Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Friday, November 26, 2010

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW DI DALAM RUKUK

FASAL: PETUNJUK NABI SAW DALAM RUKUK DAN SUJUD SERTA DZIKIR YANG DIBACA DI DALAMNYA


Apabila Nabi SAW selesai daripada membaca, Baginda akan diam sejenak, kemudian bertakbir sambil mengangkat kedua tangannya, lantas rukuk.

Baginda mencengkam kedua-dua lututnya dengan kedua telapak tangannya, dan menjarakkan kedua sikunya daripada rusuknya, meratakan belakangnya dan kepalanya dengan tidak mendongakkan dan tidak pula menundukkannya ke bawah. ( kepala ditegakkan sebaris dengan belakang badan)

Baginda membaca: “Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung” sebanyak 3 kali.

Terkadang Baginda menambahkan kepada bacaan tersebut dengan membaca:

“Maha suci Engkau Wahai Tuhan kami dan Segala Puji bagiMu. Wahai Tuhan, ampunilah daku”

Kadangkala Baginda membaca bacaan tadi sahaja. (dengan tidak membaca Subhana Robbiyal ‘Azhim)

Lama rukuk Baginda kebiasaannya adalah sekira-kira seseorang membaca “Subhana Robbiyal ‘Azhim” sebanyak 10 kali. Dan sujud juga sedemikian kadar lamanya.

Adapun hadis riwayat Al-Barra’ yang terdapat di dalam As-Sohihain: “aku memerhatikan dengan teliti solat Nabi dari belakangnya, maka adalah berdirinya, rukuknya, i’tidalnya, sujudnya, dan duduknya antara dua sujud adalah hampir bersamaan (lamanya)

Maka hadis itu hendaklah difahami bahawa apabila Nabi memanjangkan rukuk dan sujudnya apabila berdirinya lama. Dan Baginda memendekkan rukuk dan sujudnya apabila berdirinya juga tidak lama. Inilah takwil/tafsiran yang bersesuaian, kerana Baginda kadang-kadang membaca Surah Al-A’raaf; dengan itu, jika rukuk dan sujudnya sama lamanya dengan berdirinya pastilah solat tersebut hanya akan selesai pada waktu tengah malam.

Tetapi di dalam riwayat yang sohih dinyatakan bahawa rukuk dan sujudnya hampir sama dengan berdirinya di dalam sesetengah keadaan; seperti di dalam solat gerhana matahari dan bulan, di dalam solat tahajjud kadang-kadang. Hanyalah yang menjadi kebiasaan Baginda adalah sederhana seperti yang telah kami jelaskan (di awal topik ini, iaitu dengan kadar 3 kali atau 10 kali tasbih Subhana Robbiyal ‘Azhim)

Sering juga Baginda membaca di dalam rukuk dan sujudnya: “Subbuhun Quddusun Robbul Malaaikati war Ruuh” (maha Suci dan Maha Kudus Tuhan para malaikat dan ar-Ruuh)

Adakalanya Baginda akan membaca:

“Ya Allah, kepadaMu lah aku rukuk, kepadaMu lah aku mengkhusyukkan diri, denganMu lah aku beriman, kepadaMu lah aku bertawakkal, kepadaMu lah aku menyerahkan diri. Telah tunduklah kepadaMu segala pendengaranku, penglihatanku, akalku, sendi-sendiku dan tulang-temulangku”.

Bacaan ini dibaca di dalam solat tahajjud.

Tammat.

[Akan menyusul fasal Petunjuk Baginda SAW dalam hal bangun daripada rukuk (i'tidaal) ]


-alfindani-

19 Zulhijjah 1431/26 Nov 2010

Lepas Maghrib, MTK

No comments: