Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Thursday, May 26, 2011

AL- ISTI'DAAD LI YAUMIL MA'AAD - BAB 4 (PERKARA)

Bab 4 (Perkara)

***


Diriwayatkan Nabi SAW bersabda kepada Abi Zarr Al Ghifari r.anh: “Wahai Abu Zarr, perbaikilah kapalmu kerana lautan itu sangat dalam, berbekallah secukupnya kerana perjalanan itu sangat panjang, ringankanlah bebanan kerana pendakian itu sangat melelahkan, dan ikhlaskanlah amal kerana pengawas sedang memerhatikan”.


Berkata penyair:

“Bertaubat itu suatu yang wajib

Namun meninggalkan dosa lebihlah wajibnya,


Bersabar kerana musibah itu sukar,

Sedangkan terlepasnya pahala itu lebih lagi sukarnya,


Silih bergantinya masa dipenuhi keajaiban,

Namun kelalaian manusia lebih menghairankan,


Setiap yang akan datang amatlah dekat,

Sedang maut lebih dekat dari segala yang dekat.”



Sebahagian hukamak berkata: “Empat perkara yang elok, namun ada empat perkara lagi yang lebih elok..

  1. Malu bagi seorang lelaki itu elok, namun bagi seorang perempuan itu lebih elok lagi.
  2. Keadilan pada seseorang itu elok, namun pada seorang pemerintah lebih elok lagi.
  3. Taubat daripada seorang tua itu bagus, namun daripada seorang pemuda lebih bagus lagi.
  4. Sifat dermawan daripada si kaya itu bagus, namun daripada si faqir itu lebih bagus lagi.


Hukamak berkata lagi: “Empat perkara yang jelek, namun empat yang lebih jelek.

  1. Pemuda yang berdosa itu jelek, namun dosa daripada seorang tua itu lebih jelek lagi.
  2. Si jahil yang sibuk dengan dunia itu jelek, namun lebih jelek lagi jika si alim melakukannya.
  3. Malas melakukan ibadah itu jelek jika datangnya daripada orang awam, namun lebih jelek jika yang malas itu para ulamak dan penuntut ilmu.
  4. Kesombongan si kaya itu jelek, namun lebih jelek jika si faqir menyombongkan dirinya”.


Sabda Nabi SAW:

  1. “Bintang-bintang itu simbol keamanan kepada penghuni langit (malaikat). Jika ia telah berjatuhan, maka ia adalah kecelakaan ke atas mereka (kiamat).
  2. Ahli Baytku adalah simbol keamanan umatku. Jika mereka terpesong, kehancuran akan menimpa umatku.
  3. Aku adalah keamanan bagi para sahabatku, jika aku telah wafat, kecelakaan akan mendatangi mereka.
  4. Gunung-ganang adalah simbol keamanan bumi ini, jika ia diratakan, bumi akan ditimpa kecelakaan”.


Kata Ibnul Mubarak rh:

  1. "Sesiapa yang bersolat 12 rakaat (nawafil) setiap hari, bererti ia telah menunaikan hak solat.
  2. Sesiapa yang berpuasa 3 hari setiap bulan, bererti ia telah menunaikan hak puasa.
  3. Sesiapa yang membaca seratus ayat Al Quran setiap hari, bererti ia telah menunaikan hak pembacaan Al Quran.
  4. Sesiapa yang bersedekah seminggu sekali, bererti ia telah menunaikan hak sedekah”.


Kata Umar r.anh: “Ada empat lautan.

  1. Keinginan itu lautan dosa,
  2. nafsu itu lautan syahwat,
  3. maut itu lautan usia, dan
  4. kubur itu lautan penyesalan”.


Utsman bin ‘Affan r.anh berkata: “Aku menemui kelazatan ibadah pada empat hal.

  1. Pertamanya pada menunaikan apa yang difardhukan Allah.
  2. Keduanya pada menjauhi apa yang diharamkan Allah.
  3. Ketiganya pada menyuruh kebaikan kerana mengharapkan pahala daripada Allah.
  4. Dan keempatnya pada menegah kemungkaran kerana takutkan murka Allah.

Seterusnya ia berujar lagi: “Empat perkara zahirnya berupa keutamaan, namun batinnya berupa kefardhuan.

  1. Bergaul dengan para ulamak itu keutamaan, namun mencontohi mereka itu kefardhuan.
  2. Membaca Al Quran itu keutamaan, namun beramal dengannya itu kefardhuan.
  3. Menziarahi kuburan itu keutamaan, namun bersiap menempatinya itu kefardhuan.
  4. Melawat orang sakit itu keutamaan, namun mengambil pengajaran darinya itu kefardhuan”.


Ali r.anh berkata:

  1. “Siapa yang rindukan syurga akan bersegera melakukan kebaikan.
  2. Siapa yang takutkan neraka akan menahan syahwat keinginan.
  3. Siapa yang meyakini kematian, hilanglah darinya lazat kehidupan.
  4. Siapa yang mengenal hakikat dunia akan ringanlah baginya sebarang penderitaan".


Daripada Nabi SAW sabdanya:

  1. “Solat itu tiang agama, dan diam itu lebih utama.
  2. Sedekah itu memadam kemurkaan Tuhan, dan diam itu lebih utama.
  3. Puasa itu perisai dari neraka, dan diam itu lebih utama.
  4. Jihad itu puncak tertinggi agama, dan diam itu lebih utama.”


Dikatakan bahawa Allah telah mewahyukan kepada seorang Nabi Bani Israil:

  1. “Diammu dari memperkatakan kebatilan itu seperti puasa di sisiKu.
  2. Memelihara anggota dari yang diharamkan seumpama solat di sisiKu.
  3. Putus harapan daripada makhluq itu seumpama sedekah di sisiKu.
  4. Tidak menyakiti kaum muslimin itu seolah-olah jihad di sisiKu".


Ibn Mas’ud r.anh berkata: “ Empat perkara menggelapkan hati.

  1. Mengenyangkan perut sesukanya,
  2. bersahabat dengan orang zalim,
  3. melupai dosa-dosa silam; dan
  4. panjangnya angan-angan.
Sementara empat yang mencerahkan hati adalah:
  1. Perut yang lapar kerana takutkan yang haram,
  2. bersahabat dengan orang soleh,
  3. mengingati dosa-dosa lalu, dan
  4. pendek angan-angan.”


Hatim Al Ashom berkata: “Sesiapa yang mendakwakan empat perkara tanpa empat bukti maka dakwaannya palsu.

  1. Sesiapa yang mendakwa cintakan Allah namun tidak menahan diri dari apa yang diharamkan Nya maka dakwaannya dusta.
  2. Sesiapa yang mengaku mencintai Nabi SAW tetapi,membenci faqir miskin, maka pengakuannya palsu.
  3. Sesiapa yang mendakwa mencintai syurga namun bakhil untuk bersedekah, maka dakwaannya batil.
  4. Sesiapa yang mengaku takutkan neraka namun tidak menghentikan dosa maka ia sebenarnya berdusta.”


Daripada Nabi SAW sabdanya: “Tanda kecelakaan itu empat.

  1. Melupai dosa-dosa silam sedangkan Allah tidak melupakannya.
  2. Menyebut-nyebut kebaikan yang pernah dilakukan sedang ia sendiri tidak mengetahui apakah amalnya diterima atau sebaliknya.
  3. Melihat kepada orang yang melebihinya dalam perkara dunia; dan
  4. melihat orang yang di bawahnya dalam urusan agama. Allah berfirman: “Aku menginginkannya namun ia tidak menginginkan Daku, maka aku melupakannya.”

Petanda kebaikan itu ada empat:

  1. “Mengingati dosa-dosa lalu,
  2. melakukan kebaikan yang dilakukan,
  3. melihat kepada mereka yang melebihinya dalam urusan agama; dan
  4. melihat mereka yang kurang darinya dalam urusan dunia”.


Sebahagian hukamak berkata: “Simbol keimanan itu empat; taqwa, malu, syukur dan sabar”.


Daripada Nabi SAW sabdanya:

  1. “Ibu kepada segala ubat adalah sedikit makan,
  2. ibu kepada adab adalah sedikitnya percakapan,
  3. ibu kepada ibadat adalah sedikitnya dosa,
  4. sementara kesabaran adalah ibu kepada cita-cita".

Katanya lagi SAW: "Empat permata dalam diri manusia yang akan dilenyapkan oleh empat perkara. Empat permata tersebut adalah aqal, agama, rasa malu dan amal soleh. Marah akan melenyapkan aqal, hasad akan melenyapkan agama, tamak pula akan melenyapkan rasa malu, serta mengumpat akan menghapuskan amal soleh.”


Daripada Nabi SAW sabdanya: “Empat perkara di dalam syurga lebih baik daripada syurga itu sendiri.

  1. Kekal dalam syurga lebih baik daripada syurga itu sendiri,
  2. khidmatnya malaikat kepada ahli syurga lebih baik daripada syurga,
  3. bertetangga dengan Nabi-nabi di dalam syurga lebih baik daripada syurga, dan
  4. keredhaan Allah di dalam syurga lebih baik daripada syurga itu sendiri.”

Empat perkara di dalam neraka pula yang lebih teruk daripada neraka itu.

  1. Kekal di dalamnya lebih buruk daripada neraka,
  2. celaan malaikat kepada penghuninya lebih buruk daripada neraka,
  3. bertetangga dengan syaitan di dalam neraka lebih buruk daripada neraka, dan
  4. murka Allah kepada penghuninya lebih buruk daripada neraka itu sendiri”.


Sebahagian hukamak apabila ditanya, bagaimana keadaanmu, ia menjawab: "Aku mendampingi Tuhan dan memusuhi nafsu, menasihati makhluq dan mengambil dunia sekadarnya”.


Hukamak telah memilih empat ungkapan daripada empat kitab.

  1. Daripada Taurat berbunyi; “Sesiapa yang redha dengan pemberian Allah akan tenang dunia akhirat".
  2. Daripada Injil pula berbunyi; “Sesiapa yang menghancurkan syahwat akan mulia di dunia dan akhirat”.
  3. Daripada Zabur pula berbunyi; “Sesiapa yang menjauhi pergaulan dengan manusia akan selamat dunia akhirat".
  4. Dan daripada Al Furqan (Al Quran) pula berbunyi; “Sesiapa yang memelihara lisannya akan selamat di dunia dan akhirat”.


Umar r.anh berkata: “Tiadalah Allah mengujiku dengan satu bala melainkan dikurniakan dengannya empat macam nikmat;

  1. Pertamanya ia bukannya kerana dosaku,
  2. keduanya aku tidak ditimpa musibah yang lebih teruk daripadanya,
  3. ketiganya aku tidak diharamkan redhoNya, dan
  4. keempatnya aku mengharapkan pahala daripadanya”.


Abdullah Ibnul Mubarak berkata: “Seorang lelaki yang bijaksana mengumpulkan hadis lalu memilih empat puluh ribu daripadanya. Kemudian ia memilih lagi empat ribu daripadanya, setelah itu ia menyaring pula sehingga menjadi empat ratus. Kemudiannya ia memilih empat puluh daripadanya. Akhirnya ia hanya memilih empat sahaja daripadanya.

  1. Pertamanya adalah; “Janganlah engkau percayakan urusanmu kepada seorang wanita dalam segala keadaan".
  2. Keduanya; “Janganlah engkau terpedaya dengan harta dalam segala keadaan".
  3. Ketiganya; “Janganlah membebankan perutmu di luar kesanggupannya".
  4. Keempatnya adalah; “Jangan mengumpulkan ilmu yang tidak memberi manfaat padamu”.


Muhammad bin Ahmad berkata tentang firman Allah :“ Dan (Yahya ) itu adalah seorang tuan (sayyid) dan yang menjaga diri serta seorang nabi yang soleh”.

Katanya; Allah menyebut Yahya a.s sebagai seorang tuan sedangkan ia adalah hambaNya disebabkan ia dapat mengawal empat perkara iaitu: hawa nafsunya, iblis, lidahnya dan rasa marahnya”.


Ali r.anh berkata: "Agama dan dunia ini akan selamanya tegak disebabkan empat hal.

  1. Selagimana si kaya tidak bakhil dengan kekayaannya,
  2. ulama beramal dengan ilmunya.,
  3. si jahil tidak menyombong dalam kejahilannya; dan
  4. fakir miskin tidak menjual akhiratnya untuk mendapatkan dunia”.


Daripada Nabi SAW sabdanya: “Allah akan berhujjah pada hari akhirat nanti kepada empat orang dengan empat jenis manusia.

  1. Orang kaya dengan Nabi Sulaiman bin Dawud,
  2. seorang hamba dengan Nabi Yusuf ( kerana Baginda pernah dijadikan hamba ),
  3. orang yang sakit dengan Nabi Ayyub; dan
  4. orang yang fakir dengan Nabi Isa”.


Bilal bin Saad r.h berkata: “Meskipun seorang hamba melakukan dosa namun Allah tetap memberinya empat perkara:

  1. “Tidak ditahan rezekinya,
  2. tetap disihatkan badannya,
  3. tidak didedahkan dosanya; serta
  4. ditangguhkan hukumannya”.


Hatim Al Ashom r.anh berkata: “Sesiapa yang mengalihkan fikirannya kepada empat perkara akan memperolehi syurga.

  1. Iaitu tidur kepada kubur,
  2. kesombongan kepada mizan (timbangan amal),
  3. kerehatan kepada titian (Siratal Mustaqim); dan
  4. syahwat keinginan kepada syurga Tuhan”.


Hamid Al Laffaf berkata: "Kami mencari empat perkara pada empat perkara, namun kami memperolehinya pada empat yang lain pula.

  1. Kami mencari kekayaan dengan harta namun kami menemuinya pada sikap berpada dengan apa yang ada (Qana'ah).
  2. Kami mencari kerehatan pada banyaknya harta namun kami mendapatinya pada sedikitnya harta.
  3. Kami mencari kelazatan pada ni’mat, namun kami mendapatinya pada badan yang sihat,
  4. Kami mencari rezeki di bumi lalu kami mendapatinya di langit yang tinggi”.


Ali kwj berkata: "Empat perkara yang sedikitnya pun dikira cukup banyak.

  1. Kesakitan,
  2. kepapaan,
  3. neraka; dan
  4. permusuhan".


Hatim Al Ashom berkata: "Empat perkara yangtidak diketahui nilainya melainkan oleh empat jenis manusia.

  1. Kemudaan oleh seorang tua,
  2. kelapangan oleh orang yang ditimpa bala,
  3. kesihatan oleh orang yang sakit;
  4. dan kehidupan oleh orang yang telah meninggal".


Abu Nuwas bersyair:

"Dosa-dosaku jika aku fikirkan amatlah banyaknya,

Sedangkan rahmat Tuhanku berbanding dosa-dosaku amatlah luasnya.

Tiadalah harapanku kepada amal solehku jika ada,

Namun rahmat Allah jualah harapan yang aku cita,

Dialah Allah, Tuhan yang mencipta diri ini,

Sedang aku hanyalah hambanya mengakui dosa"

(Di sini ada lagi beberapa baris sambungan syair ini, tetapi ditangguhkan penterjemahannya ketika itu kerana belum menjumpai perkataan yg benar-benar sesuai untuk menggambarkan makna syair itu..)


Sabda Nabi SAW: “Apabila tibanya hari kiamat akan diletakkan timbangan amal lalu didatangkan ahli solat dan ditimbang pahala mereka, kemudian didatangkan pula ahli puasa dan ditimbang pahala mereka. Setelah itu didatangkan pula ahli hajji dan ditimbang pahala amalan mereka. Kemudian didatangkan pula mereka yang selalu ditimpa bala (ujian) di dunia dahulu, namun tidak dikeluarkan catatan amalan mereka. Lantas mereka dibalasi dengan pahala tanpa hisab sehingga pada hari itu orang yang sihat-sihat di dunia dahulu berangan-angan sekiranya mereka juga menerima apa yang telah diterima oleh golongan tersebut dikeranakan banyaknya pahala yang disediakan Allah buat mereka”.


Sebahagian hukamak berkata: "Seorang anak Adam pada dirinya terdapat empat bahagian yang akan dikuasai oleh empat pula;

  1. Malaikat maut akan menguasai ruhnya,
  2. ahli waris akan menguasai hartanya,
  3. ulat-ulat akan menguasai jasadnya
  4. manakala orang yang dizaliminya di dunia dahulu akan menuntut amal baiknya di akhirat".

Mereka berujar lagi:

  1. "Siapa yang sibuk dengan syahwat tidak akan lepas daripada wanita,
  2. siapa yang sibuk mengumpul harta tidak akan dapat lari daripada yang haram,
  3. siapa yang sibuk dengan mencurahkan manfaat kepada kaum muslimin tidak dapat tidak mesti bergaul; dan
  4. sesiapa yang sibuk dengan ibadah maka tidak dapat tidak mesti dengan ilmu".


Daripada Ali bin Abi Talib katanya: "Empat amalan yang paling sukar hendak dilaksanakan;

  1. memberi maaf ketika sedang marah,
  2. dermawan ketika kesempitan (kekurangan harta),
  3. menjaga diri ketika bersendirian; dan
  4. berkata benar ketika takutkan atau berharap kepada seseorang".


Di dalam Zabur disebutkan: "Allah Ta’ala telah mewahyukan kepada Nabi Dawud a.s bahawa seorang yang berakal dan bijaksana itu mestilah mempunyai empat waktu di dalam kehidupannya.

  1. Waktu untuk bermunajat kepada Tuhannya,
  2. waktu untuk menghitung dirinya,
  3. waktu yang mana dia berjumpa saudara-saudaranya yang akan memberitahukan kecacatan dirinya; dan
  4. waktu di mana dia bersenang-senang dengan kelazatan yang dibenarkan (bersama isterinya)".


Sebahagian hukamak berkata: "Ibadat itu terhimpun pada empat perkara; menepati janji, memelihara batasan, bersabar atas kekurangan dan redha dengan apa yang dimiliki.


Tamat edit Bab 4 (Perkara) pada:

26 Mei 2011, 2.50 ptg, MTK

4 comments:

Unknown said...

Mohon share ya saudara

Unknown said...

Mohon share ya saudara

alfindani said...

Baik2. Silakan. Harap disertakan kredit dan link ke blog ini. Terima kasih.

alfindani said...

Mohon maaf sebab baru terbaca komen saudara. Sudah lama tak menjenguk blog.