Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, September 9, 2012

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 25

Sambungan..


Fasal: Membaca dari mushaf dan membaca dari hafalan.

Membaca dengan melihat mushaf itu lebih afdhal dari membaca terus daripada hafalan. Kerana melihat mushaf itu sendiri adalah suatu ibadah yang dituntut. Maka dengan itu terhimpunlah antara (ibadah) pembacaan dan (ibadah) penglihatan.

Inilah apa yang telah disebutkan oleh Al-Qadhi Husain daripada ulama mazhab kita, serta Imam Abu Hamid Al-Ghazali dan beberapa golongan daripada Salaf.

Imam Al-Ghazali telah menukilkan di dalam Ihya’ bahawa ramai daripada para Sahabat radhiyallahu ’anhum, mereka itu membaca dengan melihat Mushaf. Bahkan mereka tidak suka jika berlalu satu hari tanpa mereka melihat kepada mushaf.

Ibn Abi Dawud juga telah meriwayatkan tentang pembacaan dengan melihat mushaf daripada ramai para Salaf. Dan aku sendiri (Imam An-Nawawi) tidak melihat ada khilaf dalam hal tersebut.

Sekiranya dikatakan: Hal itu berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Iaitu dipilihkan membaca secara melihat mushaf itu bagi sesiapa yang sama keadaan khusyu’ dan tadabburnya jika ia membaca melalui mushaf atau hafalannya.

Dan dipilihkan membaca secara hafalan bagi seseorang yang lebih sempurna khusyu’ dan tadabburnya jika ia membaca dalam keadaan tersebut (berbanding membaca dengan melihat mushaf) dan akan bertambah khusyu’ dan tadabburnya jika ia membaca dengan melihat mushaf.

Pasti (kita katakan) ini adalah pendapat yang baik.
Nyatanya adalah bahawa perkataan dan perbuatan para Salaf itu bolehlah difahami seperti penjelasan (pendapat) ini.

Bersambung...

Saturday, September 8, 2012

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 24

Sambungan..


Dan  Dua rakaat solat Sunat Fajar pada rakaat pertama Surah Qul Ya Ayyuhal Kaafiruun (Al-Kaafirun) dan pada rakaat kedua Surah Qul HuwaLLAHu Ahad (Al-Ikhlash).

Dan beberapa rakaat Witir, pada rakaat pertama Surah Sabbihisma Rabbikal A’la (Al-A’la), pada rakaat kedua Surah Qul ya Ayyuhal Kafiruun (Al-Kafirun), dan rakaat ketiga dengan Al-Mu’awwizatain (yakni surah Al-Falaq dan Surah An-Naas).

Sekiranya seseorang membaca tanpa mengikut turutan, lalu membaca surah yang tidak datang selepas surah pertama (contohnya pada rakaat pertama membaca Surah Ad-Dhuha dan turutan surah selepas Surah Ad-Dhuha adalah Surah Al-Insyirah, tetapi si fulan membaca pada rakaat kedua dengan surah2 lain seumpama Surah Al-Kautsar).

Atau ia membaca menyalahi tertib lalu dia membaca satu surah (Al-Insyirah contohnya), kemudian di membaca surah sebelumnya (Ad-Dhuha atau surah2 sebelumnya sebagai contoh), maka ianya harus (dan memadai solatnya).

Sesungguhnya telah tersebut atsar yang banyak berkenaan hal sebegitu (yakni bolehnya membaca Al-Quran dengan tidak menuruti susunan mushaf di dalam solat).

Sayyidina Umar Al-Khattab telah membaca Surah Al-Kahfi pada rakaat pertama Solat Subuh dan Surah Yusuf pada rakaat kedua. (sekadar satu contoh)

Sesungguhnya sekumpulan ulama tidak menyukai (memakruhkan) membaca dengan menyalahi tertib mushaf (di dalam solat).

Ibn Abi Dawud telah meriwayatkan daripada Al-Hasan (Al-Basri) bahawa beliau tidak menyukai pembacaan yang menyalahi tertib mushaf.

Dan dengan sanadnya yang sahih daripada Abdillah ibn Mas’ud bahawa telah dikatakan kepada beliau; ”Sesungguhnya ada seorang fulan telah membaca Al-Quran secara terbalik (menyalahi susunan mushaf).” Maka jawab beliau; ”Orang itu terbalik hatinya”.

Adapun membaca sesuatu Surah daripada akhirnya kepada awalnya (membaca secara songsang) maka ia adalah ditegah dengan sekeras-kerasnya. Disebabkan sesungguhnya ia menghilangkan sebahagian bentuk I’jaz (kemukjizatan Al-Quran) dan melenyapkan hikmah susunan ayat-ayat (Al-Quran).

Sesungguhnya Ibn Abi Dawud telah meriwayatkan daripada Ibrahim An-Nakha’ie, iaitu seorang Imam Tabi’ien yang mulia, serta daripada Imam Malik bin Anas, bahawa mereka berdua membenci hal tersebut. Bahkan Imam Malik menjelekkan perbuatan itu. Kata beliau; ”Ini satu hal yang dahsyat! (benar2 mencengangkan!)” (maksudnya seolah2 merasa takjub bagaimana ada orang yang begitu berani membaca Al-Quran dengan cara sebegitu).

Adapun mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran bermula daripada akhir mushaf terus kepada permulaannya, maka ia adalah suatu hal yang baik dan bukan termasuk di dalam bab (yang sedang dibahaskan) ini. (Seperti susunan Muqaddam yang bermula daripada surah An-Naas sehingga An-Naba).

Kerana sesungguhnya ianya adalah pembacaan yang terpisah-pisah, pada hari yang berbeza-beza. Juga bagi memudahkan untuk mereka menghafal (Al-Quran itu). Wallahu A’lam.

Bersambung...

Friday, May 25, 2012

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 23

Sambungan...


Fasal: Tidak boleh membaca AL Quran dengan selain bahasa Arab tidak kira samaada ia mahir membaca Arab atau tidak mahir membacanya. Juga samaada di dalam solat atau lainnya.

Maka sekiranya ia membacanya juga di dalam solat, tidak sah solatnya. Inilah pendapat kita (Mazhab Asy Syafie), Malik, Ahmad, Daud dan Abi Bakr Ibn Al Munzir.

Berkata Abu Hanifah: Harus membacanya dan sah solatnya.

Kata Abu Yusuf dan Muhammad: Harus bagi sesiapa yang tidak mahir membacanya di dalam bahasa Arab, tetapi tidak harus bagi yang mahir membacanya dalam bahasa Arab.

***

Fasal: Harus membaca Al Quran dengan Qiraat Tujuh yang disepakati bacaan itu. Tidak diharuskan dengan selain Qiraat Tujuh. Tidak pula dibolehkan dengan riwayat syadz (sekalipun) yang dinukilkan daripada Imam Qiraat yang Tujuh.

Nanti akan disebutkan –insyaAllah ta’ala- di dalam bab yang ke tujuh yang menerangkan kesepakatan para fuqaha tentang disuruh bertaubatnya orang yang membaca dengan qiraat Syadz apabila ia membacanya.

Berkata para Ashaab kita dan selain mereka:
Sekiranya seseorang itu membaca dengan Qiraat Syadz di dalam solat, nescaya batal solatnya jika dia mengetahui (bahawa tidak boleh membaca dengan qiraat Syadz). Sekiranya ia tidak tahu, maka tidak batal solatnya, tetapi bacaannya itu tidak dikira.

Sesungguhnya Imam Abu Umar Ibn Abdil Barr Al Hafizh telah menukilkan ijmak kaum muslimin bahawa tidak harusnya membaca dengan qiraat syadz serta tidak dibolehkan bersolat dibelakang orang yang membacanya (di dalam solat).

Berkata para ulama:
Barangsiapa yang membaca dengan qiraat Syadz, sekiranya ia tidak tahu (bahawa yang dibacanya itu qiraat syadz) atau tidak mengetahui hukum haram membacanya, maka hendaklah dia dimaklumkan akan hal tersebut.

Sekiranya ia tetap kembali membacanya, atau ia sememangnya mengetahui, maka hendaklah ia dita’zir dengan hukuman yang berat sehinggalah ia meninggalkan perbuatan tersebut.

Menjadi satu kewajipan kepada sesiapa yang boleh mengingkari dan menegahnya untuk mengingkari dan menegah daripada perbuatan itu.

***
Mencampur Aduk Antara Qiraat -pent

Fasal: Apabila ia memulakan dengan bacaan seseorang Qurra’ (Imam Qiraat), maka hendaklah ia meneruskan bacaan dengan Qiraat tersebut selama mana perkaitan antara ayat-ayat tersebut masih belum tamat.

Apabila susunan kalam ayat tersebut telah tamat, maka bolehlah jika ia hendak membaca dengan qiraat yang lain pula daripada qiraat yang tujuh itu. Namun yang lebih Aula (utama) adalah meneruskan bacaan dengan Qiraat yang awal tadi di dalam satu-satu majlis.

Membaca Mengikut Tertib Mushaf-pent.

Fasal: Berkata para ulama: Yang lebih utama adalah membaca mengikut tertib susunan Mushaf. Iaiatu dengan dibaca Al Fatihah, kemudian Al Baqarah, kemudian Aali Imran, seterusnya surah-surah yang mengikutinya mengikut susunan. Sama saja jika ia membaca di dalam solat atau lainnya.

Sehingga berkata sebahagian Ashaab kita:
 Jika seseorang membaca di dalam rakaat pertama surah: Qul a’udzu bu Rabbin Naas (Surah An Naas), maka hendaklah ia membaca di dalam rakaat kedua selepas Fatihah dengan sebahagian Surah Al Baqarah.

Berkata sebahagian Ashaab kita:
 Disunatkan apabila membaca suatu surah untuk membaca surah yang mengiringi surah tersebut.

Dalil bagi perkara ini adalah bahawa:-
Tertib (susunan) Mushaf ditentukan sedemikian ini kerana suatu hikmah yang tersendiri. Maka hendaklah memelihara tertib itu melainkan apa yang telah datang pada syarak akan pengecualiannya.

Contohnya pada solat Subuh Hari Jumaat dibaca pada rakaat pertama Surah As Sajdah dan pada rakaat kedua Hal Ata ’alal Al Insaan.

Solat Hari Raya pada rakaat pertama surah Qaaf, dan rakaat kedua Iqtarabatis Sa’ah (Al Qamar).


Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 22

Sambungan..


Fasal: termasuk di antara perkara yang patut diberi perhatian dan ditekankan iaitu:

Menjaga kehormatan Al Quran daripada perkara-perkara yang diambil mudah oleh mereka yang lalai iaitu ketika membaca secara beramai-ramai. Antaranya adalah:-

a)      Menjauhi gelak tawa, bertingkah-tingkah suara dan bersembang-sembang di sela-sela pembacaan Al Quran, melainkan percakapan yang sangat-sangat diperlukan. Hendaknya mereka menuruti perintah Allah SWT: ”Dan apabila dibacakan Al Quran, maka hendaklah kamu semua mendengar dengan penuh perhatian kepada bacaan itu dan diamlah, mudah-mudahan kamu semua beroleh kerahmatan.” (Al A’raf, 204)

Sepatutnyalah mereka berpedoman dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Daud daripada Ibn Umar r.anhu bahawa: Apabila membaca Al Quran, beliau tidak akan berkata-kata sehinggalah selesai membaca apa yang dikehendakinya.

(Al Bukhari juga meriwayatkan di dalam Sohihnya dengan kata: Beliau tidak akan samasekali berbicara sehingga selesai daripadanya. Beliau menyebutkan hadith ini di dalam Kitab Tafsir pada firman Allah Ta’ala: ”Wanita-wanita kamu adalah ladang bagi kamu”. –Al Baqarah, 223)

b)       Bermain-main dengan tangan atau lainnya. (Seperti mematah-matahkan jari, memusing-musingkan dua ibu jari atu sama lain, bermain-main dengan hujung baju atau tikar, menggaris-garis di atas karpet dan seumpamanya-pent). Sesungguhya dia sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah dia berkelakuan endah tidak endah di hadapanNya.
c)      Antaranya lagi: Melihat-lihat kepada perkara-perkara yang melalaikan dan menghilangkan tumpuannya.
d)     Dan yang lebih teruk daripada semua ini adalah: Memandang kepada apa yang tidak dibolehkan memandangnya seperti budak lelaki yang amrad dan lainnya. Ini kerana memandang kepada budak lelaki yang amrad lagi tampan (jambu-pent) tanpa keperluan itu adalah haram, tidak kira samaada disertai syahwat atau tanpa syahwat.

Juga tidak kira samaada dirinya aman daripada fitnah atau tidak aman daripadanya.
(maksud aman daripada fitnah adalah seperti seorang yang menyangka dirinya tidak akan tergerak nafsu dalam memandang amrad disebabkan ilmunya yang hebat, atau kedudukannya sebagai seorang syeikh atau seumpamanya -pent.)
           
Ini adalah mazhab (pendapat) yang sahih lagi terpilih di sisi para ulama. (Iaitu haramnya memandang amrad tanpa keperluan). Sesungguhnya Imam Asy Syafie dan para ulama yang tidak terhitung bilangannya telah menyatakan keharamannya.

Dalilnya adalah firman Alah Ta’ala:
”Katakanlah kepada kaum mukminin untuk mereka menahan pandangan mereka (daripada yang diharamkan)”.
(An Nuur, 30).

Disebabkan bahawa amrad itu adalah seperti perempuan juga, bahkan kadangkala sebahagian mereka atau kebanyakan mereka lebih cantik daripada kebanyakan wanita.

Kerana itu ia lebih menguatkan lagi sebab-sebab untuk berlakunya perkara yang tidak elok, juga kerana jalan untuk berlakunya kejahatan disebabkan amrad itu lebih mudah dan terbuka berbanding dengan para wanita. Maka oleh sebab itu, pengharamannya lebih utama.

Kata-kata para salaf agar menjauhi mereka (para amrad itu) sangat banyak untuk dihitung. Dan sesunguhnya mereka menamakan amrad itu sebagai (Antaan) yakni ”sesuatu yang berbau busuk”  disebabkan mereka itu membawa keburukan dari segi syarak.

*maksud membawa keburukan di sini bukanlah salah amrad itu yang dikurniakan wajah yang cantik, tetapi disebabkan fitnah/ujian yang disebabkan oleh wajah itu bagi yang memandangnya –pent.

Adapun memandangnya ketika berjual-beli, menerima dan memberi barang, mengubat dan mengajar serta yang seumpamanya daripada tempat-tempat yang berlaku keperluan padanya, maka ia adalah dibolehkan kerana keperluan.

Tetapi ia (hukum ini) mengehadkan orang yang memandang itu sekadar keperluan sahaja. Tidak boleh berlama-lama memandang tanpa keperluan. Demikian juga seorang guru, hanyasanya dibenarkan ia memandang sekadar perlu sahaja.

Dan diharamkan kepada semua mereka yang tersebut di atas memandang dengan syahwat. Tidak sahaja dikhususkan kepada golongan amrad ini, bahkan diharamkan kepada sekelian mukallaf memandang dengan syahwat kepada sesiapa jua samaada yang dipandang itu lelaki atau perempuan, mahramkah perempuan itu atau bukan.

Melainkan ia memandang kepada isterinya atau hamba perempuannya yang dibolehkan ia bersedap-sedap dengannya.

Sampaikan ada dikalangan Ashaab kami (Ulama Syafi’iyyah) berkata: Haram seseorang itu memandang dengan syahwat kepada mahramnya seperti anak perempuannya dan ibunya. Wallahu a’lam.



Wajarlah kepada sekalian yang hadir di dalam majlis bacaan Al Quran, apabila mereka melihat sesuatu daripada kemungkaran-kemungkaran ini atau kemungkaran lainnya untuk mereka menegahnya mengikut kadar kemampuan.

Iaitu dengan tangannya jika ia berkuasa, dengan lisannya jika ia tidak mampu dengan tangan. Jika tidak, maka hendaklah ia mengingkari dengan hatinya. Wallahu a’lam.


***
Bersambung...