Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Tuesday, August 16, 2011

TAZKIRAH..

Tidak pasti terjemahan ini daripada kitab apa. Cuma terjumpa di dalam folder simpanan. Semoga ada manfaatnya.

***

PERINGATAN BUAT PENUNTUT ILMU DAN ULAMA


Selepas Bismillah, pujian dan selawat.

Berkata Syaikh Al Imam Al ‘Alim ‘Allamah Syaikhul Islam Baqiyyatus Salaf Al Kiram Zainuddin Abul Farj Abdur Rahman Bin Syaikh Al Imam Syihabuddin Ahmad Bin Syaikh Al Imam Ibn Rajab Al Baghdadi Al Hanbali Rahimahullah Ta’ala:

Telah mengeluarkan oleh Imam Ahmad, An Nasaie, At Tirmizi dan Ibn Hibban di dalam sahihnya daripada hadith Ka’ab bin Malik Al Ansori radhiyallu’anhu daripada Nabi SAW sabdanya:

“Tidaklah dua ekor serigala yang kelaparan yang dilepaskan kepada sekawanan kambing itu lebih bahaya kepada kambing-kambing itu berbanding bahaya ketamakan seseorang akan harta dan kemegahan terhadap agamanya”. Berkata At Tirmizi: Hasan sohih.

Dan beliau (At Tirmizi) juga telah meriwayatkan dengan wajah yang lain daripada Nabi SAW melalui hadith Ibn Umar, Ibn Abbas, Abi Hurairah, Usamah Bin Zaid, Jabir, Abi Said Al Khudri Dan ‘Asim Bin ‘Adiy Al Ansori R.Anhum. Aku (Ibn Rajab) telah menyebutkan kesemuanya dan membicarakan tentangnya di dalam kitab Syarh At Tirmizi.

Di dalam lafaz oleh Jabir r.a :

“Tidaklah dua ekor serigala yang ganas mendatangi sekawanan kambing yang tidak bertuan lebih memudaratkan kepada manusia berbanding bahaya cintakan kemegahan dan harta terhadap agama seorang mukmin”.

Di dalam hadith Ibn Abbas pula disebut : cintakan harta dan kemegahan sebagai ganti kepada ketamakan (di dalam lafaz hadith).


Maka ini adalah perumpamaan yang sangat hebat yang digambarkan oleh Nabi SAW berkenaan rosaknya agama seorang mukmin disebabkan ketamakan terhadap harta dan kemegahan di dunia. Dan rosaknya agama seseorang disebabkan hal itu adalah lebih teruk berbanding kerosakan yang ditimbulkan oleh dua ekor serigala yang ganas yang menyerang sekawanan kambing yang ditinggalkan oleh pengembalanya di malam hari, yang mana serigala itu akan memakan dan menerkam kambing-kambing tersebut.

Sudah sedia maklum bahawa tidak akan selamat kambing-kambing tersebut apabila berlakunya kejadian yang disebutkan itu, melainkan sedikit sekali. Lalu Nabi SAW memberitahu bahawa demikian jugalah ketamakan seseorang terhadap harta dan kemegahan akan merosakkan agamanya tidak kurang daripada kerosakan yang ditimbulkan serigala itu. Bahkan boleh jadi bersamaan atau lebih lagi rosaknya.

Menunjukkan bahawa tidak akan selamat agama seseorang jika ia tamakkan harta dan kemegahan melainkan sedikit sekali, sepertimana tidak selamatnya kambing-kambing itu daripada terkaman serigala yang ganas tersebut melainkan sedikit.

Perumpamaan yang agung ini mengandungi peringatan yang besar tentang keburukan tamak kepada harta dan kemegahan di dunia.


Ketamakan kepada harta itu ada dua jenis:-

Pertamanya ialah kecintaan yang melampau terhadap harta disertakan pula kesungguhan mendapatkannya dengan jalan yang diharuskan dan berlebihan dalam mencarinya dan mengusahakannya dengan letih lelah dan susah payah.

Sesungguhnya telah tersebut bahawa sebab terjadinya hadith tersebut adalah kejadian yang berlaku kepada beberapa orang (sahabat).

Sepertimana yang dikeluarkan oleh At Tabarani daripada hadith ‘Asim bin ‘Adiy r.a katanya:

“Aku telah membeli seratus bahagian saham / pemilikan / harta daripada harta Khaibar, lalu hal tersebut sampai kepada pengetahuan Nabi saw, lantas baginda bersabda: “tidaklah (lebih bahaya) dua ekor serigala kepada sekawan kambing yang tidak dijaga oleh gembalanya berbanding kerosakan disebabkan pencarian harta dan kemegahan oleh seorang muslim terhadap agamanya”.


Kalaulah tidak ada pada pencarian harta itu selain mensia-siakan kemuliaan umur yang tidak ada galang gantinya - yang mana membolehkannya menggunakan umur tersebut bagi berusaha mendapatkan darjat yang tinggi dan kenikmatan yang berkekalan -, maka mensia-siakannya bagi mendapatkan rezeki yang telahpun dijanjikan dan ditetapkan baginya – dan dia tidak akan mendapat selain yang ditentukan dan dijanjikan untuknya- kemudian harta tersebut tidak dimanfaatkannya, bahkan ditinggalkan bagi orang lain, lalu ia terpisah dari hartanya sedangkan hisabnya adalah ke atas dirinya dan manfaatnya kepada orang lain.

Dia menghimpun harta bagi orang yang tidak akan berterima kasih kepadanya sedangkan ia akan menghadap kepada (Allah) yang tidak akan menerima uzurnya (akibat mensia-siakan umur sehingga terlepas kesempatan untuk berbekal menuju akhirat). Maka semua itu pun sudah cukup menjadi celaan (kepada pencarian harta itu). *

*Jangan pula disalahfahamkan bahawa pengarang yang mulia memaksudkan agar kita tidak mencari harta, (lihat pada ayat yang dihitamkan) tetapi seandainya harta yang dicari dimanfaatkan ke jalan Allah, menghubungkan silaturrahim, bersedekah dan berzakat, memberi hadiah dan pelbagai lagi jalan kebaikan, maka itu adalah sesuatu yang terpuji di dalam agama. Bahkan susah payah seseorang mencari harta itu dinilai berpahala pula jika demikian niatnya seperti yang diisyaratkan di dalam banyak hadith Nabi SAW. [pent]


Maka orang yang tamak itu telah mensia-siakan waktunya yang mulia dan membahayakan dirinya yang tidak ada galang gantinya di dalam perjalanan yang berbahaya untuk mengumpul harta yang nantinya akan dimanfaatkan oleh orang lain.

Dikatakan :

Janganlah engkau menyangka kemiskinan itu pada tiadanya harta benda,

Tetapi kemiskinan yang sebenarnya adalah pada hilangnya agama.


Dikatakan kepada sebahagian hukamak: “Sesungguhnya fulan mengumpulkan harta”.

Ia kembali bertanya: “Apakah ia mengumpulkan juga hari-hari di mana dia membelanjakan hartanya itu?”

Maka jawab yang bertanya: “Tidak!”

Lalu ujar si hukamak: “Kalau begitu ia tidak mengumpulkan apa-apa pun!”


Di dalam sebahagian atsar Israiliyyat disebutkan:

“Rezeki itu telah ditentukan dan si tamak itu tiada bahagian (selain yang ditentukan). Anak adam! Jika engkau habiskan umurmu mencari dunia, maka bila pula engkau mencari akhirat?”


(Syair)

“Jika engkau lemah dari berbuat kebaikan di dunia,

Maka engkau sebenarnya untuk akhirat tidak berbuat apa-apa.”


Berkata Ibn Mas’ud r.a :

“Keyakinan (iman) itu adalah engkau tidak mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah. Dan engkau tidak memuji seorang pun atas rezeki yang telah ditentukan Allah. Dan engkau tidak pula mencela seseorang pun atas apa yang tidak diberikan Allah kepadamu.

Sesungguhnya rezeki itu tidak akan dipercepatkan oleh ketamakan si tamak dan tidak dapat ditahan oleh kebencian orang yang membenci (mu). Kerana sesungguhnya Allah menjadikan kelapangan dan kegembiraan itu pada keyakinan dan sifat redho, serta menjadikan keresahan dan dukacita itu pada ragu-ragu dan sifat marah (kepada takdir).”


Berkata sebahagian salaf:

“Apabila takdir itu benar, maka sifat tamak itu batil. Apabila khianat sudah menjadi tabiat manusia, maka menaruh kepercayaan kepada setiap orang itu satu kelemahan. Apabila maut itu memburu setiap orang, maka merasa tenang dengan dunia itu suatu kebodohan”.


Abdur Rahman Bin Zaid bersumpah dengan Nama Allah katanya:

“Sungguh ketamakan seseorang itu lebih aku takutkan berbanding permusuhan para musuhnya. “

Beliau berkata:

“Wahai saudara-saudaraku! Janganlah kamu merasa iri terhadap si tamak itu dengan kekayaan dan lapangnya pencarian serta banyak hartanya. Tetapi pandanglah ia dengan pandangan kemarahan disebabkan kesibukannya hari ini yang akan menjadikan ia hina di akhirat kemudian ia takabbur pula.”


Beliau juga berkata:

Tamak itu dua jenis. Tamak yang mencelakakan dan tamak yang bermanfaat.

Tamak yang bermanfaat adalah ketamakan seseorang untuk berbuat taat kepada Allah.

Adapun tamak yang mencelakakan adalah ketamakan seseorang kepada dunia sedangkan dia disibukkan dengannya dan disengsarakan, tidak dimudahkan, dan tidak pula mendapatkan kelazatan sehinggakan ia tidak pernah meninggalkan kecintaannya kepada dunia itu untuk berbekal kepada akhiratnya ditambah pula dengan kelalaiannya daripada akhirat yang berkekalan dan abadi.”


Sebahagian mereka (salafussoleh) berkata tentang hal ini:

Janganlah engkau iri dengan si tamak dengan kekayaannya,

Tetapi pandanglah ia dengan pandang kemarahan dan tidak suka,

Sesungguhnya si tamak itu disibukkan dengan kekayaannya,

Daripada kegembiraan dengan apa yang


Yang lain pula berujar:

Wahai si tamak lagi bakhil masa akan meninggalkanmu,

Sedang engkau berfikir-fikir pintu manakah yang akan tertutup bagimu,

Engkau mengumpulkan harta, maka fikirkan apakah engkau mengumpul untuknya?


Wahai pengumpul harta, masa akan mencerai beraikannya!

Hartamu itu engkau mengumpul sedang warismu akan mendapatnya,

Tiadalah harta itu bagimu, selain sewaktu engkau menggunakannya,

Sesungguhnya qana’ah itu sesiapa yang merasa cukup apa yang didapatinya,

Tidak meletihkan diri mencari apa yang bakal mengganggu tidur malamnya.


Sebahagian hukamak menulis kepada saudaranya yang tamak kepada dunia. Tulisnya:

“Sesungguhnya engkau berpagi hari dalam keadaan tamak kepada dunia lalu engkau berkhidmat kepadanya. Sedangkan ia akan mengeluarkanmu dalam keadaan bongkok, berpenyakit, kepayahan dan segala musibah. Seolahnya engkau itu tidak pernah memerhatikan betapa si tamak seringkali terhalang, sedangkan si zahid mendapatkan bahagian rezeki yang dijanjikan.”


Seorang Badwi mencela saudaranya yang tamak. Katanya:

“Saudaraku! Engkau itu mencari dan dicari. Engkau dicari oleh yang bakal mendapatkanmu, sedang engkau mencari-cari sesuatu yang telah ditetapkan bagimu. Saudaraku! Tidakkah engkau memerhatikan bagaimana si tamak itu terhalang, sedangkan si zahid itu mendapat apa yang dijanjikan?”


Berkata sebahagian hukamak:

“Manusia yang paling lama gelisahnya adalha orang yang hasad. Yang paling berbahagia hidupnya adalah yang qana’ah. Yang paling sabar di atas kehinaan di antara mereka adalah si tamak. Yang paling rendah hidupnya adalah yang paling menolak dunia. Dan yang paling besar penyesalannya adalah si alim yang melampaui batas.”

Wallahu a’lam.

1 comment:

Ismi Ijmi said...

salam eid mubarak
taqabbalallahuminna