Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).
Showing posts with label SIFRUSSA'ADAH. Show all posts
Showing posts with label SIFRUSSA'ADAH. Show all posts

Thursday, August 1, 2013

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW KETIKA BANGUN DARIPADA SUJUD


Petunjuk Baginda SAW Ketika Bangun Daripada Sujud.


Adalah Baginda SAW jika selesai daripada sujudnya yang pertama, Baginda akan mengangkat kepalanya lalu duduk di antara dua sujud dengan kadar seperti kadar lama sujudnya tadi.

Kemudian Baginda SAW akan membaca :

(( Wahai Tuhan! Ampunilah aku, Wahai Tuhan! Ampunilah aku.)). 

Atau juga;

(( Wahai Tuhanku! Ampunilah aku, kasihanilah diriku, perbaikilah kekuranganku, kurniakanlah aku hidayah, dan anugerahkanlah aku rezeki.)).

Kadangkala Baginda melamakan duduknya ini sehingga disangkakan bahawa Baginda sudah lupa.

Baginda juga tidak pernah bangun selepas daripada sujudnya yang kedua selagimana tidak duduk terlebih dahulu[1]. Dan Para Fuqaha (ulamak feqah) menamakan duduk ini sebagai “Duduk Istirahah”.

Sebahagian daripada para ulama itu menganggap duduk ini sebagai sunnah. Manakala sebahagian lagi menganggap ianya kerana hajat/keperluan, dari itu ia tidak disunnahkan bagi mereka yang tidak berhajat kepada duduk tersebut.[2]

Apabila bangun sahaja, Baginda terus memulakan bacaan tanpa tangguh. 

(Saktah) iaitu diam sebentar (sebelum membaca) pada rakaat yang pertama tersebut tidaklah dilakukan pada setiap rakaat.

Baginda akan bersolat rakaat kedua, ketiga dan keempat itu seperti yang dilakukannya pada rakaat pertama kecuali yang membezakannya adalah empat perkara:-

  1.       Diam sebentar (saktah).
  2.       Doa istiftah.
  3.       Takbiratul ihram.
  4.       Melamakan berdiri.

Empat perkara ini hanya khusus bagi rakaat pertama sahaja.

Tamat fasal ini.
Akan menyusul fasal Petunjuk Baginda Saw Di Dalam Tasyahhud.
 
***

~alfindani~
8.31 a.m.
Khamis
23 Ramadhan 1434 / 01 Ogos 2013


[1] Hal itu tersebut di dalam hadith Malik bin Huwairith radhiyallahu ‘anhu riwayat Imam Bukhari (823,824) “Bab duduk tegak, Bab Bagaimana Bertongkat Tangan Ke Tanah Apabila Bangun”. Fathul Baari (jilid 2/352,353).

[2] Berkata Imam Ibn Hajar: Terdapat persyariatan duduk istirahah di dalam hadith Malik bin Huwairith r.a. hal itu dipegang oleh Asy-Syafie dan segolongan Ahlil Hadith. Terdapat dua riwayat daripada Ahmad (bin Hanbal). Al-Khallal menyebutkan yang Ahmad telah rujuk dari pendapatnya (yang tidak mensunnahkan) kepada mengatakan sunnah duduk itu.

At- Tohawi berhujjah dengan mengatakan di dalam hadith Abi Humaid tidak ada pun pernyataan duduk tersebut, seperti dikhabarkan di dalamnya dengan lafaz ((Baginda lalu bangun dan tidak duduk tawarruk)).

Hujjah ini ditangkis dengan dikatakan bahawa Malik Bin Huwairith adalah orang yang sama meriwayatkan hadith ((Bersolatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat)), maka cerita beliau tentang cara solat Nabi SAW dikira terangkum di bawah perintah Nabi yang ini.

Hadith Abi Humaid pula dijadikan sebagai hujjah bahawa duduk ini tidaklah wajib. Seolahnya Baginda meninggalkannya (di dalam hadith Abi Humaid) adalah sebagai menerangkan hukumnya yang harus (jawaz). [Fathul Baari, jilid 2/352;353] secara ringkas.



Monday, February 7, 2011

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SOLAT MALAM

PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SOLAT MALAM.

Adalah Nabi SAW memanjangkan rakaat-rakaat solat malam berbanding solat siang hari. Adakalanya Baginda membaca surah Al Baqarah, Ali Imran dan An Nisaa di dalam satu rakaat.

Adapun bilangan rakaat solat malam Baginda adalah tidak pernah melebihi 11 (sebelas) rakaat. Berkait dengan itu, para ulama berbeza pandangan tentang mana yang lebih afdhal di antara berdiri dan sujud.

Berkata segolongan ulama: Berdiri itu lebih utama.

1. Kerana Nabi SAW sangat memanjangkan solat malamnya (dengan membaca bacaan yang panjang). Jikalau sujud lebih afdhal, pasti Baginda akan melamakannya (sujud).

2. Juga bahawa dzikir yang disyariatkan semasa berdiri (iaitulah bacaan Al Quran) adalah seutama-utama dzikir, dengan itu jadilah rukunnya (berdiri) juga seafdhal-afdhal rukun.

3. Demikian juga, telah ada di dalam hadith sahih : “Seutama-utama solat adalah yang panjang Qunutnya”. Yang dimaksudkan dengan kata Qunut di sini adalah berdiri.

Berkata sekelompok ulama yang lain pula: Sujud itu lebih utama.

1. Kerana terdapat di dalam hadith sahih : “sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika ia sedang bersujud”.

2. Dan sabdanya di dalam hadith lain: “Tidaklah seorang hamba bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan mengangkat baginya satu darjat dan menghapuskan daripadanya satu kesalahan”.

3. Berkata Rabi’ah Al Aslami r.a : “Ya Rasullallah! Aku sangat berharap agar dapat menemanimu di dalam syurga..”. Maka jawab Nabi SAW : “Bantulah aku untuk dirimu (mendapatkan hal tersebut) dengan memperbanyakkan sujud (yakni memperbanyakkan solat sunat)”.

4. Juga, surah pertama diturunkan di dalam Al Quran iaitulah ( Iqrak ) diakhiri dengan sujud.

5. Demikian juga, sujud adalah petanda kepada ketundukan dan pengabdian kepada Allah dengan sebenarnya berbanding rukun-rukun yang lain. Dan sujud adalah rahsia pengabdian kepada Allah, kerana pengabdian itu adalah ketundukan dan kehinaan dan itu di dalam sujud adalah lebih tampak dan ternyata.

Berkata segolongan ulama yang lain pula: Lamanya berdiri di dalam solat malam itu lebih utama; dan banyaknya rukuk dan sujud pada siang hari itu lebih utama.

1. Kerana dikhususkan ibadah malam itu dengan penyebutan berdiri ( Qiyam ). Seperti firman Allah : “Dan bangunlah berdiri pada waktu malam..” [Surah Al Muzzammil]

2. Dan sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berdiri (beribadat malam) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampunkan dosanya yang telah lalu”.

Sebahagian ulama pula berpandangan : Sama sahaja kelebihan kedua-dua rukun ini. Kelebihan berdiri adalah dengan bacaan Al Quran di dalamnya, sementara kelebihan sujud pula adalah dengan posisinya yang penuh ketundukan dan kekhusyukan itu. Maka dzikir (bacaan) ketika berdiri lebih afdhal dari dzikir (bacaan) sujud. Dan posisi sujud adalah lebih afdhal daripada posisi berdiri.

Tamat bab.

Akan menyusul fasal petunjuk Nabi SAW ketika bangun dari sujud, insya Allah.

-alfindani, MTK, 4 Rabi’ul Awwal 1432 / 7 Feb 2010. Isnin 11.10 mlm-

Sunday, February 6, 2011

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI DI DALAM SUJUD DAN DZIKIR YANG DIBACAKAN DI DALAMNYA

PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SUJUD DAN DZIKIR YANG DIBACAKAN PADANYA

Adalah Baginda SAW apabila ingin turun sujud tidak mengangkat kedua belah tangannya. Apa yang diriwayatkan di dalam sesetengah hadis iaitu : “Baginda SAW akan mengangkat kedua tangannya setiap kali turun dan bangun” maka terdapat kekeliruan. Riwayat yang benar/ sohih adalah: “Baginda akan bertakbir setiap kali turun dan bangun”.

Baginda akan meletakkan kedua lututnya sebelum kedua belah tangannya, setelah itu barulah kedua tangannya, kemudian dahinya dan hidungnya, mengikut tertib anggota badan.

Adapun hadis Abi Hurairah ra daripada Nabi SAW bahawa sabdanya: “Apabila sujud salah seorang kamu, maka janganlah ia turun seperti turunnya unta (yang hendak duduk). Maka hendaklah ia mendahulukan kedua tangannya sebelum kedua lututnya” maka berlaku kesamaran / kekeliruan sebahagian periwayat; kerana awal hadis tersebut menyalahi bahagian akhirnya. Kerana sesungguhnya unta, apabila ia hendak duduk akan meletakkan kedua tangannya dahulu. Orang yang mengatakan lutut unta terletak pada kedua tangannya adalah salah, keliru dan menyalahi perkataan para ulama’ pakar bahasa (Arab).

Yang benarnya adalah: Baginda melarang daripada menyerupai haiwan (di dalam solat). Sabdanya : Janganlah turun seperti menderumnya unta; janganlah berpaling seperti berpalingnya musang; jangan duduk seperti duduknya binatang buas* ; janganlah duduk seperti duduknya anjing; janganlah mematuk seperti mematuknya gagak; janganlah mengangkat tangan-tangan kamu ketika memberi salam seperti ekor kuda liar; dan jauhilah semua itu.**

*lafaz Arabnya adalah: “wala taftarisyu iftiraasyi as sab'ie “ yang mungkin juga maknanya “janganlah menghamparkan (lengan) {ketika sujud} seperti binatang buas”.

**ini bukanlah lafaz sebuah hadith, tetapi makna daripada pelbagai hadith yang digabungkan oleh pengarang.

Terdapat di dalam riwayat Abu Hurairah bahwa Baginda SAW bersabda : “Apabila sujud seseorang kamu, maka mulakanlah dengan kedua lututnya sebelum kedua tangannya, dan jangan ia turun seperti menderumnya unta.”

Di dalam Sohih Ibn Khuzaimah: “Adalah Rasulullah SAW apabila ia bersujud, Baginda memulakan dengan kedua lututnya dahulu.”

Di dalam riwayat Saad: “ Kami dahulunya meletakkan kedua tangan sebelum kedua lutut, lalu kami diperintahkan meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan.” Dan kebanyakan ulama’ berpandangan dengan ini melainkan Imam Malik dan Al Auza’ie dan segolongan Ahlil Hadith.

Dan Nabi SAW tidak pernah sujud di atas lilitan serbannya (maksudnya sujud dalam keadaan dahi terlapik dengan lilitan serban), bahkan Baginda meletakkan dahinya ke atas tanah atau ke atas tanah berlumpur [peristiwa malam Laitul Qadar ketika Nabi solat dan hujan turun membasahi tanah lantai masjid Nabi SAW dan Nabi bersujud dalam keadaan tanah yang basah tersebut], atau (sujud) di atas sejadah daripada sabut pelepah kurma, atau kulit yang disamak.

Dan adalah Nabi SAW apabila sujud akan meletakkan dahi dan hidungnya ke atas tanah, merenggangkan kedua tangannya daripada kedua rusuknya seta meletakkan kedua tangannya setentang dengan kedua bahunya.

Baginda bersabda: “Apabila engkau sujud, maka letakkan kedua telapak tanganmu dan angkatlah kedua sikumu.” Baginda merenggangkan (membuka) jari jemarinya ketika rukuk dan merapatkannya ketika sujud.

Baginda membaca di dalam sujudnya: “Subhana Robbiyal A’laa” (Maha suci Tuhanku Yang Maha Tinggi) dan menyuruh (kita ) untuk membacanya. Setelah itu Baginda membaca pula: “Maha suci Engkau wahai Tuhan kami dan segala kepujianMu. Wahai Tuhan, ampunilah aku..”.

(Di antara doa Baginda yang lain ketika sujud adalah) : “Maha Suci dan Quddus, Tuhan para malaikat dan Ar ruuh, tiada Tuhan selain Engkau.”

“Ya Allah! Aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan dengan keampunanMu daripada balasan azabMu, aku berlindung denganMu daripadaMu, tidak berdaya aku memujiMu, Engkau adalah sepertimana Engkau memuji DiriMu sendiri”.

“Ya Allah! KepadaMu lah aku bersujud, kepadaMu jualah aku beriman, kepadaMu lah aku berserah diri. Telah sujud wajahku kepada Yang Menciptakannya dan (memperelokkan) paras dan bentuknya, serta menjadikan pendengaran dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik pencipta”.

“Ya Allah! Ampunilah dosaku seluruhnya, kecil dan besarnya; awal dan akhirnya; yang tampak dan yang tersembunyinya (dosa-dosa)”.

“Ya Allah! Ampunilah kesalahan-kesalahanku; kejahilanku, keterlanjuranku dalam urusanku, dan segala apa yang Engkau lebih tahu tentangnya (dosa-dosa itu) daripadaku. Ya Allah ampunilah kesungguhanku, kelemahanku, kesalahanku, kesengajaanku dan segalanya padaku. Ya Allah! Ampunilah aku apa yang telah aku lakukan, apa yang belum aku lakukan, apa yang aku sembunyikan dan apa yang aku zahirkan; Engkau Tuhanku, tiada Tuhan selainMu”.

Ada ketikanya Baginda membaca: “Ya Allah! Jadikanlah bagiku di dalam hatiku nuur. Pada pendengaranku nuur, pada penglihatanku nuur, di kananku nuur, di kiriku nuur, di hadapanku nuur, di belakangku nuur, di atasku nuur, di bawahku nuur. Dan jadikanlah untukku nuur”.

Baginda sangatlah menekankan untuk bersungguh-sungguh di dalam doa ketika sujud dan bersabda: “Pastilah akan dikabulkan doa seorang yang bersujud”.*

*Pengarang menyebut hadith dengan maknanya. Lafaznya adalah: “Adapun sujud, maka bersungguhlah berdoa, maka pastilah diperkenankan doamu”.

DOA DI DALAM SUJUD

Doa itu DUA JENIS:

1.Doa memuji dan mengagungkan, serta

2. Doa permohonan dan permintaan.

Dan doa yang dibaca oleh Nabi SAW merangkumi keduanya (jenis doa tersebut).

Pengabulan doa juga ada DUA JENIS:

Satunya: Dikabulkan doa yang meminta dengan diberikan apa yang dimintanya dan ditunaikan hajatnya.

Keduanya: Digantikan permohonannya itu dengan pahala.

Dengan dua hal itulah ditafsirkan firman Allah SWT: “Aku menjawab/mengkabulkan doa orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKU..” [Al Baqarah; ayat 186]. Yang benar adalah ianya (pengabulan doa tersebut) merangkumi kedua-dua jenis yang tersebut di atas. WaLLahu a’lam.

Bersambung.

Akan menyusul fasal petunjuk Baginda SAW di dalam solat malam, insyaAllah.


-alfindani-

MTK,11.50 mlm, 6 Feb 2011, Ahad.

Tuesday, January 18, 2011

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW DI DALAM I'TIDAL

PETUNJUK BAGINDA SAW DALAM I’TIDAL DAN DZIKIR YANG DIBACA DI DALAMNYA.

Adalah Baginda apabila mengangkat kepalanya daripada ruku’ akan membaca: “sami’allahu liman hamidah”. Dan telah tsabit tentang mengangkat tangan dalam tiga tempat ini ( takbiratul ihram, ruku’ dan I’tidal ) dan kerana banyaknya riwayat yang menerangkan hal tersebut menjadikan ianya adalah seumpama sudah mutawatir. Telah sohih di dalam bab ini (mengangkat tangan) sebanyak empat ratus khabar dan atsar, dan sepuluh sahabat yang dijamin syurga turut meriwayatkannya. Dan sentiasalah Rasulullah saw melakukannya sehinggalah akhir hayatnya serta tiada riwayat menyatakan hal sebaliknya.

Baginda apabila bangun daripada ruku’ akan berdiri tegak, demikian juga apabila duduk di antara dua sujud. Sabdanya : “tidak memadai solat seorang yang tidak menegakkan / meratakan tulang belakangnya di dalam ruku’ dan sujud”.

Kadang-kadang, apabila telah bangun daripada ruku’ (ketika tegak berdiri) Baginda akan membaca : “Robbana walakal hamd” atau “Allahumma robbana lakal hamd”. Kedua-duanya adalah sohih. Namun, menggabungkan Allahumma dan Wau (pada lakal hamd) adalah tidak tsabit. *

Kebiasaannya Baginda akan memanjangkan rukun ini mengikur kadar panjangnya ruku’. Kadang-kadang Baginda akan membaca : “Allah telah mendengar sesiapa yang memujiNya, wahai Tuhan kami, bagiMulah segala kepujian sepenuh langit dan bumi dan sepenuh apa yang engkau kehendaki selain keduanya. Engkaulah yang layak dipuji dan diagungkan dan paling berhak dengan apa yang dikatakan oleh hambaMu (dengan segala pujian mereka) dan kami semua adalah hamba-hambaMu. Tiada yang dapat menahan pemberianMu, dan tiada sesiapa pun yang berhak memberi apa yang Engkau tahan, tidak bermakna kemurahan yang lain, dariMu jualah segala kemurahan itu”.

Kadangkala Baginda akan membaca : “ Ya Allah, bersihkanlah aku daripada segala kesalahan dengan air, salju dan embun. Hapuskanlah dariku segala dosa-dosa dan kesalahan, sepertimana Engkau sucikan baju yang putih bersih daripada kotorannya. Dan jauhkanlah daku daripada segala kesalahanku seperti Engkau telah menjauhkan antara timur dan barat”.

Terkadang Baginda sekadar membaca : “Bagi Tuhanku segala kepujian, bagi Tuhanku segala kepujian” yang diulang-ulanginya sehingga kadar lamanya berdiri itu menyamai kadar lamanya ruku’. Kadangkala Baginda melamakan I’tidal sehinggakan para jema’ah menyangka Baginda telah terlupa, demikian juga yang berlaku di dalam sujud sehingga jemaah beranggapan Baginda telah terlupa.

Inilah kebiasaan Baginda di dalam ruku’ dan sujud. Hadis Al-Barra’ bin ‘Azib : “adalah ruku’nya, sujudnya, duduk di antara dua sujudnya dan bangun daripada ruku’nya adalah hampir sama melainkan berdiri dan duduk tahiyyatnya” jelas menunjukkan samanya (kadar ) lama berdiri membaca dan duduk tasyahhud; dan samanya (kadar) seluruh rukun yang selainnya pada lama dan singkatnya (iaitu jika dilamakan ruku’ maka lamalah pula I’tidal dan sujud, begitulah sebaliknya ). Dan bukanlah yang dimaksudkan berdiri di dalam hadis tersebut dengan berdiri setelah ruku’ (tetapi yang dimaksudkan adalah seperti yang diterangkan oleh pengarang, iaitu berdiri sebelum ruku’ ).

Perbuatan meringkaskan dua rukun ini- aku maksudkan I’tidal dan duduk antara dua sujud- dan memendekkan keduanya adalah termasuk perkara baru yang diada-adakan oleh Bani Umayyah, dan tidak sekali-kali berasal daripada kebiasaan Nabi saw.

Dan Allah mengkhabarkan hal yang sebenarnya, dan dia jualah yang menunjukkan jalan (kebenaran).


*Apa yang dinafikan oleh pengarang r.h adalah tidak tepat, kerana sesungguhnya telah tsabit riwayatnya di dalam Sohih Bukhari daripada Abi Hurairah ra iaitu: adalah Nabi SAW apabila Baginda berkata “sami’Allahu liman hamidah” maka Baginda membaca “Allahumma robbana Walakal hamd” ( Sohih Bukhari jilid 2,no 795)

Tammat.

(akan menyusul fasal sujud dan dzikirnya, insyaAllah)

Friday, November 26, 2010

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW DI DALAM RUKUK

FASAL: PETUNJUK NABI SAW DALAM RUKUK DAN SUJUD SERTA DZIKIR YANG DIBACA DI DALAMNYA


Apabila Nabi SAW selesai daripada membaca, Baginda akan diam sejenak, kemudian bertakbir sambil mengangkat kedua tangannya, lantas rukuk.

Baginda mencengkam kedua-dua lututnya dengan kedua telapak tangannya, dan menjarakkan kedua sikunya daripada rusuknya, meratakan belakangnya dan kepalanya dengan tidak mendongakkan dan tidak pula menundukkannya ke bawah. ( kepala ditegakkan sebaris dengan belakang badan)

Baginda membaca: “Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung” sebanyak 3 kali.

Terkadang Baginda menambahkan kepada bacaan tersebut dengan membaca:

“Maha suci Engkau Wahai Tuhan kami dan Segala Puji bagiMu. Wahai Tuhan, ampunilah daku”

Kadangkala Baginda membaca bacaan tadi sahaja. (dengan tidak membaca Subhana Robbiyal ‘Azhim)

Lama rukuk Baginda kebiasaannya adalah sekira-kira seseorang membaca “Subhana Robbiyal ‘Azhim” sebanyak 10 kali. Dan sujud juga sedemikian kadar lamanya.

Adapun hadis riwayat Al-Barra’ yang terdapat di dalam As-Sohihain: “aku memerhatikan dengan teliti solat Nabi dari belakangnya, maka adalah berdirinya, rukuknya, i’tidalnya, sujudnya, dan duduknya antara dua sujud adalah hampir bersamaan (lamanya)”

Maka hadis itu hendaklah difahami bahawa apabila Nabi memanjangkan rukuk dan sujudnya apabila berdirinya lama. Dan Baginda memendekkan rukuk dan sujudnya apabila berdirinya juga tidak lama. Inilah takwil/tafsiran yang bersesuaian, kerana Baginda kadang-kadang membaca Surah Al-A’raaf; dengan itu, jika rukuk dan sujudnya sama lamanya dengan berdirinya pastilah solat tersebut hanya akan selesai pada waktu tengah malam.

Tetapi di dalam riwayat yang sohih dinyatakan bahawa rukuk dan sujudnya hampir sama dengan berdirinya di dalam sesetengah keadaan; seperti di dalam solat gerhana matahari dan bulan, di dalam solat tahajjud kadang-kadang. Hanyalah yang menjadi kebiasaan Baginda adalah sederhana seperti yang telah kami jelaskan (di awal topik ini, iaitu dengan kadar 3 kali atau 10 kali tasbih Subhana Robbiyal ‘Azhim)

Sering juga Baginda membaca di dalam rukuk dan sujudnya: “Subbuhun Quddusun Robbul Malaaikati war Ruuh” (maha Suci dan Maha Kudus Tuhan para malaikat dan ar-Ruuh)

Adakalanya Baginda akan membaca:

“Ya Allah, kepadaMu lah aku rukuk, kepadaMu lah aku mengkhusyukkan diri, denganMu lah aku beriman, kepadaMu lah aku bertawakkal, kepadaMu lah aku menyerahkan diri. Telah tunduklah kepadaMu segala pendengaranku, penglihatanku, akalku, sendi-sendiku dan tulang-temulangku”.

Bacaan ini dibaca di dalam solat tahajjud.

Tammat.

[Akan menyusul fasal Petunjuk Baginda SAW dalam hal bangun daripada rukuk (i'tidaal) ]


-alfindani-

19 Zulhijjah 1431/26 Nov 2010

Lepas Maghrib, MTK

Sunday, November 14, 2010

SIFRUSSA'ADAH - BACAAN NABI SAW (SAMBUNGAN)

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ASAR

Adapun solat asar maka kadar panjangnya adalah separuh daripada (kadar bacaan) di dalam solat Zohor, dan kadang-kadang lebih pendek lagi.

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT MAGHRIB

Adapun solat Maghrib, maka Baginda memanjangkannya, sekira-kira Baginda membaca Surah Al-A’raaf di dalam 2 rakaat; dibahagi separuh bagi setiap rakaat.

Adakalanya Baginda membaca surah Ash-Shoffaat, Surah Haa Miim Ad-Dukhkhaan, Sabbihisma Robbikal A’laa, Surah At-Tiin, Muawwizatain (Al-Falaq dan An-Naas), Al-Mursalaat dan kadangkala surah-surah Qishorul mufasshol (surah-surah bermula An-Nabaa/Juz ‘Amma). Semua ini terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sohih.

Menepati sunnahnya adalah tidak melazimi satu cara sahaja samada panjang atau pendek, tetapi memanjangkan (bacaan) sekali waktu, dan memendekkannya pada kali yang lain mengikut waktu dan keadaan (yang sesuai).

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ISYAK

Adapun solat Isyak, maka Baginda telah menentukan (mencadangkan) surah-surah kepada Mu’az seperti : Surah Asy-Syams, Sabbihisma Robbikal A’laa atau Surah Al-Lail.

Baginda menegahnya daripada membaca Surah Al-Baqarah dan seumpamanya dan memberi amaran kepadanya dengan sabdanya: “Apakah engkau ingin menimbulkan fitnah wahai Mu’az?”

(Yakni sehingga menyebabkan orang tidak suka bersolat, membenci solat berjemaah, lari daripada agama dan seumpamanya disebabkan bacaanmu yang panjang sehingga membebankan makmum. Hadis ini mempunyai kisahnya/sabab wuruudnya dan saya tidak berhasrat memanjangkan pembicaraan di sini.)

Di dalam sebahagian hadis, Baginda menyuruhnya membaca “Wassamawaat” (surah-surah yang bermula dengan perkataan As-Samaa) iaitu seperti Surah Al-Infithor, Al-Insyiqoq, Al-Buruuj dan Ath-Thoriq.

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT JUMU’AH / JUMAAT

Baginda membaca di dalam solat Jumaat pada rakaat pertama surah Al-Jumu’ah, dan rakaat kedua dengan surah Al-Munafiqiin.

Jika meringkaskan, Baginda akan membaca Surah Sabbihisma Robbikal A’la dan Al-Ghosyiah.

Adapun perbuatan membaca akhir surah Al-Jumu’ah pada rakaat pertama (bermula ayat: “Yaa ayyuhalladziina aamanu idzza nuudiya lissholah..”) dan akhir Surah Al-Munafiqiin pada rakaat kedua (bermula ayat: “Yaa Ayyuhalladziina aamanu la tulhikum amwaalukum...“ ); maka ianya menyalahi sunnah (tidak menepati sunnah).

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ‘IED (HARI RAYA)

Adapun solat ‘ied, maka Baginda membaca Surah Qaaf dan Iqtarobat (Surah Al-Qomar), dan kadangkala Baginda membaca Sabbihisma Robbikal A’laa dan Surah Al-Ghosyiah.

Inilah (keseluruhan bacaan yang diterangkan sebelum ini) yang dilakukan Baginda secara terus menerus sehingga akhir umurnya. Dan tidak dinafikan lagi, para Khulafaa Ar-Raasyidiin juga menuruti cara ini.

Adalah Ash-Shiddiq r.anh membaca di dalam solat subuh dengan Surah Al-Baqarah. Amirul Mukminin Umar r.anh, beliau membaca di dalam solat subuh dengan Surah Yusuf, kadangkala Surah An-Nahl, terkadang Surah Huud dan adakalanya Surah Bani Israail (Surah Al-Israa). Kalaulah perbuatan memanjangkan solat itu sudah dinasakhkan (dihapuskan perintah tersebut) maka mengapakah ianya dilakukan oleh Khulafa Ar-Rasyiduun? (Pertanyaan dengan niat mengingkari)

Di dalam hadis Anas r.anh:

“Adalah Rasulullah SAW orang yang paling ringkas solatnya di dalam kesempurnaan”.

Yang dikehendaki daripada hadis ini adalah bahawa panjang solat Baginda jika dibandingkan dengan solat orang lain, seperti solat Mu’az contohnya; yang mana beliau telah membaca Surah Al-Baqarah di dalam solat Isyak; maka dikira ringkas (solat Nabi SAW). Dan ringkas itu sendiri adalah perkara yang nisbi (relative/ berubah-rubah/ tidak sama penilaiannya).

Di dalam Sunan An-Nasaie, telah tsabit bahawa Ibn Umar r.anhuma berkata: “Adalah nabi SAW menyuruh kami meringankan (meringkaskan) solat, dan Baginda sendiri mengimami kami dengan membaca Surah Ash-Shoffaat”. Maka pembacaan surah Ash-Shoffaat di dalam solat adalah dikira sebagai ringkas seperti yang diperintahkan kepada para sahabat. (Boleh rujuk mushaf untuk melihat panjang surah Ash-Shoffaat).

Baginda SAW tidaklah menentukan mana-mana surah untuk dibaca di dalam solat, selain solat Jumu’ah dan solat Dua Hari Haya.

Berkata Abdullah Ibni ‘Umar r.anhuma: “Tiadalah satu surah, yang panjangnya mahupun yang pendeknya, melainkan telah aku mendengar Rasulullah SAW membacanya di dalam solat fardhu.”

Baginda akan membaca satu-satu surah keseluruhannya (sehingga habis surah tersebut) pada kebiasaannya. Namun jarang-jarang sekali maka Baginda akan membaca sebahagian sahaja daripada surah bagi menunjukkan keharusannya (harusnya perbuatan tersebut). Dan jika Baginda membaca sebahagiannya, maka Baginda akan membaca daripada awalnya .

Adapun perbuatan membaca akhir surah atau pertengahannya, maka tiada diriwayatkan (dilakukan Nabi SAW).

[Namun, perbuatan yang tidak dilakukan Nabi SAW tidak semestinya membawa hokum Haram].

Baginda sentiasa memanjangkan rakaat pertama melebihi rakaat kedua, dan memanjangkan solat Subuh berbanding solat-solat yang lain disebabkan kerana “Nuzuul Ar-Rabbaani” (saya tinggalkan ia tanpa terjemahan. Boleh rujuk hadis berkenaan dan syarahnya tentang “Nuzuul rabbaani/Nuzuul Ilahi ke langit dunia pada setiap malam” tersebut) pada sepertiga malam akan berterusan sehingga selesainya solat Subuh. Sebahagian para ulama berkata: Sehingga terbit fajar. Kedua-dua pendapat tersebut ada di dalam riwayat.

Sebahagian para masyaikh/masyayikh (kebiasaan gelar ini jika disebut secara umum akan merujuk kepada ulama-ulama ihsaan /ulama sufi) mengatakan:

“Oleh kerana rakaat solat Subuh itu kurang (sedikit), maka ia disempurnakan dengan panjangnya bacaan. Atau juga kerana ia waktu setelah rehat (yang panjang) dengan tidur, atau juga disebabkan ianya waktu yang tiada kesibukan dengan urusan mencari rezeki dan urusan-urusan dunia, maka pada waktu itu akan berpadu antara hati, lisan dan pendengaran dan akan lebih memudahkan untuk mentadabburi (merenungi makna) Al-Quran, maka sudah semestinyalah diambil perhatian dan ditentukan dengan dipanjangkan bacaan dan disempurnakannya (pada waktu itu).”

Tamat.

[Akan menyusul fasal petunjuk Baginda SAW di dalam ruku’ dan sujud serta zikir-zikirnya, insyaAllah..]


-alfindani-

3.21pm,Ahad,

6 Zulhijjah 1431/14 Nov 2010, MTK

SIFRUSSA'ADAH - BACAAN NABI SAW

BACAAN BAGINDA SAW

Baginda membaca secara tertib (mengikut urutan surah ) dan tartil (cermat). Baginda akan mewaqafkan (berhenti) pada setiap hujung ayat dan membaca dengan maad (memanjangkan) hujung kalimah.

Baginda membaca “Ameen” setelah selesai Al-Fatihah; dengan menyaringkannya pada solat jahriyyah ( Maghrib, Isyak, Subuh, Jumaat, hari raya dan lainnya ) dan membaca perlahan pada solat sirriyyah (Zohor, Asar). Seluruh makmum akan turut menyertai membaca “Ameen” bersama-sama Baginda.

DIAM SEJENAK (SAKTAH) DI ANTARA BACAAN

Baginda selalu menjaga dua saktah di dalam solat. Pertamanya; saktah di antara Takbir dan membaca Al-Fatihah. Keduanya; di antara selesai Al-Fatihah dan membaca surah.

Tersebut di dalam sebahagian riwayat bahawa Baginda SAW diam sejenak di antara bacaan (surah) dan rukuk, yang mana jadilah ini saktah yang ketiga. Namun, ia sangatlah singkat dan sekejap (jika dibandingkan dengan dua saktah yang awal).

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT SUBUH

Di dalam solat subuh Baginda akan membaca setelah Al-Fatihah; surah-surah yang panjang. Sekira-kira 60 ayat, atau 100 ayat. Kadangkala Baginda membaca surah Qaaf. Di kala yang lain Baginda membaca surah Ar-Ruum.

Kadang-kadang Baginda meringkaskan dengan sekadar membaca surah Az-Zalzalah, dan kadang-kadang dengan Al-Muawwizatain ( Surah Al-Falaq dan Surah An-Naas).

Di dalam musafir, kadangkala Baginda membaca surah At-Takwiir.

Baginda akan membaca pada hari Jumaat; Surah Alif Laam Miim Tanziil (Surah As-Sajdah) pada rakaat pertama, dan Hal ataa (Al-Insaan) pada rakaat kedua.

Perbuatan mengkhususkan Hari Jumaat dengan membaca dua surah ini adalah kerana ia (surah-surah tersebut) terkandung di dalamnya penyebutan tentang awal penciptaan dan kembali (pada hari kiamat) serta keberangkatan masuk ke dalam syurga.

Perkara-perkara ini terkait dengan hari Jumaat, kerana hari Kiamat bakal terjadi padanya (Hari Jumaat), maka sewajarnyalah umat diperingatkan dengan dibacanya dua surah tadi. Sepertimana juga Baginda membaca di dalam perayaan-perayaan dan perhimpunan-perhimpunan yang besar dengan surah Qaaf, Iqtarabat (Al-Qomar) dan seumpamanya.

BACAAN BAGINDA SAW DI DALAM SOLAT ZOHOR

Baginda memanjangkan bacaan di dalm solat zohor, sekira-kira kadang-kadang sesorang berjalan pergi ke Quba (menunaikan hajatnya) dan kembali semula untuk bersolat, lalu mendapati Baginda belum pun lagi rukuk pada rakaat pertama.

(Yang benar dan tersebut di dalam riwayat adalah Baqi’ dan bukannya Quba, sepertimana dijelaskan oleh pentahqiq kitab ini, Syeikh Ahmad Mustafa At-Thohthowi)

Kadangkala Baginda membaca surah Alif Laam Miim Sajdah (As-Sajdah), atau Sabbihisma Rabbikal A’la (Surah Al-A’la), atau Wassamaa idzatil buruuj (Surah Al-Buruuj), atau Wallaili (Surah Al-Lail) atau surah Al-Insyiqaaq, atau At-Thoriq atau seumpamanya.

Bersambung..

[Akan menyusul bacaan dalam solat Asar, InsyaAllah..]


-alfindani-

11.31 mlm, Sabtu mlm Ahad,

5 Zulhijjah 1431/13 Nov 2010, MTK

Saturday, November 13, 2010

SIFRUSSA'ADAH - TA'AWWUZ DAN BASMALAH

TA’AWWUZ ( MEMBACA A’UUZUBILLAH )

Setelah zikir-zikir tadi (doa istiftah), Baginda membaca:

“Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.”

Kemudian Baginda membaca Al-Fatihah.

MENYARINGKAN ( AL-JAHRU ) DAN MEMBACA PERLAHAN ( AL-ISRAR ) BASMALAH (BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM)

Baginda membaca Basmalah dengan kuat pada sesetengah waktu, dan membacanya dengan perlahan di kala yang lain.

Bersambung...

[Akan menyusul berkenaan Bacaan Rasulillah SAW di dalam solat, insyaAllah]


-alfindani-

11.40 mlm, Sabtu mlm Ahad,

5 Zulhijjah 1431/13 Nov 2010

SIFRUSSA'ADAH - DOA ISTIFTAH - (SAMBUNGAN)

Keempat

Telah tersebut di dalam hadis yang lain bahawa Baginda SAW membaca:

“Allahu akbar (3 kali) Segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. (3 kali). Maha suci Allah di waktu pagi dan petang (3 kali). Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada syaitan yang direjam, daripada godaannya, hembusannya dan bisikannya”.

Kelima

Di dalam hadis yang lain pula disebutkan (Baginda membaca):

“ Allahu Akbar (10 kali), Tasbih (10 kali), Tahmid (10 kali), Tahlil (10 kali), Istighfar (10 kali). Kemudian Baginda membaca pula: “Ya Allah, ampunkanlah aku, tunjukilah aku dan kurniakanlah aku rezeki (10 kali). Kemudian membaca: “Ya Allah aku berlindung kepadaMu daripada kesukaran semasa mengadapMu di hari kiamat.” (10 kali).

[ Takbir: ucapan Allahu Akbar. Tasbih: ucapan Subhanallah. Tahlil: ucapan Laailahaillallah. Istighfar: ucapan Astaghfirullah.

* Namun tidak semestinya diucapkan sekadar ucapan tersebut. Mungkin juga ada tambahan seperti “Allahu Akbar Kabiira” (Takbir) atau “Subhanallahi wabihamdih, subhanallahil ‘aazhim” (Tasbih) atau “Astaghfirullahal ‘azhiim alladzi Laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih” (Istighfar) ]

Keenam

Di dalam riwayat yang sohih Baginda membaca setelah takbir :

“Ya Allah, jauhkanlah daku daripada kesalahan-kesalahanku sepertimana Engkau telah menjauhkan di antara timur dan barat. Ya Allah, basuhlah aku daripada kesalahan-kesalahanku dengan air, salju dan embun. Ya Allah, sucikanlah aku daripada kesalahan-kesalahnku sepertimana baju yang putih dibersihkan daripada kotoran”.

Ketujuh

“Ya Allah, Tuhan kepada Jibril, Mikail dan Israfil. Pencipta langit dan bumi. Yang mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata. Engkaulah yang menghakimi di antara hamba-hambaMu tentang apa yang mereka perselisihkan. Berilah aku petunjuk dari kebenaran tentang apa yang mereka perselisihkan dengan keizinanMu. Kerana sesungguhnya Engkaulah yang memberi petunjuk kepada jalan yang lurus bagi sesiapa yang Engkau kehendaki.”

Kelapan

Tersebut di dalam riwayat juga, Baginda membaca setelah takbir:

“Ya Allah, bagiMu segala pujian. Engkaulah cahaya langit dan bumi serta segala yang di antaranya. Bagimu segala puji. Engkaulah pemilik langit dan bumi serta segala yang di antaranya. BagiMu segala puji. Engkaulah yang Maha Benar. JanjiMu itu benar, FirmanMu itu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, para nabi itu benar dan hari kiamat itu benar.”

Bersambung...

[Akan menyusul berkenaan bacaan Isti'aazah dan Qiraah, InsyaAllah]


-alfindani-

11.31 mlm, Sabtu mlm Ahad,

5 Zulhijjah 1431/13 Nov 2010, MTK

Thursday, November 11, 2010

SIFRUSSA'ADAH - SOLAT RASULILLAH SAW

BAB: SOLAT RASULULLAH SAW

Apabila Baginda berdiri untuk bersolat, Baginda membaca: “Allahu Akbar!”

Tidak ada diriwayatkan daripada Baginda tentang perbuatan melafazkan niat. Baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga setentang kedua telinganya. Dan kadang-kadang setentang kedua bahunya.

Kemudian Baginda meletakkan tangan kanannya ke atas tangan kirinya di atas dada ( begitulah yang terdapat di dalam Sohih Ibn Khuzaimah )

DOA ISTIFTAH

Kemudian Baginda terus membaca doa istiftah. Dan ianya diriwayatkan dengan pelbagai riwayat yang sohih.

Pertama:

Riwayat Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib r.anh, katanya: “ Adalah Nabi SAW apabila berdiri solat akan membaca: “Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, ikhlas dan menyerahkan diri. Dan aku bukanlah daripada kalangan mereka yang musyrik.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah bagi Allah; Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu baginya, dan dengan demikianlah aku diperintahkan, dan aku termasuk orang yang pertama-tama menyerahkan diri ( kepadaNya ).

Ya Allah, Engkaulah Allah, Yang Menguasai, Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau adalah Tuhanku, dan aku adalah hambaMu. Aku telah menzalimi diriku sendiri, dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah segala dosa-dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau.

Pimpinlah aku kepada akhlak yang termulia, tiada yang dapat memimpin kepada akhlak yang terbaik itu selainMu. Hindarkanlah aku dari kejahatannya, kerana tiada yang dapat menghindarkanku daripadanya melainkan Engkau sahaja.

Aku menyahut seruanMu dengan setulusnya, dan seluruh kebaikan itu di ‘tangan’MU. Kejahatan itu bukanlah (dinisbahkan) kepadaMu.

Aku ini denganMu dan kepadaMu. Engkaulah yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Aku memohon keampunan dan kembali kepadaMu”. (Muslim)

Kedua:

Hadis Abi Hurairah r.anh, katanya: “Adalah Rasulullah SAW akan diam sebentar di antara takbir (takbiratul ihram / takbiratul uula) dan membaca (Al-Fatihah). Lalu aku bertanya: Demi ayah dan ibuku; apakah yang tuan bacakan ketika diam di antara takbir dan bacaan itu?”

Jawab SAW: “Aku membaca; Ya Allah, jauhkanlah antaraku dan kesalahan-kesalahanku sepertimana Engkau menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, suci bersihkanlah aku daripada kesalaha-kesalahanku seumpama baju yang putih bersih dibersihkan daripada kotorannya. Ya Allah! Basuhlah diriku daripada kesalahan-kesalahanku dengan air, salju dan embun”. (Bukhari Muslim)

Ketiga:

Hadis ‘Aisyah r.anha, katanya: “Adalah Rasulullah SAW apabila memulakan solatnya akan membaca”; “Maha Suci Engkau wahai Tuhan dan dengan kepujianMu. Maha Suci NamaMu, dan Maha Tinggi KemuliaanMu. Dan tiada Tuhan selainMu”. (Tirmizi dll)

Bersambung..

[Akan menyusul yang keempat dan seterusnya, insyaAllah..]

-alfindani-

12.06 pagi, Rabu mlm Khamis,

3 Zulhijjah 1431/10 Nov 2010, MTK

Tuesday, November 9, 2010

SIFRUSSA'ADAH- TAYAMMUM

FASAL: KAIFIYYAH (CARA-CARA) TAYAMMUM


Setiap kali bertayammum, Baginda SAW akan menepuk satu kali tepukan dengan kedua telapak tangannya ke atas bumi (al-ardh) yang bersih, lalu menyapu dengan keduanya pada wajah dan belakang kedua-dua telapak tangannya.

Tidak diriwayatkan di dalam hadith yang sohih bahawa Baginda SAW menepuk dua kali tepuk ke atas tanah. Dan juga tidak diriwayatkan bahawa Baginda menyapu sehingga kedua-dua sikunya. Dan setiap hadith yang diriwayatkan menyalahi/berbeza dengan apa yang kami nyatakan itu; maka kesemuanya adalah dhoif.

Baginda SAW bertayammum dengan bumi (al-ardh) yang ditunaikan solat di atasnya dengan tidak membezakan samada ianya tanah, pasir atau selainnya (bagi mazhab Asy-Syafi’e, hanya debu tanah yang suci).

Sabdanya SAW: “di mana sahaja salah seorang lelaki daripada ummatku didapatkan waktu solat (mendapati waktu solat telah masuk), maka di situlah masjidnya dan bahan bersucinya”; Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa jenis apapun bumi itu adalah suci (boleh digunakan untuk bersuci).

Dan kami (pengarang) tidakmendapatkan di dalam hadis yang sahih bahawa Baginda SAW bertayammum bagi setiap kali sembahyang fardhu dengan tayammum yang baru,.

Bahkan perintahnya untuk bertayammum tersebut adalah mutlak (iaitu tiada tambahan perintah bahwa satu tayammum hanya sah untuk satu solat fardhu sahaja), dan tayammum itu menempati tempat wudhu (iaitu oleh kerana tayammum adalah ganti kepada wudhu, maka hukum-hakam wudhu juga berlaku kepada tayammum dari segi perkara yang membatalkannya dan lain-lainnya)

Tamat.

# Untuk tambahan pemahaman sila klik di sini.

[Akan menyusul Bab Solat insyaAllah..]


-alfindani-

11.57 mlm,Selasa mlm Rabu

2 Zulhijjah 1431/9 Nov 2010, MTK

SIFRUSSA'ADAH - MENYAPU KHUF

FASAL: MENYAPU DI ATAS DUA KHUF


Telah tsabit di dalam pelbagai khabar (berita/riwayat) yang sahih bahawa Nabi SAW menyapu di atas dua khuf ketika bermusafir dan ketika menetap (tidak keluar bermusafir).

Jangkamasa yang dibenarkan adalah sehari semalam ketika menetap dan tiga hari tiga malam ketika bermusafir.

Baginda menyapu di bahagian atas khuf, dan tersebut di dalam hadis yang dhoif tentang menyapu di bahagian bawahnya, yang mana tidak tsabit di dalam riwayat yang sohih.

Baginda juga menyapu di atas “jaurab” (boleh diertikan dengan stoking, tetapi mengikut mazhab as Syafie, stoking yang dibolehkan menyapu di atasnya adalah yang kuat dan boleh dipakai untuk berjalan jauh, bermakna stoking kain seperti hari ini tidak cukup syarat untuk disapu).

Dan hadis yang menerangkan tentang menyapu di atas “al-jurmuq” (khuf yang pendek dipakai di atas khuf yang biasa) telah diriwayatkan oleh A-Tirmizi, dan dikatakan sahih oleh segolongan huffaz (para ulama penghafaz hadis) dan didhoifkan oleh sebahagian mereka.

Baginda apabila memakai khuf tersebut bukanlah dengan maksud untuk menyapu di atasnya atau membasuhnya (yakni baginda tidaklah sengaja memakai dengan berniat untuk menyapu, atau tidak memakai dengan niat untuk membasuh kaki), tetapi jika Baginda berkehendak untuk berwudhu sedangkan baginda dalam keadaan memakai khuf, maka baginda menyapunya. Jika tidak, maka Baginda membasuh kakinya.

Disebabkan ada pelbagai pendapat ulama berkenaan yang mana lebih utama berbanding menyapu khuf atau membasuh kaki, maka kami terangkan di sini, supaya dapat diketahui bahawa sebaik-baik pendapat adalah yang menepati adat (kebiasaan) nabi saw.

Tamat.


# Berkata Imam As-Syaukani : khuf adalah kasut kulit yang menutup dua kaki, Jurmuq adalah lebih besar daripadanya, dan jaurab pula lebih besar lagi. (Nailul Author)

# khuf yang boleh disapu di atasnya mestilah menutupi lebih daripada buku lali, tahan untuk dipakai berjalan jauh. Untuk syarat-syarat yang lain boleh rujuk kitab-kitab fiqh mazahib, kerana di sini hanya bertujuan menerangkan petunjuk Nabi SAW.


* Tulisan berwarna biru adalah keterangan penterjemah. Harap maklum.

[Akan menyusul fasal tayammum, insyaAllah]



-al-findani-

9/11/2010, Selasa

7.47 pagi, MTK

Thursday, November 4, 2010

SIFRUSSA'ADAH - BAB THOHARAH ( WUDHUK )

BAB THOHARAH PEMBAWA RISALAH SAW

Sifat wudhuk Baginda SAW

Biasanya Baginda akan berwudhuk setiap kali akan mendirikan solat. Dan kadang-kadang Baginda menggunakan satu wudhu untuk beberapa solat.

Kadar air yang digunakan Baginda adalah kurang daripada 2 ritl (cupak /kati ). Dan tidak melebihi 4 ritl dan kadang-kadang Baginda berwudhu sekira-kira 3 ritl.

Baginda sangat menekankan agar menggunakan air yang sedikit untuk berwudhuk, dan bersangatan menegah penggunaan air yang berlebihan dalam berwudhuk. Sabdanya SAW: “sesungguhnya ada syaitan bernama Wilhan yang bertugas mengganggu semasa berwudhu, maka berhati-hatilah daripada bisikan was-wasnya”. (didhaifkan oleh Tirmizi)

Pernah Rasulullah SAW melewati Sa’ad bin Abi Waqqas yang sedang berwudhuk lalu Baginda bersabda: “ janganlah berlebihan menggunakan air”. Sa’ad lantas bertanya: “apakah pada penggunaan air juga ada pemborosan?” Jawab Nabi SAW: “ya, meskipun engkau (berwudhuk) di sungai yang mengalir”

Telah sahih bahawa Baginda SAW membasuh anggota wudhunya sekali-sekali sahaja, kadang-kadang dua kali-dua kali setiap anggota, dan kadang-kadang tiga kali-tiga kali, bahkan ada juga ketikanya membasuh sebahagian anggota dua kali-dua kali dan sebahagian anggota yang lain tiga kali-tiga kali.

Baginda berkumur serta memasukkan air ke dalam hidung sekali sekali cedokan, kadang-kadang dua kali-dua kali dan kadang-kadang tiga kali-tiga kali. Baginda menggunakan air yang sama sekali cedok untuk berkumur dan hidung. Separuh dari cedokan dimasukkan ke mulut untuk berkumur, dan sebahagiannya disedut ke hidung.

Dan tidak warid (tidak pernah diriwayatkan)di dalam hadis bahawa Baginda menggunakan air dari cedokan yang berasingan untuk mulut dan hidung. Hadis Tolhah bin Mushorrif daripada bapanya daripada datuknya bahawa ia menyaksikan Nabi SAW menggunakan air cedokan yang berasingan untuk mulut dan hidung adalah dhaif isnadnya.

Baginda memasukkan air ke dalam hidung dengan tangan kanannya dan menghembus keluar sambil menggunakan tangan kirinya pada hidung. Baginda menyapu seluruh kepalanya sekali sahaja dan tidak mengulanginya. Ada diriwayatkan baginda menyapu lebih dari sekali, tetapi hadis itu dhoif.

Jika Baginda sekadar menyapu sebahagian kepala, maka Baginda akan menyempurnakan sapuannya dengan menyapu ke atas serbannya.

Baginda selamanya tidak pernah meninggalkan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung semasa berwudhuk. Bahkan tidak pernah diriwayatkan oleh seorang pun bahawa Baginda meninggalkannya. Baginda juga berwudhu dengan mengikut tertib anggota dan berturutan tanpa diselangi masa yang panjang di antara membasuh anggota-anggota (muwaalat) serta tidak pernah meninggalkan tertib dan muwaalat selamanya..

Kadangkala Baginda menyapu seluruh kepalanya . Kadang yang lain Baginda menyapu di atas serbannya. Dan terkadang Nabi SAW menyapu ubun-ubun dan atas serban. Tidak pernah sekalipun Baginda mencukupi dengan menyapu sebahagian kepala sahaja. Baginda juga menyapu dua telinga, luar dan dalam. Dan tiada hadis yang tsabit (boleh diterimapakai) berkenaan menyapu leher.

Tentang kaki, jika baginda tidak memakai khuf maka baginda membasuh kaki, tetapi jika sebaliknya maka Baginda mencukupi dengan sekadar menyapunya (khuf yang terlekat di kaki) sahaja.

Adzkaarul wudhuk (zikir-zikir wudhuk)

Hadis-hadis yang menerangkan berkenaan zikir-zikir semasa berwudhu semuanya tidak sohih belaka.

Yang sohihnya adalah Baginda membaca di awal wudhuknya “Bismillah” dan di akhirnya dengan “aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah semata, tiada sekutu baginya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan pesuruhNya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada mereka yang sentiasa bertaubat dan jadikanlah aku bersama mereka yang membersihkan diri”.

“maha suci Engkau dan segala pujian wahai Tuhan, aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepadaMu dan kepadaMulah aku bertaubat”.

Berkata Abu Musa Al-Asy’aari: “Aku membawa air wudhu untuk RasuluLLah lalu Baginda berwudhu dengannya. Dan aku mendengar Baginda membaca: “ya Allah, ampunilah dosaku, luaskanlah tempat tinggalku, dan berkatilah rezekiku” . Lantas aku bertanya: Ya rasulallah! Aku mendengar tuan berdoa begini –begini. Lalu Baginda kembali bertanya: “apakah aku ada tertinggal sesuatu?” (yang tidak ku memintanya di dalam doa tadi?)

Baginda SAW tidak mengelap anggota wudhu.

Tidak pernah SAW mengelap anggota wudhuknya setelah berwudhuk, samaada dengan menggunakan sapu tangan atau tuala. Jika dibawa kepadanya SAW, Baginda menjauhinya (tidak mengambilnya untuk mengelap).

Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.anha: “Baginda memiliki kain pengelap yang digunakan (mengelap anggota wudhuk) setelah berwudhuk”, dan hadis Muaz yang semakna dengannya, maka kedua-duanya adalah dhoif.

Tidak ada orang yang bertugas menjiruskan air untuk Baginda semasa berwudhuk melainkan ketika dharurat.

Hadis yang menerangkan tentang menyelati janggut, sebahagian ahli hadis menerimanya dan sebahagian yang lain menolaknya.

Adapun hadis mengenai menyelati jari-jemari , maka Baginda melakukannya kadang-kadang. Dan berkenaan menggerak-gerakkan cincin ketika membasuh tangan maka ia warid (terdapat) pada hadis yang dhoif.