Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Monday, March 4, 2013

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 26


Sambungan...

Fasal: Galakan / Anjuran (Istihbab) membaca secara beramai-ramai di dalam perkumpulan / perjumpaan / perhimpunan. Kelebihan (fadhilat) orang-orang yang membaca berbanding orang yang hanya turut serta dan sekadar mendengar. Juga menerangkan kelebihan (fadhilat) orang yang menghimpunkan (tuan rumah / penganjur majlis) , menggalakkan dan mengalu-alukan agar orang datang (promoter dalam makna yang umum).


229 - Ketahuilah bahawa bacaan (Al-Quran) secara beramai-ramai / berjemaah di dalam perhimpunan / majlis / perkumpulan itu adalah sesuatu yang digalakkan / dianjurkan (mustahabbah) dengan dalil-dalil yang jelas, serta amalan para salaf dan khalaf yang mengukuhkan lagi kejelasan hal itu.

Sesungguhnya telah sahih daripada Nabi SAW daripada riwayat Abi Hurairah dan Abi Said Al-Khudri radhiyallahu anhuma bahawa Baginda SAW telah bersabda:

"Tiadalah satu kaum yang (berkumpul) mengingati Allah melainkan para malaikat akan menyertai dengan mengelilingi mereka, dan rahmat akan menyelubungi mereka. Serta as-sakinah (ketenangan / para malaikat khusus) akan turun kepada mereka dan Allah akan menyebut-nyebut mereka itu (Allah akan berbangga dengan mereka yang hadir itu) di kalangan para malaikatNya." 
[ Muslim, Tirmizi] Berkata At-Tirmizi: "Hadith hasan sohih".

230 - Daripada Abi Hurairah r.a , daripada Nabi SAW,sabdanya:

"Tidaklah berhimpun sesuatu perkumpulan di salah sebuah daripada rumah-rumah Allah (masjid) dengan membaca dan mempelajari Kitabullah sesama mereka, melainkan akan turun kepada mereka As-sakinah (ketenangan / para malaikat khusus) dan rahmat pun menyelubungi mereka. Para malaikat akan melingkungi mereka serta Allah akan menyebut-nyebut mereka (dengan penuh bangga) di kalangan para malaikat yang berada di sisiNya."
[Muslim, Abu Dawud dengan sanad sohih mengikut syarat Bukhari dan Muslim]

231 - Daripada Mu'awiyah r.a bahawa Rasulullah satu ketika telah keluar kepada satu halaqah (majlis duduk-duduk / lepak-lepak) segolongan para sahabatnya. Lalu Baginda SAW pun bertanya: "Apa yang menyebabkan kamu semua duduk berhimpun begini?" (Ada apa hangpa dok lepak-lepak ni? )

Mereka pun menjawab: Kami duduk berhimpun (bersembang-sembang) mengingati Allah dan memujiNya sebab telah memberi hidayah kepada kami sehingga kami masuk Islam serta memberi anugerah Islam kepada kami.

Mendengar itu Nabi lalu berkata: "Jibril SAW telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah berbangga dengan kamu di hadapan para MalaikatNya".
[Muslim, Tirmizi, Nasaie. Kata Tirmizi: "hadith hasan".]

Dan hadith-hadith berkenaan hal ini banyak sekali.

Bersambung...



~alfindani;04 Mac 2013; Isnin 9.50 pg,~



No comments: