Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Thursday, December 22, 2011

SYARHUS SHUDUUR - IMAM AS-SUYUTI (UNEDITED VERSION 1)

SYARHUS SHUDUR BI SYARHI HAAL AL MAUTA WAL QUBUUR
Karya asal: Al Imam Jalaluddin As Suyuti
Terjemahan:  alfindani
****************************

MUQADDIMAH
adajkajamckakhahdvkmvvj

BAB: PERMULAAN MATI
Telah berkata ibn Abi syaibah di dalam Al Mushannaf: dan Imam Ahmad di dalam Az Zuhd: telah menceritakan kepada kami ’Affan, haddatsana Hammad bin Salamah, daripada Habib bin Asy Syahid, daripada Al hasan, katanya: tatkala Allah telah menciptakan Adam dan zuriatnya, berkatalah para malaikat: sesungguhnya bumi tidak cukup luas untuk menampung mereka. Maka Allah berfirman: sesungguhnya aku telah menciptakan kematian (bagi mereka). Kata para malaikat kembali: kalau begitu, kehidupan tidak akan menyenangkan buat mereka. (maka) Allah menjawab: sesungguhnya aku telah menciptakan panjang angan-angan (bagi mereka).

Abu Nu’aim telah mengeluarkan di dalam Al Hilyah, daripada Mujahid, katanya: Ketika mana Adam dicampakkan ke muka bumi Allah telah berfirman kepadanya: ”membinalah untuk keruntuhan, dan beranak pinaklah untuk kepupusan (kematian)”.

BAB: LARANGAN MENGHARAPKAN KEMATIAN ATAU BERDOA UNTUKNYA KERANA SESUATU KEMUDHARATAN YANG MENIMPA HARTA BENDA ATAU JASAD
Asy Syaikhain (Al Bukhari dan Muslim) telah mengeluarkan daripada Anas katanya: telah bersabda Rasulullah SAW: Janganlah hendaknya salah seorang kamu mengharap-harapkan mati disebabkan seesuatu kemudharatan yang telah menimpanya. Sekiranya tiada jalan baginya selain terpaksa mengharapkannya, maka ucapkanlah: Ya Allah! Hidupkanlah aku selama mana kehidupan itu baik bagiku. Dan matikanlah aku sekiranya kematian itu lebih baik bagiku”.

Muslim telah mengeluarkan daripada Abi Hurairah katanya: telah bersabda Rasulullah SAW: janganlah salah seorang daripada kamu mengharap-harapkan kematian, dan jangan pula ia berdoa untuk mati sebelum kematian itu datang kepadanya. Kerana apabila telah mati salah seorang kamu, maka terputuslah amalannya. Dan tidaklah bertambah umur seorang muslim itu melainkan kebaikan (baginya).

Al Bukahari dan An Nasa’ie telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah salah seorang daripada kamu mengangan-angankan mati. Sama ada dia seorang yang baik, mudah-mudahan akan bertambah kebaikannya. Atau boleh jadi dia seorang yang jahat (pendosa) mudah-mudahan ada peluang baginya untuk bertaubat.
Telah berkata (Ar Raazi) di dalam As Shihhah (Mukhtaarush Shihhah):

Imam Ahmad, Al Bazzar, Abu Ya’la, Al Hakim dan Al Baihaqi di dalam Syu’abil Iman telah meriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah katanya: telah bersabda Rasulullah SAW: janganlah salah seorang kamu mengangankan mati, kerana kedahsyatan akhirat (setelah kematian itu) amat menggerunkan. Sesungguhnya di antara perkara yang membahagiakan itu adalah dipanjangkan umur seseorang sehingga dikurniakan oleh Allah kepadanya taubat.

Syaikhan (Bukhari dan Muslim) telah mengeluarkan daripada Anas, katanya: kalaulah Rasulullah SAW tidak melarang kami daripada mengharapkan kematian, pasti kami akan mengharap-harapkannya.

Al Bukhari telah mengeluarkan daripada Qais bin Abi Hazim, katanya: kami telah masuk menemui Khabbab untuk melawatnya yang sedang sakit. Beliau telah diubati menggunakan besi panas sebanyak tujuh selaran. Lalu katanya: kalaulah nabi SAW tidak pernah melarang kami daripada berdoa untuk mati, pasti aku akan berdoa untuk itu.


Al Marwazi telah mengeluarkan daripada Al Qasim, bekas hamba yang dimerdekakan oleh Mu’awiyah, bahwa Sa’ad bin Abi Waqqas telah berharap agar mati, lalu Rasulullah mendengar hal itu. Lantas sabda Rasulullah SAW: janganlah engkau mengharapkan kematian, kerana jika engkau termasuk kalangan penghuni syurga, maka panjang umur lebih baik bagimu. Sebaliknya jika engkau termasuk penghuni neraka, maka apakah yang menjadikan engkau tergesa-gesa untuk ke sana?

Al Khatib telah mengeluarkan di dalam kitab Tarikhnya daripada Ibn Abbas katanya: telah bersabda Rasulullah SAW: janganlah salah seorang kamu mengharapkan mati, keran sesungguhnya dia tidak mengetahui apakah nasib yang telah ditetapkan baginya.

Imam Ahmad, Abu Ya’la, At Tabrani dan Al Hakim telah meriwayatkan daripada Ummi Al Fadhl, bahawa Rasulullah SAW telah masuk menemui mereka sedang bapa saudaranya Abbas sedang mengeluh sakit dan mengharap-harapkan kematian. Lalu ujar Baginda kepadanya: wahai bapa saudaraku! Usahlah engkau mengharapkan maut. Kerana sesungguhnya jika engkau itu orang yang baik, maka sekiranya dilewatkan kematianmu dan bertambahnya amal baikmu ke dalam kebaikanmu yang sedia ada itu tentulah lebih bagus untukmu. Tetapi jika engkau orang itu orang yang tidak baik amalnya, sekiranya dilewatkan kematianmu lalu engkau bertaubat daripada kesalahan-kesalahanmu, tentunya itu lebih baik buatmu. Maka janganlah engkau meminta-minta untuk mati.

Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada Abi hurairah daripada Rasulillah SAW, sabdanya: Janganlah salah seorang kamu mengharapkan kematian sebelum tibanya dan jangan pula ia berdoa untuknya. Melainkan ia sudah percaya benar dengan amalnya (yakni merasa yakin bahwa amalnya telah cukup baik sehingga mampu menyelamatkannya. –pent)


BAB: KELEBIHAN HIDUP LAMA DI DALAM KETAATAN KEPADA ALLAH

Imam Ahmad dan Tirmizi telah meriwayatkan, serta telah disahihkan oleh Al hakim, daripada Abdirrahman bin Abi bakrah daripada bapanya, bahawa seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulallah! Siapakah manusia yang terbaik? Jawab baginda: iaitu orang yang panjang umurnya dan baik pula amalnya. Tanya lelaki itu lagi: maka siapa pula orang yang paling teruk? Jawab nabi: iaitu sesiapa yang panjang umurnya dan buruk pula amal perbuatannya.

Al Hakim telah meriwayatkan daripada Jabir katanya: telah bersabda rasulullah SAW: Orang yang terbaik di kalangan kamu adalah yang paling panjang umurnya dan baik pula amalannya.

Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: yang terbaik di antara kamu adalah yang terpanjang umurnya bersama terbaiknya amal perbuatannya.

At Tabrani telah meriwayatkan daripada Ubadah bin Ash Shomit, bahawa Nabi SAW pernah bertanya: mahukah kamu aku beritahukan siapakah yang terbaik daripada kamu? Jawab mereka (para sahabat): bahkan wahai Rasulallah! Maka sabdanya: iaitu yang terpanjang umurnya di dalam Islam, serta lurus dan benar.

Juga At tabrani meriwayatkan daripada Auf bin malik katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: setiap kali bertambahnya umur seorang muslim, maka baginya kebaikan.

Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah, katanya: dua orang lelaki daripada bani Huyai golongan ( Yahudi) Qudho’ah telah memeluk Islam di tangan Rasulullah SAW. Lalu salah seorang daripadanya telah syahid dan seorang lagi hanya meninggal setahun kemudian. Berkata Talhah bin Ubaidillah: Aku telah bermimpi melihat syurga, dan aku melihat fulan yang mati kemudian itu didahulukan untuk memasuki syurga sebelum si syahid itu. Maka aku merasa hairan tentang hal itu. Lalu di pagi harinya aku menceritakannya kepada Nabi SAW, lantas sabda Baginda: bukankah ia (yang mati kemudian itu) telah berpuasa satu Ramadhan lebih, dan bersolat enam ribu rakaat (lebih banyak dari si syahid), dan bersolat sunnah sekian-sekian banyak (selama setahun yang lebih itu)?

Imam Ahmad dan Al Bazzar telah meriwayatkan daripada Talhah daripada Nabi SAW, sabdanya: tiada seorang yang lebih utama di sisi Allah berbanding seorang yang berumur panjang di dalam Islam, disebabkan tasbihnya, takbirnya dan tahlilnya.

Abu Nu’aim telah meriwayatkan daripada Said bin Jubair, katanya: Sesungguhnya bertambahnya hidup seorang muslim setiap hari itu adalah keberuntungan yang besar. Bagi ia menunaikan kefardhuan dan solat serta apa-apa yang direzekikan oleh Allah berupa zikir kepadaNya.

Ibnu Abid Dunya telah meriwayatkan daripada Ibrahim bin abi salamah, katanya: telah sampai berita kepadaku bahawa seorang mukmin, apabila ia meninggal dunia, maka ia berharap-harap untuk kembali ke dunia lagi. Tiadalah hal itu melainkan agar dapat ia bertakbir sekali takbir, atau bertahlil sekali tahlil atau bertasbih sekali tasbih (mungkin disebabkan ia sudah melihat dengan yakin ganjaran yang berganda bagi amalan kebaikan, lalu ia berharap untuk menambahnya –pent).

BAB: KEHARUSAN MENGHARAPKAN KEMATIAN DAN BERDOA UNTUKNYA KERANA TAKUTKAN UJIAN (FITNAH) KEPADA AGAMANYA.

Imam malik telah meriwayatkan daripada Abi hurairah katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: tidak akan terjadinya kiamat sehinggalah seorang lelaki melalui kubur seorang lelaki yang lain lantas berkata: Oh! Alangkah baiknya sekiranya akulah yang berbaring di tempatnya.

Imam Malik dan Al bazzar telah meriwayatkan daripada Tsauban, bahwa Nabi SAW pernah berkata (di dalam doanya): Ya Allah! Aku bermohon kepadaMu perbuatan yang baik, meninggalkan kemungkaran dan mencintai orang yang miskin. Dan apabila Engkau berkehendak menurunkan ujian (fitnah) kepada manusia, maka ambillah aku kepadaMu dalam keadaan tidak tersentuh fitnah itu.

Imam malik telah meriwayatkan daripada Umar r.a bahawa ia telah berdoa: Ya Allah! Telah lemah kekuatanku, telah tua pula umurku dan telah bertebaran rakyatku, maka ambillah aku kepadaMu dalam keadaan bukan aku ini seorang yang mensia-siakan amanah dan bukan pula seorang yang mengurangkan hak. Maka tidak sampai sebulan setelah itu, beliau pun wafat.

Ibn Abdil Barr meriwayatkan di dalam At Tamhid, Al marwazi didalam Al Janaaiz, Imam Ahmad di dalam Al Musnad dan At Tabrani di dalam Al Kabir, daripada ’Ulaim Al Kindi katanya: aku pernah bersama Abi ’Abas Al Ghifari di atas bumbung rumah. Maka beliau melihat sebahagian manusia yang berpindah (1. يتحملون , juga bermakna menanggung kesabaran) akibat wabak taun. Lantas ia pun berkata: wahai taun! Berjangkitlah kepadaku! Beliau mengatakan itu tiga kali. Maka ’Ulaim pun berkata kepadanya: mengapakah engkau berkata begitu? Bukankah Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang kamu mengharap-harapkan mati, kerana ketika itu terputuslah segala amalnya dan tidak pula ia akan dikembalikan sehingga ia berpeluang untuk bertaubat. Katanya, lalu berkata Abas: Apakah engkau tidak pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bersegeralah kamu untuk mati (apabila telah  melihat) enam perkara: kepimpinan orang yang bodoh, ramainya polis, hukum telah diperjual belikan, darah telah diremehkan ( tidak berharga kerana senang sekali ditumpahkan), pemutusan silaturrahim, segolongan manusia (  نشوا = boleh diertikan dengan para penyanyi) yang menjadikan Al Quran sebagai seruling, mereka mengedepankan seorang lelaki untuk menyanyikan Al Quran untuk mereka, sekalipun ia adalah yang paling cetek kefahaman agamanya di antara mereka.

Al hakim telah meriwayatkan daripada Al Hasan katanya: telah berkata Al Hakam bin ’Amru: Wahai taun! Berjangkitlah kepadaku! Maka dikatakan kepadanya: mengapakah engkau berkata begitu? Sedangkan engkau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang kamu mengharapkan kematian disebabkan kemudharatan yang menimpanya. ? lalu jawabnya: sesungguhnya aku pun telah mendengar apa yang kamu semua dengar itu. Namun aku bersegera untuk mati ( kerana telah melihat) ( أبادر  jika diterjemahkan harfiyyah ertinya: aku bersegera, namun di sini diterjemah aku melihat dengan pengertian :aku bersegera untuk mati kerana melihat) enam perkara: hukum diperjual belikan, ramainya polis, pemerintahan kanak-kanak ( mungkin dari segi maknawinya: iaitu sekalipun bukan lagi kanak-kanak tetapi pemerintah yang masih berkeadaan seperti kanak-kanak yang hanya mengetahui tentang urusan hiburan, permainan dan senda gurau tanpa melihat kepimpinan sebagai sesuatu yang memerlukan keseriusan dan kematangan -pent), penumpahan darah, pemutusan silaturrahim, dan segolongan manusia yang akan muncul di akhir zaman, iaitu para pembaca Al Quran (Qurra” : pada zaman awal Islam, Qurra adalah istilah kepada mereka yang mahir membaca Al Quran serta alim lagi faqih di dalam agama serta kuat beribadah. Namun Qurra yang dimaksudkan di sini adalah mereka yang mahir membaca Al Quran dengan tajwid dan tarannumnya, namun Al Quran itu seolah-olah tidak melepasi kerongkongan mereka, sekadar menjadi halwa telinga sahaja seumpama nyanyian-nyanyian semata-mata, nauzubillah hi min zaalik -pent), mereka menjadikan Al Quran sebagai seruling.

Ibn Saad telah meriwayatkan di dalam At Tobaqat, daripada habib bin Abi Fudhalah bahwa Abu Hurairah menyebut-nyebut kematian, seolahnya beliau mengharap-harapkannya. Maka berkatalah sebahagian sahabatnya: bagaimanakah engkau mengharap-harapkan kematian setelah adanya sabda Rasulillah SAW : tidaklah (wajar) bagi seseorang mengharapkan kematian. Tidak seorang yang baik, dan tidak pula seorang yang jahat. Sekiranya ia seorang yang baik maka akan bertambah kebaikannya (dengan bertambah umurnya). Jika ia seorang yang jahat maka ia berpeluang bertaubat (daripada kejahatanya). Lalu jawabnya: bagaimanakah aku tidak berharap untuk mati, sesungguhnya aku takut akan menemui enam perkara: sikap meremehkan dosa, diperjual belikan hukum-hakam, pemutusan silaturrahim, banyaknya polis, dan (munculnya) segolongan manusia yang menjadikan Al Quran sebagai seruling.

At Tabrani telah meriwayatkan; daripada Umar bin ’Abasah, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: Janganlah salah seorang kamu berharap-harap untuk mati, melainkan dia sudah merasa cukup yakin dengan amalnya. Sekiranya kamu telah melihat di dalam Islam enam perkara, maka berharaplah untuk mati, sekiranya nyawamu itu di tanganmu, maka lepaskanlah ia. (Enam perkara itu ialah); peremehan darah (ertinya darah dianggap tidak bernilai, maka ditumpahkan tanpa rasa bersalah –pent), pemerintahan kanak-kanak, banyaknya polis, pemerintahan golongan sufahak ( orang bodoh, lemah aqal dan kemampuan menilai –pent), diperjual belikan hukum-hakam, dan segolongan manusia yang menjadikan Al Quran itu sebagai seruling.

Abu Nu’aim telah mengeluarkan daripada Ibn mas’ud, katanya: telah bersabda Rasulullah SAW: tidak akan keluar Dajjal sehinggalah tidak ada sesuatu yang lebih disukai bagi seorang mukmin melainkan keluarnya nyawanya (seorang mukmin merasa kematian lebih baik untuknya kerana melihat telah bermaharajalelanya fitnah dan rosaknya zaman -pent).

Ibn Abid Dunya telah meriwayatkan daripada Sufyan katanya: akan datang kepada manusia satu zaman di mana pada ketika itu kematian menjadi lebih dicintai oleh para Qurra’ (ahli Quran/ faqih) zaman itu berbanding emas yang merah.

(Abu Nu’aim juga ) telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a; katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: telah hampirlah akan terjadi kematian itu menjadi sesuatu yang lebih dicintai oleh seorang yang beriman berbanding air dingin yang dituang ke atasnya madu untuk lalu diminumnya.

(Beliau juga) telah meriwayatkan daripada Abu Zarr r.a katanya: pasti akan datang kepada manusia satu zaman di mana jenazah diusung di antara mereka, lalu seorang lelaki akan berkata: ”Oh, alangkah (bertuah) jika akulah berada ditempatnya”.

Ibn Saad telah meriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdirrahman, katanya: Abu Hurairah telah jatuh sakit, lalu aku pun datang melawatnya. Maka aku berkata: Ya Allah, sembuhkanlah Abu Hurairah! Lantas beliau berkata: Ya Allah, janganlah Engkau kembalikannya (kesembuhan itu). Lalu beliau menyambung: telah hampirlah –wahai Abu Salamah- bahawa akan datang kepada manusia, suatu zaman yang mana kematian lebih dicintai oleh mereka berbanding emas yang merah. Dan telah hampirlah –wahai Abu Salamah- sekiranya engkau masih hidup tidak berapa lama lagi, bahawa seorang lelaki akan mendatangi sebuah kubur dan akan berkata (seolah berkata kepada mayat di dalamnya, sedangkan ia hanya berkata-kata kepada dirinya sendiri): oh! Sekiranya akulah yang berada di tempatmu ini.

Al marwazi telah meriwayatkan di dalam Al janaaiz daripada Murrah al hamadani katanya: Abdullah (ibn Mas’ud?) telah mengharap-harapkan untuk mati bagi dirinya dan ahli keluarganya. Maka dikatakan kepadanya: engkau mengangankan kematian untuk ahli keluargamu, namun mengapa engkau mengharapkannya untuk dirimu juga? Lalu jawabnya: kalaulah aku dapat mengetahui bahawa kamu semua akan masih selamat dalam keadaan kamu pada hari ini, pasti aku mengharapkan untuk hidup bersama kamu selama dua puluh tahun lagi.

Al marwazi juga telah meriwayatkan daripada abi Utsman, katanya: ketika mana Ibn Mas’ud sedang duduk-duduk di bawah teduhan di atas bumbung rumahnya (seperti beranda), dan di bawahnya  juga terdapat dua orang perempuan, yakni isterinya yang merupakan perempuan yang mempunyai kedudukan serta cantik jelita pula. Dan beliau memiliki anak-anak daripada kedua-dua wanita tersebut yang juga sangat baik dan bagus. Tiba-tiba seekor burung kecil (’ushfur) berkicau di atas kepalanya, kemudian melepaskan najisnya. Maka ( fa nakatahu biyadihi) dan kemudian berkata: sesungguhnya jika mati ahli keluarga Abdullah (yang dimaksudkan adalah keluarga beliau sendiri -pent), kemudian ia (dirinya) pun turut mati, itu adalah lebih aku sukai berbanding kematian burung ini. ( maknanya ketika itu beliau sedang berehat mengambil angin bersama ahli keluarganya dalam keadaan yang santai dan tenang, tetapi tiba-tiba, burung itu telah datang mengganggu ketenteraman tersebut, bahkan membuang najis pula di situ. Tentunya hal itu wajar menimbulkan kemarahan sehingga seseorang jika di tempat Ibn Mas’ud ketika itu pasti mengharapkan agar burung tersebut mati sahaja, tetapi apa yang dikatakan oleh Ibn Mas’ud adalah sebaliknya. –pent)

Al marwazi telah meriwayatkan daripada Qais, katanya: anak-anak Abdullah (Ibn Mas’ud) sedang bermain-main sesama sendiri di hadapan beliau. Lalu katanya: engkau lihat mereka itu? Kematian mereka lebih ringan bagiku daripada kematian serangga. # [pls recheck. m/s 31]

(beliau juga) telah meriwayatkan daripada Al Hasan, katanya: di bandar kamu ini dulunya ada seorang lelaki ’abid. Beliau ( suatu hari) keluar daripada masjid. Apabila beliau meletakkan kakinya ke atas tunggangannya, datanglah  malaikat maut kepadanya. Lalu beliau pun berkata kepadanya: selamat datang! Sesungguhnya aku memang telah benar-benar rindu kepadamu. Maka diambillah rohnya.

Ibn Sa’ad telah meriwayatkan di dalam Tobaqat, dan Al Marwazi juga, daripada Khalid bin Mi’dan, katanya: tiada satu hidupan pun, baik di daratan mahupun di lautan yang menjadikan aku gembira sekiranya mereka menebus maut daripada diriku. Seandainya kematian itu suatu 'alam / bendera (checkpoint) yang manusia boleh berlumba-lumba untuk mendapatkannya, maka tiada siapa pun yang dapat mendahuluiku untuk kepadanya. Melainkan sorang lelaki yang berjaya menewaskanku disebabkan kekuatannya yang melebihiku.

Abu Nu’aim telah meriwayatkan daripadanya (Khalid bin mi’dan) katanya: Demi Allah! Sekiranya kematian itu berada di satu tempat yang tertentu, pasti akulah yang akan lebih dahulu pergi mendapatkannya!.

(Abu Nu’aim) juga telah meriwayatkan daripada Abdi Rabbih bin Soleh, bahawa ia telah masuk menemui Makhul semasa sakit yang membawa kepada kematiannnya, lalu berkata: Semoga Allah menyembuhkanmu. Lalu jawab Makhul: Sekali-kali tidak! Bertemu dengan yang diharapkan keampunanNya itu lebih baik daripada kekal hidup bersama mereka yang tidak dapat diharap keamanan daripada kejahatannya, syaitan manusia dan iblis serta bala tenteranya.

Ibn ’Asakir telah meriwayatkan di dalam Tarikhnya, daripada Abi Mishar, katanya: Aku telah mendengar seorang lelaki berkata kepada Said bin Abdul Aziz At Tanukhi: semoga Allah memanjangkan kekekalanmu (umurmu). Maka tiba-tiba ia (Said) mendadak marah, sambil kemudian berkata: bahkan, semoga Allah mempercepatkan aku kepada rahmatNya. (semoga Allah segera mengambil nyawaku -pent)

Abu Nu’aim telah meriwayatkan daripada ’Ubaidah bin Al Muhajir, katanya: Seandainya dikatakan: sesiapa yang menyentuh ranting kayu ini akan mati; pastilah aku akan segera bangun untuk menyentuhnya! (perlu difahami bahwa ini bukanlah bermakna bolehnya membunuh diri, tetapi kata-kata seperti ini adalah sebagai gambaran akan rindunya mereka kepada kematian, kadangkala kerana sempitnya jiwa dengan kehidupan dunia yang mengancam agama, dan kadangkala kerana rindu untuk bertemu Kekasih, Allah Yang Tercinta. –pent)

(Abu Nu’aim) juga telah meriwayatkan daripada Abu Abdillah Ash Shonabaji, katanya: Dunia membawa kepada ujian (fitnah), sedang syaitan pula mengheret kepada kesalahan. Dan pertemuan dengan Allah itu lebih baik berbanding hidup bersama keduanya itu.

Ibn Abid Dunya telah meriwayatkan daripada ’Amru bin Maimun, bahwa dia tidak pernah meminta-minta untuk mati. Katanya: Aku bersolat setiap hari sekian-sekian rakaat. Sehinggalah Yazid bin muslim dihantar kepadanya, lalu ia mengganggunya dan seringkali menyuruhnya melakukan sesutu yang sukar untuk dilaksanakannya. Maka ia pun berdoa: Ya Allah! Pertemukanlah aku bersama golongan yang terpilih (Al-Akhyar) dan janganlah Engkau biarkan aku bersama golongan yang jahat (Al Al-Asyrar).

(Ibn Abid Dunya) telah meriwayatkan juga daripada Ummi Darda’, katanya: Adalah Abu Darda’, apabila ada seorang lelaki yang mati dalam keadaan soleh, beliau akan berkata: bertuahlah engkau. Oh! Seandainya akulah berada ditempatmu.. lalu Ummu Darda’ pun berkata kepadanya berkenaan hal itu,. Lantas jawabnya: Apakah engkau tahu wahai bodoh? Bahawa seorang lelaki berpagipagi dalam keadaan beriman, lalu berpetang hari dalam keadaan munafiq. Imannya tercabut tanpa ia sedar?. Maka aku merasa sangat cemburu dengan mayat ini (yang mati dalam keadaan selamat imannya dan soleh amalnya –pent) berbanding hidup lama di dalam bersolat dan berpuasa.

Ibn Abi syaibah telah meriwayatkan di dalam Al Mushonnaf, juga Ibn Abid Dunya, daripada Abi Juhaifah, katanya: Tiada suatu nyawa pun yang lebih mengembirakanku untuk menebus diriku dengan kematian, sekalipun nyawa seekor lalat.

Ibn Abid Dunya, Al Khatib dan Ibn Asakir telah meriwayatkan daripada Abi Bakrah sahabat nabi SAW, r.a katanya: tiada satu nyawa pun yang lebih aku sukai untuk keluar berbanding nyawaku ini, sekalipun nyawa seekor lalat yang terbang! (maksudnya kematianku itu lebih ringan bagiku berbanding kematian seekor lalat –pent). Maka terkejutlah mereka yang berada di situ. Kata mereka: mengapa (sampai begitu sekali)? Lalu jawabnya: sungguh aku takut akan mendapati suatu zaman yang aku tidak mampu lagi menyuruh kepada ma’ruf (kebaikan) dan tidak pula berdaya untuk mencegah kemungkaran. Kebaikan apakah lagi pada hari itu?

Ibn Abi Syaibah telah meriwayatkan di dalam Al Mushannaf, dan Ibn Sa’ad, juga Al Baihaqi di dalam Syu’abil Iman, daripada Abu Hurairah; bahwa seorang lelaki berjalan melintasinya, lantas beliau pun bertanya: Ke mana engkau hendak pergi? Ke pasar; jawab lelaki tersebut. Maka kata Abu Hurairah: jika engkau boleh membeli maut sebelum pulang nanti, maka lakukanlah (belilah)!

Ibn Abid Dunya telah meriwayatkan, juga At Tabrani di dalam Al Kabiir, dan Ibn Asakir melalui ’Urwah bin Az Zubair, daripada ’Irbadh bin Saariyah, dan beliau adalah seorang Syaikh daripada kalangan para sahabat Nabi SAW, dan beliau itu suka untuk diambil nyawanya (mengharapkan kematian). Beliau pernah berdoa: Ya Allah! Telah tua umurku, dan telah lemah tulangku, maka ambillah aku kepadaMu. Ceritanya (’Irbadh): ketika aku di masjid Damsyik pada satu hari, sedang aku bersolat dan berdoa untuk mati, maka muncul seorang pemuda yang sangat tampan dna berpakaian hijau. Lalu katanya: Apakah yang engkau doakan itu? Maka aku pun berkata pula: bagaimanakah aku harus berdoa wahai anak saudaraku? Katanya: Ucapkanlah: Ya Allah, perelokkanlah amalan, dan sampaikanlah ajal. Maka aku lantas bertanya: Siapakah kamu, mudah-mudahan Allah merahmatimu? Jawabnya: Sayalah Rotaa-iel, yang meredakan (yastallu al huzn) kesedihan daripada dada-dada orang yang beriman. Kemudian aku berpaling, namun tidak melihat sesiapa pun.

BAB: KELEBIHAN / KEUTAMAAN MATI

Berkata para ulama: mati itu bukanlah semata-mata ketiadaan dan bukan pula kebinasaan yang ”Shorfin”, Sebenarnya ia hanyalah putusnya perhubungan antara ruh dan badan, dan perpisahan serta perpindahan (Hailulah) antara keduanya. Juga pertukaran keadaan, serta perpindahan dari suatu negeri ke suatu negeri (negeri dunia kepada negeri akhirat -pent).

Abusy Syaikh telah meriwayatkan di dalam Tafsirnya, dan Abu Nu’aim daripada Bilal bin Sa’ad, bahawa ia berkata di dalam ceramahnya: wahai ahlul khulud*! Wahai ahlul baqa*! Sesungguhnya kamu tidaklah diciptakan untuk sesuatu yang fana, bahkan kamu hanyalah sebenarnya diciptakan untuk kekekalan dan keabadian. Dan sesungguhnya kamu akan dipindahkan dari suatu negeri ke suatu negeri.
* khulud dan baqa bermaksud kekal selamanya. Di sini bolehlah diertikan sebagai ”wahai manusia yang sebenarnya diciptakan untuk hidup kekal (yakni di akhirat). -pent.

Abu Nu’aim telah meriwayatkan daripada Umar bin Abd Aziz bahawa ia berkata: sesungguhnya kamu itu diciptakan untuk keabadian dan kekekalan. Tetapi kamu itu akan dipindahkan dari satu negeri ke satu negeri.
(daripada alam roh ke alam rahim, kemudian ke alam dunia, seterusnya ke alam barzakh, dan ke alam mahsyar dan akhirnya ke syurga atau neraka, wal’iyazubillah. –pent)

Ibnul Mubarak telah meriwayatkan di dalam kitab Az Zuhd, At Tabrani di dalam Al Kabir, Al Hakim di dalam Al Mustadrak dan Al Baihaqi di dalam Syu’abil Iman daripada Abdillah bin ’Amru, katanya: sabda Rasulullah SAW: hadiah bagi seorang mukmin adalah kematian. (yakni kematian itu menajdi hadiah yang bernilai kepada seorang mukmin kerana dengan mautlah seorang mukmin akan dapat kembali ke kampung halamannya, iaitu syurga yang menjadi tempat asal ayahnya Adam dan ibunya Hawwa, bagi bertemu Penciptanya, Allah SWT. –pent)

Ad Dailami juga telah mengeluarkan di dalam Musnad Al Firdaus, daripada hadith Jabir seperti hadith di atas.

Ad Dailami juga meriwayatkan daripada Al Husain bin Ali, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: kematian itu adalah merupakan harum-haruman (raihanah) bagi seorang mukmin.

Al baihaqi telah meriwayatkan di dalam Syu’abil Iman, serta mendhoifkannya, dan Ad Dailami juga, daripada Aishah, katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: Kematian itu keberuntungan manakala maksiat itu musibah. Kefakiran itu kerehatan, manakala kekayaan itu suatu (bentuk) hukuman. Akal itu hadiah daripada Allah, sedang kejahilan itu kesesatan. Kezaliman itu penyesalan sedang ketaatan itu penyejuk mata (kegembiraan). Tangisan kerana takutkan Allah adalah penyelamat daripada neraka, sedang ketawa adalah kebinasaan kepada badan. Dan seorang yang bertaubat daripada dosa-dosanya adalah seumpama orang yang tidak mempunyai dosa.

Imam Ahmad telah meriwayatkan, juga Said bin mansur di dalam Sunannya dengan sanad yang sahih daripada Mahmud bin Labid, bahawa Nabi SAW pernah bersabda: dua perkara yang tidak disukai oleh anak Adam: ia tidak menyukai kematian, sedang kematian itu lebih baik daripadanya berbanding fitnah (ujian/cubaan).* ia tidak menyukai sedikitnya harta, sedangkan sedikit harta bermakna sedikit pula hisabnya.
*kematian hakikatnya lebih baik berbanding hidup di dalam ujian. Dunia itu sendiri fitnah dan kehidupan di atas dunia itu juga akan sentiasa menemui fitnah demi fitnah yang bermacam-macam daripada musuh-musuhnya berupa syaitan, hawa nafsu, dunia, kedengkian dan sebagainya. –pent)

Al Baihaqi telah meriwayatkan di dalam Syu’abil Iman, daripada Zur’ah bin Abdullah, bahawa Nabi SAW telah bersabda: manusia itu menyukai kehidupan, sedangkan kematian itu lebih baik bagi dirinya. Manusia juga menyukai banyaknya harta, sedangkan sedikit harta itu lebih sedikit hisabnya. Hadith mursal.