Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, November 14, 2010

SIFRUSSA'ADAH - BACAAN NABI SAW (SAMBUNGAN)

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ASAR

Adapun solat asar maka kadar panjangnya adalah separuh daripada (kadar bacaan) di dalam solat Zohor, dan kadang-kadang lebih pendek lagi.

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT MAGHRIB

Adapun solat Maghrib, maka Baginda memanjangkannya, sekira-kira Baginda membaca Surah Al-A’raaf di dalam 2 rakaat; dibahagi separuh bagi setiap rakaat.

Adakalanya Baginda membaca surah Ash-Shoffaat, Surah Haa Miim Ad-Dukhkhaan, Sabbihisma Robbikal A’laa, Surah At-Tiin, Muawwizatain (Al-Falaq dan An-Naas), Al-Mursalaat dan kadangkala surah-surah Qishorul mufasshol (surah-surah bermula An-Nabaa/Juz ‘Amma). Semua ini terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sohih.

Menepati sunnahnya adalah tidak melazimi satu cara sahaja samada panjang atau pendek, tetapi memanjangkan (bacaan) sekali waktu, dan memendekkannya pada kali yang lain mengikut waktu dan keadaan (yang sesuai).

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ISYAK

Adapun solat Isyak, maka Baginda telah menentukan (mencadangkan) surah-surah kepada Mu’az seperti : Surah Asy-Syams, Sabbihisma Robbikal A’laa atau Surah Al-Lail.

Baginda menegahnya daripada membaca Surah Al-Baqarah dan seumpamanya dan memberi amaran kepadanya dengan sabdanya: “Apakah engkau ingin menimbulkan fitnah wahai Mu’az?”

(Yakni sehingga menyebabkan orang tidak suka bersolat, membenci solat berjemaah, lari daripada agama dan seumpamanya disebabkan bacaanmu yang panjang sehingga membebankan makmum. Hadis ini mempunyai kisahnya/sabab wuruudnya dan saya tidak berhasrat memanjangkan pembicaraan di sini.)

Di dalam sebahagian hadis, Baginda menyuruhnya membaca “Wassamawaat” (surah-surah yang bermula dengan perkataan As-Samaa) iaitu seperti Surah Al-Infithor, Al-Insyiqoq, Al-Buruuj dan Ath-Thoriq.

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT JUMU’AH / JUMAAT

Baginda membaca di dalam solat Jumaat pada rakaat pertama surah Al-Jumu’ah, dan rakaat kedua dengan surah Al-Munafiqiin.

Jika meringkaskan, Baginda akan membaca Surah Sabbihisma Robbikal A’la dan Al-Ghosyiah.

Adapun perbuatan membaca akhir surah Al-Jumu’ah pada rakaat pertama (bermula ayat: “Yaa ayyuhalladziina aamanu idzza nuudiya lissholah..”) dan akhir Surah Al-Munafiqiin pada rakaat kedua (bermula ayat: “Yaa Ayyuhalladziina aamanu la tulhikum amwaalukum...“ ); maka ianya menyalahi sunnah (tidak menepati sunnah).

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ‘IED (HARI RAYA)

Adapun solat ‘ied, maka Baginda membaca Surah Qaaf dan Iqtarobat (Surah Al-Qomar), dan kadangkala Baginda membaca Sabbihisma Robbikal A’laa dan Surah Al-Ghosyiah.

Inilah (keseluruhan bacaan yang diterangkan sebelum ini) yang dilakukan Baginda secara terus menerus sehingga akhir umurnya. Dan tidak dinafikan lagi, para Khulafaa Ar-Raasyidiin juga menuruti cara ini.

Adalah Ash-Shiddiq r.anh membaca di dalam solat subuh dengan Surah Al-Baqarah. Amirul Mukminin Umar r.anh, beliau membaca di dalam solat subuh dengan Surah Yusuf, kadangkala Surah An-Nahl, terkadang Surah Huud dan adakalanya Surah Bani Israail (Surah Al-Israa). Kalaulah perbuatan memanjangkan solat itu sudah dinasakhkan (dihapuskan perintah tersebut) maka mengapakah ianya dilakukan oleh Khulafa Ar-Rasyiduun? (Pertanyaan dengan niat mengingkari)

Di dalam hadis Anas r.anh:

“Adalah Rasulullah SAW orang yang paling ringkas solatnya di dalam kesempurnaan”.

Yang dikehendaki daripada hadis ini adalah bahawa panjang solat Baginda jika dibandingkan dengan solat orang lain, seperti solat Mu’az contohnya; yang mana beliau telah membaca Surah Al-Baqarah di dalam solat Isyak; maka dikira ringkas (solat Nabi SAW). Dan ringkas itu sendiri adalah perkara yang nisbi (relative/ berubah-rubah/ tidak sama penilaiannya).

Di dalam Sunan An-Nasaie, telah tsabit bahawa Ibn Umar r.anhuma berkata: “Adalah nabi SAW menyuruh kami meringankan (meringkaskan) solat, dan Baginda sendiri mengimami kami dengan membaca Surah Ash-Shoffaat”. Maka pembacaan surah Ash-Shoffaat di dalam solat adalah dikira sebagai ringkas seperti yang diperintahkan kepada para sahabat. (Boleh rujuk mushaf untuk melihat panjang surah Ash-Shoffaat).

Baginda SAW tidaklah menentukan mana-mana surah untuk dibaca di dalam solat, selain solat Jumu’ah dan solat Dua Hari Haya.

Berkata Abdullah Ibni ‘Umar r.anhuma: “Tiadalah satu surah, yang panjangnya mahupun yang pendeknya, melainkan telah aku mendengar Rasulullah SAW membacanya di dalam solat fardhu.”

Baginda akan membaca satu-satu surah keseluruhannya (sehingga habis surah tersebut) pada kebiasaannya. Namun jarang-jarang sekali maka Baginda akan membaca sebahagian sahaja daripada surah bagi menunjukkan keharusannya (harusnya perbuatan tersebut). Dan jika Baginda membaca sebahagiannya, maka Baginda akan membaca daripada awalnya .

Adapun perbuatan membaca akhir surah atau pertengahannya, maka tiada diriwayatkan (dilakukan Nabi SAW).

[Namun, perbuatan yang tidak dilakukan Nabi SAW tidak semestinya membawa hokum Haram].

Baginda sentiasa memanjangkan rakaat pertama melebihi rakaat kedua, dan memanjangkan solat Subuh berbanding solat-solat yang lain disebabkan kerana “Nuzuul Ar-Rabbaani” (saya tinggalkan ia tanpa terjemahan. Boleh rujuk hadis berkenaan dan syarahnya tentang “Nuzuul rabbaani/Nuzuul Ilahi ke langit dunia pada setiap malam” tersebut) pada sepertiga malam akan berterusan sehingga selesainya solat Subuh. Sebahagian para ulama berkata: Sehingga terbit fajar. Kedua-dua pendapat tersebut ada di dalam riwayat.

Sebahagian para masyaikh/masyayikh (kebiasaan gelar ini jika disebut secara umum akan merujuk kepada ulama-ulama ihsaan /ulama sufi) mengatakan:

“Oleh kerana rakaat solat Subuh itu kurang (sedikit), maka ia disempurnakan dengan panjangnya bacaan. Atau juga kerana ia waktu setelah rehat (yang panjang) dengan tidur, atau juga disebabkan ianya waktu yang tiada kesibukan dengan urusan mencari rezeki dan urusan-urusan dunia, maka pada waktu itu akan berpadu antara hati, lisan dan pendengaran dan akan lebih memudahkan untuk mentadabburi (merenungi makna) Al-Quran, maka sudah semestinyalah diambil perhatian dan ditentukan dengan dipanjangkan bacaan dan disempurnakannya (pada waktu itu).”

Tamat.

[Akan menyusul fasal petunjuk Baginda SAW di dalam ruku’ dan sujud serta zikir-zikirnya, insyaAllah..]


-alfindani-

3.21pm,Ahad,

6 Zulhijjah 1431/14 Nov 2010, MTK

No comments: