Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Tuesday, January 18, 2011

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW DI DALAM I'TIDAL

PETUNJUK BAGINDA SAW DALAM I’TIDAL DAN DZIKIR YANG DIBACA DI DALAMNYA.

Adalah Baginda apabila mengangkat kepalanya daripada ruku’ akan membaca: “sami’allahu liman hamidah”. Dan telah tsabit tentang mengangkat tangan dalam tiga tempat ini ( takbiratul ihram, ruku’ dan I’tidal ) dan kerana banyaknya riwayat yang menerangkan hal tersebut menjadikan ianya adalah seumpama sudah mutawatir. Telah sohih di dalam bab ini (mengangkat tangan) sebanyak empat ratus khabar dan atsar, dan sepuluh sahabat yang dijamin syurga turut meriwayatkannya. Dan sentiasalah Rasulullah saw melakukannya sehinggalah akhir hayatnya serta tiada riwayat menyatakan hal sebaliknya.

Baginda apabila bangun daripada ruku’ akan berdiri tegak, demikian juga apabila duduk di antara dua sujud. Sabdanya : “tidak memadai solat seorang yang tidak menegakkan / meratakan tulang belakangnya di dalam ruku’ dan sujud”.

Kadang-kadang, apabila telah bangun daripada ruku’ (ketika tegak berdiri) Baginda akan membaca : “Robbana walakal hamd” atau “Allahumma robbana lakal hamd”. Kedua-duanya adalah sohih. Namun, menggabungkan Allahumma dan Wau (pada lakal hamd) adalah tidak tsabit. *

Kebiasaannya Baginda akan memanjangkan rukun ini mengikur kadar panjangnya ruku’. Kadang-kadang Baginda akan membaca : “Allah telah mendengar sesiapa yang memujiNya, wahai Tuhan kami, bagiMulah segala kepujian sepenuh langit dan bumi dan sepenuh apa yang engkau kehendaki selain keduanya. Engkaulah yang layak dipuji dan diagungkan dan paling berhak dengan apa yang dikatakan oleh hambaMu (dengan segala pujian mereka) dan kami semua adalah hamba-hambaMu. Tiada yang dapat menahan pemberianMu, dan tiada sesiapa pun yang berhak memberi apa yang Engkau tahan, tidak bermakna kemurahan yang lain, dariMu jualah segala kemurahan itu”.

Kadangkala Baginda akan membaca : “ Ya Allah, bersihkanlah aku daripada segala kesalahan dengan air, salju dan embun. Hapuskanlah dariku segala dosa-dosa dan kesalahan, sepertimana Engkau sucikan baju yang putih bersih daripada kotorannya. Dan jauhkanlah daku daripada segala kesalahanku seperti Engkau telah menjauhkan antara timur dan barat”.

Terkadang Baginda sekadar membaca : “Bagi Tuhanku segala kepujian, bagi Tuhanku segala kepujian” yang diulang-ulanginya sehingga kadar lamanya berdiri itu menyamai kadar lamanya ruku’. Kadangkala Baginda melamakan I’tidal sehinggakan para jema’ah menyangka Baginda telah terlupa, demikian juga yang berlaku di dalam sujud sehingga jemaah beranggapan Baginda telah terlupa.

Inilah kebiasaan Baginda di dalam ruku’ dan sujud. Hadis Al-Barra’ bin ‘Azib : “adalah ruku’nya, sujudnya, duduk di antara dua sujudnya dan bangun daripada ruku’nya adalah hampir sama melainkan berdiri dan duduk tahiyyatnya” jelas menunjukkan samanya (kadar ) lama berdiri membaca dan duduk tasyahhud; dan samanya (kadar) seluruh rukun yang selainnya pada lama dan singkatnya (iaitu jika dilamakan ruku’ maka lamalah pula I’tidal dan sujud, begitulah sebaliknya ). Dan bukanlah yang dimaksudkan berdiri di dalam hadis tersebut dengan berdiri setelah ruku’ (tetapi yang dimaksudkan adalah seperti yang diterangkan oleh pengarang, iaitu berdiri sebelum ruku’ ).

Perbuatan meringkaskan dua rukun ini- aku maksudkan I’tidal dan duduk antara dua sujud- dan memendekkan keduanya adalah termasuk perkara baru yang diada-adakan oleh Bani Umayyah, dan tidak sekali-kali berasal daripada kebiasaan Nabi saw.

Dan Allah mengkhabarkan hal yang sebenarnya, dan dia jualah yang menunjukkan jalan (kebenaran).


*Apa yang dinafikan oleh pengarang r.h adalah tidak tepat, kerana sesungguhnya telah tsabit riwayatnya di dalam Sohih Bukhari daripada Abi Hurairah ra iaitu: adalah Nabi SAW apabila Baginda berkata sami’Allahu liman hamidah” maka Baginda membaca Allahumma robbana Walakal hamd” ( Sohih Bukhari jilid 2,no 795)

Tammat.

(akan menyusul fasal sujud dan dzikirnya, insyaAllah)

No comments: