Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Monday, January 31, 2011

ZAADUL MA'AAD - PETUNJUK NABI SAW DALAM HAL JENAZAH

Berhenti sejenak daripada mengepos entry-entry terjemahan kitab SifrusSa'adah, untuk kali ini akan ditampilkan pula terjemahan sebahagian daripada isi kitab Zaadul Ma'aad karangan Imam yang mulia, Ibn Qayyim Al-Jauziyyah rh.

Terjemahan ini adalah berkaitan jenazah dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Itupun hanyalah sebahagian awalnya sahaja. Ada beberapa mukasurat lagi tetapi kekangan masa tidak mengizinkan aku menterjemahnya lagi buat masa ini. Jika ada kelapangan masa, terjemahan seterusnya akan menyusul dalam masa tidak berapa lama, insyaAllah. Ya Allah, kurniakan aku kesempatan itu, ameen.

************************

Fasal: Petunjuk Nabi SAW tentang jenazah, dan solat ke atasnya, mengiringinya dan mengebumikannya. Dan apa yang didoakan kepada mayat di dalam solat jenazah dan setelah dikuburkan dan hal-hal yang bersangkutan dengannya.


Petunjuk Nabi SAW di dalam hal menguruskan jenazah adalah teladan yang paling sempurna, tidak menyerupai perbuatan umat-umat yang lain. Menyeluruh dari aspek berbuat ihsan kepada mayat serta segala yang mendatangkan manfaat kepadanya di alam kuburnya dan hari kebangkitannya. Serta berbuat ihsan kepada ahli keluarga dan kerabatnya yang ditinggalkannya. Serta dalam menegakkan hak peribadatan mereka yang masih hidup kepada Allah semata dalam apa yang dilakukan kepada si mayat itu.

Petunjuk Nabi SAW dalam pengurusan jenazah iaitu menegakkan hak peribadatan kepada Allah dengan keadaan yang paling sempurna, disamping berbuat ihsan kepada mayat dengan menghantarkannya untuk bertemu Allah dalam keadaan yang terbagus dan terbaik.

Iaitu dengan berdirinya Baginda dan para sahabat membentuk saf memuji Allah dan meminta keampunan untuk si mati, dan memohon maghfirah dan rahmat serta memohon dihindarkan (daripada kemurkaan dan azab).

Kemudian setelah itu berjalan di hadapannya (jenazah) sehingga meletakkannya di dalam persemadiannya, lalu Baginda bersama para sahabat berdiri menghadap jenazah itu di atas kuburnya sambil berdoa agar diteguhkan (tatsbit) yang mana itulah yang paling diharapkan olehnya (si mati).

Kemudian sentiasa berziarah kepadanya di kuburnya dan memberi salam kepadanya serta doa sepertimana seorang yang hidup mengunjungi dan berziarah kepada sahabatnya semasa di dunia.

###########################


Pertama-tamanya adalah: Mengunjunginya ketika sakit, sambil mengingatkannya kepada akhirat, memperingatkannya agar berwasiat dan bertaubat, serta memerintahkan kepada sesiapa yang hadir (di saat nazaknya) agar mentalqinkan (mengajarkan) syahadah “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” supaya itulah yang menjadi perkataannya yang terakhir (dari dunia ini).

Kemudian, (Baginda) melarang daripada melakukan kebiasaan umat yang tidak beriman kepada hari kebangkitan dan hari dihimpunkan segala makhluk di hadapan Allah; iaitulah kebiasaan menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan baju, mencukur kepala, menjerit-jerit dengan teriakan penyesalan, meratap dan yang seumpamanya.

Baginda mencontohkan agar tenang, tangisan yang lirih (tidak mengangkat suara), dan kesedihan di dalam hati yang mana baginda sendiri melakukan hal tersebut (ketika kematian anak Baginda Ibrahim) seraya bersabda: “bergenanglah airmata, dan berdukalah hati, namun kami tidak akan mengucapkan selain apa yang diredhoi Tuhan kami..”

Baginda mensunnahkan kepada ummatnya agar memuji Allah dan beristirja’ (mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun), serta redho dengan ketentuan Allah. Namun itu tidaklah menghalang dari tangisan dan kesedihan hati. Sedangkan Baginda adalah makhluk yang paling redho dengan ketentuan Allah dan paling agung pujiannya kepada Allah, namun begitu Baginda juga menangis kerana kasih sayang dan belas kasihnya pada hari kewafatan anaknya Ibrahim, dalam keadaan hati penuh dengan rasa redho dan syukur kepada Allah, serta lidah yang tidak hentinya berzikir dan memujaNya.


Bersambung insyaAllah...

No comments: