Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Monday, August 15, 2011

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - FASAL TAWAKKAL

Langkau beberapa fasal daripada siri sebelum ini. InsyaAllah akan diterjemahkan nanti sambungan fasal siri sebelum ini.

***

FASAL TAWAKKAL

Kemudian adalah menjadi suatu kemestian bagi seorang penuntut ilmu untuk mempunyai sifat tawakkal dalam menuntut ilmu. Janganlah ia menyibukkan hatinya dengan kerisauan tentang urusan rezekinya.

Imam Abu Hanifah telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Al Hasan Az Zubaidi r.anh, sahabat Rasulullah SAW :

”Barangsiapa yang menuntut ilmu berkenaan agama Allah, maka Allah akan mencukupi baginya apa yang dicitakannya serta akan menganugerahkannya rezeki daripada sumber yang tidak disangka-disangka”.

Kerana sesungguhnya barangsiapa menyibukkan hatinya dengan urusan rezeki berkaitan makanan sehari-hari dan pakaian untuk dipakai, amat sedikitlah peluangnya dan kesempatan yang dicurahkan untuk mendapatkan kemuliaan akhlak dan urusan-urusan yang agung.

Ada disebutkan:

Tinggalkanlah kemuliaan dan tak usahlah pergi mencarinya,

Duduklah! Kerana hasratmu cuma makanan dan pakaian semata.

Telah berkata seorang lelaki kepada (Husain) Mansur Al Hallaj: ”Berilah pesanan kepadaku!”

Lalu jawabnya: ”Ia adalah nafsumu sendiri! Jika engkau tidak menyibukkannya, maka ia akan menyibukkanmu!”.

* Husain Mansur Al-Hallaj adalah salah seorang tokoh kontroversi di dalam sejarah Umat Islam. Beliau telah dihukum bunuh setelah difatwakan sesat oleh ramai ulama di zaman tersebut kerana ucapan-ucapannya yang secara zahirnya membawa makna kufur.

Namun pada ahli sufi, ucapan-ucapan seperti itu adalah latah (syatahat) yang tersebut oleh lidah akibat sesuatu keadaan yang menimpa hati sehingga menyebabkan lidah terkeluar ucapan-ucapan yang tidak sepatutnya.

Hal ini seperti seorang yang diceritakan di dalam sebuah hadith yang sohih, telah kehilangan tunggangannya berserta bekalannya, kemudian dipendekkan cerita ia tertidur lalu mendapati kembali tunggangannya itu setelah ia terjaga ada di sisinya. Kegembiraannya itu telah menyebabkan terpacul daripada mulutnya ucapan: ”Ya Allah Engkau hambaku dan aku TuhanMu!”. Anda boleh merujuk hadith ini di dalam Riyadhus Solehin, Bab Taubat.


Maka hendaklah setiap orang menyibukkan dirinya dengan perbuatan-perbuatan yang baik sehingga nafsunya tidak berpeluang menyibukkannya dengan keinginan-keinginannya.

Tidak sepatutnya seorang yang berakal itu merisaukan tentang urusan dunia; kerana kerisauan dan kesedihan itu tidak sedikitpun dapat menolak musibah yang menimpa dan tidak memberi manfaat apa pun. Bahkan ia hanya akan memudaratkan hati dan akal serta badan dan menghilangkan pula kesempatan melakukan kebaikan. Risaukanlah urusan akhirat kerana ia lebih bermanfaat.

Adapun sabda Rasulullah SAW:

”Sesungguhnya ada di antara dosa-dosa itu dosa yang tidak dapat menghapuskannya melainkan oleh kerisauan dalam mencari kehidupan”.

Maka yang dikehendaki daripadanya adalah, kadar kerisauan tersebut tidaklah menghalangnya daripada melakukan amalan kebaikan dan tidak pula merisaukan hatinya sehingga menghalang hadirnya hati ketika di dalam solat. Sesungguhnya kadar kerisauan dan tujuan seperti yang demikian itu adalah dikira termasuk di dalam amalan akhirat juga.

Tidak dapat tidak juga, seorang penuntut ilmu itu hendaklah sedaya upaya meminimakan hubungkait keduniaan dengan dirinya. Kerana inilah, mereka (para penuntut ilmu zaman dahulu) memilih keterasingan.

# Selaklah lembaran-lembaran sejarah para ulama dahulu, bagaimana mereka memilih untuk berjauhan daripada kampung halaman dengan berkelana dan mengembara bagi menuntut ilmu.

Kembara seorang penuntut ilmu adalah keterasingan yang mencampakkannya ke daerah yang para penghuninya tidak mengenalnya, jauh daripada rakan taulan dan sanak saudara.

Dalam keadaan sebeginilah mereka menjadi lebih fokus dan jitu akan tujuan mereka dalam menuntut ilmu. Maka sekarang lihatlah dirimu sendiri, wahai para penuntut ilmu! Adakah dirimu bersedia untuk menjejaki bekas tapak kaki mereka?


Adalah menjadi satu kemestian bagi penuntut ilmu itu untuk menanggung kesukaran dan kelelahan di dalam kembara menuntut ilmu. Ia sepertimana yang diucapkan oleh Nabi Musa alaihissalaam di dalam kembara menuntut ilmunya, yang mana tidak pernah diceritakan bahawa ia pernah mengucapkannya di dalam kembaranya yang lain, iaitu:

”Demi sesungguhnya kita telah menempuh kelelahan di dalam perjalanan kita ini”. [Al Kahfi, 64]

(Ia dinukilkan kepada kita oleh Al Quran) agar dapat diketahui bahawa kembara menuntut ilmu itu tidak akan pernah sunyi daripada kelelahan. Ini kerana menuntut ilmu itu adalah satu urusan yang agung, dan ia adalah lebih afdhol daripada perjalanan jihad fi sabilillah menurut kebanyakan para ulama. Dan kadar pahala itu adalah bergantung kepada kadar keletihan dan kelelahan yang terpaksa ditempuhi.

Maka barangsiapa yang mampu bersabar di atas hal itu, ia akan mengecapi kelazatan ilmu yang melampaui segala kelazatan dunia ini.

Kerana hal inilah, Muhammad bin Al Hasan apabila ia berjaga malam pada malam-malamnya kerana menelaah dan mengulangkaji ilmu, lalu ketika terlerai padanya kemusykilan-kemusykilan yang ditemui jawapannya di dalam ulangkajinya itu, ia pun berkata: ”Di manakah agaknya para putera raja daripada kelazatan sebegini!”

# Maknanya di sini adalah, ilmu merupakan suatu kelazatan yang tidak terbanding bagi para pencintanya. Para putera raja, yang sekalipun hidupnya tenggelam di dalam kemewahan dan kelazatan duniawi semenjak hari pertama ia dilahirkan, maka kelazatan dan kenikmatan duniawinya itu adalah tidak sebanding walaupun sebelah sayap nyamuk dengan kelazatan ilmu yang dikecapi oleh para pencintanya.

Kini, lihat pula ke dalam dirimu wahai penuntut ilmu! Adakah engkau sudah pernah merasai sekelumit kelazatan tersebut? Ataukah menuntut ilmu bagimu hanyalah satu bebanan yang terpaksa engkau pikul kerana ingin mengambil hati orang tua dan sebagai mengelakkan diri agar tidak dikata orang sebagai penganggur yang tiada kerja? Ayuhlah kita perbaiki niat kita dalam menuntut ilmu, agar Allah SWT memudahkan ilmu kepada kita sepertimana DIA telah memudahkan besi kepada Nabi Daud serta dapat pula kita mengecapi kelazatan ilmu seperti yang dirasai oleh para pendahulu kita itu. Amin.


Maka sudah semestinyalah bagi seorang penuntut ilmu itu untuk tidak menyibukkan diri dengan sesuatu yang lain selain daripada ilmu. Selain itu janganlah sesekali ia berpaling daripada feqah.

Telah berkata Muhammad (bin Al Hasan) r.h: ”Pekerjaan kita ini adalah daripada buaian sehingga ke liang lahad. Oleh itu, barangsiapa yang berhasrat untuk meninggalkan ilmu kita ini sekali waktu, maka biarkanlah waktu yang meninggalkannya”.

Seorang faqih, iaitu Ibrahim bin Al Jarrah telah masuk untuk melawat Abu Yusuf yang sedang sakit yang membawa kepada kematiannya. Abu Yusuf ketika itu sedang turun naik nafasnya hampir nazak.

Lalu Abu Yusuf, di dalam keadaan sebegitu, bertanya kepada Ibrahim: ”Melontar Jamrah itu, dengan menunggang kenderaankah atau berjalan kaki yang lebih afdhol?”

Namun ia tidak tahu jawapannya. Maka Abu Yusuf sendiri yang menjawab dengan katanya: ”Melontar jamrah dengan berjalan kaki itu lebih disukai pada dua jamrah yang pertama”.

Beginilah hendaknya seorang faqih itu untuk menyibukkan dirinya dengan ilmu pada keseluruhan waktunya. Maka di kala itu ia akan mendapatkan kelazatan yang agung.

# MasyaAllah! Lihatlah betapa di saat nyawa akan keluar meninggalkan badan, Imam Abu Yusuf masih sempat melontarkan soalan menguji anak muridnya berkenaan masalah feqah.

Betapa ilmu telah benar-benar memberi kelazatan kepada mereka sehinggakan kesakitan maut itu seakan tidak membimbangkannya kerana hatinya sedang mengecap kelazatan ilmu. Orang yang berehat di atas sofa yang empuk di dalam bilik yang selesa dan berhawa dingin, maka apakah terik mentari di luar sana mengganggu dirinya?


Disebutkan bahawa telah dimimpikan oleh seseorang akan Muhammad (bin Al Hasan) setelah kematian beliau, lalu ditanyakan kepadanya: ”Bagaimanakah keadaanmu ketika dicabut nyawa?”. Maka jawabnya: ”Aku ketika itu sedang memikirkan dengan mendalam tentang permasalahan hamba mukatab, dan aku tidak merasa bahawa ruhku telah keluar”.!!

Dikatakan juga bahawa beliau pernah berkata pada akhir umurnya: ”Permasalahan hamba mukatab telah menyibukkanku sehingga menjadikan aku tidak sempat melakukan persiapan untuk hari (kematianku) ini”*. Beliau mengatakan begitu hanyalah kerana bersikap tawadhu.

# Manakan tidak! Apakah terlintas di benak kita bahawa manusia yang berkedudukan seperti Muhammad bin Al Hasan yang merupakan murid kepada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, serta teman dan guru kepada Imam Asy Syafi’e, juga sahabat kepada Qadhi Abu Yusuf itu tidak membuat persediaan bagi menghadapi hari keberangkatan ke alam akhirat? Fa haihaata. Amat jauhlah sangkaan itu!

* Permasalahan mengenai hamba mukatab adalah satu perbincangan di dalam ilmu feqah mengenai hamba-hamba yang ingin membebaskan diri mereka dari perhambaan dengan membayar kepada tuan-tuan mereka mengikut syarat-syarat dan persetujuan yang ditetapkan. Untuk lanjutan keterangan maka bolehlah dipelajari di dalam pelajaran feqah.

Bersambung...

No comments: