Sambungan..
Fasal: Keperluan Untuk Membaca Dengan Bacaan Yang
Tartil
Sesungguhnya telah bersepakat para ulama radhiyallahu ta’ala ’anhum tentang
sunatnya tartil di dalam bacaan.
Firman Allah Ta’ala:
”Ataupun lebih banyak daripada itu. Dan bacalah Al
Quran dengan penuh tartil. (Al Muzzammil, 4)
Telah tsabit daripada Ummu Salamah r.anha tatkala beliau menyifatkan bacaan
Nabi SAWsebagai bacaan yang jelas satu persatu huruf demi huruf. (Diriwayatkan
oleh Abu Daud, At Tirmizi dan An Nasaie. Kata At Tirmizi, hadith hasan sohih)
Dan daripada Mu’awiyyah bin Qurrah, daripada Abdullah bin Mughaffal r.anhu
katanya:
”Aku telah melihat Rasulullah SAW pada hari
pembukaan Kota Makkah di atas untanya sedang Baginda membaca Surah Al Fath
sambil mengalun-alunkan suaranya.”
(Al Bukhari dan Muslim)
Mujahid telah
ditanya tentang dua orang
lelaki yang salah seorangnya membaca Al Baqarah dan Aali Imran, manakala
seorang lagi hanya membaca surah Al Baqarah di dalam sembahyang mereka.
Sedangkan lama masa berdiri mereka, rukuk dan sujud mereka berdua adalah sama.
Maka jawab
Mujahid: ”Lelaki yang
membaca Al Baqarah sahaja itu lebih utama.”
*Kerana lelaki
yang membaca Al Baqarah itu membacanya secara tartil berbanding yang membaca Al
Baqarah dan Aali Imran yang membaca dengan cepat-cepat. –pent.
Daripada Ibni
Abbas r.anhuma katanya:
”Jika aku
membaca satu surah dengan tartil, maka itu benar-benar lebih aku sukai
berbanding aku membaca seluruh Al Quran.”
Sesungguhnya
telah ada larangan pada terlampau cepat dalam membaca Al Quran. Perbuatan itu dinamakan (Al Hazza).
Telah tsabit
daripada Abdillah ibn Mas’ud bahawa seorang lelaki telah berkata kepada beliau:
”Sesungguhnya saya telah membaca Surah-surah Mufasshal hanya di dalam satu
rakaat sahaja.”
Maka kata
Abdullah Ibnu Mas’ud:
”Engkau
mendeklamasikannya seperti mendeklamasi syair (puisi) saja. Sesungguhnya ada
beberapa golongan yang mereka itu membaca Al Quran tetapi Al Quran itu tidak
pun melepasi kerongkongan mereka. Tetapai jika ia masuk ke dalam hati lalu
teguh di situ, nescaya itu lebih bermanfaat!.”
(Al Bukhari dan
Muslim. Ini adalah lafaz Muslim dalam salah satu riwayatnya)
*Al Mufasshal
adalah surah-surah pendek yang bermula daripada Surah Qaaf sehingga akhir Al
Quran -pent.
Para ulama
berujar: Tartil itu
disunatkan bagi mentadabbur (merenung-renung isi kandungan ayat) serta lainnya.
Sambung mereka
lagi: Kerana inilah
disunatkan juga membaca dengan tartil bagi orang ’Ajami (yang bukan Arab) yang
tidak memahami makna Al Quran itu. Ini disebabkan tartil itu membawa lebih
dekat kepada rasa penghormatan dan mengagungkan Al Quran serta lebih berbekas
kepada hati.
***
Fasal: Disunatkan apabila melewati ayat rahmat
untuk seseorang itu memohon rahmat dan kurnia Allah, dan apabila melewati ayat
azab untuk ia memohon perlindunganNya daripada keburukan dan azab.
Atau boleh juga
ia berdoa: ”Ya Allah! Aku memohon
kepadamu keafiatan.”
Atau: ”Aku
memohon kepadamu keafiatan daripada segala yang tidak disukai”.
Atau apa saja
yang seumpamanya.
Apabila ia
melalui ayat yang mensucikan Allah, maka ia turut mensucikanNya dengan berkata:
Subhanahu wa Ta’ala. Atau : Tabaaraka wa Ta’ala. Atau: Jallat
’Azhomatu Rabbina”.
Telah sahih
daripada Huzaifah bin Al Yaman r.anhu, katanya:
Aku telah bersolat bersama Nabi SAW pada satu
malam. Baginda lalu memulakan dengan membaca Al Baqarah. Maka aku berkata (di
dalam hati): Baginda akan rukuk setelah 100 ayat.
Namun kemudiannya Baginda terus membaca lagi. Maka
aku berkata: Baginda akan menghabiskan Al Baqarah di dalam satu rakaat. Baginda
meneruskan bacaannya. Lalu aku berkata: Baginda akan ruku apabila selesai (Al
Baqarah).
Kemudian Baginda memulakan An Nisaa’ dan membacanya
sehingga tamat. Setelah itu baginda membaca pula Aali Imran.
Baginda membaca dengan tenang dan teratur. Apabila
saja Baginda melalui satu ayat yang mensucikan Allah, Baginda akan bertasbih.
Apabila melalui ayat yang berisi doa, Baginda akan berdoa. Apabila melalui ayat
yang berisi sesuatu yang patut diminta perlindungan daripadanya, maka Baginda
akan memohon perlindungan.
(Riwayat Muslim
di dalam Sahihnya)
Surah An Nisaa
pada ketika itu terdahulu susunannya daripada Aali Imran.
Berkata Ashaab
kami (para ulama
Syafi’iyyah) rahimahumullahu Ta’ala:
”Disunatkan
permohonan, minta perlindungan dan bertasbih ini bagi setiap orang yang
membaca, samaada ia di dalam solat atau luar solat”.
Kata mereka
lagi:
”Dan disunatkan
hal itu di dalam solat bagi imam, makum dan orang yang solat bersendirian,
kerana ia adalah doa. Maka ketika itu ia adalah sama seperti bacaan Amin
selepas surah Al Fatihah.”
Apa yang kami
sebutkan tentang sunatnya memohon doa dan perlindungan ini adalah
merupakan mazhab Asy Syafie r.anhu dan majoriti ulama, rahimahumullah.
Kata Abu
Hanifah rahimahullah:
”Tidak disunatkan
hal itu, bahkan dimakruhkan di dalam solat.”
Pendapat yang
benar adalah pendapat majoriti seperti yang telah kami nyatakan.
***
No comments:
Post a Comment