Sambungan..
Hukum ta’awwuz
Fasal:
Jika hendak memulakan bacaan, maka hendaklah ia meminta perlindungan kepada
Allah SWT daripada gangguan syaitan (isti’aazah)
dengan membaca: “A’uuzubillahi minasy
syaithanir rajiim”. Inilah pendapat
majoriti ulama (ta’awwuz sebelum membaca).
Sebahagian ulama pula berpendapat: berta’awwuz selepas
selesai membaca. Berdasarkan firmanNya yang berbunyi:
“Apabila engkau telah membaca Al Quran, maka mohonlah
perlindungan kepada Allah daripada syaithan yang direjam”.
Maksud ayat tersebut
mengikut pendapat majoriti adalah: “Apabila
engkau ingin membaca, maka
berta’awwuzlah”.
Kemudian, bentuk lafaz ta’awwuz pula adalah seperti yang telah kami sebutkan tadi.
Segolongan daripada Salaf pula mengatakan lafaznya adalah:
أعوذ بالله السميع
العليم من الشيطان الرجيم
“A’uuzubillahi assami’il ‘alimi minasy syaithanir rajiim”.
Dan tidak apa-apa dengan lafaz ini (boleh); namun yang
terpilih adalah lafaz yang awal.
Seterusnya, ta’awwuz itu adalah disunnahkan,
bukannya wajib. Dan ia disunnahkan bagi setiap yang membaca; samada di
dalam solat atau selainnya.
Dan di dalam solat adalah disunnahkan membacanya pada
setiap rakaat mengikut pendapat yang lebih sahih di kalangan Ashaab (Ulama Syafi’iyyah) kami. Pendapat yang kedua mengatakan; hanya
disunnahkan pada rakaat yang pertama. Jika tidak membacanya pada rakaat
pertama, hendaklah ia membaca pada rakaat yang kedua.
Ta’awwuz juga disunnahkan pada takbir yang pertama solat
jenazah mengikut pendapat
yang paling sahih daripada dua pendapat.
Dan hendaklah ia sentiasa
merutinkan membaca Bismillahirrahmaanirrahim
pada awal setiap surah kecuali surah Baraah.
Ini disebabkan kebanyakan ulama berkata: ”ia
(Basmalah) adalah satu ayat kerana ia ditulis di dalam mashaf. Dan ia ditulis
pada setiap awal surah kecuali Baraah. Kerana itu, membacanya adalah lebih
meyakinkan…”..
Jika ia
meninggalkan membaca Basmalah maka ia
seperti meninggalkan sebahagian Al Quran, mengikut pendapat majoriti ulama.
Fasal: Dan hendaklah ia memelihara bacaan Bismillahirrahmaanirrahiim
pada setiap awal surah melainkan surah Bara’ah (Surah At-Taubah), kerana
kebanyakan para ulama berpandangan bahawa ia (Basmalah) adalah satu ayat
disebabkan ia ditulis di dalam Mushaf.
Sesungguhnya ia
ditulis pada awal setiap surah kecuali Surah Bara’ah. Maka sekiranya ia
membacanya, itu adalah lebih meyakinkan bahawaia telah mengkhatamkan Al-Quran
ataupun surah tersebut. Disebabkan jika ia tidak membacanya maka jadilah ia
telah meninggalkan sebahagian daripada Al-Quran mengikut pandangan kebanyakan
ulama. (Dengan itu bacaannya belum lagi dikira khatam).
Sekiranya
bacaannya itu atas tugas yang diberi ganjaran upah daripada waqaf dan sumbangan
seperti bacaan secara mingguan atau mengikut bilangan juzuk-juzuk tertentu,
maka memelihara bacaan Basmalah itu lebih ditekankan lagi, agar lebih
meyakinkan bahawa dia berhak atas upah yang diberikan itu.
Ini kerana jika
dia tidak membacanya (Basmalah) maka dia sebenarnya tidak berhak sama sekali
dengan upah daripada harta waqaf tersebut mengikut mereka yang berpendapat
Basmalah adalah satu ayat pada permulaan setiap surah.
Hal ini adalah
masalah yang halus lagi bernilai yang patut diambil berat dan disebarkan.
Khusyuk dan tadabbur
Fasal: Apabila ia ingin memulakan bacaan, maka hendaklah
ia berkeadaan khusyuk serta mentadabburi (memikirkan dan meresapi makna
ayat yang dibaca).
Dalil-dalil yang
menyuruh hal ini banyak sekali untuk dihitung, serta telah masyhur dan jelas
untuk disebutkan lagi di sini. Dan (khusyuk
dan tadabbur) itulah yang menjadi
tujuan dan matlamat pembacaan. Dengannya dada akan lapang dan hati akan bercahaya.
Firman Allah SWT: “Maka mengapakah mereka tidak
mentadabburkan Al Quran?”
FirmanNya lagi: “Kitab (Al Quran) yang telah Kami
turunkannya kepadamu supaya mereka memikirkan ayat-ayatnya”.
Dan hadis-hadis
berkenaan hal ini banyak sekali, serta telah masyhur pula perkataan para Salaf
tentangnya.
Sesungguhnya ada
di kalangan Salaf yang semalaman hanya membaca dan mengulang-ngulang satu ayat
sambil memikirkan maknanya sehingga datangnya waktu Subuh.
Dan ada pula yang
lain yang pengsan ketika membaca Al Quran.
Segolongan yang
lain pula sehingga meninggal dunia sewaktu membacanya.
Dan kami meriwayatkan
daripada Bahz bin Hakim, bahawa Zurarah bin ‘Aufa r anh-seorang Tabi’in- mengimami mereka ketika solat
fajar. Ia lalu membaca sehingga apabila sampai pada ayat: “Apabila sangkakala telah ditiupkan. Maka itulah hari yang penuh
keperitan”. Dengan tiba-tiba ia tersungkur lalu meninggal dunia di situ
juga. Bahz berujar: “Aku adalah termasuk
orang yang mengusung jenazahnya. Rahimahullah.
Ahmad bin Abil Hawari
r.anhu pula –Beliau adalah haruman Syam (tamsilan
bagi memuji)- seperti yang diceritakan oleh Abul Qasim Al Junaid
rahimahullah; apabila Al Quran dibacakan kepadanya, ia lantas berteriak dan
jatuh pengsan!.
Berkata Ibn Abi Dawud:
”Pernah Al Qasim bin Usman Al Juuni
rahimahullah mengingkari apa yang yang terjadi kepada Ibn Abil Hawari”. Dan
Al Juuni adalah seorang yang memiliki kelebihan serta termasuk di dalam
golongan Muhaddis negeri Damsyik, dan beliau itu lebih utama daripada Ibn Abil Hawari.
Kata Ibn Abi Dawud
lagi: ”Demikian juga Ibn Abil Jauza’ dan
Qais bin Jubair serta yang lain-lain turut mengingkari perbuatan Ibn Abil Hawari
itu”.
Aku berkata: ”Yang benar adalah, tidaklah diingkari apa
yang berlaku itu kecuali jika seseorang melakukan hal sedemikian dengan
mengada-ngada” (berlakon). Wallahu
a’lam.
Berkata As Sayyidul
Jalil, yang memiliki anugerah-anugerah daripada Allah serta makrifat; Ibrahim Al
Khawwas radhiyallahu ta’ala anh:
“Ubat bagi hati itu
ada lima:
- Membaca Al Quran dengan merenungkan maknanya (tadabbur)
- Mengosongkan perut
- Qiyamullail
- Merendahkan diri kepada Allah di waktu sahur
- Duduk-duduk (bergaul) dengan para solehin.”
Fasal: Disunnahkan Mengulang-Ngulangkan Ayat Untuk Mentadabbur Maknanya.
Telah kami
sebutkan dalam fasal terdahulu tentang galakan untuk tadabbur, dan menerangkan tempatnya serta cerita yang berlaku pada
para Salafussoleh.
Kami meriwayatkan
daripada Abi Dzarr radhiyallahu anh katanya:
”Pernah Nabi saw bersolat malam dengan membaca
satu ayat sambil mengulang-ngulanginya sehingga subuh. Ayat tersebut adalah: “Seandainya
Engkau mengazab mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hambaMu jua”. Diriwayatkan oleh An Nasai’e dan Ibn
Majah.
Dan daripada Tamim
Ad Daari radhiyallahu ta’ala ’anhu disebutkan bahawa beliau mengulang-ngulang
ayat berikut ini sehingga waktu subuh, iaitu ayat:
”Apakah mereka
yang melakukan kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka sama
keadaannya seperti orang yang beriman dan beramal soleh?”
-Al Jatsiyah, 31.
Dan daripada
’Abbad bin Hamzah katanya:
Aku telah masuk
bertemu Asma’ (binti Abu Bakar) radhiyallahu ’anha dan beliau kudapati sedang
membaca ayat: ”Lalu Allah telah memberi kurniaNya kepada kami dengan menjauhkan
kami daripada azab yang menghinakan” (At Thuur, 27).
Beliau berhenti
pada ayat tersebut dan mengulang-ngulanginya sambil berdoa dan hal itu lama
sekali. Lantas aku keluar semula untuk ke pasar dan membereskan keperluanku,
lalu setelah itu aku kembali lagi dan ku lihat beliau masih dalam keadaan tadi
dengan mengulang-ngulang ayat tersebut dan berdoa.
Kami (Imam
Nawawi) juga telah meriwayatkan kisah yang sama ini daripada Aisyah
radhiyallahu ta’ala ’anha.
Ibnu Mas’ud
pernah mengulang-ngulang ayat: ”Dan berdoalah; wahai Tuhanku! Tambahkanlah
bagiku ilmu!” (Toha, 4).
Said bin Jubair
pula mengulang-ngulangi ayat: ”Dan takutilah akan satu hari di mana kamu
semua akan kembali menemui Allah pada hari tersebut!” (Al Baqarah, 281).
Beliau juga turut
mengulang-ngulang ayat: ”Maka nanti mereka akan benar-benar mengetahui!
Iaitu ketika mana belenggu-belenggu telah diikat pada tengkuk-tengkuk mereka...
(Ghafir, 70-71)
Juga beliau turut
mengulang-nguang ayat ini: ”Apakah yang telah menyebabkanmu terpesong daripada
Tuhanmu yang Maha Mulia?” (Al Infithor, 6).
Ad Dhahhak pula
apabila beliau membaca firman Allah Ta’ala ini:
”Bagi mereka
(ahli neraka) pada bahagian atas ada lapisan-lapisan api dan demikian juga pada
bahagian bawah mereka.. (Az
Zumar, 16).
Maka beliau
mengulang-ngulanginya sehingga waktu sahur.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment