Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, November 14, 2010

SIFRUSSA'ADAH - BACAAN NABI SAW

BACAAN BAGINDA SAW

Baginda membaca secara tertib (mengikut urutan surah ) dan tartil (cermat). Baginda akan mewaqafkan (berhenti) pada setiap hujung ayat dan membaca dengan maad (memanjangkan) hujung kalimah.

Baginda membaca “Ameen” setelah selesai Al-Fatihah; dengan menyaringkannya pada solat jahriyyah ( Maghrib, Isyak, Subuh, Jumaat, hari raya dan lainnya ) dan membaca perlahan pada solat sirriyyah (Zohor, Asar). Seluruh makmum akan turut menyertai membaca “Ameen” bersama-sama Baginda.

DIAM SEJENAK (SAKTAH) DI ANTARA BACAAN

Baginda selalu menjaga dua saktah di dalam solat. Pertamanya; saktah di antara Takbir dan membaca Al-Fatihah. Keduanya; di antara selesai Al-Fatihah dan membaca surah.

Tersebut di dalam sebahagian riwayat bahawa Baginda SAW diam sejenak di antara bacaan (surah) dan rukuk, yang mana jadilah ini saktah yang ketiga. Namun, ia sangatlah singkat dan sekejap (jika dibandingkan dengan dua saktah yang awal).

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT SUBUH

Di dalam solat subuh Baginda akan membaca setelah Al-Fatihah; surah-surah yang panjang. Sekira-kira 60 ayat, atau 100 ayat. Kadangkala Baginda membaca surah Qaaf. Di kala yang lain Baginda membaca surah Ar-Ruum.

Kadang-kadang Baginda meringkaskan dengan sekadar membaca surah Az-Zalzalah, dan kadang-kadang dengan Al-Muawwizatain ( Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas).

Di dalam musafir, kadangkala Baginda membaca surah At-Takwiir.

Baginda akan membaca pada hari Jumaat; Surah Alif Laam Miim Tanziil (Surah As-Sajdah) pada rakaat pertama, dan Hal ataa (Al-Insaan) pada rakaat kedua.

Perbuatan mengkhususkan Hari Jumaat dengan membaca dua surah ini adalah kerana ia (surah-surah tersebut) terkandung di dalamnya penyebutan tentang awal penciptaan dan kembali (pada hari kiamat) serta keberangkatan masuk ke dalam syurga.

Perkara-perkara ini terkait dengan hari Jumaat, kerana hari Kiamat bakal terjadi padanya (Hari Jumaat), maka sewajarnyalah umat diperingatkan dengan dibacanya dua surah tadi. Sepertimana juga Baginda membaca di dalam perayaan-perayaan dan perhimpunan-perhimpunan yang besar dengan surah Qaaf, Iqtarabat (Al-Qomar) dan seumpamanya.

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ZOHOR

Baginda memanjangkan bacaan di dalm solat zohor, sekira-kira kadang-kadang sesorang berjalan pergi ke Quba (menunaikan hajatnya) dan kembali semula untuk bersolat, lalu mendapati Baginda belum pun lagi rukuk pada rakaat pertama.

(Yang benar dan tersebut di dalam riwayat adalah Baqi’ dan bukannya Quba, sepertimana dijelaskan oleh pentahqiq kitab ini, Syeikh Ahmad Mustafa At-Thohthowi)

Kadangkala Baginda membaca surah Alif Laam Miim Sajdah (As-Sajdah), atau Sabbihisma Rabbikal A’la (Surah Al-A’la), atau Wassamaa idzatil buruuj (Surah Al-Buruuj), atau Wallaili (Surah Al-Lail) atau surah Al-Insyiqaaq, atau At-Thoriq atau seumpamanya.

Bersambung..

[Akan menyusul bacaan dalam solat Asar, InsyaAllah..]


-alfindani-

11.31 mlm, Sabtu mlm Ahad,

5 Zulhijjah 1431/13 Nov 2010, MTK

No comments: