Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, July 31, 2011

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 5

FASAL MENGAGUNGKAN ILMU DAN PEMILIKNYA


Ketahuilah! Seorang penuntut ilmu itu tidak akan dapat mencapai suatu ilmu dan memperoleh manfaat darinya melainkan dengan mengagungkan ilmu dan pemiliknya (ahli ilmu). Juga dengan memuliakan guru dan menghormatinya.

Ada dikatakan: ”Tidaklah sampai orang yang sampai itu kepada tujuannya, melainkan dengan sikap penghormatan. Dan tidaklah terhina orang yang terhina itu, melainkan dengan meninggalkan penghormatan dan pengagungan”.

Juga dikatakan: ”Penghormatan lebih baik daripada ketaatan”.

Tidakkah engkau melihat bahawa seseorang itu tidaklah dikafirkan dengan maksiat yang ia lakukan, namun ia dikafirkan dengan sebab meninggalkan penghormatan.

# Contohnya adalah seperti seseorang yang memperlekehkan sesuatu amalan agama atau Al Quran, maka ia akan menjadikannya murtad, na’uzubillah. Sikap memperlekehkan itulah yang dinamakan sebagai meninggalkan penghormatan.-pent

Termasuk di dalam mengagungkan ilmu ialah dengan memuliakan guru. Telah berkata Ali karramallahu wajhah: ”Aku adalah hamba kepada sesiapa yang mengajarkanku suatu huruf. Sekiranya ia mahu ia boleh menjualku. Atau jika ia mahu ia boleh membebaskanku. Sebaliknya jika ia mahu boleh saja ia menjadikanku khadam dan tawanan untuk berkhidmat kepadanya”.

Sesungguhnya telah dideklamasikan kepadaku berkenaan hal tersebut:

”Aku melihat hak guru paling layak untuk ditunaikan,

Amat wajiblah bagi Muslim untuk memeliharakan,

Sungguh berhaklah baginya sebagai penghormatan,

Dihadiahi seribu dirham bagi satu huruf yang diajarkan”.


Oleh itu, sesungguhnya sesiapa yang telah mengajarkanmu satu huruf yang engkau perlukan di dalam urusan agamamu, maka ia adalah bapamu di dalam agama.

Telah berkata Ustaz kami, Asy Syeikh Al Imam Sadiduddin Asy Syirazi: ”Syeikh-syeikh kami pernah berkata: ”Barangsiapa yang menginginkan anaknya menjadi alim, maka hendaklah ia meraikan para perantau yang menuntut ilmu dari kalangan para fuqaha; memuliakan mereka, menghormati dan memberikan sesuatu kepada mereka. Sekiranya anaknya tidak menjadi alim, maka cucunya nanti akan menjadi alim”.

Termasuk sikap memuliakan guru itu adalah dengan tidak berjalan di hadapannya, tidak duduk di tempatnya, tidak memulakan percakapan di sisinya melainkan dengan izinnya, tidak banyak bercakap ketika bersamanya, tidak bertanya kepadanya ketika ia keletihan, memerhatikan dan memelihara waktu, dan tidak mengetuk pintunya, bahkan sebaliknya bersabar menunggu sehingga gurunya sendiri yang keluar.

Maka tujuan utama daripada semua itu adalah untuk dia mencari keredhoaan gurunya dan menjauhi kemarahannya serta mentaati perintah dan suruhannya pada perkara-perkara yang tidak maksiat kepada Allah Ta’ala, kerana tiada ketaatan kepada makhluk di dalam hal maksiat kepada Allah.

Juga terkira di dalam penghormatan kepada guru adalah dengan menghormati anak-anaknya dan sesiapa juga yang berkaitan dengannya. Ustaz kami, Syeikh Al Islam Burhanuddin, pengarang kitab Al Hidayah pernah menceritakan bahawa ada seorang daripada tokoh ulama Bukhara sedang duduk di dalam majlis pengajarannya. Namun kadangkala beliau bangun berdiri kemudian duduk kembali berulang-ulang kali. Lalu para pelajarnya menanyakan kepadanya tentang hal tersebut. Maka jawabnya: ”Sesungguhnya seorang anak lelaki guruku sedang bermain bersama kanak-kanak yang lain di lorong sana. Apabila aku melihatnya mendekat ke tempat pengajian kita ini, maka aku pun bangun berdiri sebagai satu penghormatan kepada guruku”.

Al Qadhi Al Imam Fakhruddin Al Arsabandi merupakan ketua para ulama di Marw. Sultan sangatlah menghormati beliau dengan sepenuh penghormatan. Katanya: ”Hanyasanya yang membuatkanku mendapat kedudukan seperti ini adalah dengan menghormati guru. Aku dahulu berkhidmat kepada guruku Abu Yazid Ad Dabuusi. Akulah yang berkhidmat kepadanya dan memasakkan makanan dan aku tidak memakan daripada makanan itu sedikit pun”.

Asy Syeikh Al Imam Al Ajall Syamsul A-Immah Al Halwani suatu ketika pernah keluar daripada Bukhara dan menetap di sebahagian kampung kerana sesuatu peristiwa yang berlaku. Maka para pelajarnya pun berdatangan bagi menziarahinya, melainkan Asy Syeikh Al Qadhi Abu Bakr Az Zarnuji. Apabila mereka bertemu setelah itu, maka Syeikh Al Halwani pun bertanya: ”Mengapakah engkau tidak menziarahiku tempoh hari?”. Maka jawabnya: ”Aku ketika itu sedang sibuk menguruskan ibuku”. Lantas berkatalah Al Halwani: ”Engkau akan dikurniakan umur panjang, tetapi tidak dikurniakan keindahan memberi pengajaran”.

Maka itulah yang berlaku kepadanya. Beliau pada kebanyakan masanya berada di kampung dan tidak pernah dibuatkan majlis pengajaran untuk beliau mengajar.

# Ini menunjukkan majlis-majlis ilmu pada kebiasaannya lebih bertumpu di pekan-pekan dan kota-kota besar kerana di sanalah berkumpulnya ramai manusia yang datang dari pelbagai daerah dan negeri bahkan daripada luar negara juga. Dengan itu pertukaran budaya dan maklumat lebih cepat berlaku dan membentuk masyarakat yang lebih terbuka minda dan cara berfikir mereka.

Realiti hari ini juga menampakkan kepada kita bahawa hal sedemikianlah yang berlaku. Masjid-masjid di kota penuh terisi jadual majlis ilmiahnya dengan jemputan tokoh-tokoh yang hebat-hebat. Hal ini tentulah tidak kita temui pada masjid-masjid di kampung-kampung. Maka jika ada tokoh yang hebat dan banyak ilmunya sekalipun, ilmunya tidak akan benar-benar dapat dimanfaatkan jika ia kebanyakan masanya menetap di kampung sahaja. Seperti itu jugalah yang dimaksudkan di dalam kisah yang berlaku kepada Syeikh Abu Bakr Az Zarnuji di atas, selain maksud utamanya ingin menegaskan pentingnya menjaga hati guru.-pent

Maka barangsiapa yang mengecilkan hati gurunya, akan diharamkan keberkatan ilmu kepadanya serta ilmunya tidak akan dapat dimanfaatkan kecuali sedikit sekali.

”Sesungguhnya guru dan doktor itu kedua-duanya,

Tidak berguna nasihat mereka tanpa menghormatinya,

Bertahanlah dengan penyakitmu jika nasihat doktor engkau tak menerima,

Dan tetaplah dalam jahilmu, jika nasihat guru kau anggap tak berguna”.


Diceritakan bahawa khalifah Harun Ar Rasyid pernah menghantar puteranya kepada Al Ashma’ie untuk beliau mengajarkannya dengan ilmu dan adab. Ternyata pada suatu hari Baginda telah terlihat Al Ashma’ie sedang berwudhu’ pada membasuh kakinya, manakala puteranya pula sedang berdiri menuangkan air ke atas kaki Al Ashma’ie.

Lantas Baginda menyangkal perbuatan Al Ashmai’e tersebut dengan bertitah: ”Sesungguhnya aku menghantar puteraku ini hanya semata-mata untuk engkau mengajarinya dengan ilmu dan adab! Maka mengapakah tidak engkau menyuruh dia menuangkan air kepadamu dengan sebelah tangannya, manakala tangannya yang satu lagi untuk dia membasuh kakimu?!”

# MasyaAllah! Inilah dia khalifah yang mengetahui tentang keagungan ilmu dan kebesaran para ulama. Tentunya yang tergambar di dalam fikiran kita pada pertama kalinya bahawa khalifah akan memarahi Al Ashma’ie kerana memperlakukan puteranya seperti hamba yang tidak layak untuk diperlakukan sedemikian.

Namun sebaliknya yang berlaku apabila khalifah memandang bahawa apa yang dilakukan oleh puteranya itu belum cukup memadai sebagai penghormatan dan khidmat kepada gurunya, bahkan seharusnya puteranya patut disuruh melakukan lebih daripada sekadar menuangkan air dan membiarkan Al Asma’ie membasuh sendiri kaki, iaitu dengan puteranya menggunakan sebelah tangan untuk menuangkan air, dan sebelah lagi bagi menggosok kaki Al Ashma’ie.

Mungkin ada di antara kita di zaman ini yang menganggap perkara ini terlalu berlebih-lebihan, tetapi jika benar kisah ini, maka sepatutnya kita merasa malu dengan diri kita sendiri yang merasa diri sudah cukup pandai dan hebat sekalipun baru mengetahui sekelumit ilmu sehingga bukan sekadar tidak menghormati dan beradab dengan para ulama’, bahkan membiarkan pula lidah dan tulisan kita mengkritik dan meremehkan para ulama sebelum kita dengan berselindung di balik alasan-alasan ilmiah seperti para ulama’ bukannya maksum, para ulama itu laki-laki dan kita juga laki-laki dan bermacam-macam lagi alasannya.

Kita tidaklah mengatakan para ulama itu tidak langsung boleh dikritik, namun kritikan yang dihalakan itu biarlah dengan beradab dan berbahasa yang sopan tanpa nada yang meremehkan dan memandang lekeh. Semoga sedikit teguran ini menjadi suatu muhasabah untuk diri saya dan anda yang membaca. Amin.-pent


Di antara pengagungan terhadap ilmu itu adalah dengan menghormati kitab atau buku. Maka tidaklah seharusnya seorang penuntut ilmu itu mengambil kitab melainkan dalam keadaan dirinya bersuci.

Diceritakan daripada Asy Syeikh Al Imam Al A-immah Al Halwani berkata: ”Hanya sesungguhnya yang membuatkan aku telah mencapai keilmuanku ini adalah dengan pengagungan. Sesungguhnya aku tidak pernah mengambil sebuah kitab melainkan dalam keadaan aku ini bersuci”.

Adalah Al Imam Syamsul A-Immah As Sarkhasi pula pernah mengalami sakit perut yang menyebabkan kerap terbatal wudhuknya. Beliau kebiasaannya mengulangkaji pelajarannya pada waktu malam. Maka beliau pada malam itu sahaja mengulang berwudhuk sebanyak tujuh belas (17) kali disebabkan beliau tidak akan mengulangkaji melainkan dalam keadaan bersuci.

Ini adalah kerana ilmu itu sendiri adalah cahaya, dan wudhu juga adalah cahaya, maka akan bertambah-tambahlah nur ilmu dengan ditambahi nur wudhuk itu.

Termasuk penghormatan yang mesti, iaitu janganlah ia melunjurkan kakinya ke arah kitab.

Hendaklah ia meletakkan kitab-kitab tafsir di atas sekali pada susunan kitab-kitab sebagai penghormatan kepada ilmu tafsir itu yang ianya berkait dengan Al Quran. Dan janganlah ia meletakkan di atas kitab itu sesuatu apa pun.

Ustaz kami Burhanuddin ada menceritakan daripada seorang daripada para Syeikhnya, bahawa ada seorang ahli fiqah (faqih) yang telah meletakkan bekas dakwat di atas kitab. Lantas Syeikh tersebut berkata kepada faqih itu di dalam bahasa Farsi yang bermaksud: ”Nampaknya kami tidak melihat manfaat ilmumu”.

# Bermaksud: engkau sebagai seorang faqih patut tahu untuk beradab kepada kitab, tapi perbuatanmu ini seolah-olah ilmumu itu tidak menjadikanmu beradab, maka kami tidak nampak yang ilmumu itu memberi manfaat kepadamu. Wallahu a’lam.-pent

Ustaz kami, Al Qadhi Al Ajall Fakhrul Islam yang lebih dikenali dengan gelar Qadhi Khan berkata: ”Jika ia (penuntut ilmu) tidak bermaksud dengan perbuatan itu (meletakkan sesuatu di atas buku) sebagai meremehkan atau memperlekehkan, maka tidak apa-apa. Tetapi yang lebih utama hendaklah ia mengelakkan melakukannya.”

# Inilah yang benar dalam hal ini. Semuanya berbalik kepada niat dan isi hati seseorang itu. Kerana adakalanya kita terpaksa meletakkan penindih kertas contohnya, sebagai mengelakkan kertas terselak daripada mukasurat yang sedang kita tatap. Atau kadangkala kita meletakkan sesuatu tanpa ada niat, sekadar meletak sahaja. Dan begitulah.

Namun sudah seharusnya bagi orang yang menyimpan rasa pengagungan di dalam hatinya terhadap ilmu akan merasa kurang selesa melihat hal yang sedemikian, apalagi melakukannya. Tetapi sekiranya kita melihat ada yang melakukannya, maka tidak seharusnya kita mencela atau mengkritiknya dengan keras sebagai tidak beradab atau lainnya, kerana mungkin sahaja dia sendiri mengetahui hal itu. Wallahu a’lam.-pent


Di antara sikap mengagungkan ilmu, hendaklah ia memperelokkan tulisannya pada kitab dan jangan sesekali menulis dengan kecil dan berkeremut sehingga sukar dibaca. Hendaklah ia meninggalkan perbuatan menulis catatan pinggir (Hasyiah/mendhobit) yang ditulis dengan kecil dan berkeremut, melainkan jika ada keperluan yang mendesak.

Imam Abu Hanifah telah melihat penulis kitab menulis dengan tulisan yang berkeremut, lalu katanya: ”Janganlah engkau menulis dengan berkeremut. Kerana sekiranya engkau hidup lama, engkau nanti akan menyesal. Sebaliknya jika engkau meninggal, engkau akan dikecam”.

Yakni, jika engkau sudah tua dan lemah pula penglihatanmu, maka ketika itu engkau akan menyesal dengan tulisanmu itu kerana sukar sekali bagimu untuk membacanya.

# Jika engkau meninggal dunia pula, dan ada warismu atau orang lain yang hendak membaca kitabmu itu, nescaya mereka akan mengecammu pula keran sukarnya membaca tulisanmu itu. Wallahu a’lam.-pent

Dihikayatkan daripada Asy-Syeikh Al Imam Muhammad Majduddin Ash Shorhaki rahimahullah, katanya: ”Apa-apa yang dulunya kami tulis dengan berkeremut kini kami kesali. Apa-apa yang dulunya kami menulis sekadar ringkasan, kini kami kesali. Dan apa-apa yang tidak kami bandingkan (catatan kami dengan catatan orang lain) juga kami kesali”.

Hendaknya seorang penuntut ilmu itu menjadikan kitabnya berbentuk empat segi (bukan sebaliknya menggulung-gulungnya). Kerana ia sesungguhnya adalah seperti yang dilakukan oleh Abu Hanifah rahimahullah, dan ianya lebih senang untuk mengangkat (dan membawanya), serta meletaknya juga mudah untuk digunakan semasa mengulangkaji.

Sepatutnya juga ia tidak menjadikan pada kitabnya sesuatu yang berwarna merah. Kerana ia adalah perbuatan ahli falsafah dan bukannya teladan dari salaful ummah. Ada di antara para guru kami tidak menyukai penggunaan (markab) tunggangan berwarna merah.

# Mungkin yang dimaksudkan di sini adalah penggunaan dakwat merah untuk menulis ilmu. Tetapi haruslah kita fahami bahawa hal ini bukanlah merupakan suatu keharaman. Bahkan apabila ditelusuri sejarah rasmul Quran, kita akan dapati di sana mula-mula ditandakan baris pada Al Quran adalah dengan memberi titik-titik berwarna merah.-pent

Termasuk mengagungkan ilmu adalah memuliakan rakan sepengajian dan sesiapa yang diambil ilmu daripadanya, (yakni ustaz).


Bersambung..

No comments: