Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Thursday, November 4, 2010

SIFRUSSA'ADAH - BAB THOHARAH ( WUDHUK )

BAB THOHARAH PEMBAWA RISALAH SAW

Sifat wudhuk Baginda SAW

Biasanya Baginda akan berwudhuk setiap kali akan mendirikan solat. Dan kadang-kadang Baginda menggunakan satu wudhu untuk beberapa solat.

Kadar air yang digunakan Baginda adalah kurang daripada 2 ritl (cupak /kati ). Dan tidak melebihi 4 ritl dan kadang-kadang Baginda berwudhu sekira-kira 3 ritl.

Baginda sangat menekankan agar menggunakan air yang sedikit untuk berwudhuk, dan bersangatan menegah penggunaan air yang berlebihan dalam berwudhuk. Sabdanya SAW: “sesungguhnya ada syaitan bernama Wilhan yang bertugas mengganggu semasa berwudhu, maka berhati-hatilah daripada bisikan was-wasnya”. (didhaifkan oleh Tirmizi)

Pernah Rasulullah SAW melewati Sa’ad bin Abi Waqqas yang sedang berwudhuk lalu Baginda bersabda: “ janganlah berlebihan menggunakan air”. Sa’ad lantas bertanya: “apakah pada penggunaan air juga ada pemborosan?” Jawab Nabi SAW: “ya, meskipun engkau (berwudhuk) di sungai yang mengalir”

Telah sahih bahawa Baginda SAW membasuh anggota wudhunya sekali-sekali sahaja, kadang-kadang dua kali-dua kali setiap anggota, dan kadang-kadang tiga kali-tiga kali, bahkan ada juga ketikanya membasuh sebahagian anggota dua kali-dua kali dan sebahagian anggota yang lain tiga kali-tiga kali.

Baginda berkumur serta memasukkan air ke dalam hidung sekali sekali cedokan, kadang-kadang dua kali-dua kali dan kadang-kadang tiga kali-tiga kali. Baginda menggunakan air yang sama sekali cedok untuk berkumur dan hidung. Separuh dari cedokan dimasukkan ke mulut untuk berkumur, dan sebahagiannya disedut ke hidung.

Dan tidak warid (tidak pernah diriwayatkan)di dalam hadis bahawa Baginda menggunakan air dari cedokan yang berasingan untuk mulut dan hidung. Hadis Tolhah bin Mushorrif daripada bapanya daripada datuknya bahawa ia menyaksikan Nabi SAW menggunakan air cedokan yang berasingan untuk mulut dan hidung adalah dhaif isnadnya.

Baginda memasukkan air ke dalam hidung dengan tangan kanannya dan menghembus keluar sambil menggunakan tangan kirinya pada hidung. Baginda menyapu seluruh kepalanya sekali sahaja dan tidak mengulanginya. Ada diriwayatkan baginda menyapu lebih dari sekali, tetapi hadis itu dhoif.

Jika Baginda sekadar menyapu sebahagian kepala, maka Baginda akan menyempurnakan sapuannya dengan menyapu ke atas serbannya.

Baginda selamanya tidak pernah meninggalkan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung semasa berwudhuk. Bahkan tidak pernah diriwayatkan oleh seorang pun bahawa Baginda meninggalkannya. Baginda juga berwudhu dengan mengikut tertib anggota dan berturutan tanpa diselangi masa yang panjang di antara membasuh anggota-anggota (muwaalat) serta tidak pernah meninggalkan tertib dan muwaalat selamanya..

Kadangkala Baginda menyapu seluruh kepalanya . Kadang yang lain Baginda menyapu di atas serbannya. Dan terkadang Nabi SAW menyapu ubun-ubun dan atas serban. Tidak pernah sekalipun Baginda mencukupi dengan menyapu sebahagian kepala sahaja. Baginda juga menyapu dua telinga, luar dan dalam. Dan tiada hadis yang tsabit (boleh diterimapakai) berkenaan menyapu leher.

Tentang kaki, jika baginda tidak memakai khuf maka baginda membasuh kaki, tetapi jika sebaliknya maka Baginda mencukupi dengan sekadar menyapunya (khuf yang terlekat di kaki) sahaja.

Adzkaarul wudhuk (zikir-zikir wudhuk)

Hadis-hadis yang menerangkan berkenaan zikir-zikir semasa berwudhu semuanya tidak sohih belaka.

Yang sohihnya adalah Baginda membaca di awal wudhuknya “Bismillah” dan di akhirnya dengan “aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah semata, tiada sekutu baginya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan pesuruhNya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada mereka yang sentiasa bertaubat dan jadikanlah aku bersama mereka yang membersihkan diri”.

“maha suci Engkau dan segala pujian wahai Tuhan, aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepadaMu dan kepadaMulah aku bertaubat”.

Berkata Abu Musa Al-Asy’aari: “Aku membawa air wudhu untuk RasuluLLah lalu Baginda berwudhu dengannya. Dan aku mendengar Baginda membaca: “ya Allah, ampunilah dosaku, luaskanlah tempat tinggalku, dan berkatilah rezekiku” . Lantas aku bertanya: Ya rasulallah! Aku mendengar tuan berdoa begini –begini. Lalu Baginda kembali bertanya: “apakah aku ada tertinggal sesuatu?” (yang tidak ku memintanya di dalam doa tadi?)

Baginda SAW tidak mengelap anggota wudhu.

Tidak pernah SAW mengelap anggota wudhuknya setelah berwudhuk, samaada dengan menggunakan sapu tangan atau tuala. Jika dibawa kepadanya SAW, Baginda menjauhinya (tidak mengambilnya untuk mengelap).

Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.anha: “Baginda memiliki kain pengelap yang digunakan (mengelap anggota wudhuk) setelah berwudhuk”, dan hadis Muaz yang semakna dengannya, maka kedua-duanya adalah dhoif.

Tidak ada orang yang bertugas menjiruskan air untuk Baginda semasa berwudhuk melainkan ketika dharurat.

Hadis yang menerangkan tentang menyelati janggut, sebahagian ahli hadis menerimanya dan sebahagian yang lain menolaknya.

Adapun hadis mengenai menyelati jari-jemari , maka Baginda melakukannya kadang-kadang. Dan berkenaan menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh tangan maka ia warid (terdapat) pada hadis yang dhoif.

3 comments:

Ismi Ijmi said...

teruskan menulis InsyaALlah,
ana ikuti update.

Menusuk Hati said...

menjadi kesalahan ke kalau mencelup kaki
dalam takungan air 2 kolah n lebih?Saya prnh dmarahi..huhu

alfindani said...

Dari hukum fiqh tak menjejaskan air tu (dlm kata lain, x salah), tapi dari hukum ADAB salah la.. :)