Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).
Showing posts with label ZAADUL MA'AAD. Show all posts
Showing posts with label ZAADUL MA'AAD. Show all posts

Tuesday, February 1, 2011

ZAADUL MA'AAD - JENAZAH [ PART 3 ]

Sambungan...


Di antara petunjuk Baginda SAW adalah menyegerakan penyelenggaraan jenazah untuk (menghantarnya ) bertemu Allah, dengan menyucikannya, membersihkannya (memandikan), memberi wangi-wangian kepadanya serta mengafankannya di dalam kain putih, seterusnya dibawa kepada Nabi SAW untuk disembahyangkan.

Sedangkan sebelum itu Rasulullah (biasanya) akan dipanggil apabila seseorang hampir menemui ajal, lalu Nabi SAW akan berada di sampingnya sehinggalah ia wafat, kemudian Baginda akan hadir pula menyelenggarakan pengurusan jenazah tersebut, kemudian bersolat untuknya, kemudian mengiringinya ke perkuburan. Melihatkan hal tersebut kelihatannya memberatkan RasuluLLah, maka para sahabat r.anhum, apabila seseorang telah meninggal dunia, barulah mereka memanggil Rasulullah SAW mereka, lalu Baginda akan menghadiri pengurusan jenazah itu, memandikan dan mengafankannya. Kemudian para sahabat memandang hal itu juga menyulitkan Rasulullah, lalu apabila ada yang meninggal, mereka sendiri yang akan menguruskan jenazah tersebut, dan membawanya kepada Nabi SAW di atas usungannya (keranda), lalu disembahyangkannya oleh Rasulullah di luar masjid.

Tidaklah daripada petunjuk Baginda SAW melazimkan solat jenazah di dalam masjid. Bahkan yang sebenarnya adalah Baginda mensolatinya di luar masjid. Boleh jadi kadangkala Baginda mensolati jenazah di dalam masjid sepertimana Baginda pernah mensolati jenazah Suhail bin Baidho dan saudaranya. Namun bukanlah ianya suatu sunnah (yang selalu diaplikasikan) dan kebiasaan Baginda.

[Kenyataan ini janganlah pula disalahtafsirkan bahawa maksudnya tidak boleh samasekali mensolati jenazah di dalam masjid, kerana hukumnya adalah harus sepertimana yang akan dijelaskan oleh pengarang nanti ]

Sesungguhnya Abu Dawud telah meriwayatkan di dalam Sunannya daripada hadith Soleh Maula (bekas hamba yang dimerdekakan) At-Tau amah daripada Abi Hurairah, katanya; sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang mensolati jenazah di dalam masjid, maka tiada sesuatu baginya” ( tiada ganjaran )*

*[ kalimah Arabnya adalah: fala syai’a lahu ]

Lafaz hadis itu diperselisihkan (oleh para ulama hadith). Berkata Al Khatib (Al Baghdadi) pada riwayatnya yang beliau meriwayatkan kitab Sunan: Pada asalnya (lafaz hadith itu) adalah “Fala Syai’a ‘alaih” (tidak ada celaan keatasnya / tidak apa-apa). Yang lainnya meriwayatkan dengan lafaz “fala syai’a lahu” (seperti di atas tadi). Ibnu Majah pula telah meriwayatkan di dalam Sunannya dengan lafaz “falaisa lahu syai’un” (membawa makna: tidak mendapat apa-apa ganjaran)* Tetapi Imam Ahmad dan mereka yang lain telah mendhoifkan hadith ini. Kata Imam Ahmad: (hadith tersebut) adalah termasuk yang diriwayatkan secara bersendirian oleh Soleh maula At Tau amah.

* Dikatakan: maksudnya di sini adalah kurangnya ganjaran pahala, kerana kebiasaannya orang yang solat jenazah di masjid akan terus pulang dan tidak mengambil peluang menghantar jenazah sehingga ke perkuburan.. [ sila lihat 'Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abi Daud, kitab Jenazah ]

Berkata Imam Al Baihaqi: ia dikategorikan di dalam afrad [hadith yang diriwayatkan secara bersendirian](oleh) Soleh, dan hadith ‘Aisyah lebih sohih dari hadith tersebut, sedang Soleh sendiri diperselisihkan keadilannya [ adil di sini bermaksud kelayakan seseorang periwayat hadith yang membolehkan hadithnya diterima/ tidak fasiq ]. Adalah Imam Malik menjarhnya [menyatakan kecacatan sesorang periwayat sehingga menjadikan hadithnya riwayatnya lemah/tidak diterima ]. Kemudian beliau ( Al Baihaqi) menyebutkan bahawa Abu Bakar dan Umar r.anhuma juga disolatkan jenazah mereka berdua di dalam masjid.

Saya (Al Khotib) katakan: Soleh adalah tsiqoh [dipercayai: kelayakan seorang periwayat hadith yang melayakkan hadithnya diterima ] sepertimana kata ‘Abbas Ad Duuri daripada Ibn Ma’in (Yahya Ibn Ma’in ): Ia (Soleh) adalah tsiqoh. Berkata Ibn Abi Maryam dan Yahya [moga-moga beliau adalah Yahya Al Qattan ]: (Soleh adalah) tsiqoh hujjah [ penegasan akan kebolehpercayaan Soleh sebagai seorang Rowi (periwayat hadith) ]. Lalu aku (Abbas) berkata kepadanya (Ibn Ma’in): Tetapi (Imam) Malik meninggalkannya (tidak mengambil riwayatnya)? Maka jawabnya: Sesungguhnya Malik bertemunya ketika ia (Soleh) telah khorif* [ bercampur baur hafalannya ]. Demikian juga (Sufyan) Ats Tsauri berjumpa dan mendengar daripadanya (Soleh) ketika ia telah khorif. Tetapi Ibn Abi Dzi’b mendengar periwayatannya (Soleh) ketika ia belum khorif.

Berkata Ali Ibn Al Madiini: Ia (Soleh) tsiqoh, melainkan ketika ia tua hafalannya bercampur baur, lalu Ats Tsauri menemui dan mendengar (hadith) darinya ketika itu. Adapun Ibn Abi Dzi’b, beliau mendengar (periwayatan hadith)nya sebelum itu (yakni sebelum ia khorif).

Berkata Ibn Hibban: (Soleh) berubah pada tahun seratus dua puluh lima ( 125 Hijrah ), lalu beliau meriwayatkan hadith-hadith daripada para perawi yang tsiqoh, namun seolah-olah hadith tersebut maudhu’ (hadith palsu/yang direka-reka) [akibat hafalannya yang tidak lagi mantap], lalu bercampur baur hadithnya yang diriwayatkan awal (sebelum khorif) dan yang kemudian (setelah khorif) sehingga tidak dapat dibezakan, maka lebih layak untuk ditinggalkan (hadith-hadith riwayatnya).

Tamat kata-kata beliau ( Al Khotib ) [ ini adalah kata-kata Ibn Qayyim ]

* khorif juga diertikan dengan nyanyuk, namun saya merasakan ianya tidak sesuai kerana konotasinya (bawaan maknanya) yang agak jelek di dalam Bahasa Melayu.

[ini adalah kata-kata Ibn Qayyim] Dan hadith ini adalah: Hasan. Kerana ia adalah daripada riwayat Ibn Abi Dzi’b daripadanya (Soleh). Dan sima’nya [ pengambilan riwayat dengan cara mendengar daripada Syaikh ] adalah sebelum bercampur baurnya hafalan beliau (Soleh). Bercampur baurnya hafalannya tidaklah mewajibkan kita menolak hadith-hadith yang diriwayatkannya sebelum terjadinya hal itu.*

*[ ini adalah satu perkara yang penting untuk diambil perhatian kerana terdapat sesetengah kalangan di zaman ini yang terburu-buru menolak terus hadith hafalan contohnya Ibn Lahi’ah tanpa meneliti adakah riwayat tersebut sebelum atau selepas hafalannya bercampur ]

Bersambung..

ZAADUL MA'AAD - SAMBUNGAN ( PERIHAL JENAZAH)

Sambungan...


Tatkala mana hal tersebut [hati bersedih sedang masih tetap merasa redho] dan (keupayaan) untuk menghimpunkan kedua-dua keadaan tersebut sukar bagi sesetengah ‘arifin (mereka yang tinggi ma’rifat kepada Allah) pada hari kematian anaknya lantas ia bahkan ketawa (dengan kematian anaknya itu).

Lalu ditanyakan kepadanya: “Apakah (patut) engkau ketawa pada suasana seperti ini?” Jawabnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan suatu keputusan (taqdir), maka aku suka untuk (menunjukkan) rasa redhoku dengan taqdirnya itu”.

(Keadaan yang berlaku kepada orang ‘arif ini) mendatangkan kemusykilan kepada sesetengah ahlil ‘ilmi (orang alim). Kata mereka: “Bagaimana boleh jadi Rasulullah SAW menangis pada hari kematian anaknya Ibrahim sedangkan Baginda adalah seredho-redho makhluk kepada (taqdir) Allah, dan orang alim ini pula (begitu hebat) redhonya sehingga ia mampu ketawa?” (seolah-olah pada zahirnya si ‘arif ini lebih hebat redhonya berbanding Nabi SAW).

Maka aku telah mendengar Syaikhul Islam Ibn Taymiyyah berkata (mengulas tentang kemusykilan ini): “Petunjuk Nabi adalah terlebih sempurna daripada petunjuk si ‘arif ini. Kerana sesungguhnya Baginda memberikan hak kehambaan (dan ketundukan) kepada Allah (dengan sebenarnya). Maka hatinya SAW merasa lapang dengan keredhoaan kepada Allah (dalam masa yang sama) rasa belas kasih kepada anaknya. Lalu (kerana itu) Baginda memuji Allah dan merasa redho dengan qadhaNya serta menangis (yang terbit daripada) rasa belas kasih dan kelembutan hatinya.

Maka kelembutan hati Baginda membawanya kepada tangisan, sedangkan rasa kehambaan dan ketundukan kepada Allah dan cinta kepadaNya membawanya kepada merasa redho dan memujiNya (walaupun atas musibah yang menimpa). Sedangkan si ‘arif ini pula, hatinya tidak mampu untuk mengumpulkan dua rasa tersebut (kerana hatinya bukanlah seperti hati Rasulillah SAW), dan batinnya tidaklah cukup luas untuk menampung keduanya (secara serentak), lalu rasa redhonya (akan taqdir Allah) telah menyibukkan dirinya (dan memenuhkan hatinya) berbanding rasa belas kasih dan kecintaan (kepada anaknya sendiri)”.


Bersambung..

Monday, January 31, 2011

ZAADUL MA'AAD - PETUNJUK NABI SAW DALAM HAL JENAZAH

Berhenti sejenak daripada mengepos entry-entry terjemahan kitab SifrusSa'adah, untuk kali ini akan ditampilkan pula terjemahan sebahagian daripada isi kitab Zaadul Ma'aad karangan Imam yang mulia, Ibn Qayyim Al-Jauziyyah rh.

Terjemahan ini adalah berkaitan jenazah dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Itupun hanyalah sebahagian awalnya sahaja. Ada beberapa mukasurat lagi tetapi kekangan masa tidak mengizinkan aku menterjemahnya lagi buat masa ini. Jika ada kelapangan masa, terjemahan seterusnya akan menyusul dalam masa tidak berapa lama, insyaAllah. Ya Allah, kurniakan aku kesempatan itu, ameen.

************************

Fasal: Petunjuk Nabi SAW tentang jenazah, dan solat ke atasnya, mengiringinya dan mengebumikannya. Dan apa yang didoakan kepada mayat di dalam solat jenazah dan setelah dikuburkan dan hal-hal yang bersangkutan dengannya.


Petunjuk Nabi SAW di dalam hal menguruskan jenazah adalah teladan yang paling sempurna, tidak menyerupai perbuatan umat-umat yang lain. Menyeluruh dari aspek berbuat ihsan kepada mayat serta segala yang mendatangkan manfaat kepadanya di alam kuburnya dan hari kebangkitannya. Serta berbuat ihsan kepada ahli keluarga dan kerabatnya yang ditinggalkannya. Serta dalam menegakkan hak peribadatan mereka yang masih hidup kepada Allah semata dalam apa yang dilakukan kepada si mayat itu.

Petunjuk Nabi SAW dalam pengurusan jenazah iaitu menegakkan hak peribadatan kepada Allah dengan keadaan yang paling sempurna, disamping berbuat ihsan kepada mayat dengan menghantarkannya untuk bertemu Allah dalam keadaan yang terbagus dan terbaik.

Iaitu dengan berdirinya Baginda dan para sahabat membentuk saf memuji Allah dan meminta keampunan untuk si mati, dan memohon maghfirah dan rahmat serta memohon dihindarkan (daripada kemurkaan dan azab).

Kemudian setelah itu berjalan di hadapannya (jenazah) sehingga meletakkannya di dalam persemadiannya, lalu Baginda bersama para sahabat berdiri menghadap jenazah itu di atas kuburnya sambil berdoa agar diteguhkan (tatsbit) yang mana itulah yang paling diharapkan olehnya (si mati).

Kemudian sentiasa berziarah kepadanya di kuburnya dan memberi salam kepadanya serta doa sepertimana seorang yang hidup mengunjungi dan berziarah kepada sahabatnya semasa di dunia.

###########################


Pertama-tamanya adalah: Mengunjunginya ketika sakit, sambil mengingatkannya kepada akhirat, memperingatkannya agar berwasiat dan bertaubat, serta memerintahkan kepada sesiapa yang hadir (di saat nazaknya) agar mentalqinkan (mengajarkan) syahadah “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” supaya itulah yang menjadi perkataannya yang terakhir (dari dunia ini).

Kemudian, (Baginda) melarang daripada melakukan kebiasaan umat yang tidak beriman kepada hari kebangkitan dan hari dihimpunkan segala makhluk di hadapan Allah; iaitulah kebiasaan menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan baju, mencukur kepala, menjerit-jerit dengan teriakan penyesalan, meratap dan yang seumpamanya.

Baginda mencontohkan agar tenang, tangisan yang lirih (tidak mengangkat suara), dan kesedihan di dalam hati yang mana baginda sendiri melakukan hal tersebut (ketika kematian anak Baginda Ibrahim) seraya bersabda: “bergenanglah airmata, dan berdukalah hati, namun kami tidak akan mengucapkan selain apa yang diredhoi Tuhan kami..”

Baginda mensunnahkan kepada ummatnya agar memuji Allah dan beristirja’ (mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun), serta redho dengan ketentuan Allah. Namun itu tidaklah menghalang dari tangisan dan kesedihan hati. Sedangkan Baginda adalah makhluk yang paling redho dengan ketentuan Allah dan paling agung pujiannya kepada Allah, namun begitu Baginda juga menangis kerana kasih sayang dan belas kasihnya pada hari kewafatan anaknya Ibrahim, dalam keadaan hati penuh dengan rasa redho dan syukur kepada Allah, serta lidah yang tidak hentinya berzikir dan memujaNya.


Bersambung insyaAllah...