Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Wednesday, November 3, 2010

MUKADDIMAH...

Ya Allah, aku memujiMu dengan pujian yang selayaknya bagi diriMu sebanyak bilangan bintang-bintang di langit. Tidak berdaya aku memuji diriMu, Engkau adalah sepertimana Engkau sendiri memuji DiriMu..

Solawat dan salam semoga tercurahkan kepada HambaMu dan PesuruhMu, Muhammad SAW dengan solawat dan salam sebanyak bilangan yang terliputi dengan ilmuMu, dan yang tertulis dengan penaMu, dan yang terkira dengan kitabMu. Juga kepada para sahabat dan sesiapa yang berjalan di atas jalan mereka sehingga hari kiamat.

Amma ba'du;

Aku percaya dan yakin bahawa semua jalan menuju Allah adalah tertutup rapat, selain jalan yang ditempuhi oleh Nabi Muhammad SAW. Siapa yang mengikutinya selamat, dan barangsiapa yang menyeleweng pasti kan sesat dan terlempar ( dari jalan kebenaran ).

Sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW. Aku telah melihat-lihat dan membelek-belek karya para ulama (sekadar kemampuanku yang dhoif ini) yang menerangkan petunjuk Nabi SAW, lalu aku merasa kagum dengan sebuah karya yang masyhur berjudul Zaadul Ma'ad karangan Imam Ibn Qayyim Al-jauziyyah. Kitab ini boleh dikira lengkap dengan segala aspeknya (dan tiada kitab yang sempurna selain Kitabullah semata), mudah difahami, dan yang membuatkan aku merasa ta'jub adalah ianya ditulis semasa pengarangnya di dalam permusafiran, jauh daripada kitab-kitab rujukan. Namun kita akan dapat melihat kekuatan hafalan pengarangnya yang menakjubkan semasa menumpahkan ilmunya bagi menghasilkan kitab tersebut.

Namun kitab itu sangat tebal dengan sekitar 6 jilid yang tebal-tebal. Lantas jiwa yang tiada kesungguhan akan merasa lelah untuk membacanya. Alhamdulillah aku dipertemukanNya dengan sebuah kitab berjudul Sifrussa'aadah karangan Al-Fairuzabadi, pengarang Al-Qamus yang masyhur itu. Setelah menatapnya, aku merasakan seolah-olah sedang membaca Zaadul Ma'aad sendiri, namun dalam bentuk yang lebih ringkas. Kitab ini sekadar 1 jilid yang sederhana tebalnya. Nyatalah bahawa pengarang telah meringkaskan Zaadul Ma'aad karangan guru beliau sendiri melalui kitabnya itu. (Al-Fairuzabaadi adalah murid kepada Imam Ibn Qayyim)

Lalu aku berharap agar dapat pula menterjemahkan sedikit demi sedikit mengikut kesesuaian masa yang dikurniakan Allah kepadaku, agar tersebarlah petunjuk Nabi SAW ke tengah masyarakat dan benderanglah buana ini dengan suluhan petunjuk Baginda SAW.

KepadaMu ya Allah aku bermohon niat yang baik, dan kesudahan amal yang baik. Semoga ianya menjadi amal yang diterima dan mendekatkan aku dengannya kepada Junjungan yang tercinta, Muhammad al-Mustofa di hari yang tiada berguna anak pinak dan harta benda, selain sesiapa yang mengadapMu dengan hati yang sejahtera.

-alfindani-
November 3, 2010
Rabu, 1.10 pm

No comments: