Sambungan..
Kebersihan tempat
Fasal: Amatlah digalakkan untuk membaca Al Quran di
tempat yang bersih lagi terpilih.
Kerana itu sebahagian
ulamak menggalakkan membacanya di masjid, kerana pada masjid itu terhimpun kesempurnaan
dari segi kebersihannya, kemuliaannya, serta mendapat pula fadhilat yang lain
iaitu iktikaf.
Sepatutnyalah bagi sesiapa yang masuk ke dalam masjid
untuk berniat iktikaf, tidak kira
sama ada duduknya lama atau sebentar sahaja. Bahkan sewajarnya ia berniat iktikaf sebaik sahaja melangkahkan
kakinya ke dalam masjid.
Dan inilah
adab yang patut dipelihara serta disebarkan dikalangan kanak-kanak dan orang
ramai kerana seringnya ia diabaikan.
►Tentang membaca
di bilik mandi awam/hammam (seperti spa dan sauna pada zaman ini), para ulamak salaf berbeza pendapat
dalam memakruhkannya;
Berkata ulamak Syafi’iyyah: ‘tidak makruh” sepertimana yang dilaporkan oleh Imam
yang mulia Abu Bakr bin Al Munzir di dalam kitab Al Isyraf daripada
Ibrahim An Nakhai’e dan malik. Dan inilah juga pendapat ‘Atho.
Segolongan yang lain pula mengatakan makruh, di antara mereka adalah Ali bin Abi Talib
ra, seperti diriwayatkan Ibn Abi Dawud.
Ibn Munzir menceritakan
daripada segolongan Tabi’in, antara
mereka adalah Abu Waeil Syaqiq bin Salamah, As Sya’bi, Al Hasan al Basri, Makhul,
Qabishah bin Dzuaib;
Dan kami
meriwayatkan juga daripada Ibrahim an Nakha’ie, serta diceritakan pula oleh
sebahagian Ashaab kami daripada Abi Hanifah
radhiyallahu ‘anhum;
Kata Asy Sya’bi:
“Dimakruhkan membaca Al Quran pada tiga tempat:
- Tempat-tempat mandi
- Ladang (husyusy)
- Rumah penggilingan (buyuut ar rahyi wa hiya taduur)
Daripada Abi Maisarah, katanya: “Tidak boleh berzikir kecuali di tempat yang baik.”
►Berkenaan membaca di jalanan, maka ianya harus tidak
makruh, jika ia tidak lalai: Sebaliknya jika ia sehingga dilalaikan sesuatu
daripada bacaannya maka ia dimakruhkan; sepertimana Nabi SAW memakruhkan
membaca Al Quran kepada orang yang mengantuk ditakuti akan menyebabkan
bacaannya bercampur aduk.
Abu Dawud meriwayatkan daripada Abi Dardaa’ ra bahawa ia
membaca Al Quran di jalan. Umar bin Abd Aziz rh meriwayatkan dengan membolehkannya.
Berkata Ibn Abi Dawud: Abu Rabi’ menceritakan kepadaku;
katanya: Ibn Wahb mengkhabarkan dengan katanya: “Aku bertanya kepada Malik berkenaan seorang lelaki yang bersolat
pada akhir malam lalu keluar untuk menuju ke masjid sedangkan surah yang
dibacanya masih lagi berbaki (belum dihabiskan). Jawab Imam Malik rh: “Aku tidak tahu (tentang bolehnya) membaca
al Quran di jalanan” dan beliau membenci perlakuan tersebut (membaca al
Quran di jalan). Isnad kisah ini sahih daripada Malik rh.
Fasal: Disunatkan mengadap Kiblat ketika membaca
di luar solat. Sesungguhnya telah disebutkan di dalam sebuah hadis: “Sebaik-baik majlis (tempat duduk) adalah
yang mengadap kiblat”.
Dan hendaklah ia duduk
dengan khusyu’, tenang dan tenteram serta
menundukkan kepalanya. Dan hendaklah duduknya dengan penuh adab
dan ketundukan itu seolah-olah duduknya ketika di hadapan gurunya; dan inilah
adab yang sempurna.
Seandainya ia
membaca dalam keadaan berdiri, atau tidur mengiring atau menelentang di atas
katilnya atau lain-lain cara; maka ianya dibolehkan; tetapi kurang (pahala)
daripada yang pertama (duduk mengadap kiblat dan adab-adabnya).
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan
bumi dan silih bergantinya malam dan siang itu ada tanda-tanda (kekuasaan
Allah) bagi orang yang berfikir. Iaitu mereka yang mengingati Allah ketika
berdiri, duduk dan berbaring di atas lambung (rusuk) mereka; serta mereka
berfikir tentang penciptaan langit dan bumi…”
Dan telah tsabit
di dalam hadis yang sohih daripada ‘Aisyah ranha katanya: pernah Rasulullah SAW bersandar di ribaanku sambil membaca Al Quran sedangkan
aku didatangi haidh”. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Dan di dalam riwayat yang lain: “Baginda membaca Al Quran sedangkan kepala Baginda di ribaanku”.
Dan daripada Abi Musa Al Asy’aari ranh katanya: “Aku membaca Al Quran di dalam solatku.
Juga aku membacanya di atas tempat tidurku”.
Daripada ‘Aisyah r anha ujarnya: “Sesungguhnya aku membaca Al Quran (hizb) sambil aku berbaring di atas
katilku”.
*Hizb ertinya kadar bacaan Al Quran/zikir yang
ditentukan kadarnya oleh seseorang –pent.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment