Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Tuesday, May 24, 2011

AL-ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD..

Salaam.

Saya akan menyiarkan semula di blog ini setelah sebelum ini menyiarkan sebahagian daripada terjemahan sebuah kutaib (kitab kecil) karangan Imam Al Hafizh Ibn Hajar Al-'Asqalani bertajuk "Al Isti'daad li yaumil ma'aad" (Bekalan bagi hari kepulangan) ini di blog lain. Semoga ada manfaatnya untuk anda dan saya. Ameen.

*******


Al Isti’dad Li Yaumil Ma’aad- Al Hafizh Al Imam Ibn Hajar Al-'Asqalani


Bismillah


Bab 2 (Perkara)


  • Diriwayatkan daripada Nabi SAW: “ Dua sifat yang tiada satu pun dapat menandingi kelebihannya, iaitu beriman kepada Allah dan melimpahkan manfaat kepada sesama muslim. Manakala dua sifat yang tiada sesuatu yang lebih buruk daripadanya ialah syirik kepada Allah dan mendatangkan kemudaratan kepada orang Islam”.

  • Sabdanya lagi SAW: “Hendaklah kamu melazimkan duduk-duduk bersama para ulama dan mendengarkan perkataan para hukama (cendekiawan). Sesungguhnya Allah akan menghidupkan hati yang mati dengan nur hikmah (cahaya daripada kata-kata para hukamak) sepertimana Dia menghidupkan tanah yang gersang dengan siraman hujan”.

  • Daripada Abi Bakr As-Siddiq r.anh: “Sesiapa yang memasuki kubur tanpa bekalan (amal soleh beserta keimanan) adalah seumpama ingin belayar di lautan tanpa kapal”.

  • Daripada Umar Al-Khattab r.anh: “Kemuliaan (hidup) di dunia adalah dengan harta, sedangkan kemuliaan di negeri akhirat adalah dengan amal soleh yang dibawa”.

  • Daripada Uthman bin Affan r.anh: “Kerisauan terhadap dunia menggelapkan hati; sementara kerisauan kepada akhirat memberi sinar pada hati”.

  • Daripada Ali kwj: “Sesiapa yang mencari ilmu maka syurga akan mencarinya; barangsiapa yang mencari maksiat maka neraka akan mencarinya”.

  • Daripada Al-A’masy rh: “Barangsiapa yang modalnya adalah taqwa, maka lidah-lidah (manusia) akan menyebut keberuntungan agamanya. Barangsiapa yang modalnya adalah dunia, maka lidah-lidah (manusia) akan menyebut-nyebut betapa rugi agamanya”*[sebutan di sini mungkin bermaksud selepas kematian seseorang]

  • Daripada Sufyan Ats-Tsauri rh: “Setiap maksiat yang berpunca daripada syahwat adalah diharapkan untuk beroleh keampunan. Manakala setiap maksiat yang berakar daripada kesombongan sukarlah diharapkan keampunannya. Ini kerana maksiat yang dilakukan iblis berpunca daripada rasa sombongnya, sementara kehinaan Adam a.s kerana menuruti hawa nafsunya”.

  • Daripada sebahagian orang zahid: “Sesiapa yang melakukan dosa dengan tertawa, Allah akan menghumbankannya ke dalam neraka dalam keadaan menangis. Barangsiapa yang melakukan ketaatan sedangkan ia menangis, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dalam keadaannya tertawa”.

  • Daripada sebahagian hukamak: “Jangan sesekali meremehkan kecilnya dosa kerana daripadanyalah bertunas dosa-dosa besar”.

  • Daripada Nabi SAW: “Tidak dinamakan dosa kecil jika ia berterusan dilakukan, dan tidak dinamakan dosa besar jika disertai penyesalan”.

  • Dikatakan: “Kesibukan para ’Arifin itu adalah memuji Allah, sementara kesibukan para zahidin adalah berdoa kepada Allah. Ini kerana kesibukan orang ‘arif itu adalah Tuhannya sedangkan kesibukan orang zahid itu adalah dirinya”.

  • Daripada sebahagian hukamak: “Sesiapa yang menyangka ada pembela selain Allah, itu petanda kurangnya ma’rifah tentang Allah. Barnagsiapa yang menyangka ada musuh yang patut dimusuhi melebihi hawa nafsunya, maka itu petanda kejahilannya akan nafsunya sendiri”.

  • Daripada Abi Bakr As-Siddiq r.anh berkenaan firman Allah swt; “Telah timbul kerosakan di laut dan di darat disebabkan perbuatan manusia…: “Daratan ialah lidah dan lautan adalah hati. Apabila rosak lidah maka rosaklah hati, dan apabila rosaknya hati menangislah para malaikat”.

  • Dikatakan: “Sesungguhnya syahwat akan menjjatuhkan raja ke taraf hamba, sedangkan kesabaran (mengawal nafsu) akan menabalkan seorang hamba sebagai raja. Apakah tidak engkau perhatikan kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha?’.

  • Dikatakan lagi: “ Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan hawa nafsunya sebagai tawanan. Sementara celakalah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan”.

  • “ Sesiapa yang meninggalkan dosa lembutlah hatinya. Sesiapa yang meninggalkan perkara yang haram dan memakan yang halal jernihlah fikirannya. Allah telah mewahyukan kepada sebahagian NabiNya: “Taatlah kepadaKu pada apa yang telah Aku perintahkan dan janganlah bermaksiat kepadaKu pada apa yang telah Aku nasihatkan”.

  • “Kesempurnaan akal adalah menuruti redho Allah dan menjauhi kemurkaanNya”.

  • “Tiada keterasingan bagi orang yang memiliki keutamaan dan tiada negeri / tempat tinggal bagi pemilik kejahilan”.

  • “Pergerakan untuk melakukan ketaatan adalah simbol (makrifah kepada Allah) sepertimana gerakan badan menandakan hidupnya pemilik badan tersebut”.

  • Sabda Nabi SAW: “Pangkal seluruh kejahatan adalah cinta dunia dan pangkal segala fitnah adalah menahan pemberian (al-‘usyr) dan zakat”.

  • Dikatakan: “Orang yang mengakui kekurangan selamanya terpuji. Pengakuan akan kekurangan (diri / amalan) adalah petanda diterima (amalan)”. Dikatakan lagi: “Mengingkari ni’mat itu tercela, bersahabat dengan orang bodoh pula membawa celaka”.

  • Berkata seorang penyair:

“ Wahai orang yang disibukkan dengan dunianya,

Sungguh! Panjang angan-angan telah menipunya,

Sentiasalah ia di dalam kelalaian,

Sehingga ajal hampir menjelang,

Maut pun datang tanpa amaran,

Kubur menjadi peti amalan,

Bersabarlah menempuh cubaan dunia,

Tidakkan mati sebelum ajalnya”….


Tamat terjemahan bab dua

11.38 mlm

Isnin 2 mac 2009

MTK