Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Tuesday, May 24, 2011

AL-ISTI'DAAD LI YAUMIL MA'AAD - BAB 3

Bismillah..

Bab 3 ( Perkara )

***


Diriwayatkan daripada Nabi SAW sabdanya: "Barangsiapa berpagi-pagi mengeluh tentang kesempitan hidupnya (dunianya),maka ia seolah-olah mengeluhkan Tuhannya (mengkritik Tuhannya). Barangsiapa yang berpagi-pagi merasa dukacita tentang urusan dunianya, maka seolah-olah memarahi Allah. Barangsiapa yang merendahkan diri kepada seorang kaya untuk memenuhi hajatnya, maka telah hilang dua pertiga agamanya”.

Daripada Abi Bakr As-Siddiq r.anh: “Tiga perkara yang tidak akan diperolehi dengan tiga perkara; kekayaan dengan angan-angan, kemudaaan dengan mewarnakan uban dan kesihatan dengan pengubatan”.

Daripada Umar r.anh: “Bagusnya pergaulan dengan manusia separuh daripada aqal (kecerdikan), bagusnya soalan separuh daripada ilmu, bagusnya pengurusan (pentadbiran) separuh daripada kehidupan”.

Daripada Utsman r.anh: “Barangsiapa meninggalkan dunia dicintai Allah; barangsiapa meningggalkan dosa, para malaikat mencintainya; barangsiaa meninggalkan ketamakan kepada milik kaum muslimin akan beroleh cinta mereka”.

Daripada Ali kwj: “Seandainya engkau menginginkan nikmat dunia, maka cukuplah Islam sebagai nikmat bagimu; jika engkau mencari kesibukan maka cukuplah ketaatan sebagai kesibukanmu; jika engkau mengharapkan nasihat, maka cukuplah maut sebagai penasihat bagimu”.

Daripada Ibn Mas’ud r.anh: “Betapa ramai orang yang beroleh ni’mat namun berupa istidraj. Berapa ramai pula yang beroleh pujian, namun sebagai ujian. Betapa ramai lagi yang ditutup dosa-dosa mereka sehingga tertipu dengannya (sehingga menjadikan berterusan melakukan dosa)”.

Daripada Nabi Dawud a.s: “Diwahyukan di dalam Zabur: “Menjadi hak ke atas seorang yang beraqal untuk tidak menyibukkan dirinya selain pada tiga perkara: “Berbekal untuk hari kemudian (akhirat), mencari keperluan untuk kehidupan dan mencari kenikmatan pada yang dihalalkan”.

Daripada Abi Hurairah r.anh katanya bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang membinasakan; tiga perkara yang menaikkan darjat dan tiga perkara yang menghapuskan dosa-dosa:

Adapun tiga yang menyelamatkan adalah:

  1. Takut kepada Allah ketika berseorangan atau di tengah keramaian
  2. Bersikap hemat (al-qashdu) di waktu faqir atau kaya
  3. Berlaku adil ketika redho atau murka

Adapun tiga yang membinasakan adalah:

  1. Bakhil yang terlampau
  2. Hawa nafsu yang dituruti
  3. Bangga/ujub dengan pendapat sendiri

Adapun tiga perkara yang mengangkat darjat adalah:

  1. Menyebarkan salam
  2. Memberi makan (orang yang kelaparan)
  3. Bersolat malam di waktu manusia nyenyak tidur

Adapun tiga yang menghapus dosa-dosa adalah:

  1. Menyempurnakan wudhuk pada malam yang sangat sejuk
  2. Melangkahkan kaki untuk bersolat jamaah
  3. Menanti solat setelah solat


Daripada Jibril a.s: “Wahai Muhammad! Hiduplah semahumu kerana engkau akan mati juga akhirnya. Cintailah sesiapa saja, kelak engkau akan berpisah dengannya. Buatlah apa saja, engkau akan dibalas akhirnya”.

Bersabda Nabi SAW: “Tiga golongan yang akan dinaungi ‘ArasyNya pada hari yang tiada naungan selain naunganNya; Mereka yang berwudhuk pada waktu-waktu yang sulit, mereka yang berjalan ke masjid di tengah kegelapan malam dan mereka yang memberi makan orang yang kelaparan”.

Ditanyakan kepada Nabi Ibrahim a.s: “Kerana apakah Allah mengambilmu sebagai KhalilNya (KekasihNya)? “Dengan 3 perkara”; jawabnya. "Aku mengutamakan perintah Allah daripada perintah selainNya. Aku tidak merasa terbeban dengan apa yang diperintahkanNya kepadaku. Dan aku tidak pernah makan malam dan bersarapan selain bersama tetamu”.

Daripada sebahagian hukamak: “3 perkara akan menghilangkan kedukaan; zikrullah, bertemu dengan wali-waliNya dan berbicara dengan para hukamak”.

Daripada Hasan Al-Basri: “Tiada ilmu bagi orang yang tidak beradab, tiada agama bagi sesiapa yang tidak bersabar, dan tiada kedekatan (kepada Allah0 bagi orang tidak menjaga diri (wara’)”.

Diceritakan bahawa seorang lelaki dari kalangan Bani Israil berhasrat untuk keluar menuntut ilmu. Lalu halnya sampai kepada pengetahuan salah seorang Nabi mereka, lantas Baginda segera menemui pemuda tersebut seraya berujar; “Hai pemuda! Aku akan mengkhabarkan kepadamu 3 perkara yang terangkum di dalamnya ilmu orang terdahulu dan orang kemudian:

  1. Takutilah Allah di kala keseorangan dan di tengah keramaian
  2. Tahanlah lidahmu daripada membicarakan makhluq selain kebaikan-kebaikan mereka
  3. Amatilah rotimu (makananmu) sehingga engkau tidak makan selain yang halal

Akhirnya si pemuda membatalkan hasratnya untuk keluar.

Diriwayatkan bahawa seorang daripada Bani Israil mengumpul 80 peti ilmu namun tidak dimanfaatkanya. Lalu Allah mewahyukan kepada sebahagian Nabi mereka untuk mengatakan kepada lelaki tersebut: “Kalaupun engkau menghimpun ilmu yang banyak, ia bukanlah bernilai apa-apa bagimu jika engkau tidak mengamalkan 3 perkara:

  1. Janganlah mencintai dunia kerana ia bukanlah negeri bagi orang yang beriman
  2. Janganlah bersahabat dengan syaitan kerana ia bukanlah temannya orang Mukmin
  3. Janganlah menyakiti seorang pun kerana ia bukanlah daripada sifat seorang Mukmin

Daripada Abi Sulaiman Ad-Darani r.h: ia bermunajat: “Tuhanku, jika engkau mendakwaku disebabkan dosa-dosaku, maka aku akan membela diri dengan pengampunanMu, seandainya engkau menuntutku disebabkan kebakhilanku, akan ku sebutkan kepemurahanMu, sekiranya engkau mencampakkanku ke dalam nerakaMu, akan ku beritahukan penghuninya kecintaanku kepadaMu…”

Dikatakan: “Manusia yang paling bahagia adalah yang memiliki hati yang berilmu, badan yang sabar dan merasa cukup dengan apa yang ia dapat (qana’ah)”.

Daripada Ibrahim An-Nakhaie: “Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu binasa dikeranakan 3 perkara; Banyak bercakap, banyak makan dan banyak tidur”.

Daripada Yahya bin Muadz Ar-Razi: “Sungguh beruntung orang yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, membina kuburnya sebelum menempatinya serta membuat Tuhannya redho sebelum menemuiNya”.

Daripada Ali kwj: “Sesiapa yang tidak memiliki Sunnatullah, Sunnah RasulNya dan Sunnah para WaliNya maka ia seolah-olah tidak memiliki suatu apapun”.

Lalu seorang bertanya: “Apakah Sunnatullah?” “Menyimpan rahsia”; ujarnya..

"Apa pula Sunnah RasulNya?". "Bergaul di tengah manusia".

"Apa pula Sunnah para WaliNya?". "Menanggung cubaan/ penghinaan daripada manusia.”


Orang sebelum kita sentiasa berpesan-pesan dan saling menulis tentang 3 perkara:

  1. Sesiapa yang beramal untuk akhiratnya, Allah akan mencukupkan baginya urusan agama dan dunianya
  2. Sesiapa yang memperindahkan batinnya, Allah akan menghiaskan zahirnya.
  3. Sesiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungannya dengan sesama manusia.

Daripada Ali kwj: “Jadilah engkau manusia terbaik di sisi Allah; jadilah engkau manusia terjahat di sisi dirimu sendiri (dalam pandanganmu). Serta jadilah engkau di kalangan manusia seperti salah seorang daripada mereka”.

Dikisahkan bahawa telah diwahyukan kepada Nabi Uzair:

  1. “Wahai Uzair! Jika engkau melakukan dosa kecil maka janganlah engkau melihat kecilnya dosa itu, namun lihatlah kepada siapa engkau berdosa.
  2. Jika engkau mendapat nikmat yang sedikit, jangan dilihat akan sedikitnya, tetapi pandanglah siapa yang merezekikannya.
  3. Jika engkau ditimpa musibah, maka janganlah engkau mengadukanKu (dengan musibah itu) kepada makhluq sepertimana aku juga tidak pernah mengadukanmu kepada para malaikatKu ketika kejahatanmu (dosa-dosamu) naik kepadaKu”

Daripada Hatim Al-Ashom r.h: "Setiap pagi syaitan akan membisikkan kepadaku (cuba menghasutku). “Apa yang akan engkau makan? Apa yang akan engkau pakai? Di mana engkau akan tinggal?". Maka aku menjawab; "Maut makananku, kafan pakaianku dan kubur adalah tempat tinggalku”.

Daripada Nabi SAW: “Barangsiapa yang keluar daripada naungan (kehinaan) maksiat menuju kemuliaan taat, maka Allah akan menjadikannya kaya tanpa harta, kuat tanpa tentera, dan mulia tanpa saudara”.

Diriwayatkan bahawa Nabi saw keluar menemui para Sahabatnya pada satu hari lalu menyapa: “Bagaimana keadaan kalian pagi ini?". Jawab mereka: “Kami berpagi-pagi dalam keimanan kepada Allah."

Baginda bertanya lagi: “Kalau begitu apakah tanda-tandanya?". Jawab para sahabat: “Kami bersabar di atas bala, bersyukur di atas kurnia dan merasa redho dengan qadha”.

Lantas Baginda berujar: “Jika demikian, kamu semua benar-benar beriman, demi Tuhan Ka’abah!”.


Allah telah mewahyukan kepada sebahagian NabiNya: “Barangsiapa menemuiKu sedang ia cinta kepadaKu, maka akan Ku masukkannya ke dalam syurgaKu. Barangsiapa yang menemuiKu sedangkan ia takut kepadaKu, maka akan Ku jauhkannya dari nerakaKu. Barangsiapa yang menemuiKu sedang ia malu kepadaKu, maka akan Ku jadikan malaikat hafazah lupa akan dosa-dosanya”.


Daripada Abdillah Ibn Mas’ud r.anh: “Tunaikan apa yang difardhukan Allah, maka engkau akan menjadi manusia yang paling ‘abid. Jauhi apa yang diharamkan Allah, maka engkau akan menjadi manusia yang paling zuhud. Redholah dengan pemberian Allah kepadamu, maka engkau akan menjadi manusia yang paling kaya”.

Daripada Soleh Al Marqidi, bahawasanya ia berjalan pada sebahagian rumah-rumah sambil berkata: “Manakah perginya para penghuninya dahulu?, manakah perginya mereka yang dahulunya menghidupkan suasana di rumah-rumah ini?, manakah orang yang dahulunya menempatinya?"..

Terdengar satu suara yang berseru: “Telah menghilang jejak-jejak mereka, telah binasa ditelan bumi jasad-jasad mereka, dan telah kekallah amal-amal mereka tergantung pada leher-leher mereka” (menunggu pembalasan).


Daripada Ali kwj: “Jadilah orang yang memiliki kelebihan daripada sesiapa yang engkau kehendaki, maka engkau akan menjadi pemimpinnya. Mintalah dari sesiapa saja yang engkau kehendaki, engkau akan menjadi tawanannya. Merasa cukuplah daripada sesiapa saja yang engkau kehendaki, maka engkau akan menjadi temannya”.

Daripada Yahya bin Muadz rh: “Meninggalkan dunia keseluruhannya bererti mendapatkan seluruhnya. Maka sesiapa yang meninggalkan dunia seluruhnya akan mendapatkan dunia seisinya; dan sesiapa yang mengambil keseluruhannya tidak akan mendapat suatu apapun darinya. Maka ambillah dunia seadanya.”

Daripada Ibrahim bin Adham rh: bahawa dikatakan kepadanya: “Dengan apa engkau memperolehi sifat zuhud?". Jawabnya; “Dengan 3 perkara. Aku melihat kubur itu tempat yang buas, dan tiada bagiku peneman, aku melihat jalan itu panjang, dan tiada bagiku bekalan, dan aku melihat Allah yang Maha perkasa akan menghukum, dan tiada bagiku sebarang hujjah”.

Daripada Asy-Syibli rh: “Tuhanku, ……….. (Di sini ada rangkap munajat yang saya tangguhkan untuk menterjemahkannya ketika sedang menterjemah pada tarikh seperti dicatat, namun kitab ini buat masa ini sudah tiada lagi di dalam simpanan saya. Jika terjumpa nanti insyaAllah akan saya terjemahkan.)

Katanya lagi: “Jika engkau menginginkan kejinakan hati bersama Allah, maka musuhilah nafsumu". Katanya lagi: “Seandainya engkau pernah merasai manisnya berhubung dengan Allah, engkau akan tahu betapa peritnya berpisah.”

Sufyan Ats-Tsauri r.h pernah ditanya tentang kejinakan hati bersama Allah, lalu jawabnya: “Iaitu engkau tidak merasa tertarik dengan setiap wajah yang berseri, suara yang merdu mahupun ucapan yang fasih”.

Kata Ibn Abbas r.anh tentang zuhud: “Perkataan zuhud terdiri daripada tiga huruf, Zai, Ha dan Dal. Zai adalah zaadul lil ma’aad (berbekal untuk tempat kembali, iaitu akhirat), Ha adalah hadyu liddiin (berjalan di atas petunjuk), dan Daal adalah dawaamun ‘ala tho’ah (istiqamah melakukan keta’atan)".

Katanya lagi:Zai adalah tarkuz ziinah (meninggalkan perhiasan), Ha adalah tarkul hawa (meninggalkan ajakan nafsu) dan Daal adalah tarkud dunya (meninggalkan dunia).

Hamid Al Laffaf didatangi seorang lelaki yang meminta nasihat darinya, lalu ia berujar; “Jadikanlah untuk agamamu penutup (kulit) seperti penutup (kulit) mushaf.”

Lantas ia ditanya; “Apakah penutup agama itu?”.

Jawabnya: “Meninggalkan berkata-kata selain yang perlu, meninggalkan dunia selain keperluan, dan meninggalkan pergaulan dengan manusia melainkan sekadarnya.

Setelah itu ketahuilah bahawa pangkal kezuhudan itu adalah menjauhi yang haram besar atau kecilnya; menunaikan segala kefardhuan, mudah atau sukarnya dan meninggalkan dunia kepada pencintanya, sedikit atau banyaknya.”


Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Diri manusia itu boleh dibahagikan kepada tiga bahgian. Satu untuk Allah,satu bahagian untuk dirinya dan satu bahgian lagi untuk ulat. Adapun untuk Allah adalah ruhnya, untuk dirinya adalah amalnya, manakala jasadnya pula untuk ulat-ulat”.

Ali kwj berkata: “Tiga perkara yang menguatkan ingatan dan menghilangkan kahak; bersugi, berpuasa dan membaca Al Quran”.

Ka’abul Ahbar berkata: “Benteng orang beriman itu ada tiga; masjid, zikrullah dan membaca Al Quran”.

Sebahagian hukamak berkata: “Tiga perkara daripada perbendaharaan Allah yang tidak diberikan selain kepada mereka yang dicintaiNya; kefakiran, kesakitan (penyakit) dan sifat sabar”.

Ibn Abbas r.anhuma ditanya tentang apakah hari , bulan dan amal yang terbaik, lalu jawabnya: “Hari yang terbaik adalah hari Jumaat, bulan terbaik adalah Ramadhan, dan amal yang terbaik adalah solat lima waktu pada waktunya”.

Tiga hari selepas itu, jawapan Ibn Abbas itu diberitahu kepada Sayyidina Ali kwj, lalu beliau mengulas: “Seandainya ditanyakan ulamak, hukamak dan fuqahak timur dan barat pastilah mereka akan menjawab dengan jawapan Ibn Abbas itu, cuma aku ingin menambahkan;

"Amal yang terbaik adalah yang diterima Allah, bulan terbaik adalah bulan di mana engkau bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha, dan hari yang paling baik adalah hari yang mana engkau keluar dari dunia ini ke hadhrat Allah dalam keadaan beriman kepadaNya”.


Seorang penyair berkata:

“Apakah engkau tidak melihat bagimana siang dan malam memamah usia kita,

Sedang kita masih bermain-main setiap masa,

Maka janganlah tertawan dengan dunia dan kenikmatannya,

Kerana ia bukanlah tempat menetap yang sesungguhnya,

Beramallah sebelum kematian menjelma,

Dan janganlah engkau tertipu dengan ramainya teman dan saudara.”


Dikatakan: “Jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi seorang hamba maka akan dijadikannya faham urusan agamanya, dan dijadikannya zuhud kepada dunia serta dinampakkan kepadanya kekurangan-kekurangan dirinya”.

Sabda Rasulullah SAW: “Aku menyukai 3 perkara daripada dunia ; wangi-wangian, perempuan dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat".

Abu Bakr As-Siddiq yang berada bersama para sahabat lain berkata: "Benarlah engkau wahai Rasulullah. Aku pula menyukai 3 perkara daripada dunia ini; iaitu melihat kepada wajah Rasulullah, mendermakan hartaku kepada Rasulullah dan memperisterikan anakku (Aisyah) dengan Rasulullah.

Umar yang turut berada di situ berujar; benarlah Abu Bakr. Aku juga menyukai 3 perkara daripada dunia ini; menyuruh kepada kebaikan (amar ma’ruf), menegah kemungkaran (nahi mungkar) dan berkumpul bersama para sahabat".

Utsman pula berkata; "Benarlah Umar; Aku juga menyukai daripada dunia ini 3 perkara: Mengenyangkan (memberi makan) orang yang kelaparan, memberi pakaian kepada orang yang tidak berpakaian dan membaca Al Quran.

Sampuk Ali r.anh: "Benarlah Utsman. Aku pula menyukai 3 perkara; Berkhidmat kepada tetamu, berpuasa pada musim panas dan berjihad di jalan Allah".

Dalam keadaan demikian tiba-tiba Jibril turun lalu berkata: "Allah mengutusku apabila mendengar pembicaraan kamu tadi dan menyuruhmu untuk bertanya kepadaku apa yang aku sukai daripada dunia ini jika aku daripada kalangan manusia.

Rasulullah lantas bertanya Jibril; "Apakah yang engkau akan sukai jika engkau menjadi penghuni dunia? Jawab Jibril: “Menunjuki orang yang tersesat, menemani orang yang tidak berteman dan menolong orang yang susah yang memiliki tanggungan (ahli keluarga) yang ramai".

Sambung Jibril lagi; "Tuhan Yang Maha Mulia menyukai daripada hambaNya 3 perkara; Bersungguh dalam usaha, tangisan penyesalan (tatkala melakukan dosa) dan kesabaran dalam menempuh kekurangan (kemiskinan)".


Sebahagian hukamak berkata: “Sesiapa yang bergantung kepada akalnya akan sesat, sesiapa yang merasa kaya dengan hartanya akan kekurangan, dan sesiapa yang mencari kemuliaan dengan makhluk akan terhina”.

Kata sebahagian hukamak: “Buah makrifah (mengenali Allah dengan sebenar-benarnya) itu ada 3. Malu kepada Allah, mencintai sesuatu/seseorang pada jalan Allah dan jinak hati dengan Allah (mencintai Allah).

Sabda Nabi SAW: “Mahabbah (cinta) adalah pangkal makrifah,menjaga diri (’iffah) petanda yaqin, puncak keyakinan itu adalah taqwa dan redho dengan taqdir Allah”.

Sufyan Ibn ‘Uyainah berkata: “Sesiapa yang mencintai Allah akan mencintai kekasih Allah, sesiapa yang mencintai kekasih Allah akan mencintai pula segala yang dicintai kerana Allah, sesiapa yang mencintai apa yang dicintai kerana Allah pula tidak suka dikenal dikalangan manusia”.

Nabi SAW bersabda: "Benarnya mahabbah ditandai dengan 3 perkara; iaitu ia akan memilih perkataan kekasihnya berbanding perkataan selainnya, memilih bersama kekasihnya berbanding duduk-duduk dengan selainnya dan memilih redho kekasihnya daripada redho lainnya”.

Wahb bin Munabbih Al Yamani berkata: "Tercatat di dalam Taurat bahawa; “Orang yang tamak itu fakir sebenarnya, sekalipun ia memiliki dunia seluruhnya; orang yang taat akan ditaati walaupun ia seorang hamba; dan orang yang qona’ah (merasa cukup dengan pemberian Allah) itu kaya sekalipun ia kelaparan”.

Ujar sebahagian hukamak: “Sesiapa yang mengenali Allah tidak akan merasa lazat bersama makhluq. Sesiapa yang mengenal (hakikat) dunia tidak akan cinta padanya; dan barangsiapa yang mengetahui keadilan Allah tidak akan berani membantahNya (bermaksiat kepadaNya)”.

Zunnun Al Misri berkata: "Setiap yang takut akan melarikan diri, setiap yang menggemari akan mencari. Setiap yang mencintai Allah akan memusuhi nafsunya".

Katanya lagi: “Orang yang ‘arif itu banduan, hatinya terang-benderang dan amalannya tidak terhitungkan".

Katanya lagi: “Orang yang ‘arif billah itu menepati janji, hatinya suci (cerdik) dan amalnya kepada Allah murni (ikhlas)”.


Abu Sulaiman Ad Darani berkata: “Pangkal kebaikan dunia dan akhirat adalah takut kepada Allah. Anak kunci dunia adalah kenyang, sebaliknya anak kunci akhirat adalah lapar (menyedikitkan makan/ berpuasa)".

Dikatakan: "Ibadah itu seumpama pertukangan, bengkelnya adalah bersendirian (khalwah, iaitu beribadah di tempat yang tidak dapat dilihat oleh orang lain); modalnya adalah taqwa dan keuntungannya adalah syurga”.

Malik bin Dinar berkata: “Perbaikilah 3 perkara dengan 3 sehingga dengan itu engkau tergolong daripada kelompok orang Mukmin. Sombong dengan tawadhu’; tamak dengan merasa cukup dan kedengkian dengan menjauhinya”.


Selesai terjemah bab 3 pada:

Rabu 4 mac 2009

12.48 tgh malam

MTK

No comments: