguh. 

(Saktah) iaitu diam sebentar (sebelum membaca) pada rakaat yang pertama tersebut tidaklah dilakukan pada setiap rakaat.

Baginda akan bersolat rakaat kedua, ketiga dan keempat itu seperti yang dilakukannya pada rakaat pertama kecuali yang membezakannya adalah empat perkara:-

  1.       Diam sebentar (saktah).
  2.       Doa istiftah.
  3.       Takbiratul ihram.
  4.       Melamakan berdiri.

Empat perkara ini hanya khusus bagi rakaat pertama sahaja.

Tamat fasal ini.
Akan menyusul fasal Petunjuk Baginda Saw Di Dalam Tasyahhud.
 
***

~alfindani~
8.31 a.m.
Khamis
23 Ramadhan 1434 / 01 Ogos 2013


[1] Hal itu tersebut di dalam hadith Malik bin Huwairith radhiyallahu ‘anhu riwayat Imam Bukhari (823,824) “Bab duduk tegak, Bab Bagaimana Bertongkat Tangan Ke Tanah Apabila Bangun”. Fathul Baari (jilid 2/352,353).

[2] Berkata Imam Ibn Hajar: Terdapat persyariatan duduk istirahah di dalam hadith Malik bin Huwairith r.a. hal itu dipegang oleh Asy-Syafie dan segolongan Ahlil Hadith. Terdapat dua riwayat daripada Ahmad (bin Hanbal). Al-Khallal menyebutkan yang Ahmad telah rujuk dari pendapatnya (yang tidak mensunnahkan) kepada mengatakan sunnah duduk itu.

At- Tohawi berhujjah dengan mengatakan di dalam hadith Abi Humaid tidak ada pun pernyataan duduk tersebut, seperti dikhabarkan di dalamnya dengan lafaz ((Baginda lalu bangun dan tidak duduk tawarruk)).

Hujjah ini ditangkis dengan dikatakan bahawa Malik Bin Huwairith adalah orang yang sama meriwayatkan hadith ((Bersolatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat)), maka cerita beliau tentang cara solat Nabi SAW dikira terangkum di bawah perintah Nabi yang ini.

Hadith Abi Humaid pula dijadikan sebagai hujjah bahawa duduk ini tidaklah wajib. Seolahnya Baginda meninggalkannya (di dalam hadith Abi Humaid) adalah sebagai menerangkan hukumnya yang harus (jawaz). [Fathul Baari, jilid 2/352;353] secara ringkas.