Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Saturday, October 11, 2014

ULUM AL-HADITH : TERJEMAHAN MATAN BAIQUNI


Kata guru saya meriwayatkan perkataan ulama:


من حفظ المتون نال الفنون

"Sesiapa menghafal matan kan menguasai pengetahuan"

Maka barangsiapa yang berhasrat berkenalan dengan Ulum Al-Hadith seeloknya ia berusaha menghafaz beberapa matan di dalam ilmu ini.

Sebagai permulaan bolehlah ia menghafaz matan yang ringkas bernama Matan Bayquuni. Ia berisi pengenalan beberapa daftar istilah utama dalam ilmu Mustolah Hadith yang tidak wajar seorang penuntut ilmu Syar'ie menjahilkan diri tentangnya.

Berikut ini saya mencuba terjemahkan secara terus Matan tersebut daripada hafalan dengan sedaya mungkin upaya mengekalkan gaya syairnya. Moga2 bermanfaat untuk diri saya pertamanya dan untuk sesiapa yang bertandang keduanya.

Apa2 yang baik itu daripada Allah jua, kekhilafan dan salah itu daripada saya.

***


Terjemahan Matn Bayquuni


Ku mulakan dengan pujian sambil berselawat ; buat sebaik-baik Nabi yang diutuskan bernama Muhammad,

Inilah dia beberapa pembahagian hadith ; setiap satunya datang bersama istilah dan takrif,

Pertamanya SAHIH iaitulah yang bersambung ; isnadnya dan tidak syadz serta tidak cacat,

Rawinya adil, dhabit meriwayat daripada yang semisalnya ; lagi dapat dipercaya kedhabitan dan periwayatannya.

HASAN pula dikenal banyak jalan riwayatnya namun ; perawinya tidaklah masyhur seperti rawi sahih.

Dan setiap yang kurang daripada martabat Hasan ; maka itulah DHAIF yang banyak pula bahaginya.

Apa-apa yang disandarkan pada Nabi, itu MARFU’ ; jika pada Tabi’en itu pula MAQTU’.

MUSNAD itu isnadnya bertalian daripada ; rawinya hingga Yang Terpilih tanpa putusnya,

Dan setiap sama’ segala rawi yang bersambung ; isnadnya kepada Yang Terpilih maka itu MUTTASHIL.

MUSALSAL katakan setiap yang datang sama cirinya ; umpama “Ketahuilah! Demi Allah telah memberitahuku pemuda itu..”,

Begitu juga “Sungguh! Ia telah bicara kepadaku sambil berdiri” ; Atau setelah berkata “Haddatsani” seraya tersenyum.

‘AZIZ itu rawinya dua atau tiga ; MASYHUR pula rawinya lebih daripada tiga.

MU’AN’AN umpama kata rawi “‘an Saied, ‘an Karom” ; Manakala MUBHAM ada rawi tidak disebutkan.

Semua yang sikit rawinya itu ‘ALI ; lawan kepadanya itulah NAZIL namanya.

Apa saja engkau sandarkan kepada Sahabat ; tak kira ucapan atau perbuatan, MAWQUF lah ia dikatakan.

MURSAL pula gugur rawi Sahabat ; tentang GHARIB perawinya seorang saja,

Setiap yang tak kira apa keadaan tidak bersambung ; isnadnya, MUNQATHI’ nama gelarnya.

MU’DHAL yang gugur dua rawi ; MUDALLAS datang dengan dua jenis,

Pertamanya digugur syeikhnya serta ; diriwayat langkau ke atas dengan lafaz “Bahawasanya” dan “Daripada”.

Jenis kedua tidak digugur syeikh tapi disebut ciri ; syeikhnya dengan sifat yang tidak ma’ruf.

Apa yang seorang rawi tsiqah bercanggah dengan ramai tsiqah lainnya ; itu SYADZ, MAQLUB pula dua bahaginya,

Satunya tukar rawi dengan rawi lain ; kedua tukar isnad dengan bukan matan aslinya.

FARD kadang dikait dengan seorang rawi tsiqah, atau kumpulan atau menyendiri dengan satu riwayat.

Setiap yang memiliki cacat tersembunyi padanya ; gelar  MU’ALLAL dikenal di sisi mereka.

Yang bertentang isnad atau kadang pada matan ; bernama MUDHTARIB di sisi para ahli.

MUDRAJ dalam hadith terjadi ; bila sebahagian lafaz rawi bersama matan terangkum sekali.

Riwayat seorang dari sahabatnya ; namanya MUDABBAJ kenal dan ingatlah sentiasa.

MUTTAFIQ sama tulisan dan lafaznya ; jika tidak maka ia dipanggil MUFTARIQ.

MUKTALIF sama tulisan berbeza lafaznya ; lawannya MUKHTALIF hati-hati jangan terkecoh.

MUNKAR diriwayat seorang sahaja ; yang dengan bersendirinya tak ditanggap riwayatnya.

Dusta dan karut yang direka-reka ;  sandar pada Nabi MAUDHU' namanya,

Inilah umpama mutiara indah sekali ; ku namakan ia MANZHUMAH BAYQUUNI,

Terjalin dari empat puluh tiga bait tercatat ; kemudian puji bagi Allah sebagai penamat.

 ***

Terjemahan syi’ir oleh:

~alfindani~

01:17 pagi, 10/10/2014, Malam Jumaat.
من حفظ المتون نال الفنون

p/s: Ini adalah terjemahan Matan sahaja. Dan setiap matan perlu kepada syarahnya. Cuma entry kali ini bukanlah tempatnya.

Saturday, December 21, 2013

TERJEMAHAN MATAN ABI SYUJA' - #1





TERJEMAHAN KITAB MATAN IMAM ABI SYUJA’ BERSERTA PENJELASAN RINGKAS

Oleh:  alfindani, Bermula Pada 14 Rabiulawwal 1432 Bersamaan 17 Februari 2011, Khamis, 11.30 am, MTK,.

***********************
Penjelasan: Tulisan yang ditebalkan adalah terjemahan matan, manakala tulisan condong -tanpa ditebalkan-  adalah keterangan penterjemah. Harap maklum.
***********************

MUQADDIMAH

“Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya, akan difaqihkannya (diberi kefahaman) tentang agama (Islam)”

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Segala puji bagi Allah Pemilik dan Pentadbir sekalian alam. Selawat dan salam kepada Penghulu kita Nabi Muhammad SAW dan keluargana yang suci serta para sahabat Baginda seluruhnya.

Berkata Al Qadhi Abu Syuja’ Ahmad bin Al Husain bin Ahmad Al Asfahaani* rahimahuLLAH:

“Sebahagian para sahabatku –semoga mereka dilindungi Allah-  telah memintaku membuat ringkasan di dalam ilmu Fiqh menurut Mazhab Imam Asy Syafi’e –semoga rahmat dan redho Allah tercurah kepadanya- dengan ringkasan yang paling ringkas bagi menggemarkan penuntut ilmu mempelajarinya dan memudahkan orang yang baru belajar (ilmu fiqh) menghafalnya.

Juga (mereka memintaku) untuk membahagi-bahagikan (topik) mengikut bahagian-bahagian dan mengehadkan pembahasan, maka aku memperkenankan permintaan mereka kerana mengharapkan pahala daripada Allah, serta mengharapkan taufiq (bimbingan) Allah kepada kebenaran.

Sesungguhnya DIA berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNYA dan Maha Lemah-lembut (amat belas kasihan) lagi Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.”

*[ Asfahan adalah sebuah negeri di Iran ]

***********************



KITAB AT THOHAROH (BERSUCI)

AIR YANG DIBOLEHKAN BERSUCI ADALAH TUJUH (7)* JENIS AIR:


1.       Air hujan
2.       Air laut
3.       Air sungai
4.       Air telaga
5.       Air mata air
6.       Air salji
7.       Air embun



*[Ini adalah pembahagian pada zaman tersebut. Pada zaman kita ini boleh dimasukkan juga air paip. Pembahagian tersebut boleh diringkaskan kepada dua (2) jenis air iaitu: yang bersumber dari langit dan yang bersumber dari perut bumi.]

AIR TERBAHAGI KEPADA EMPAT (4) BAHAGIAN:

1. Air yang suci, boleh menyucikan* dan tidak makruh; iaitu: AIR MUTLAQ
*( menyucikan bermaksud boleh digunakan untuk menyucikan daripada hadas kecil dan besar, atau menyucikan najis )

2. Air yang suci, boleh menyucikan tetapi makruh; iaitu: AIR MUSYAMMAS*
* ( Air yang berada di dalam bekas logam yang boleh berkarat selain emas dan perak, terjemur di bawah sinaran matahari, di negeri yang bercuaca panas ).

3. Air yang suci, namun tidak boleh digunakan untuk menyucikan; iaitu:


·         AIR MUSTA’MAL*.

*( AIR MUSTA’MAL bermaksud air yang sedikit ( kurang daripada 2 Qullah )yang bercerai daripada anggota badan setelah digunakan untuk membasuh anggota wudhu dengan basuhan yang sempurna pada kali pertama (basuhan yang fardhu daripada wudhuk yang fardhu). Atau air yang telah digunakan untuk membasuh najis dengan syarat tidak berubah sifat air yang tiga iaitu bau, warna dan rasa, serta tidak bertambah timbangannya. )

·         AIR MUTAGHAYYIR* yang bercampur dengan benda-benda yang suci.

*( iaitu air yang berubah sifatnya yang 3 iaitu bau, warna dan rasa. Contoh air mutaghayyir adalah: air teh, kopi dan sebagainya )

4. AIR NAJIS ( atau dinamakan juga AIR MUTANAJJIS ). Iaitu air yang bercampur dengan najis sedangkan air tersebut kurang daripada 2 Qullah, ataupun ianya 2 Qullah namun telah berubah (sifat air yang tiga).

UKURAN 2 QULLAH* adalah 500 Ritl ( kati ) Baghdad mengikut pendapat yang lebih sohih.
*[mengikut ukuran zaman ini adalah 192.857 kilogram (kg) atau bersamaan bekas empat persegi berukuran 1 ¼ hasta bagi setiap panjang, lebar dan dalamnya (Fiqh manhaji m/s 34)]


FASAL / BAB: KULIT  BANGKAI BINATANG ADALAH (DIKIRA ) SUCI APABILA DISAMAK*, melainkan kulit anjing dan babi dan keturunan keduanya atau salah satunya.

*[Samak di sini bukannya bermaksud membasuh sekali dengan air tanah dan enam kali dengan air mutlaq. Tetapi samak di sini bermaksud menghilangkan kotoran yang basah (seperti darah dan daging yang terlekat pada kulit tersebut yang boleh menyebabkan kulit itu menjadi busuk apabila disimpan) pada kulit binatang dengan menggunakan bahan-bahan yang sifatnya tajam dan kelat seperti tawas dan buah manjakani, atau menggunakan bahan yang najis sekalipun, seumpama tahi burung merpati.]

TULANG DAN BULU BANGKAI adalah NAJIS kecuali (tulang dan bulu daripada) anak Adam (manusia).

FASAL / BAB: TIDAK DIBOLEHKAN MENGGUNAKAN BEKAS DARIPADA EMAS DAN PERAK*, dan dibolehkan menggunakan bekas yang diperbuat daripada bahan selain keduanya**.

*[Di antara hikmahnya adalah untuk menjauhkan seorang muslim daripada bersifat sombong selain emas dan perak adalah bahan untuk dijadikan matawang (dinar dan dirham). Jika manusia mengambilnya untuk membuat barang-barang seperti pinggan mangkuk dan sebagainya, maka akan hilanglah fungsinya yang sebenar. Pengharaman di sini adalah terkena bagi lelaki dan juga wanita.]

**[Sekalipun bahan tersebut lebih mahal daripada emas dan perak, seperti berlian, jade dan lain-lain batu permata.]

*** “Emas putih” bukanlah emas yang sebenar, ia adalah logam lain yang digelar emas, sepertimana petroleum juga digelar dengan “emas hitam”.

FASAL / BAB: BERSIWAK (BERSUGI) ADALAH DISUNATKAN (digalakkan) dalam setiap keadaan, melainkan selepas gelincir matahari bagi orang yang berpuasa*.

*[Tiada dalil yang kukuh mengatakan makruh bersugi selepas gelincir matahari bagi orang yang berpuasa. Hadith yang digunakan sebagai dalil iaitu hadith yang menyatakan: “sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu terlebih harum di sisi Allah berbanding bau kasturi..” tidaklah bermaksud seseorang yang berpuasa perlu membiarkan mulutnya berbau agar lebih disukai Allah. 

Ini kerana seseorang yang berpuasa akan tetap mempunyai bau mulut yang berubah akibat perut yang kosong. Hadith yang lebih sahih bahkan menggalakkan seorang muslim untuk bersugi pada setiap kali ingin solat atau berwudhuk dengan tidak mengecualikan orang yang berpuasa.]

IA (BERSUGI) ADALAH SANGAT DIGALAKKAN PADA TIGA (3) KEADAAN iaitu: 

·         Ketika berubah bau mulut disebabkan diam yang lama atau selainnya*.
*[ seperti  akibat memakan makanan seperti petai dan seumpamanya atau akibat penyakit resdung yang serius ]
·         Ketika bangun daripada tidur.
·         Ketika ingin mengerjakan solat.

FASAL / BAB: FARDHU WUDHUK ENAM (6) PERKARA.

1.       Niat ketika membasuh muka*.
*[ Disebutkan ketika membasuh muka kerana muka adalah anggota wajib yang pertama perlu dibasuh].
2.       Membasuh muka
3.       Membasuh tangan sehingga ke siku
4.       MENYAPU sebahagian kepala
5.       Membasuh kaki sehingga buku lali.
6.       Tertib (membasuh anggota mengikut urutan di atas didahului dengan niat)
SUNNAT WUDHUK SEPULUH (10) PERKARA, iaitu:
1.       Membaca Basmalah
2.       Membasuh kedua tangan sehingga pergelangan tangan sebelum mencelupnya ke dalam bekas air wudhuk.
3.       Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kemudian mengeluarkannya semula
4.       Menyapu keseluruhan kepala.
5.       Menyapu kedua telinga luar dan dalam menggunakan air yang baru (bukan air dari meyapu kepala).
6.       Menyelat-nyelati  janggut yang tebal.
7.       Menyelat-nyelati  jari-jari  tangan dan kaki.
8.       Mendahulukan anggota kanan daripada anggota kiri.
9.       Membasuh ( dan menyapu ) tiga kali (bagi setiap anggota).
10.   Muwalaat ( Bermaksud basuhan dilakukan secara berturut-turut iaitu membasuh anggota sebelum kering air di anggota yang dibasuh sebelumnya )

FASAL / BAB: ISTINJAK ADALAH DIWAJIBKAN BAGI ORANG YANG MEMBUANG AIR KECIL DAN AIR BESAR. 

1.       Paling afdhal adalah beristinjak menggunakan batu, kemudian disusuli membasuh menggunakan air.

2.       Boleh menggunakan air sahaja atau sekadar (minima) TIGA (3) biji batu [atau sebiji batu yang mempunyai 3 bucu , atau benda kesat seperti tisu, kertas dan sebagainya yang tidak dihormati] yang boleh menghilangkan najis dari tempat keluarnya.

3.       Apabila memilih untuk memadai dengan batu atau air, maka menggunakan air lebih afdhal.

4.       Hindari dari menghadap kiblat atau membelakanginya sekiranya mengqadha hajat di tanah lapang.

5.       Hindari mengqadha hajat di dalam air yang bertakung*, di bawah pokok yang berbuah, di jalanan, di bawah teduhan (tempat orang berteduh) dan di dalam lubang (selain lubang tandas).
*[air yang bertakung di dalam mangkuk tandas adalah tidak termasuk di dalam larangan ini]

6.       Jangan bercakap-cakap ketika membuang air kecil atau besar.

7.       Jangan mengadap matahari atau membelakanginya (jika di tanah lapang).

FASAL / BAB: PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU ENAM (6) PERKARA.

1.       Keluar sesuatu daripada dua jalan*.
*[Qubul (kemaluan hadapan) atau Dubur (kemaluan belakang)].

2.       Tidur dalam keadaan tidak tetap ( papan punggung).

3.       Hilang akal disebabkan mabuk atau penyakit.

4.       Seorang lelaki menyentuh perempuan ajnabiyah (perempuan yang halal nikah dengannya) tanpa berlapik [ begitu juga sebaliknya]

5.       Menyentuh kemaluan manusia dengan telapak tangan (tanpa lapik).

6.       Menyentuh lingkaran dubur, mengikut Qaul Jadid (pendapat terakhir Imam Asy Syafi’e).

FASAL / BAB: PERKARA YANG MEWAJIBKAN MANDI ENAM (6) PERKARA.

TIGA (3) perkara yang berlaku sama kepada lelaki dan perempuan iaitu:
1.       Bertemu dua khitan (bersetubuh / jima’ )
2.       Keluar mani
3.       Mati 

Dan TIGA (3) perkara yang berlaku khusus bagi perempuan, iaitu:
1.       Haid
2.       Nifas
3.       Wiladah (melahirkan anak)

FASAL / BAB: FARDHU MANDI TIGA (3) PERKARA.

1.       Niat
2.       Menghilangkan najis daripada badan jika ada
3.       Menyampaikan / meratakan air ke seluruh bulu dan kulit.

(PERKARA) SUNATNYA (MANDI) PULA ADA LIMA (5), IAITU:
1.       Membaca Basmalah
2.       Mengambil wudhuk sebelum mandi
3.       Menggosok badan dengan tangan (bagi meratakan air)
4.       Muwaalaat
5.       Mendahulukan anggota kanan sebelum anggota kiri (dalam menjirus)


FASAL / BAB: MANDI YANG DISUNATKAN ITU ADA TUJUH BELAS (17) JENIS MANDI

1.       Mandi  Jumaat* (waktunya bermula daripada terbit fajar sehingga habis waktu untuk solat Jumaat di tempatnya. Lebih afdhal jika mandi ketika waktu hampir ingin pergi ke masjid untuk solat Jumaat )
*( Mandi Jumaat disunatkan bagi yang ingin menghadiri solat Jumaat bukan kerana hari Jumaat, dan ini berbeza dengan mandi hari raya)
2.       Mandi dua hari raya (Aidilfitri dan Aidil Adha)
3.       Mandi untuk solat minta hujan
4.       Mandi kerana gerhana matahari
5.        Mandi kerana gerhana bulan
6.       Mandi sebelum memandikan mayat
7.       Mandi seorang kafir yang baru memeluk Islam
8.       Mandi orang yang gila apabila ia sedar
9.       Mandi orang yang pengsan apabila ia sedar
10.   Mandi untuk berihram
11.   Mandi kerana masuk ke Makkah
12.   Mandi kerana wukuf di Arafah
13.   Mandi kerana bermalam di Muzdalifah
14.   Mandi kerana melontar tiga (3) Jamrah
15.   Mandi kerana Tawaf
16.   Mandi kerana Sa’ie
17.   Mandi kerana memasuki kota Madinah RasuluLlah SAW

FASAL /BAB: MENYAPU ATAS DUA KHUF* ADALAH DIBOLEHKAN DENGAN TIGA (3) SYARAT; iaitu:
*[Khuf adalah kasut kulit yang menutupi had buku lali]

1.       Memulakan memakai khuf tersebut setelah sempurna bersuci (setelah selesai mengambil wudhu dahulu, barulah menyarungkan khuf)

2.       Hendaklah dua khuf tersebut menutupi tempat yang wajib dibasuh pada kaki (ketika mengambil wudhuk. Iaitu menutupi lebih daripada had buku lali)

3.       Hendaklah dua khuf tersebut adalah yang sesuai dipakai untuk berjalan (maksudnya bukan khuf yang nipis atau koyak rabak).

Orang yang bermukim dibenarkan menyapu khuf selama sehari semalam, manakala orang musafir pula selama TIGA (3) hari TIGA (3) malam. Jangkamasanya adalah dikira daripada permulaan hadas kali yang pertama setelah memakai khuf tersebut.

Jika seseorang menyapu khuf ketika bermukim, kemudian ia bermusafir; atau ia menyapu ketika ia bermusafir kemudian ia bermukim, maka tempohnya adalah dikira mengikut tempoh bagi orang bermukim.

Terdapat TIGA (3) PERKARA YANG MEMBATALKAN (rukhshoh / keringanan) menyapu khuf, iaitu:
1.       Menanggalkan khuf
2.       Tamat tempoh yang dibenarkan
3.       Terjadi perkara yang mewajibkan mandi

FASAL / BAB: SYARAT TAYAMMUM ADA LIMA (5)*, iaitu:
*[ sekalipun disebut 5, namun dinyatakan 6  di sini. Kemungkinan pengarang rahimahullah menggabungkan antara  syarat  4 dan 5 sebagai satu syarat. Wallahu a’lam.]
1.       Mempunyai uzur dengan sebab bermusafir atau sakit
2.       Masuk waktu solat
3.       Mencari air
4.       Mempunyai keuzuran untuk menggunakan air* (sekalipun air ada di tempat berdekatan dan ia tidak sakit)
*[ Kerana takut hilang nyawa / anggota badan kerana gangguan orang jahat di tempat air tersebut atau takut tertinggal daripada rombongan jika ia pergi mencarinya]
5.       Berhajat kepada mengguna (air) setelah mencarinya (dan mendapatinya)*
*[ maksudnya tidak dapat menggunakan air tersebut kerana hajat yang lebih utama seperti ada air tetapi untuk bekalan minuman sendiri atau haiwan tunggangannya ]
6.       Tanah yang bersih dan berdebu. Jika bercampur dengan tanah liat atau pasir, maka tidak dibolehkan.

FARDHUNYA (TAYAMMUM) ADA EMPAT (4) PERKARA, iaitu:
1.       Niat
2.       Menyapu muka
3.       Menyapu kedua tangan sehingga siku
4.       Tertib 

SUNATNYA PULA ADA TIGA (3) PERKARA, iaitu:
1.       Membaca Basmalah
2.       Mendahulukan anggota kanan sebelum anggota kiri
3.       Muwalaat (berturut-turut / tidak selang masa yang lama antara menyapu anggota)

PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM juga TIGA (3) perkara, iaitu:
1.       Sama seperti perkara yang membatalkan wudhuk (sila rujuk 6 Perkara membatalkan wudhuk).
2.       Melihat (mendapati) air di luar solat*
*[ Maksudnya seorang yang bertayammum itu bukan di dalam solat (belum lagi solat). Jika ia di dalam solat, maka ia boleh meneruskan solatnya kerana tayammum dan solatnya tidak batal]
3.       Murtad 

ORANG YANG MEMPUNYAI BALUTAN LUKA ( Al jabaair ) boleh menyapu (air) di atasnya dan bertayammum serta bersolat tanpa perlu mengulangi solatnya (qadha solat) seandainya ia memakai balutan tersebut semasa berkeadaan suci (tidak berhadas)*.
*[di dalam Mazhab Asy Syafi’e, seseorang yang memakai balutan luka seperti disebutkan di atas perlu melakukan DUA (2) perkara apabila ingin bersolat. Pertamanya, ia perlu berwudhuk seperti biasa, kemudian bertayammum pula untuk anggota yang dibalut, jika anggota yang dibalut itu adalah anggota wudhuk.

Hendaklah bertayammum setiap kali ingin menunaikan solat fardhu*.
*[ satu tayammum hanya terpakai untuk satu solat fardhu sahaja ]

Seseorang boleh untuk bersolat sunat sebanyak mana yang dikehendakinya menggunakan satu tayammum. 

FASAL / BAB: Setiap yang cair yang keluar daripada dua jalan ( Qubul atau Dubur ) adalah najis, kecuali mani.

Membasuh semua jenis kencing dan tahi adalah WAJIB melainkan kencing kanak-kanak yang belum memakan makanan (selain susu) kerana ia (kencing budak itu) memadai  dibersihkan  hanya dengan merenjiskan air pada tempat terkena kencing tersebut.

Tidak dimaafkan (semua jenis najis, melainkan jika ia sedikit pada ‘uruf / adat) kecuali darah dan muntah yang sedikit. Atau binatang (serangga) yang tidak mempunyai darah yang mengalir, apabila ia terjatuh ke dalam bekas (berisi makanan / air) lalu mati di dalamnya kerana ianya tidaklah menajiskannya.

Semua HAIWAN adalah bersih kecuali anjing dan babi serta keturunan keduanya atau keturunan salah satunya*.
*[ makna keturunan salah satunya di sini adalah seperti anjing yang menyetubuhi kambing lalu melahirkan anak, maka anak itu dikira najis sepertimana anjing ]

Semua BANGKAI adalah najis melainkan:
1.       Ikan
2.       Belalang
3.       Manusia

Bekas yang terkena JILATAN ANJING DAN BABI mestilah dibasuh TUJUH (7) kali menggunakan air yang salah satunya adalah air (bercampur) tanah.

Semua najis (selain anjing dan babi) dibasuh sekali sahaja (menggunakan air mutlaq) yang dicurahkan ke atasnya (dan menghilangkannya ). Jika dibasuh TIGA (3) kali adalah lebih afdhal (utama).

ARAK apabila bertukar menjadi cuka dengan sendirinya (secara proses semulajadi), maka ia adalah suci. Jika ia bertukar menjadi cuka dengan dimasukkan sesuatu ke dalamnya (proses yang melibatkan campur tangan manusia) maka ia tidak suci (najis).


Selesai terjemah pada: 5.57 ptg,Khamis
14 Rabiul Awwal 1432 H / 17 Februari 2011
MTK