Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, July 31, 2011

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 5

FASAL MENGAGUNGKAN ILMU DAN PEMILIKNYA


Ketahuilah! Seorang penuntut ilmu itu tidak akan dapat mencapai suatu ilmu dan memperoleh manfaat darinya melainkan dengan mengagungkan ilmu dan pemiliknya (ahli ilmu). Juga dengan memuliakan guru dan menghormatinya.

Ada dikatakan: ”Tidaklah sampai orang yang sampai itu kepada tujuannya, melainkan dengan sikap penghormatan. Dan tidaklah terhina orang yang terhina itu, melainkan dengan meninggalkan penghormatan dan pengagungan”.

Juga dikatakan: ”Penghormatan lebih baik daripada ketaatan”.

Tidakkah engkau melihat bahawa seseorang itu tidaklah dikafirkan dengan maksiat yang ia lakukan, namun ia dikafirkan dengan sebab meninggalkan penghormatan.

# Contohnya adalah seperti seseorang yang memperlekehkan sesuatu amalan agama atau Al Quran, maka ia akan menjadikannya murtad, na’uzubillah. Sikap memperlekehkan itulah yang dinamakan sebagai meninggalkan penghormatan.-pent

Termasuk di dalam mengagungkan ilmu ialah dengan memuliakan guru. Telah berkata Ali karramallahu wajhah: ”Aku adalah hamba kepada sesiapa yang mengajarkanku suatu huruf. Sekiranya ia mahu ia boleh menjualku. Atau jika ia mahu ia boleh membebaskanku. Sebaliknya jika ia mahu boleh saja ia menjadikanku khadam dan tawanan untuk berkhidmat kepadanya”.

Sesungguhnya telah dideklamasikan kepadaku berkenaan hal tersebut:

”Aku melihat hak guru paling layak untuk ditunaikan,

Amat wajiblah bagi Muslim untuk memeliharakan,

Sungguh berhaklah baginya sebagai penghormatan,

Dihadiahi seribu dirham bagi satu huruf yang diajarkan”.


Oleh itu, sesungguhnya sesiapa yang telah mengajarkanmu satu huruf yang engkau perlukan di dalam urusan agamamu, maka ia adalah bapamu di dalam agama.

Telah berkata Ustaz kami, Asy Syeikh Al Imam Sadiduddin Asy Syirazi: ”Syeikh-syeikh kami pernah berkata: ”Barangsiapa yang menginginkan anaknya menjadi alim, maka hendaklah ia meraikan para perantau yang menuntut ilmu dari kalangan para fuqaha; memuliakan mereka, menghormati dan memberikan sesuatu kepada mereka. Sekiranya anaknya tidak menjadi alim, maka cucunya nanti akan menjadi alim”.

Termasuk sikap memuliakan guru itu adalah dengan tidak berjalan di hadapannya, tidak duduk di tempatnya, tidak memulakan percakapan di sisinya melainkan dengan izinnya, tidak banyak bercakap ketika bersamanya, tidak bertanya kepadanya ketika ia keletihan, memerhatikan dan memelihara waktu, dan tidak mengetuk pintunya, bahkan sebaliknya bersabar menunggu sehingga gurunya sendiri yang keluar.

Maka tujuan utama daripada semua itu adalah untuk dia mencari keredhoaan gurunya dan menjauhi kemarahannya serta mentaati perintah dan suruhannya pada perkara-perkara yang tidak maksiat kepada Allah Ta’ala, kerana tiada ketaatan kepada makhluk di dalam hal maksiat kepada Allah.

Juga terkira di dalam penghormatan kepada guru adalah dengan menghormati anak-anaknya dan sesiapa juga yang berkaitan dengannya. Ustaz kami, Syeikh Al Islam Burhanuddin, pengarang kitab Al Hidayah pernah menceritakan bahawa ada seorang daripada tokoh ulama Bukhara sedang duduk di dalam majlis pengajarannya. Namun kadangkala beliau bangun berdiri kemudian duduk kembali berulang-ulang kali. Lalu para pelajarnya menanyakan kepadanya tentang hal tersebut. Maka jawabnya: ”Sesungguhnya seorang anak lelaki guruku sedang bermain bersama kanak-kanak yang lain di lorong sana. Apabila aku melihatnya mendekat ke tempat pengajian kita ini, maka aku pun bangun berdiri sebagai satu penghormatan kepada guruku”.

Al Qadhi Al Imam Fakhruddin Al Arsabandi merupakan ketua para ulama di Marw. Sultan sangatlah menghormati beliau dengan sepenuh penghormatan. Katanya: ”Hanyasanya yang membuatkanku mendapat kedudukan seperti ini adalah dengan menghormati guru. Aku dahulu berkhidmat kepada guruku Abu Yazid Ad Dabuusi. Akulah yang berkhidmat kepadanya dan memasakkan makanan dan aku tidak memakan daripada makanan itu sedikit pun”.

Asy Syeikh Al Imam Al Ajall Syamsul A-Immah Al Halwani suatu ketika pernah keluar daripada Bukhara dan menetap di sebahagian kampung kerana sesuatu peristiwa yang berlaku. Maka para pelajarnya pun berdatangan bagi menziarahinya, melainkan Asy Syeikh Al Qadhi Abu Bakr Az Zarnuji. Apabila mereka bertemu setelah itu, maka Syeikh Al Halwani pun bertanya: ”Mengapakah engkau tidak menziarahiku tempoh hari?”. Maka jawabnya: ”Aku ketika itu sedang sibuk menguruskan ibuku”. Lantas berkatalah Al Halwani: ”Engkau akan dikurniakan umur panjang, tetapi tidak dikurniakan keindahan memberi pengajaran”.

Maka itulah yang berlaku kepadanya. Beliau pada kebanyakan masanya berada di kampung dan tidak pernah dibuatkan majlis pengajaran untuk beliau mengajar.

# Ini menunjukkan majlis-majlis ilmu pada kebiasaannya lebih bertumpu di pekan-pekan dan kota-kota besar kerana di sanalah berkumpulnya ramai manusia yang datang dari pelbagai daerah dan negeri bahkan daripada luar negara juga. Dengan itu pertukaran budaya dan maklumat lebih cepat berlaku dan membentuk masyarakat yang lebih terbuka minda dan cara berfikir mereka.

Realiti hari ini juga menampakkan kepada kita bahawa hal sedemikianlah yang berlaku. Masjid-masjid di kota penuh terisi jadual majlis ilmiahnya dengan jemputan tokoh-tokoh yang hebat-hebat. Hal ini tentulah tidak kita temui pada masjid-masjid di kampung-kampung. Maka jika ada tokoh yang hebat dan banyak ilmunya sekalipun, ilmunya tidak akan benar-benar dapat dimanfaatkan jika ia kebanyakan masanya menetap di kampung sahaja. Seperti itu jugalah yang dimaksudkan di dalam kisah yang berlaku kepada Syeikh Abu Bakr Az Zarnuji di atas, selain maksud utamanya ingin menegaskan pentingnya menjaga hati guru.-pent

Maka barangsiapa yang mengecilkan hati gurunya, akan diharamkan keberkatan ilmu kepadanya serta ilmunya tidak akan dapat dimanfaatkan kecuali sedikit sekali.

”Sesungguhnya guru dan doktor itu kedua-duanya,

Tidak berguna nasihat mereka tanpa menghormatinya,

Bertahanlah dengan penyakitmu jika nasihat doktor engkau tak menerima,

Dan tetaplah dalam jahilmu, jika nasihat guru kau anggap tak berguna”.


Diceritakan bahawa khalifah Harun Ar Rasyid pernah menghantar puteranya kepada Al Ashma’ie untuk beliau mengajarkannya dengan ilmu dan adab. Ternyata pada suatu hari Baginda telah terlihat Al Ashma’ie sedang berwudhu’ pada membasuh kakinya, manakala puteranya pula sedang berdiri menuangkan air ke atas kaki Al Ashma’ie.

Lantas Baginda menyangkal perbuatan Al Ashmai’e tersebut dengan bertitah: ”Sesungguhnya aku menghantar puteraku ini hanya semata-mata untuk engkau mengajarinya dengan ilmu dan adab! Maka mengapakah tidak engkau menyuruh dia menuangkan air kepadamu dengan sebelah tangannya, manakala tangannya yang satu lagi untuk dia membasuh kakimu?!”

# MasyaAllah! Inilah dia khalifah yang mengetahui tentang keagungan ilmu dan kebesaran para ulama. Tentunya yang tergambar di dalam fikiran kita pada pertama kalinya bahawa khalifah akan memarahi Al Ashma’ie kerana memperlakukan puteranya seperti hamba yang tidak layak untuk diperlakukan sedemikian.

Namun sebaliknya yang berlaku apabila khalifah memandang bahawa apa yang dilakukan oleh puteranya itu belum cukup memadai sebagai penghormatan dan khidmat kepada gurunya, bahkan seharusnya puteranya patut disuruh melakukan lebih daripada sekadar menuangkan air dan membiarkan Al Asma’ie membasuh sendiri kaki, iaitu dengan puteranya menggunakan sebelah tangan untuk menuangkan air, dan sebelah lagi bagi menggosok kaki Al Ashma’ie.

Mungkin ada di antara kita di zaman ini yang menganggap perkara ini terlalu berlebih-lebihan, tetapi jika benar kisah ini, maka sepatutnya kita merasa malu dengan diri kita sendiri yang merasa diri sudah cukup pandai dan hebat sekalipun baru mengetahui sekelumit ilmu sehingga bukan sekadar tidak menghormati dan beradab dengan para ulama’, bahkan membiarkan pula lidah dan tulisan kita mengkritik dan meremehkan para ulama sebelum kita dengan berselindung di balik alasan-alasan ilmiah seperti para ulama’ bukannya maksum, para ulama itu laki-laki dan kita juga laki-laki dan bermacam-macam lagi alasannya.

Kita tidaklah mengatakan para ulama itu tidak langsung boleh dikritik, namun kritikan yang dihalakan itu biarlah dengan beradab dan berbahasa yang sopan tanpa nada yang meremehkan dan memandang lekeh. Semoga sedikit teguran ini menjadi suatu muhasabah untuk diri saya dan anda yang membaca. Amin.-pent


Di antara pengagungan terhadap ilmu itu adalah dengan menghormati kitab atau buku. Maka tidaklah seharusnya seorang penuntut ilmu itu mengambil kitab melainkan dalam keadaan dirinya bersuci.

Diceritakan daripada Asy Syeikh Al Imam Al A-immah Al Halwani berkata: ”Hanya sesungguhnya yang membuatkan aku telah mencapai keilmuanku ini adalah dengan pengagungan. Sesungguhnya aku tidak pernah mengambil sebuah kitab melainkan dalam keadaan aku ini bersuci”.

Adalah Al Imam Syamsul A-Immah As Sarkhasi pula pernah mengalami sakit perut yang menyebabkan kerap terbatal wudhuknya. Beliau kebiasaannya mengulangkaji pelajarannya pada waktu malam. Maka beliau pada malam itu sahaja mengulang berwudhuk sebanyak tujuh belas (17) kali disebabkan beliau tidak akan mengulangkaji melainkan dalam keadaan bersuci.

Ini adalah kerana ilmu itu sendiri adalah cahaya, dan wudhu juga adalah cahaya, maka akan bertambah-tambahlah nur ilmu dengan ditambahi nur wudhuk itu.

Termasuk penghormatan yang mesti, iaitu janganlah ia melunjurkan kakinya ke arah kitab.

Hendaklah ia meletakkan kitab-kitab tafsir di atas sekali pada susunan kitab-kitab sebagai penghormatan kepada ilmu tafsir itu yang ianya berkait dengan Al Quran. Dan janganlah ia meletakkan di atas kitab itu sesuatu apa pun.

Ustaz kami Burhanuddin ada menceritakan daripada seorang daripada para Syeikhnya, bahawa ada seorang ahli fiqah (faqih) yang telah meletakkan bekas dakwat di atas kitab. Lantas Syeikh tersebut berkata kepada faqih itu di dalam bahasa Farsi yang bermaksud: ”Nampaknya kami tidak melihat manfaat ilmumu”.

# Bermaksud: engkau sebagai seorang faqih patut tahu untuk beradab kepada kitab, tapi perbuatanmu ini seolah-olah ilmumu itu tidak menjadikanmu beradab, maka kami tidak nampak yang ilmumu itu memberi manfaat kepadamu. Wallahu a’lam.-pent

Ustaz kami, Al Qadhi Al Ajall Fakhrul Islam yang lebih dikenali dengan gelar Qadhi Khan berkata: ”Jika ia (penuntut ilmu) tidak bermaksud dengan perbuatan itu (meletakkan sesuatu di atas buku) sebagai meremehkan atau memperlekehkan, maka tidak apa-apa. Tetapi yang lebih utama hendaklah ia mengelakkan melakukannya.”

# Inilah yang benar dalam hal ini. Semuanya berbalik kepada niat dan isi hati seseorang itu. Kerana adakalanya kita terpaksa meletakkan penindih kertas contohnya, sebagai mengelakkan kertas terselak daripada mukasurat yang sedang kita tatap. Atau kadangkala kita meletakkan sesuatu tanpa ada niat, sekadar meletak sahaja. Dan begitulah.

Namun sudah seharusnya bagi orang yang menyimpan rasa pengagungan di dalam hatinya terhadap ilmu akan merasa kurang selesa melihat hal yang sedemikian, apalagi melakukannya. Tetapi sekiranya kita melihat ada yang melakukannya, maka tidak seharusnya kita mencela atau mengkritiknya dengan keras sebagai tidak beradab atau lainnya, kerana mungkin sahaja dia sendiri mengetahui hal itu. Wallahu a’lam.-pent


Di antara sikap mengagungkan ilmu, hendaklah ia memperelokkan tulisannya pada kitab dan jangan sesekali menulis dengan kecil dan berkeremut sehingga sukar dibaca. Hendaklah ia meninggalkan perbuatan menulis catatan pinggir (Hasyiah/mendhobit) yang ditulis dengan kecil dan berkeremut, melainkan jika ada keperluan yang mendesak.

Imam Abu Hanifah telah melihat penulis kitab menulis dengan tulisan yang berkeremut, lalu katanya: ”Janganlah engkau menulis dengan berkeremut. Kerana sekiranya engkau hidup lama, engkau nanti akan menyesal. Sebaliknya jika engkau meninggal, engkau akan dikecam”.

Yakni, jika engkau sudah tua dan lemah pula penglihatanmu, maka ketika itu engkau akan menyesal dengan tulisanmu itu kerana sukar sekali bagimu untuk membacanya.

# Jika engkau meninggal dunia pula, dan ada warismu atau orang lain yang hendak membaca kitabmu itu, nescaya mereka akan mengecammu pula keran sukarnya membaca tulisanmu itu. Wallahu a’lam.-pent

Dihikayatkan daripada Asy-Syeikh Al Imam Muhammad Majduddin Ash Shorhaki rahimahullah, katanya: ”Apa-apa yang dulunya kami tulis dengan berkeremut kini kami kesali. Apa-apa yang dulunya kami menulis sekadar ringkasan, kini kami kesali. Dan apa-apa yang tidak kami bandingkan (catatan kami dengan catatan orang lain) juga kami kesali”.

Hendaknya seorang penuntut ilmu itu menjadikan kitabnya berbentuk empat segi (bukan sebaliknya menggulung-gulungnya). Kerana ia sesungguhnya adalah seperti yang dilakukan oleh Abu Hanifah rahimahullah, dan ianya lebih senang untuk mengangkat (dan membawanya), serta meletaknya juga mudah untuk digunakan semasa mengulangkaji.

Sepatutnya juga ia tidak menjadikan pada kitabnya sesuatu yang berwarna merah. Kerana ia adalah perbuatan ahli falsafah dan bukannya teladan dari salaful ummah. Ada di antara para guru kami tidak menyukai penggunaan (markab) tunggangan berwarna merah.

# Mungkin yang dimaksudkan di sini adalah penggunaan dakwat merah untuk menulis ilmu. Tetapi haruslah kita fahami bahawa hal ini bukanlah merupakan suatu keharaman. Bahkan apabila ditelusuri sejarah rasmul Quran, kita akan dapati di sana mula-mula ditandakan baris pada Al Quran adalah dengan memberi titik-titik berwarna merah.-pent

Termasuk mengagungkan ilmu adalah memuliakan rakan sepengajian dan sesiapa yang diambil ilmu daripadanya, (yakni ustaz).


Bersambung..

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 4

FASAL: MEMILIH ILMU, USTAZ/GURU DAN TEMAN SEPENGAJIAN SERTA TEGUH DIRI DALAM MENUNTUT ILMU


Seorang penuntut ilmu itu mestilah memilih daripada ilmu-ilmu yang ingin dipelajarinya itu, ilmu yang terbaik untuk ia mempelajarinya. Iaitu ilmu tentang apa yang diperlukan bagi urusan agamanya pada masa kini (ilmul haal), kemudian ilmu tentang apa yang ia perlukan untuk masa yang mendatang.

Maka hendaklah ia memulakan dengan mempelajari ilmu tauhid, dan mengenal Allah melalui dalil-dalil, kerana sesungguhnya iman orang yang ikut-ikutan itu sekalipun sah mengikut pandangan ulama kita, tetapi tetaplah dikira orang tersebut sebagai berdosa kerana meninggalkan pengetahuan tentang dalil-dalil (untuk mengukuhkan keimanan dengan sesungguhnya).

Seterusnya hendaklah ia memilih ilmu yang lama (yang dimaksudkan adalah ilmu Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh) berbanding ilmu yang baru-baru lagi diada-adakan.

Para ulama telah berkata: ”Berpeganglah kamu dengan yang lama, dan jaga-jagalah daripada setiap yang baru lagi diada-adakan”.

Jauhkanlah dirimu daripada perdebatan yang baru muncul setelah berlalunya zaman para tokoh ulama yang hebat-hebat, kerana ia sesungguhnya akan menjauhkan seorang penuntut ilmu daripada fiqh dan kefahaman.

Juga ianya hanya akan menyia-nyiakan umur dan menyebabkan keliaran hati antara sesama serta membawa kepada permusuhan. Perdebatan itu adalah termasuk di antara tanda-tanda kiamat dan terangkatnya ilmu dan kefahaman. Demikianlah seperti yang tersebut di dalam hadith Nabi SAW.

Adapun tentang memilih guru, maka hendaklah ia memilih guru yang paling alim, paling warak dan paling tua umurnya, sepertimana Imam Abu Hanifah telah memilih Hammad bin Sulaiman setelah menyelidik dan menimbang-nimbang serta memikirkan.

Kata Abu Hanifah: ”Aku mendapati beliau adalah seorang yang berumur, tenang wataknya, lemah-lembut dan tidak mudah marah, serta penyabar”.

Kata beliau lagi: ”Aku menyabarkan diri dengan tetap teguh bersama Hammad bin Abi Sulaiman, maka aku tumbuh membesar (di dalam lapangan ilmu)”.

Beliau juga berkata: ”Aku telah mendengar seorang yang bijaksana daripada para hukamak Samarqand menceritakan: katanya: ”Sesungguhnya telah ada seorang penuntut ilmu yang meminta pandanganku dalam hal menuntut ilmu. Ia sememangnya telah bertekad untuk mengembara ke Bukhara bagi mendapatkan ilmu...

Beginilah seharusnya bagi seorang penuntut ilmu itu untuk ia bermesyuarat di dalam setiap urusan, kerana Allah SWT sendiri telah menyuruh RasulNya SAW agar bermesyuarat di dalam urusan-urusan tertentu, sekalipun ternyata sememangnya tidak ada manusia yang lebih bijaksana daripada Nabi SAW. Meskipun begitu, Baginda tetap disuruh untuk bermesyuarat.

Baginda SAW bermesyuarat dengan para Sahabat radhiyallahu ’anhum di dalam segala urusan sehinggakan di dalam urusan keperluan rumahtangga.

Telah berkata Sayyidina Ali: ”Tidak akan celaka seseorang dengan bermesyuarat”.

Ada disebutkan: ”Terdapat tiga jenis laki-laki.

Pertamanya; lelaki yang boleh dikatakan laki-laki yang sebenarnya.

Keduanya; lelaki yang dikatakan sebagai separuh laki-laki.

Dan ketiganya; lelaki yang tidak bernilai apa pun.

Laki-laki jenis pertama adalah yang memiliki pandangan dan akal yang tepat dan benar serta boleh dibawa berbincang atau bermesyuarat. Jenis yang kedua pula iaitu lelaki yang memiliki akal dan pandangan yang benar, namun tidak sesuai untuk dibawa bermesyuarat atau berbincang. Manakala yang ketiga adalah lelaki yang tidak punya pandangan yang benar dan tepat, serta tidak pula boleh dibawa bermesyuarat dan bertukar pendapat”.*

*Ini adalah perkataan Ibn Abbas r.anhuma seperti yang aku terbaca di dalam Al-Bidayah wan Nihayah oleh Imam Ibn Katsir ketika membicarakan tentang riwayat hidup Ibn Abbas r.anhuma.


Telah berkata Ja’far Ash Shodiq kepada Sufyan Ats Tsauri rahimahumullah: ”Bermesyuaratlah dalam urusanmu dengan mereka yang takutkan Allah”. Menuntut ilmu adalah suatu urusan yang agung dan yang paling sukar, maka bermesyuarat tentang hal menuntut ilmu itu tentulah terlebih penting dan terlebih wajib untuk dilakukan.

(Sambungan cerita). Maka berkatalah orang yang bijaksana tersebut: ”Apabila engkau telah sampai ke Bukhara, maka jangan terlalu tergesa-gesa untuk pulang pergi kepada majlis para ulama yang berbeza-beza. Duduklah dahulu selama dua bulan sehingga engkau telah menyelidik dan menimbang-nimbang, lalu memilih seorang guru. Kerana engkau, sekiranya engkau telah pergi kepada seorang alim dan memulakan pelajaran dengannya, maka boleh jadi engkau tidak berkenan dengan pengajarannya sehingga membuatkan engkau meninggalkannya untuk pergi kepada guru yang lain. Maka ketika itu tidak akan diberkati dirimu di dalam menuntut ilmu”.

Maka selidiki dan timbang-timbangkanlah selama dua bulan dalam memilih guru, serta mintalah buah fikiran orang lain, sehingga tidak memerlukan engkau untuk meninggalkannya dan berpaling daripada pengajiannya. Setelah itu tetaplah teguh dan bersabar bersamanya sehingga jadilah ilmumu itu diberkati dan memberi manfaat yang banyak kepadamu.

# Ini adalah adab yang telah boleh kita katakan telah pupus daripada penuntut ilmu di zaman kita ini. Alangkah mereka amat menjaga hati para guru agar tidak terguris dan tercalar akibat tindak-tanduk diri yang bergelar pelajar. Meskipun diketahui para ulama itu sangat penyabar, lapang dada dan pemaaf, namun seorang penuntut ilmu seharusnya sedar diri dan menjaga adab sebagai tanda yang dirinya bersedia untuk bergelar seorang penuntut ilmu yang sebenar.

Betapa dapat kita lihat dan merasakan aura keberkatan para ulama dahulu sekalipun mereka telah lama pergi, melalui kitab-kitab yang diwariskan oleh mereka. Ini semua adalah tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan mereka sangat-sangat mempraktikkan adab di dalam menuntut ilmu. Maka bagaimanakah kiranya diri kita ini? Sewajarnyalah kita berpedoman kepada sirah para ulama dahulu dan menghidupkan kembali adab-adab di dalam menuntut ilmu, mudah-mudahan dengan itu ilmu kita akan diberkati dan memberi manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat. Amin.-pent


Ketahuilah bahawa kesabaran dan tetap teguh hati itu adalah paksi yang utama di dalam segenap perkara. Tetapi ianya amat jarang didapati. Seumpama kata serangkap syair:

” Untuk meraih keunggulan, setiap orang punya peluang,

Namun laki-laki yang teguh pendirian teramatlah kurang”


Ada disebutkan bahawa: ”Yang dinamakan keberanian itu adalah bersabar sesaat”

Maka hendaklah seorang penuntut ilmu itu teguh pendirian dan bersabar pada gurunya dan pada kitabnya, sehingga tidaklah ia terbiar akhirnya menjadi orang yang terbantut. Demikian juga hendaknya ia bersabar mempelajari suatu ilmu sebelum terjun ke dalam ilmu yang lain tanpa benar-benar menekuni ilmu yang pertama.

Juga hendaklah ia bersabar pada suatu negeri yang ia belajar di situ sebelum ia berangkat ke negeri yang lain tanpa keperluan mendesak. Ini kerana sesungguhnya semua itu akan mencerai-beraikan urusannya dan memecah-belahkan fokusnya serta menyia-nyiakan waktunya dan juga menyakiti hati gurunya.

Selain itu, hendaklah juga ia bersabar daripada apa yang diinginkan oleh hawa nafsu serta keinginannya. Berkata seorang penyair:

”Hawa nafsu itu ia sendiri sebenar-benarnya hina,

Maka siapa yang menuruti setiap hawanya, ia menuruti kehinaan sebenarnya”.

Hendaknya juga ia bersabar di atas setia cubaan dan bala. Ada dikatakan:

”Khazanah impian itu tersimpan di dalam gedung cubaan”

Pernah dideklamasikan kepadaku seuntaian syair, yang dikatakan berasal daripada Ali bin Abi Talib:

”Ketahuilah! Tidak engkau dapatkan ilmu tanpa enam perkara.

Akan aku beritahukan kepadamu akan penjelasannya.

Kecerdikan, keinginan yang sungguh, sabar dan cukup belanja.

Ditambah bimbingan guru dan lamanya masa”.


Adapun dalam hal memilih teman sepengajian pula, maka hendaklah ia memilih teman yang bersungguh-sungguh, warak dan bertabiat baik serta cepat faham. Hindarilah teman yang bersikap pemalas dan suka menunda-nunda, banyak bicara, suka berbuat kerosakan dan kaki adu domba. Ada disebutkan:

” Tentang hal seseorang, tidak perlu engkau tanyakan,

Hanya lihatlah, dengan siapa ia berkawan.

Sesungguhnya seorang teman, dengan temannya lah ia berpedoman,

Jika ternyata pelaku kejahatan, maka segeralah engkau hindarkan,

Andai ia pemilik kebaikan, berkawanlah! Engkau kan ditunjuk jalan”.


Juga diungkapkan kepadaku sebuah syair:

”Janganlah berkawan dengan pemalas dalam segala halnya,

Betapa banyak si baik menjadi rosak kerana taulannya.

Penyakit kebodohan itu kepada si cerdik cepat sekali merebaknya,

Seperti bara dicampak ke abu, cepat pula padam apinya”.


Sabda Nabi SAW: ”Setiap bayi itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah Islam. Melainkan kedua ibu bapanya jualah yang bakal menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”.

# Hal ini membayangkan betapa kuatnya pengaruh lingkungan dan persekitaran serta pergaulan di dalam menentu arah dan membentuk hidup seseorang itu.-pent


Disebutkan di dalam sebuah untaian hikmah berbahasa Parsi yang bererti:

”Teman yang jahat itu lebih berbahaya daripada ular berbisa,

Demi Allah Tempat bergantung lagi Maha Esa,

Teman yang jahat menyeretmu ke jurang neraka,

Carilah teman yang baik! Ia kan menuntunmu ke taman syurga”.

Juga dikatakan:

”Jika engkau mencari ilmu dari ahlinya,

Atau petanda bagi perkara yang tidak nyata,

Maka kenalilah tanah berdasarkan namanya,

Dan kenalilah seseorang melalui temannya”.

***


Bersambung...

Saturday, July 30, 2011

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 3

NIAT DI DALAM MENUNTUT ILMU

Niat amatlah penting semasa menuntut ilmu. Kerana niat adalah perkara pokok dalam setiap keadaan, berdasarkan sabda Nabi SAW: ”Sesungguhnya setiap amalan itu mengikut niatnya..” . Hadith sohih.

Daripada RasuliLlah SAW lagi:

”Berapa banyak amalan yang kelihatan seperti amalan keduniaan namun bertukar menjadi amalan akhirat dengan bagusnya niat. Dan berapa banyak pula amalan yang kelihatannya amalan akhirat, namun bertukar menjadi amalan dunia kerana buruknya niat”.

Hendaknya seorang yang menuntut ilmu itu berniat dengan menuntut ilmu tersebut untuk mendapat keredhaan Allah dan kehidupan akhirat. Juga untuk menghilangkan kejahilan daripada dirinya dan seluruh orang jahil yang lain. Serta untuk menghidupkan agama dan melestarikan / mengekalkan Islam itu sendiri. Kerana sesungguhnya Islam itu tidak akan kekal selain dengan ilmu. Dan tidaklah sah kezuhudan dan ketaqwaan itu, melainkan yang dilakukan berdasarkan ilmu.

Syeikh Al Imam Al Ajall Burhanuddin, pengarang kitab Hidayah, telah mendeklamasikan seuntaian syair kepada para pelajarnya yang berbunyi:

”Kerosakan terbesar adalah seorang alim yang tak tahu malu,

Namun lebih besar lagi adalah si jahil yang ibadat kuat melulu,

Kedua-duanya cubaan besar kepada seluruh manusia,

Bagi yang menjadikan mereka ikutan di dalam beragama”.


Haruslah juga ia berniat untuk menunaikan kesyukuran dengan menuntut ilmu itu ke atas nikmat akal dan kesihatan badan yang telah dikurniakan Allah. Dan tidak sepatutnya ia berniat untuk menarik perhatian manusia kepadanya atau merebut habuan dunia dan kedekatan dan kemuliaan di sisi pemerintah dan yang seumpamanya (daripada golongan kaya, ahli korporat dan para tauke contohnya).

Telah berkata Muhammad bin Al Hasan: ”Kalaulah semua manusia itu para hambaku, pastilah aku akan membebaskan mereka semua dan melepaskan diri daripada ketaatan dan keterkaitan dengan mereka”.

Barangsiapa yang telah mengecapi kelazatan ilmu, maka akan kuranglah kegemarannya kepada apa yang ada pada tangan manusia. Telah mendeklamasikan kepada kami oleh Asy Syeikh Al Imam Al Ajall, Al Ustaz Qiwamuddin Hammad bin Ibrahim bin Ismail Ash Shoffar Al Anshori, seuntaian syair Imam Abu Hanifah rahimahullah yang berbunyi:

”Barangsiapa yang menuntut ilmu kerana akhirat,

Ia kan beruntung dengan mendapat petunjuk yang tepat.

Oh! Sungguh merugilah barangsiapa yang menuntutnya,

Hanya ’tuk mendapatkan apa yang di tangan para hamba”.


Kecualilah apabila ia mencari pangkat kedudukan atau kemegahan itu dengan tujuan untuk amar ma’ruf dan nahi mungkar serta melaksanakan kebenaran dan bagi menempatkan agama pada kedudukan yang mulia, bukannya untuk dirinya sendiri dan hawa nafsunya. Maka ketika itu menjadi haruslah baginya sekadar untuk membolehkannya menegakkan amar ma’ruf dan nahi mungkar itu.

Seorang penuntut ilmu mestilah merenung dan memikirkan hal tersebut. Kerana sesungguhnya ia telah berusaha mendapatkan ilmu itu dengan menempuhi kepayahan dan kelelahan yang cukup banyak. Maka tidak sepatutnyalah ia menukarnya dengan matabenda dunia yang hina lagi sedikit serta tidak kekal abadi ini.

Paling sedikit di antara yang sedikit; itulah dunia,

Dan para pencintanya paling hina di kalangan mereka yang hina.

Sihirnya memekakkan suatu golongan dan membutakan mereka,

Maka menjadilah mereka kebingungan tanpa penunjuk arahnya.


Hendaknya seorang yang berilmu itu tidak menghinakan dirinya sendiri dengan bersikap tamak pada apa yang tidak sepatutnya ia patut merasa tamak. Dan hendaklah ia menjaga diri daripada apa-apa yang boleh menyebabkan kehinaan kepada ilmu dan para pemiliknya.

Hendaknya ia bersikap tawadhu’ yang mana tawadhu’ itu berada pertengahan di antara sikap takabbur dan menghinakan diri. Juga hendaklah ia bersikap ’iffah iaitu menjaga kehormatan diri. Demikianlah. Dan semua yang tersebut itu dapat diketahui melalui kitab yang membicarakan tentang akhlak.

Telah bersyair Asy Syeikh Al Imam Al Ajall Al Ustaz Ruknul Islam yang dikenali sebagai Sasterawan Terpilih, dengan sebuah syair kepada diri beliau sendiri yang berbunyi:

”Sesungguhnya tawadhu’ adalah akhlak orang yang bertaqwa,

Dengannya jualah ketinggian martabat didaki mereka,

Menghairankan sekali, bagaimana si jahil itu ’ujub dengan dirinya,

Sedang ia sendiri tidak tahu, apakah dirinya nanti bahagia atau celaka,

Atau bagaimanakah pula ia kan menutup riwayat hidupnya,

Apakah ruhnya dibawa naik ke atas atau dihumban sahaja.

Sombong itu sifat khusus bagi Tuhan kita,

Maka hindarilah ia dan berjaga-jagalah darinya”.


Telah berkata Abu Hanifah rahimahullah kepada para muridnya: ”Perbesarkanlah lilitan serban-serban kamu, dan lebarkanlah lengan-lengan jubah kamu!”. Hanyasanya yang membuatkan beliau mengatakan demikian adalah supaya ilmu dan para pemiliknya itu tidak dipandang remeh.

# Ini kerana manusia secara umumnya lebih memandang kepada zahir yang tampak padanya. Kerana itulah sering saja si jahil yang berpakaian seperti para ulama dengan serban dan jubahnya terutama di zaman kita ini turut diangkat sebagai si alim kerana masyarakat tertipu dengan penampilannya. Melihatkan penerimaan masyarakat kepadanya, ia pula turut terbelit dengan tipuan syaitan berupa sifat ’ujub sehingga berani pula ia berfatwa sehinggakan di dalam perkara-perkara yang kita rasakan jika disodorkan masalah itu kepada Umar radhiyallahu anhu pastilah beliau mengumpulkan Ahli Badar untuk menyelesaikannya.Kita berlindung kepada Allah daripada menjadi orang yang memperhiaskan rupa zahir tanpa memperhatikan batin.-pent


Hendaklah seorang penuntut ilmu itu mempelajari kitab Al Washiyyah yang telah ditulis oleh Imam Abu Hanifah kepada Yusuf bin Khalid As Samti ketika mana ia (Khalid) ingin pulang kepada ahli keluarganya (setelah menuntut ilmu kepada Imam Abu Hanifah). Sesiapa yang mencari kitab itu akan mendapatinya.

Ustaz kami juga, iaitu Asy Syeikh Al Imam Burhanul A-immah Ali bin Abi Bakr –semoga Allah mensucikan rohnya yang mulia- pernah menyuruhku untuk menulis kitab tersebut ketika aku ingin pulang ke negeriku, maka aku pun telah menulisnya. Maka sudah seharusnya bagi para guru dan mufti menggunakan kitab tersebut di dalam berurusan (muamalat) dengan manusia.

#Ini mungkin disebabkan di dalam kitab Al Washoya (Pesanan-pesanan) itu terdapat pesan-pesan dan tunjuk ajar yang maha penting oleh Imam Abu Hanifah.-pent

***

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 2


HAKIKAT ILMU, FIQH DAN KELEBIHANNYA


Sabda Rasulullah SAW: ”Menuntut ilmu itu satu kefardhuan bagi setiap muslim dan muslimah”.
#Hadith di atas dihasankan oleh sebahagian ulama. Namun tanpa tambahan ومسلمة

Ketahuilah bahawa tidaklah difardhukan ke atas setiap muslim dan muslimah untuk menuntut semua jenis ilmu. Tetapi yang disuruh adalah menuntut ilmu hal, [iaitu ilmu tentang keadaan yang terkait dengan dirinya pada waktu ini] iaitu sepertimana disebut: ”Sebaik-baik ilmu adalah ilmu hal, dan sebaik-baik amalan adalah memelihara hal”.

[Hal bermaksud; 1) keadaan; seperti bahasan dalam ilmu tasawwuf. 2) waktu kini/sekarang. di sini mungkin merujuk pada makna kedua yang bermaksud "Mengetahui apakah perintah dan larangan Allah ke atas diri saya waktu ini" ]

Maka seorang muslim wajib mempelajari ilmu yang berkaitan dengan hal dirinya, seperti contoh dia mesti bersolat dan ingin menunaikan solat; maka mestilah ia mempelajari hal-hal yang fardhu berkaitan dengan solatnya [contohnya syarat sah solat, perkara membatalkan solat dan rukun solat] sepertimana juga ia perlu mengetahui tentang perkara yang wajib di dalam solatnya [seperti bacaan yang wajib di dalam solat]

#Pengarang membezakan fardhu dan wajib di dalam solat kerana beliau rahimahullah bermazhab Hanafi yang mana fardhu dan wajib membawa maksud yang berbeza.-pent

Ini adalah kerana sesuatu yang membawa kepada terlaksananya perkara yang fardhu adalah fardhu pula. Demikian juga perkara yang membawa kepada terlaksananya perkara yang wajib hukumnya dikira wajib. Begitulah seterusnya pada puasa, zakat –jika ia memiliki harta- haji –sekiranya ia berkemampuan-, juga dalam hal jual beli –jika ia seorang peniaga-.

Pernah ditanyakan kepada Muhammad bin Al-Hasan rh: ”Mengapakah tuan tidak menulis kitab tentang zuhud? Jawab beliau: ”Aku telahpun menulis kitab tentang jual beli”. Maksudnya, orang yang zuhud itu adalah seorang yang menjauhi perkara-perkara yang syubhat dan makruh di dalam jual beli.

#[ Maka sekalipun beliau menulis kitab tentang jual beli, sebenarnya ia adalah mengandungi takrif zuhud yang sebenarnya. Di sini dapat dilihat betapa mendalamnya pemahaman tokoh ulamak ini yang memandang bahawa zuhud yang sebenarnya bukanlah dengan meninggalkan urusan kehidupan dan memakai yang lusuh dan sebagainya sepertimana yang sering disalah fahami oleh kebanyakan manusia sebaliknya Imam Muhammad Al-Hasan –daripada jawapan beliau- menunjukkan kepada kita bahawa orang yang zuhud yang sebenar adalah dengan menetapkan diri di atas landasan agama dengan menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan makruh sekalipun ia seorang yang berjaya di dalam perniagaan -pent]

Demikianlah seterusnya dalam seluruh hal muamalat dan perusahaan, maka bagi sesiapa yang menyibukkan diri dengan urusan itu, maka wajib baginya mempunyai ilmu untuk menghindari perkara-perkara yang diharamkan di dalam urusan tersebut.

Selain itu seorang muslim diwajibkan mempunyai ilmu tentang keadaan hati [ibadah berkaitan hati] seumpama tawakkal, taubat, rasa takut kepada Allah dan redho [dan lain-lain] kerana ianya berlaku di dalam setiap keadaan di sepanjang kehidupannya.

Kemuliaan ilmu adalah tidak tersembunyi lagi bagi setiap orang. Ilmu adalah sesuatu yang memang terkhusus kepada manusia. Ini disebabkan dalam hal-hal yang lain, manusia dan haiwan sama sahaja keadaannya, seperti keberanian, keteguhan hati, kekuatan tenaga, pemurah, belas kasihan dan lain-lain [bahkan mungkin manusia lebih lemah daripada haiwan dalam hal-hal itu, seperti kepantasan berlari kita jika dibandingkan dengan seekor cheetah, kekuatan kita jika dibandingkan dengan seekor beruang, ketahanan kita untuk menyelam di dalam air berbanding seekor ikan dan seterusnya –pent ] selain ilmu. [kerana itulah Allah mencela manusia yang tidak menggunakan inderanya untuk mendapatkan pengetahuan sehingga dapat beriman kepadaNya lebih teruk keadaannya berbanding haiwan ternakan-pent]

Dengan ilmulah Allah telah menampakkan kepada para malaikat akan kelebihan Nabi Adam as dan menyuruh mereka bersujud kepadanya. Sesungguhnya kemuliaan ilmu itu ialah kerana adalah jalan menuju taqwa yang mana dengan taqwa itulah seseorang berhak mengecap kemuliaan di sisi ALLAH dan kebahagian yang abadi, sepertimana pernah diucapkan kepada Muhammad bin Al-Hasan:

Tuntutlah ilmu! Kerana ilmu adalah perhiasan bagi pemiliknya;
Juga ianya satu keutamaan dan petanda segala yang terpuji,
Ambillah manfaatnya dalam setiap harimu dengan menambah ilmu,
Dan berenanglah di dalam lautan faedah dan maknanya pada setiap waktu.

Pelajarilah feqah! Kerana ia adalah sebaik-baik penunjuk jalan,
Kepada kebaikan dan ketaqwaan; dan ia juga pengadil yang penuh keadilan,
Dialah ilmu yang menunjuk ke jalan petunjuk,
Dan ia juga benteng penyelamat dari segala kesukaran,
Kerana seorang faqih yang wara’ itu lebih ditakuti oleh syaitan,
Daripada seribu abid yang beribadah dalam kejahilan.

Begitu juga, adalah menjadi kefardhuan menuntut ilmu berkaitan akhlak. Contohnya dermawan, bakhil, pengecut, berani, takabbur, tawadhu’, menjaga harga diri, boros, kikir dan lain-lainnya. Sifat sombong, bakhil, pengecut, dan boros itu haram, dan semua itu tidak mungkin dapat dihindari melainkan dengan ilmu dan mengetahui pula sifat-sifat yang berlawanan dengannya.

Sesungguhnya As Sayyid Al Imam yang mulia, Asy Syahid Nasiruddin Abul Qasim telah mengarang sebah kitab yang sangat baik tentang akhlak, maka sangatlah wajar bagi setiap muslim menghafaznya [mempelajari kitab tersebut ].

Adapun memelihara hal-hal yang sesekali berlaku, [seperti solat jenazah, melawat orang sakit dan lain-lain] maka hal tersebut merupakan fardhu kifayah. Apabila di dalam satu tempat atau negeri tersebut ada orang yang telah melakukannya, maka gugurlah kefardhuannya daripada mereka yang lain. Sebaliknya jika semua mereka tidak melakukannya, dosanya akan ditanggung oleh semua mereka. Dan wajib atas pemimpin menyuruh, bahkan memaksa mereka melakukan hal yang ditinggalkan itu.

Ada disebutkan: Bahawa ilmu yang fardhu ain itu seperti makanan yang tidak dapat tidak, diperlukan oleh seseorang. Manakala ilmu fardhu kifayah itu seumpama ubat-ubatan yang diperlukan pada sesetengah keadaan. Dan ilmu nujum (menilik nasib mengikut ramalan zodiak –pent) itu adalah seumpama penyakit.

Menuntut ilmu nujum itu hukumnya haram kerana ia tidak sedikitpun mendatangkan mudarat atau manfaat. Melarikan diri daripada ketetapan dan kekuasaan Allah [dengan berpandukan ramalan zodiak ] adalah sesuatu yang tidak mungkin.

Maka hendaklah seorang muslim itu memenuhkan waktunya dengan mengingati Allah (zikruLLAH), berdoa dan merendahkan diri kepadaNya, membaca Al Quran dan bersedekah –yang mana sedekah itu dapat menolak bala- serta memohon kepada Allah keselamatan dan keafiatan di dunia dan di akhirat, agar Allah memeliharanya daripada segala bala dan bencana. [bukan sebaliknya berharap nasib baik daripada zodiak-zodiak itu].

Barangsiapa yang dikurniakan kemahuan dan kesempatan untuk berdoa, maka tidak akan dihalang daripada diterimanya permohonannya itu. Seandainya sesuatu bala itu sudah ditentukan akan menimpanya, maka tidak ada yang dapat menghalangnya, namun Allah akan memudahkan urusannya dan mengurniakan kesabaran kepadanya dengan berkat doanya itu.

Melainkan sesorang mempelajari ilmu nujum [ilmu bintang / astronomi / falaq] itu sekadar untuk mengetahui arah qiblat dan waktu solat, maka ianya dibolehkan.

Mempelajari ilmu perubatan pula adalah diharuskan, kerana ianya hanyalah salah satu sebab dari sekian banyak sebab [yang berlaku mengikut sunnatullah, seperti jika ingin kenyang perlu makan, jika ingin sembuh perlu berubat dan sebagainya -pent]. Maka diperbolehkan mempelajarinya sepertimana diperbolehkan mempelajari sebab-sebab yang lain

#[Maknanya dalam urusan keduniaan seperti ingin pergi ke satu tempat dengan cepat perlu mencipta kapal terbang, maka mempelajari cara-cara membuat kapal terbang, kejuruteraanya dan lain-lain hukumnya harus. Maka kiaskanlah kepada contoh-contoh yang lain –pent].

Nabi SAW sendiri pernah berubat. Diceritakan daripada Imam Asy Syafi’e rh, bahawa beliau pernah berkata: ”Ilmu itu dua jenis ilmu. Ilmu feqah untuk agama dan ilmu perubatan untuk badan. Adapun selain itu, maka ia hanyalah pelengkap majlis sahaja”.

Makna ilmu adalah: sesuatu yang menyingkap hakikat sebenar sesuatu perkara.
Makna feqah pula adalah: mengetahui hal-hal yang mendalam di dalam ilmu.

Berkata Imam Abu Hanifah rh: ”Feqah ertinya sesorang mengetahui apa yang baik dan buruk kepada dirinya”. Kata beliau lagi: ”Ilmu itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk diamalkan. Mengamalkannya adalah dengan meninggalkan yang yang segera ( dunia ) untuk mendapatkan yang bakal tiba (akhirat)”.

Sewajarnyalah bagi manusia itu tidak meninggalkan untuk mengetahui bagi dirinya apa yang bermanfaat dan apa pula yang mudharat kepada dirinya di dunia dan di akhirat. Lantas ia memburu apa yang bermanfaat bagi dirinya dan menjauhi apa yang memudaratkan, supaya tidaklah aqalnya, ilmunya nanti akan menjadi pendakwa kepada dirinya lalu bertambah-tambahlah azab ke atasnya. Kita berlindung kepada Allah daripada kemurkaan dan azabNya.

Sesungguhnya telah ada tersebut di dalam penerangan mengenai ilmu dan keutamannya ayat-ayat dan khabar-khabar yang sahih lagi masyhur, tetapi kita tidak akn menyibukkan diri menyebutnya untuk mengelakkan daripada berpanjang lebar.
***

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SYEIKH AZ ZARNUUJI r.h

Berikut adalah terjemahan kitab Ta'liimul Muta'allim yang menjadi teks pengajian para pelajar pondok terutamanya sejak sekian lama. Ia dikarang oleh seorang 'alim bermazhab Hanafi, bernama Syeikh Az-Zarnuuji.

Ianya adalah kitab yang nipis namun bermanfaat. Saya sekadar menterjemahkan apa yang ditulis pengarang, berdasar kepada kitab yang ada pada saya, dengan tidak berpanjang lebar membahaskan tahqiq hadits-hadits yang dibawa oleh pengarang rahimahullah. Contohnya hadits yang pertama yang disebut oleh Syeikh iaitu maksudnya: "menuntut ilmu itu satu kefardhuan kepada muslim lelaki dan perempuan" dengan tambahan muslimah. Mungkin ada yang akan menolak dengan mendatangkan kata-kata Syeikh fulan dan fulan berkenaan hadith ini lalau menghukumkan dhoif dan seterusnya. Tetapi bukan di ruang ini untuk membahaskannya. Cukuplah jika anda melihat di dalam kitab Jami' Bayan Al-'Ilmi wa Fadhlihi oleh Imam Ibn Abdil Barr, kerana di sana ada dibawakan hadith tersebut dengan sanad yang pelbagai.

Maka sekarang kita terus kepada terjemahan kitab, insyaAllah.

***


Kitab asal: Ta’liimul Muta’allim fi Toriiqit Ta’allum

Pengarang: Syeikh Az Zarnuuji

Terjemahan: A.M alfindani

***

MUQADDIMAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah yang telah melebihkan anak cucu Adam dengan ilmu dan amal berbanding seluruh alam (makhluk). Selawat kepada Muhammad, Pemimpin Bangsa Arab dan Ajam, kepada keluarganya serta para sahabatnya, pancaran mata air segala ilmu dan kebijaksanaan.

أما بعد, (Adapun setelah itu);

Ketika mana aku melihat banyaknya para penunutut ilmu di zaman kita ini (zaman Pengarang) yang berusaha menuntut ilmu, namun mereka tidak pula sampai kepadanya; atau terhalang daripada memetik manfaat dan buahnya, disebabkan mereka tersalah jalannya dan meninggalkan pula syarat-syarat (keberhasilannya). Setiap yang tersalah jalan akan tersesat dan tidak akan mencapai tujuan, sedikit atau banyaknya.

Maka aku berhasrat dan suka untuk memperjelaskan kepada mereka jalan pembelajaran itu, mengikut apa yang aku lihat di dalam kitab-kitab dan apa yang aku dengar daripada guru-guruku -para pemilik ilmu dan kebijaksanaan- kerana mengharapkan doa daripada para penggemar ilmu yang ikhlas untuk diriku agar mendapat kejayaan dan kelepasan daripada siksa pada Hari Pembalasan, setelah terlebih dahulu aku beristikharah kepada Allah Ta’ala.

Aku namakannya ( kitab ini ) sebagaiطريق التعلم تعليم المتعلم في (Pedoman Para Penuntut Ilmu dalam Menuntut Ilmu). Aku membuat bahagian-bahagian pembahasan seperti berikut:

  1. Hakikat ilmu dan fiqh serta kelebihannya.
  2. Niat dalam menuntut ilmu
  3. Memilih ilmu, guru, teman dan keteguhan hati dalam menuntut ilmu
  4. Mengagungkan ilmu dan ahlinya
  5. Kesungguhan, istiqamah dan kuat semangat / tinggi cita-cita
  6. Memulakan pembelajaran, kadar dan urutannya
  7. Tawakkal kepada Allah
  8. Mendapatkan / menghasilkan ilmu
  9. Berlemah lembut dan menasihati
  10. Memburu faedah daripada ilmu
  11. Bersikap wara’ semasa menuntut ilmu
  12. Apa yang menguatkan hafalan dan apa menyebabkan lupa
  13. Mencari rezeki dan apa yang dilarang di dalam mencarinya.
  14. Apa yang menambahkan umur dan apa yang memendekkannya

Tiadalah yang menunjukkan jalan kebaikan kepadaku selain Allah, kepadaNya jualah aku bertawakkal dan kepadaNya lah aku bertaubat.

***

Monday, July 25, 2011

AL-ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - BAB TUJUH PERKARA

Bab 7 (Perkara)

***


Daripada Abi Hurairah r.anh, sabda Nabi SAW:

"Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat di bawah lindungan arasyNya di hari di mana tiada naungan selain naunganNya.

  1. Pemimpin yang adil,
  2. Pemuda yang membesar di dalam beribadah kepada Allah,
  3. Seorang lelaki yang mengingati Allah bersendirian lantas bergenang air matanya kerana takutkan Allah,
  4. Seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid sehingga ia kembali padanya,
  5. Seorang lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah yang mana tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya (bersedekah secara rahsia),
  6. Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah,
  7. Dan seorang lelaki yang digoda oleh seorang perempuan yang cantik agar berzina dengannya, lalu ia enggan sambil berkata; “Aku takutkan Allah”!."


Abu Bakr As-Siddiq r.anh berkata: "Si bakhil tidak akan terlepas daripada tujuh keadaan.

  1. Samaada ia akan mati, lalu warisnya kan menghabiskan harta itu pada jalan yang tidak diperintahkan Allah (maksiat);
  2. Atau penguasa yang zalim akan merampas hartanya setelah menghinakannya;
  3. Atau syahwatnya akan mengajaknya menghabiskan harta itu;
  4. Atau ia akan terfikir untuk membina bangunan atau binaan yang akan runtuh sehingga menghancurkan hartanya (yang dilaburkan untuk membinanya);
  5. Ataupun ia akan ditimpa sesuatu daripada musibah di dunia seumpama karam, terbakar, kecurian dan yang semisalnya;
  6. Atau ia tertimpa sesuatu sebab (seperti penyakit contohnya) yang berterusan yang mengakibatkan ia terpaksa membelanjakan hartanya bagi mengubati penyakit itu;
  7. Atau ia menyimpannya pada satu tempat lalu ia lupa sehingga ia tidak mendapatinya lagi".


Berkata Umar r.anh:

  1. "Sesiapa yang banyak ketawa kuranglah wibawanya;
  2. Sesiapa yang meremehkan manusia dia akan diremehkan;
  3. Sesiapa yang menekuni sesuatu ia akan dikenali dengannya;
  4. Sesiapa yang banyak cakapnya banyaklah salahnya;
  5. Sesiapa yang banyak salahnya kuranglah malunya;
  6. Sesiapa yang kurang malunya kuranglah pula wara’nya; dan
  7. Barangsiapa yang kurang wara’nya matilah hatinya".


Utsman r.anh berkata tentang firman Allah: “Dan di bawah dinding itu ada harta terpendam untuk kedua anak yatim tersebut, yang mana ibu bapa keduanya adalah orang baik-baik” –Surah Al-Kahf-.

Katanya: "Harta terpendam itu adalah satu papan tulis daripada emas yang tertulis padanya tujuh baris ungkapan.

  1. Pertamanya; "Aku merasa hairan kepada seorang yang mengetahui mati (itu akan mendatanginya) sedangkan ia masih tertawa".
  2. "Aku merasa hairan kepada seorang yang mengetahui bahawa dunia itu fana’ namun ia masih gemarkannya,
  3. "Aku kehairanan denga seorang yang mengetahui bahawa segala urusan itu telah ditentukan, namun ia masih lagi memperbanyakkan barang yang akan hilang (binasa)".
  4. "Aku sangat hairan dengan seorang yang mengetahui adanya hisab namun ia masih mengumpulkan harta,
  5. "Aku merasa ta’ajub dengan seorang yang mengetahui neraka, namun ia masih melakukan dosa,
  6. "Aku merasa pelik dengan seorang yang mengetahui dan meyakini Allah namun ia masih mengingati yang lain (selain Allah);
  7. "Aku juga merasa aneh dengan seorang yang meyakini syurga namun ia masih bersenang-senang dengan dunia; dan
  8. "Aku juga merasa hairan dengan seorang yang mengetahui bahawa syaitan itu musuhnya namun ia masih lagi mentaatinya".


Ali r.anh ditanya: "Apakah yang lebih berat daripada langit, lebih luas daripada bumi, lebih kaya daripada laut, lebih keras daripada batu, lebih panas daripada api, lebih sejuk daripada kaca dan lebih pahit daripada racun?"

Jawab beliau:
  1. "Membuat fitnah / tuduhan dusta (buhtaan) ke atas orang yang tidak melakukannya itu lebih berat daripada langit;
  2. kebenaran itu lebih luas daripada bumi;
  3. hati orang yang qana’ah (merasa cukup) itu lebih kaya daripada lautan;
  4. hati orang munafik itu lebih keras daripada batu;
  5. penguasa yang zalim lebih panas daripada api;
  6. berhajat kepada orang yang hina itu lebih sejuk daripada kaca, dan
  7. kesabaran itu lebih pahit daripada racun. [dikatakan juga mengadu domba (namimah) lebih pahit daripada racun]".


Sabda Nabi SAW: "Dunia adalah rumah bagi orang yang tiada rumah, harta bagi orang yang tidak punya harta, kerana ialah orang yang tidak berakal mengumpulkannya serta bergelumang dengan kesenangannya orang yang tidak memahami,…

Sampai di sini ada sehelai mukasurat yang kosong tidak bercetak


Daripada Jabir bin Abdillah Al-Anshori r.anh, daripada Nabi SAW sabdanya:

  1. "Sentiasalah Jibril mengingatkanku perihal jiran sehingga aku menyangka jiran itu boleh mewarisi harta,
  2. sentiasalah juga Jibril memperingatkan aku perihal wanita sehingga aku menyangka akan diharamkan menceraikan mereka;
  3. amatlah seringnya Jibril berpesan kepadaku perihal hamba sahaya sehinggakan aku menyangka akan ditentukan batas waktu untuk membebaskan mereka;
  4. dan sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang bersiwak sehinga aku menyangka bahawa ia akan difardhukan;
  5. sentiasalah Jibrl memperingatkanku tentang solat berjemaah sehingga aku menyangka bahawa Allah tidak akan menerima solat selain yang dilakukan secara berjemaah;
  6. sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang qiyamullail sehingga aku menyangka tidak boleh tidur pada waktu malam; dan
  7. sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang zikrullah sehingga aku menyangka tidak akan berguna perkataan melainkan dengannya".


Sabda Nabi SAW: "Tujuh golongan yang tidak akan dilihat oleh Allah pada hari kiamat, dan tidak akan disucikan mereka serta akan dimasukkan ke dalam neraka:

  1. Orang yang melakukan (liwat) dan dilakukan (liwat) kepadanya,
  2. orang yang menikahi tangannya (onani/masturbasi),
  3. orang yang menyetubuhi binatang,
  4. orang yang mendatangi isterinya melalui duburnya,
  5. orang yang menikahi seorang perempuan dan anak perempuan tersebut,
  6. orang yang berzina dengan jirannya; dan
  7. orang yang menyakiti jirannya sehingga jirannya melaknatnya".

Sampai di sini kitab kecil ini telah hilang dari simpananku dan tidak ketemu sampai kini. Mungkin ada terselit di dalam maktabah madrasah..