Sambungan..
BAB 6: ADAB-ADAB
(BERSAMA) AL QURAN
Bab ini adalah
tujuan utama kitab ini ditulis. Tajuk ini telah dibahas dengan meluas dan
banyak tersebar, namun aku hanya ingin menunjukkan sebahagiannya sahaja untuk
menghindari dari memanjangkan pembicaraan serta mengelakkan kejemuan dari para
pembaca.
Perkara pokok
yang paling utama adalah ikhlas
sepertimana telah lalu pembahasannya dan sentiasa memelihara adab-adab bersama
Al Quran.
Hendaklah ia
menghadirkan ke dalam lubuk hatinya (apabila membaca Al Quran) bahawa ia sedang
bermunajat dan berbicara dengan Allah, lalu ia membaca seolah-olah ia melihat
Allah. Jika ia tidak melihatNya, sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikannya.
Menggunakan siwak (menggosok gigi)
Hendaklah ia membersihkan mulutnya dengan bersiwak apabila
ingin membaca Al Quran. Ia boleh memilih untuk menggunakan kayu araak atau apa
juga jenis kayu serta apa saja yang boleh membersihkan seperti kain yang kesat
atau sapu tangan.
Ada
tiga pendapat dalam mazhab Asy Syafi’e jika seseorang menggosok gigi
menggunakan jari iaitu apakah ia dikira sebagai bersugi atau tidak:
- Pendapat yang masyhur: tidak dikira bersugi
- Pendapat kedua: dikira sebagai bersugi
- Pendapat ketiga: dikira jika tiada benda lain untuk dijadikan siwak, tetapi tidak dikira jika ada siwak.
Hendaklah ia bersiwak bermula dari bahagian kanan mulutnya
serta berniat untuk menuruti sunnah (dalam bersiwak dan memulakan sebelah
kanan).
Sebahagian ulamak mengajarkan doa ini ketika bersiwak, iaitu:
اللهم بارك فيه يا
أرحم الراحمين
Allahumma baarik fiihi
ya arhamar Raahimin.
Berkata Al
Mawardi dari ulamak Syafi’iyyah:
“Adalah disukai untuk bersugi pada bahagian luar
gigi dan dalamnya, dan menggerak-gerakkan siwak pada hujung-hujung gigi dan
geraham serta memberus berhampiran kerongkong (tekak) dengan lembut”.
Kata mereka lagi (ulama’ mazhab Syafi’e): “Adalah disukai untuk menggunakan siwak yang
sederhana (tidak terlalu panjang atau terlalu pendek), juga tidak terlalu
kering atau terlalu basah”.
Kata beliau (al Mawardi):
“Jika terlalu kering bolehlah dilembutkan dengan air. Dan tidak mengapa jika
menggunakan siwak orang lain dengan izin daripada tuannya.
Jikalau
mulutnya bernajis dengan sebab darah atau selainnya maka dimakruhkan membaca Al
Quran sebelum membasuhnya, namun adakah ianya haram?
Kata Ar Ruyaani,
seorang ulamak Syafiiyyah daripada ayahnya:
“Ada dua pendapat. Yang paling benar adalah tidak haram”.
Fasal: Adalah disukai untuk membaca Al Quran dalam
keadaan suci daripada hadas, tetapi jika membaca dalam keadaan berhadas, ianya
diharuskan dengan ijmak kaum
muslimin. Hadith-hadith yang menunjukkan tentang itu banyak sekali dan telah
sedia maklum.
Berkata Imamul
Haramain: ”(Orang yang membaca dalam
keadaan berhadas) tidaklah dikatakan telah melakukan perkara yang makruh,
sebaliknya dikatakan ia telah meninggalkan keutamaan. (Hendaknya) jika ia tidak
mendapati air agar ia bertayammum (untuk mendapatkan keutamaan tersebut)”.
Perempuan yang
istihadhah dihukumkan sebagai suci. Hukumnya adalah seperti hukum orang yang
berhadas.
Adapun orang
yang berjunub dan perempuan yang haidh, maka diharamkan membaca al Quran, tidak kira
ianya satu ayat atau kurang daripadanya. Diharuskan bagi keduanya untuk
membaca di dalam hati tanpa melafazkannya di lidah. Juga diharuskan untuk
melihat kepada mushaf dan membaca
dengan hati sambil melihat mushaf.
Umat Islam
bersepakat tentang bolehnya (orang yang berjunub dan haidh) untuk bertasbih,
bertahlil, bertahmid,bertakbir dan berselawat ke atas Nabi SAW.
Jika orang yang
junub dan perempuan haidh itu berkata:
خذ الكتاب بقوة
“Khuzil kitaaba
biquwwah” (Maksudnya: ”Ambillah, yakni pelajarilah
kitab itu dengan sungguh-sungguh!”) dengan tidak memaksudkan ayat Al Quran, maka hukumnya
harus, demikianlah misal yang lain-lain.
Dan diharuskan juga untuk mereka mengucapkan “Innalillahhi wa inna ilaihi raaji’uun”
ketika ditimpa musibah dengan tidak memaksudkan AlQuran.
Ulamak Khurasan mengatakan: “Harus bagi orang yang berjunub dan haidh untuk membaca subhanallazi sakhkhara lana… dengan tidak memaksudkan Al Quran ketika menaiki
kenderaan. Dan rabbana aatina
fiddunya hasanah… ketika berdoa.
Berkata Imamul Haramain: “Jika orang yang junub mengatakan Bismillah ketika ingin
melakukan sesuatu maka tidak apa-apa”.
Dan diharuskan bagi keduanya membaca bacaan yang telah
dinasakhkan seperti:
الشيخ والشيخة اذا زنايا فارجموهما
“Asy syaikhu wasy syaikhatu iza zanaya farjumuhuma.”
Fasal: Jika
orang yang berjunub dan haidh itu tidak mendapati air, maka bolehlah
bertayammum serta boleh untuk selepas itu membaca Al Quran dan bersolat serta
lain-lain. Jika ia berhadas semula maka diharamkan solat, tetapi tidak
diharamkan membaca Al Quran, duduk di masjid atau selainnya yang tidak
diharamkan bagi orang yang berhadas. Keadaannya adalah seperti jika ia mandi
wajib lalu berhadas semula.
Berikut ini soalan yang agak pelik: Dikatakan; junub itu
menegah daripada solat, dan tidak menegah daripada membaca Al Quran. Namun
duduk di dalam masjid tanpa keperluan (dharurat)
apa halnya? Maka inilah dia
gambarannya (seperti yang telah dijelaskan di atas).
Kemudian, tidak
ada bezanya antara bertayammum yang dilakukan di tempat ataupun ketika musafir.
Sebahagian Ashhaab
Asy Syafi’e mengatakan: ”Jika ia
bertayammum di tempat maka diharuskan bersolat tetapi tidak boleh membaca Al Quran
selepasnya dan tidak boleh duduk di masjid.” Yang benar adalah seperti yang
telah kami nyatakan di awal tadi.
Jika ia
bertayammum, kemudian bersolat dan membaca Al Quran; setelah itu ia hendak
bertayammum kerana hadas atau menunaikan solat fardhu yang lain atau lain-lain,
maka tidak diharamkan baginya untuk membaca Al Quran mengikut pendapat yang
sahih lagi terpilih. Tentang hal ini ada pendapat lain sebahagian ulamak
Syafi’e yang tidak membolehkan, namun yang dimaklumi adalah pendapat yang
pertama.
Adapun jika ia tidak memperolehi air atau tanah, maka
hendaklah ia bersolat kerana menghormati waktu. Dan diharamkan ke atasnya
membaca Al Quran di luar solat, serta diharamkan membaca di dalam solat selain
Al Fatihah.
Apakah diharamkan baginya membaca Al Fatihah juga?
Ada dua pendapat. Yang sahih lagi terpilih adalah tidak haram, bahkan wajib kerana
solat tidak sah melainkan dengannya. Sepertimana diharuskan solat dengan sebab dharurat sedangkan ia masih berjunub,
begitu jugalah diharuskan membaca Al Fatihah (di dalam solat itu).
Kedua: tidak harus,
bahkan hendaklah ia membaca zikir-zikir seprtimana yang perlu dibaca oleh orang
yang lemah yang tidak menghafal sesuatu apapun daripada Al Quran. Alasannya kerana orang ini dikira lemah
dari segi syaraknya seperti juga orang yang lemah itu. Pendapat yang benar adalah yang pertama.
Cabang masalah
yang kami sebutkan tadi adalah termasuk yang perlu diketahui. Kerana itulah
kami menyebutkannya dengan ringkas. Jika tidak, maka di sana terdapat
dalil-dalil dan huraian-huraian yang boleh didapati di dalam kitab-kitab fiqh. Wallahu a’lam.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment