Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Tuesday, November 9, 2010

SIFRUSSA'ADAH - MENYAPU KHUF

FASAL: MENYAPU DI ATAS DUA KHUF


Telah tsabit di dalam pelbagai khabar (berita/riwayat) yang sahih bahawa Nabi SAW menyapu di atas dua khuf ketika bermusafir dan ketika menetap (tidak keluar bermusafir).

Jangkamasa yang dibenarkan adalah sehari semalam ketika menetap dan tiga hari tiga malam ketika bermusafir.

Baginda menyapu di bahagian atas khuf, dan tersebut di dalam hadis yang dhoif tentang menyapu di bahagian bawahnya, yang mana tidak tsabit di dalam riwayat yang sohih.

Baginda juga menyapu di atas “jaurab” (boleh diertikan dengan stoking, tetapi mengikut mazhab as Syafie, stoking yang dibolehkan menyapu di atasnya adalah yang kuat dan boleh dipakai untuk berjalan jauh, bermakna stoking kain seperti hari ini tidak cukup syarat untuk disapu).

Dan hadis yang menerangkan tentang menyapu di atas “al-jurmuq” (khuf yang pendek dipakai di atas khuf yang biasa) telah diriwayatkan oleh A-Tirmizi, dan dikatakan sahih oleh segolongan huffaz (para ulama penghafaz hadis) dan didhoifkan oleh sebahagian mereka.

Baginda apabila memakai khuf tersebut bukanlah dengan maksud untuk menyapu di atasnya atau membasuhnya (yakni baginda tidaklah sengaja memakai dengan berniat untuk menyapu, atau tidak memakai dengan niat untuk membasuh kaki), tetapi jika Baginda berkehendak untuk berwudhu sedangkan baginda dalam keadaan memakai khuf, maka baginda menyapunya. Jika tidak, maka Baginda membasuh kakinya.

Disebabkan ada pelbagai pendapat ulama berkenaan yang mana lebih utama berbanding menyapu khuf atau membasuh kaki, maka kami terangkan di sini, supaya dapat diketahui bahawa sebaik-baik pendapat adalah yang menepati adat (kebiasaan) nabi saw.

Tamat.


# Berkata Imam As-Syaukani : khuf adalah kasut kulit yang menutup dua kaki, Jurmuq adalah lebih besar daripadanya, dan jaurab pula lebih besar lagi. (Nailul Author)

# khuf yang boleh disapu di atasnya mestilah menutupi lebih daripada buku lali, tahan untuk dipakai berjalan jauh. Untuk syarat-syarat yang lain boleh rujuk kitab-kitab fiqh mazahib, kerana di sini hanya bertujuan menerangkan petunjuk Nabi SAW.


* Tulisan berwarna biru adalah keterangan penterjemah. Harap maklum.

[Akan menyusul fasal tayammum, insyaAllah]



-al-findani-

9/11/2010, Selasa

7.47 pagi, MTK

No comments: