Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, February 6, 2011

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI DI DALAM SUJUD DAN DZIKIR YANG DIBACAKAN DI DALAMNYA

PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SUJUD DAN DZIKIR YANG DIBACAKAN PADANYA

Adalah Baginda SAW apabila ingin turun sujud tidak mengangkat kedua belah tangannya. Apa yang diriwayatkan di dalam sesetengah hadis iaitu : “Baginda SAW akan mengangkat kedua tangannya setiap kali turun dan bangun” maka terdapat kekeliruan. Riwayat yang benar/ sohih adalah: “Baginda akan bertakbir setiap kali turun dan bangun”.

Baginda akan meletakkan kedua lututnya sebelum kedua belah tangannya, setelah itu barulah kedua tangannya, kemudian dahinya dan hidungnya, mengikut tertib anggota badan.

Adapun hadis Abi Hurairah ra daripada Nabi SAW bahawa sabdanya: “Apabila sujud salah seorang kamu, maka janganlah ia turun seperti turunnya unta (yang hendak duduk). Maka hendaklah ia mendahulukan kedua tangannya sebelum kedua lututnya” maka berlaku kesamaran / kekeliruan sebahagian periwayat; kerana awal hadis tersebut menyalahi bahagian akhirnya. Kerana sesungguhnya unta, apabila ia hendak duduk akan meletakkan kedua tangannya dahulu. Orang yang mengatakan lutut unta terletak pada kedua tangannya adalah salah, keliru dan menyalahi perkataan para ulama’ pakar bahasa (Arab).

Yang benarnya adalah: Baginda melarang daripada menyerupai haiwan (di dalam solat). Sabdanya : Janganlah turun seperti menderumnya unta; janganlah berpaling seperti berpalingnya musang; jangan duduk seperti duduknya binatang buas* ; janganlah duduk seperti duduknya anjing; janganlah mematuk seperti mematuknya gagak; janganlah mengangkat tangan-tangan kamu ketika memberi salam seperti ekor kuda liar; dan jauhilah semua itu.**

*lafaz Arabnya adalah: “wala taftarisyu iftiraasyi as sab'ie “ yang mungkin juga maknanya “janganlah menghamparkan (lengan) {ketika sujud} seperti binatang buas”.

**ini bukanlah lafaz sebuah hadith, tetapi makna daripada pelbagai hadith yang digabungkan oleh pengarang.

Terdapat di dalam riwayat Abu Hurairah bahwa Baginda SAW bersabda : “Apabila sujud seseorang kamu, maka mulakanlah dengan kedua lututnya sebelum kedua tangannya, dan jangan ia turun seperti menderumnya unta.”

Di dalam Sohih Ibn Khuzaimah: “Adalah Rasulullah SAW apabila ia bersujud, Baginda memulakan dengan kedua lututnya dahulu.”

Di dalam riwayat Saad: “ Kami dahulunya meletakkan kedua tangan sebelum kedua lutut, lalu kami diperintahkan meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan.” Dan kebanyakan ulama’ berpandangan dengan ini melainkan Imam Malik dan Al Auza’ie dan segolongan Ahlil Hadith.

Dan Nabi SAW tidak pernah sujud di atas lilitan serbannya (maksudnya sujud dalam keadaan dahi terlapik dengan lilitan serban), bahkan Baginda meletakkan dahinya ke atas tanah atau ke atas tanah berlumpur [peristiwa malam Laitul Qadar ketika Nabi solat dan hujan turun membasahi tanah lantai masjid Nabi SAW dan Nabi bersujud dalam keadaan tanah yang basah tersebut], atau (sujud) di atas sejadah daripada sabut pelepah kurma, atau kulit yang disamak.

Dan adalah Nabi SAW apabila sujud akan meletakkan dahi dan hidungnya ke atas tanah, merenggangkan kedua tangannya daripada kedua rusuknya seta meletakkan kedua tangannya setentang dengan kedua bahunya.

Baginda bersabda: “Apabila engkau sujud, maka letakkan kedua telapak tanganmu dan angkatlah kedua sikumu.” Baginda merenggangkan (membuka) jari jemarinya ketika rukuk dan merapatkannya ketika sujud.

Baginda membaca di dalam sujudnya: “Subhana Robbiyal A’laa” (Maha suci Tuhanku Yang Maha Tinggi) dan menyuruh (kita ) untuk membacanya. Setelah itu Baginda membaca pula: “Maha suci Engkau wahai Tuhan kami dan segala kepujianMu. Wahai Tuhan, ampunilah aku..”.

(Di antara doa Baginda yang lain ketika sujud adalah) : “Maha Suci dan Quddus, Tuhan para malaikat dan Ar ruuh, tiada Tuhan selain Engkau.”

“Ya Allah! Aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan dengan keampunanMu daripada balasan azabMu, aku berlindung denganMu daripadaMu, tidak berdaya aku memujiMu, Engkau adalah sepertimana Engkau memuji DiriMu sendiri”.

“Ya Allah! KepadaMu lah aku bersujud, kepadaMu jualah aku beriman, kepadaMu lah aku berserah diri. Telah sujud wajahku kepada Yang Menciptakannya dan (memperelokkan) paras dan bentuknya, serta menjadikan pendengaran dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik pencipta”.

“Ya Allah! Ampunilah dosaku seluruhnya, kecil dan besarnya; awal dan akhirnya; yang tampak dan yang tersembunyinya (dosa-dosa)”.

“Ya Allah! Ampunilah kesalahan-kesalahanku; kejahilanku, keterlanjuranku dalam urusanku, dan segala apa yang Engkau lebih tahu tentangnya (dosa-dosa itu) daripadaku. Ya Allah ampunilah kesungguhanku, kelemahanku, kesalahanku, kesengajaanku dan segalanya padaku. Ya Allah! Ampunilah aku apa yang telah aku lakukan, apa yang belum aku lakukan, apa yang aku sembunyikan dan apa yang aku zahirkan; Engkau Tuhanku, tiada Tuhan selainMu”.

Ada ketikanya Baginda membaca: “Ya Allah! Jadikanlah bagiku di dalam hatiku nuur. Pada pendengaranku nuur, pada penglihatanku nuur, di kananku nuur, di kiriku nuur, di hadapanku nuur, di belakangku nuur, di atasku nuur, di bawahku nuur. Dan jadikanlah untukku nuur”.

Baginda sangatlah menekankan untuk bersungguh-sungguh di dalam doa ketika sujud dan bersabda: “Pastilah akan dikabulkan doa seorang yang bersujud”.*

*Pengarang menyebut hadith dengan maknanya. Lafaznya adalah: “Adapun sujud, maka bersungguhlah berdoa, maka pastilah diperkenankan doamu”.

DOA DI DALAM SUJUD

Doa itu DUA JENIS:

1.Doa memuji dan mengagungkan, serta

2. Doa permohonan dan permintaan.

Dan doa yang dibaca oleh Nabi SAW merangkumi keduanya (jenis doa tersebut).

Pengabulan doa juga ada DUA JENIS:

Satunya: Dikabulkan doa yang meminta dengan diberikan apa yang dimintanya dan ditunaikan hajatnya.

Keduanya: Digantikan permohonannya itu dengan pahala.

Dengan dua hal itulah ditafsirkan firman Allah SWT: “Aku menjawab/mengkabulkan doa orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKU..” [Al Baqarah; ayat 186]. Yang benar adalah ianya (pengabulan doa tersebut) merangkumi kedua-dua jenis yang tersebut di atas. WaLLahu a’lam.

Bersambung.

Akan menyusul fasal petunjuk Baginda SAW di dalam solat malam, insyaAllah.


-alfindani-

MTK,11.50 mlm, 6 Feb 2011, Ahad.

No comments: