Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, July 31, 2011

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 13

Di antara kewajipan seorang penghafal Al Quran lagi adalah:-

Ia patutlah sentiasa membaca Al Quran dan memperbanyakkan bacaannya. Para Salaf r.anhum mempunyai kebiasaan yang berbeza-beza dalam mengkhatamkan bacaan mereka.

Ibn Abi Dawud meriwayatkan dari sebahagian salaf ranhum bahawa mereka ada yang mengkhatamkan dua bulan sekali.

· Ada pula yang mengkhatamkan sebulan sekali.

· Sebahagian lagi sepuluh malam sekali khatam.

· Yang lainnya lapan malam sekali khatam.

· Kebanyakan mereka seminggu sekali khatam.

· Ada yang lain enam hari sekali.

· Segolongan lagi lima hari sekali.

· Kemudian ada juga yang khatam empat hari sekali.

· Yang lainnya tiga hari sekali khatam.

· Ada yang mengkhatamkan dua malam sekali.

· Kemudian sehari semalam sekali khatam.

· Sehari semalam dua kali khatam.

· Ada juga yang mampu mengkhatamkan sehari semalam tiga kali khatam. Bahkan ada yang sehingga lapan kali khatam sehari semalam. Empat kali di siang hari dan empat kali di malamnya.

Di antara yang termasuk mengkhatamkan sekali khatam sehari semalam adalah Uthman bin Affan, Tamim Ad Daari, Said bin Jubair, Mujahid, Asy Syafi’e dan lain-lain radhiyallahu anhum wa ardhahu.

Tergolong di dalam yang mengkhatamkan tiga kali sehari semalam adalah Salim bin Umar ra, seorang kadi di Mesir pada pemerintahan Muawiyah ra.

Abu Bakr bin Abi Dawud meriwayatkan bahawa dia mengkhatamkan sebanyak empat kali dalam satu malam.

Berkata syeikh yang soleh, Abu Abd Rahman as Sulami ra; aku mendengar Sheikh Abu Uthman al Maghribi mengatakan: ”Ibnu Katib ra mengkhatamkan bacaannya pada siang hari empat kali khatam dan pada malamnya empat kali khatam”. Dan inilah pengkhataman yang terbanyak di dalam sehari semalam yang sampai (riwayatnya) kepada kami.

Syeikh yang mulia, Ahmad ad Dauraqi meriwayatkan dengan isnadnya daripada Mansur bin Zadan daripada ‘Abbad seorang tabien ra, bahawa ia mengkhatamkan Al Quran di antara Zuhur dan Asar. Dan ia juga mengkhatamkan di antara Maghrib dan Isyak sehingga berlalu seperempat malam di dalam bulan Ramadhan.

Abu Dawud meriwayatkan dengan isnadnya yang sahih bahawa Mujahid ra mengkhatamkan Al Quran di antara Maghrib dan Isyak.

Daripada Mansur, ia berkata: ”Ali al Azdi mengkahatamkan di antara Maghrib dan Isyak pada setiap malam Ramadhan”.

Dan daripada Ibrahim bin Saad katanya: ”Adalah bapaku duduk ihtibak (duduk sambil kedua tangan mendakap lutut yang ditegakkan), lalu dia tidak akan bangun sehingga dia mengkhatamkan Al Quran”.

Adapun mereka yang mengkhatamkan di dalam satu rakaat solat amatlah ramai sehingga tak terhitung. Di antara generasi terdahulu adalah seperti Uthman bin Affan, Tamim ad Daari dan Said bin Jubair ranhum yang mana dia (Said) mengkhatamkan di dalam serakaat solat yang dilakukan di dalam Kaabah.

Begitu juga yang mengkhatamkan seminggu sekali, ramai yang melakukannya. Di antaranya Uthman bin Affan, Abdullah Ibn Mas’ud, Zaid bin Tsabit, Ubay bin Ka’ab ranhum serta jamaah dari tabi’in seperti Abd Rahman bin Yazid, Ibrahim dan ‘Alqamah rh.

Semua ini adalah bergantung kepada keadaan seseorang. Jika seseorang itu terbuka baginya pintu tafakur tentang pemahaman makna-makna Al Quran, dia boleh membaca sedikit sahaja beserta perenungan yang mendalam terhdap maknanya.

Demikian juga jika ia seorang yang disibukkan dengan tugas menyebarkan ilmu, atau kepentingan agama serta kemaslahatan Umat Islam, maka janganlah bacaannya sehingga menjadikan tugas-tugasnya terabai.

Jika ia seorang yang tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan di atas, maka seharusnyalah ia memperbanyakkan bacaannya selagi tidak mengakibatkan kejemuan atau sehingga mengabaikan hukum-hakam tajwid disebabkan ingin cepat mengkhatamkan.

Sebahagian para pendahulu (salafussoleh) tidak menyukai mengkhatamkan Al Quran sehari semalam berdalilkan hadis sahih darpada Abdillah bin ‘Amru ibn ‘Ash ra. Sabda Nabi SAW: “Tidak akan beroleh pemahaman orang yang mengkhatamkan Al Quran kurang dari tiga hari.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud, At Tirmizi, An Nasaie dan selain mereka. Kata Tirmizi, hadis sahih. Wallahu a’alam.

Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 12

BAB 5: ADAB PARA PENGHAFAL AL QURAN

Telah diterangkan beberapa adabnya pada bab yang sebelum ini. Di antara adab-adabnya lagi adalah:-

  • Memastikan dirinya di dalam keadaan yang paling sempurna, keperibadian yang paling mulia; menjauhi segala yang ditegah oleh Al Quran sebagai pengagungan terhadapnya; menjaga diri dari mencari penghidupan dengan jalan yang hina; memelihara kemulian diri; tidak merendah diri kepada orang-orang yang sombong atau penguasa yang zalim; menjauhi pemburu dunia; merendah diri terhadap para solehin; ahli kebaikan dan orang-orang miskin; serta bersikap khusyuk dan tenang tidak terburu-buru.
  • Berkata Umar ra: “Wahai para Qurra! Angkatlah kepalamu, sesungguhnya telah jelas kepada kamu jalan (yang benar), berlumba-lumbalah membuat kebaikan, jangan biarkan dirimu menjadi beban tanggungan orang lain”.
  • Ibnu Mas’ud pula berkata: “Hendaknya seorang penghafal Al Quran itu dikenali dengan (bangun) malamnya ketika manusia lain sedang tidur, (puasa) siangnya ketika manusia kekenyangan, kesedihannya ketika manusia bergembira, tangisannya tatkala manusia tertawa, diamnya di waktu manusia banyak berbicara, serta khusyuknya ketika manusia saling bising-bising”.
  • Daripada Al Hasan bin Ali ra katanya: ”Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu memandang Al Quran ini sebagai lembaran-lembaran surat dari Tuhan mereka, lalu mereka berusaha untuk menyelami maknanya pada waktu malam serta berusaha melaksanakannya pada waktu siang”.
  • Berkata Al Fudhail bin Iyadh ra: ”Sewajarnya penghafal Al Quran itu tidak menggantungkan hajatnya kepada seseorang pun daripada pemerintah atau selain mereka”. Katanya lagi: ”Para penghafal Al Quran itu adalah pembawa panji-panji Islam, tidak sepatuutnya ia berleka-leka bersama orang yang leka, atau melupakan (tujuan hidup yang tinggi) bersama orang yang lupa, atau melakukan perkara-perkara yang sia-sia bersama orang yang melakukannya; sebagai mengagungkan hak Al Quran itu”.

Di antara perkara yang teramat penting adalah tidak menjadikan Al Quran sebagai sumber sara hidupnya. (seperti seorang yang membaca Al Quran lalu meminta-minta sedekah dari orang ramai)

  • Telah ada riwayat dari Abd Rahman bin Syubail ra, sabda Rasulullah SAW: “Bacalah Al Quran, dan jangan mencari makan dengannya, jangan pula menjauhinya dan jangan pula melampau padanya”.
  • Daripada Jabir ra, dari Nabi SAW: “Bacalah Al Quran sebelum datang satu golongan yang akan meluruskan bacaan mereka seumpama seseorang meluruskan anak panahnya. Mereka itu mengharapkan ganjaran yang segera (duniawi) dan tidak menginginkan ganjaran yang ditangguhkan (akhirat)”. Diriwayatkan maknanya di dalam riwayat Sahl bin Saad: ”Mereka menginginkan ganjaran yang segera berupa harta, pujian manusia atau yang seumpamanya”.
  • Daripada Fudhail bin ‘Amru ra katanya: Dua lelaki dari sahabat Rasulillah SAW masuk ke dalam sebuah masjid. Apabila imam telah memberi salam, tiba-tiba bangun seorang lelaki lantas membaca beberapa ayat Al Quran lalu kemudiannya meminta-minta (derma) dari orang ramai. Segera seorang daripada sahabat ra itu berkata: ”Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun… Aku telah mendengar Rasulallah SAW bersabda: ”Nanti akan ada segolongan manusia yang meminta-minta dengan Al Quran, maka janganlah kamu memberi kepadanya”. Tetapi isnad hadis ini terputus (munqathi’) kerana Al Fudhail bin ‘Amru ra tidak mendengar hadis daripada para sahabat.
  • Adapun berkenaan mengambil upah mengajar Al Quran, para ulama mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang hal tersebut.

    1. Imam Abu Sulaiman Al Khattabi menukilkan bahawa segolongan ulama menegah mengambil upah. Di antara mereka adalah Az Zuhri dan Abu Hanifah.
    2. Segolongan yang lain mengharuskan jika pengajar itu tidak mensyaratkan upah untuk tugas mengajar tersebut. Ini adalah pendapat Al Hasan Al Basri, Asy Sya’bi dan Ibnu Siirin.
    3. ‘Atho’, Malik dan Asy Syafi’e r.anhum dan yang lain-lain mengatakan harus, sekalipun ia mensyaratkan upah untuk tugas mengajar tersebut. Pengambilan upah itu sah dengan dalil-dalil keharusannya yang terdapat di dalam hadis-hadis yang sahih.

►Golongan yang menegah berdalilkan sebuah hadis daripada ‘Ubadah bin As Shomit: Bahawa ia mengajarkan Al Quran kepada seorang sahabat Ahli Suffah lalu ia dihadiahi satu busur panah oleh sahabat tadi. Setelah mengetahui hal itu Nabi SAW bersabda kepadanya: ”Jika engkau suka untuk dikalungkan ke lehermu satu kalung dari neraka, ambillah!”. Ini adalah sebuah hadis yang masyhur diriwayatkan oleh Abu Dawud dan selainnya, serta riwayat-riwayat yang banyak dari para salaf.

Pendalilan (penggunaan dalil) dengan hadis ‘Ubadah ra ini dijawab oleh golongan yang mengharuskan dengan dua jawapan:

1. Hadis ini isnadnya diperkatakan. (terdapat perbezaan pendapat tentang kekuatan sanadnya).

2. ‘Ubadah mengajar dengan niat tabarru’ (melakukan amal tanpa mengharapkan imbalan), jadi ia tidak berhak menerima sesuatu. Kemudian dia dihadiahi dengan sesuatu sebagai ganti pengajarannya itu, maka ia tidak boleh mengambilnya. Ini berbeza dengna orang yang mensyaratkan upah sebelum ia bersedia untuk mengajar. Wallahu a’lam.

Bersambung...


ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 11

BERSEMANGAT MENUNTUT ILMU

Di antara adab yang pasti adalah:

  • Bersemangat menuntut ilmu, berterusan menuntutnya pada setiap ketika dan kesempatan. Tidak merasakan cukup dengan sedikit ilmu jika ia berkemampuan mendapat lebih banyak. Tidak membebankan dirinya di luar kemampuan sehingga melemparkan dirinya dari medan ilmu disebabkan jemu. Dan tidak wajar baginya menyia-nyiakan apa yang telah diraihnya. Dan ini semua berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain disebabkan perbezaan karektor dan keadaan.
  • Apabila ia datang ke majlis gurunya lalu ia tidak mendapatinya, lazimkanlah diri menunggu di pintu guru agar ia tidak luput daripada memperdengarkan bacaannya. Kecuali ia tahu yang gurunya tidak menyukai (menunggu) ditambah pula menjadi kelaziman syeikh untuk menyemak pada waktu-waktu tertentu sahaja (mengikut jadual yang tetap).
  • Jika ia mendapati gurunya sedang tidur, maka jangan pula mengejutkannya, tetapi bersabarlah menunggu sehingga ia bangun atau selesai, atau ia pergi sahaja tanpa menunggu. Tetapi bersabar menunggu itulah yang lebih utama sepertimana yang dilakukan oleh Ibn Abbas dan selainnya dari para ulama.
  • Hendaknya seseorang bersungguh-sungguh mengambil kesempatan menuntut ilmu ketika waktunya masih lapang, kemahuannya masih tinggi,badannya masih kuat, fikirannya masih jernih dan kesibukannya masih kurang sebelum tibanya penghalang-penghalang dan sebelum ia mempunyai kedudukan. Berkata Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab ra: ”Tafaqquhlah (tuntutlah ilmu agama) sebelum kamu diangkat menjadi ketua”. Maknanya; Bersungguh-sungguhlah menyempurnakan kepakaran kamu semasa kamu masih seorang pengikut sebelum kamu menjadi pemimpin (orang yang diikuti). Ketika itu kamu akan terhalang untuk belajar dikeranakan ketinggian kedudukan kamu tersebut, ditambah banyaknya kesibukan-kesibukan kamu sebagai ketua (sehingga tiada lagi kesempatan masa lapang untuk kamu belajar). Dan inilah makna perkataan Imam As Syafie ra: ”Belajarlah sebelum kamu memimpin, kerana apabila kamu memimpin, tiada ruang lagi buat kamu untuk belajar”.
  • Hendaklah ia berpagi-pagi untuk membaca kepada gurunya kerana sabda Nabi SAW: ”Ya Allah, berkatilah umatku pada awal pagi mereka”.
  • Haruslah ia menjaga apa yang telah dihafalnya, dan tidak wajar untuk ia mengutamakan orang lain ketika gilirannya telah tiba kerana mengutamakan orang lain di dalam hal kedekatan kepada Allah adalah makruh, berbeza dengan mengutamakan orang lain di dalam urusan peribadi kerana ia disukai. Jika gurunya melihat patut mengutamakan orang lain, lalu mengisyaratkan sedemikian, maka hendaklah ia patuh.
  • Wajiblah baginya untuk tidak berhasad dengki dengan seorang pun daripada temannya disebabkan kurnia Allah kepada mereka.
  • Juga janganlah ia merasa ‘ujub (bangga diri/”bajet”) dengan anugerah Allah kepadanya, seperti yang kami telah jeaskan sebelum ini di dalam adab guru.

Cara untuk menghindari ujub adalah:

    1. Dengan menyedari bahawa semuanya adalah anugerah Allah, bukannya dengan kepandaian dan kehebatan hafalannya.
    2. Menyedari bahawa semua itu adalah pinjaman dari Allah semata.

Jalan untuk menepis hasad dengki pula adalah:

  1. Mengetahui bahawa Allah mempunyai hikmah tersendiri menempatkan kurniaNya kepada seseorang, maka janganlah ia membencinya pula.
Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 10

ADAB BERSAMA TEMAN-TEMAN.

  • Hendaklah ia beradab dengan teman-teman dan hadirin kerana ia juga termasuk adab kepada gurunya dan memelihara kehormatan majlisnya.
  • Hendaknya ia duduk di hadapan guru seperti seorang murid bukannya seperti duduk seorang guru.
  • Tidak mengangkat suara tanpa hajat, tertawa, banyak bercakap tanpa keperluan, bermain-main dengan tangannya atau lainnya, menoleh ke kanan dan ke kiri tanpa hajat, tetapi hendaklah ia menghadap kepada guru dan memberi perhatian kepada kata-katanya.


ADAB BERSAMA GURUNYA

Di antara adab yang perlu diambil perhatian penting adalah;

  • Ia tidak membaca kepada guru dalam keadaan jiwa gurunya tidak keruan atau tidak bersemangat. Atau dalam keadaan hati gurunya tidak tenang, gelisah, gundah, sedih, gembira, dahaga, mengantuk, bergoncang atau seumpamanya yang menghalang gurunya dari memberi perhatian terhadap bacaannya. Dengan itu hendaklah ia mengenal waktu gurunya bersedia lalu merebut kesempatan untuk membaca.
  • Di antara adabnya juga, hendaklah ia sanggup bersabar menanggung sikap guru yang mungkin ia tidak menyukainya, atau kekasaran akhlaknya. Serta dengan itu tidak menghalangnya daripada melazimi gurunya dan meyakini kesempurnaannya (ilmunya). Haruslah ia menakwilkan perbuatan dan perkataan gurunya yang nampak buruk pada zahirnya dengan takwilan atau sangkaan yang baik. Dan tidak ada yang tidak sanggup melainkan disebabkan kurang atau tiadanya taufiq. Jika gurunya menjauhi dan bersikap kasar kepadanya, hendaklah ia menerima serta merasakan kesalahan itu adalah darinya, lantas mencela dirinya sendiri. Dan yang demikian itu adalah lebih bermanfaat kepadanya di dunia dan akhirat selain lebih menjadikan hati gurunya lebih lapang. Sesungguhnya mereka (para ulama) telah berkata: ”Sesiapa yang tidak bersabar di atas kehinaan semasa belajar akan kekal di dalam gelap kejahilan, sedangkan sesiapa yang sanggup bersabar akan meraih kemuliaan akhirat dan dunia”.
  • Dan di dalam atsar yang masyhur dari Ibn Abbas ra: ”Aku menempuh kehinaan menuntut ilmu lalu aku meraih kemuliaan apabila ilmu ini dituntut pula dariku”. Alangkah indah apa yang diucapkan ini: ”Sesiapa yang tidak merasakan kehinaan sesaat, akan menempuh kehinaan sepanjang zaman”.
Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 9

ADAB PENUNTUT ILMU


Fasal: Keseluruhan apa yang telah kami sebutkan dari adab guru juga merupakan adab bagi seorang murid.

Di antara adab-adabnya yang lain adalah:

  • Menjauhi segala sebab yang menyibukkannya daripada ilmu, melainkan sesuatu yang tidak dapat tidak ia melakukannya disebabkan keperluan.
  • Hendaklah ia membersihkan hatinya dari kekotoran (penyakit hati), untuk memudahkan hatinya menerima Al Quran, menghafaznya dan memetik hasilnya. Sesungguhnya telah sahih dari Nabi SAW sabdanya: “Sesungguhnya di dalam jasad (manusia) ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya dan jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa itulah hati”. Amatlah cantik apa yang diungkapkan seseorang yang berkata: “Perbaikilah hati untuk ilmu, sepertimana tanah diperbaiki (digembur) untuk menanam”.
  • Sewajarnya ia tawadhu’ kepada gurunya dan membaguskan adab dengannya, meskipun guru itu lebih muda daripadanya, atau kurang kemasyhurannya, atau biasa-biasa saja nasabnya dan kesolehannya atau seumpamanya. Hendaklah ia bertawadhu’ kepada ilmu, maka dengan tawadhu’ ia akan berhasil. Seperti untaian sebuah syair: “Ilmu itu musuh bagi pemuda yang meninggikan diri sepertimana air banjir menjauh dari tempat yang tinggi”.
  • Hendaknya ia mencontohi gurunya (pada perkara yang terpuji), berbincang dengannya segala permasalahannya (yakni: permasalahan murid itu), dan menerima kata-katanya (yang benar). Seumpama seorang pesakit yang menerima kata-kata seorang doktor yang baik lagi cerdik. Dan inilah yang utama.
  • Dan janganlah ia belajar melainkan daripada guru yang sempurna kepakarannya dan ternyata kehidupan beragamanya, tepat pengetahuannya serta diketahui penjagaan dirinya (wara’). Kerana sesungguhnya telah berkata Muhammad bin Sirin, Malik bin Anas dan selain mereka dari Salafussoleh: “Ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu”.
  • Menjadi kewajpan baginya untuk memandang gurunya dengan pandangan penghormatan, mengakui kepakarannya dan kelebihannya kerana itu akan lebih menghampirkannya untuk memetik manfaat dari gurunya.
  • Ada di antara para pendahulu kita yang apabila ia ingin pergi menemui gurunya ia akan bersedekah dengan sesuatu lantas berdoa: “Ya Allah, tutupilah aib guruku dan janganlah engkau hilangkan keberkatan ilmunya dariku”. Berkata Ar Rabi’ sahabat Imam As Syafi’e: “Aku tidak dapat untuk minum jika Imam As Syafie melihat padaku disebabkan rasa seganku dengan kehebatannya”.
  • Dan kami meriwayatkan daripada Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib ra katanya: “Di antara hak guru ke atasmu adalah engkau memberi salam kepada orang lain secara umum dan mengkhususkan salam dan penghormatan kepadanya.
  • Hendaklah engkau duduk di hadapannya dengan tidak menunjuk ke mana-mana dengan tanganmu atau mengenyit-ngenyit matamu. Atau (janganlah hendaknya) engkau berkata; “orang lain mengatakan begini dan begitu”, menyalahi apa yang dikatakan gurumu.
  • Jangan mengumpat seseorang pun di hadapannya, juga jangan berbincang dan bercakap-cakap dengan temanmu di dalam majlisnya. Jangan pula menarik bajunya jika ia ingin pergi, atau mendesaknya ketika ia tidak ingin bicara. Dan jangan pula merasa jemu akibat lamanya persahabatanmu dengannya. Seharusnya ia beradab dengan adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Imam Ali kwj.
  • Jika ingin menemui guru, maka masuklah dengan keadaan yang paling sempurna seperti yang telah kami jelaskan pada adab guru. Iaitu dengan berkeadaan suci, bersiwak dan mengosongkan hati dari urusan-urusan yang lain.
  • Jangan masuk kepada guru melainkan dengan izinnya jika guru berada di tempat yang perlu kepada meminta izin.
  • Hendaklah memberi salam kepada hadirin ketika masuk dan mengkhususkan salam kepada guru.
  • Juga berilah salam kepadanya dan hadirin jika ingin beredar dari majlis seperti yang tertera di dalam hadis: ”Tidaklah (salam) yang awal lebih berhak dari(salam) yang kedua”.
  • Jangan melangkahi leher manusia untuk ke hadapan majlis, tetapi duduklah di mana yang kosong. Melainkan diizinkan gurunya atau ia tahu yang orang lain mengutamakannya untuk ke hadapan. Jangan pula membangunkan orang lain dari tempatnya untuk ia sendiri duduk di tempat tersebut, kerana mengutamakan dirinya atas orang lain tidaklah dapat diterima bercontohkan apa yang dilakukan Ibn Umar ra. Kecuali dengan sebab ia ke hadapan itu membawa kebaikan kepada hadirin atau gurunya memerintahkan demikian (maka tidak apa).
  • Jangan sesekali duduk di tengah-tengah halaqah melainkan kerana darurat. (tempat yang sempit contohnya).
  • Jangan pula duduk di antara dua orang yang bersahabat tanpa izin kedua-duanya. Jika mereka melapangkan baginya, bolehlah ia duduk dengan mendiamkan dirinya.
Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 8

Fasal: Di antara adab yang sangat perlu diambil berat adalah janganlah ia sesekali menghina ilmu, iaitu dengan pergi ke tempat orang yang ingin menuntut ilmu, sekalipun yang ingin belajar itu adalah khalifah atau siapa jua. Bahkan hendaklah ia memelihara ilmu itu sepertimana yang dilakukan oleh para salafussoleh ranhum, dan kisah-kisah mereka tentang hal ini banyak sekali.

[ Yakni: Orang yang hendak belajar lah yang semestinya datang bertemu orang yang berilmu, bukan sebaliknya seperti yang banyak berlaku pada zaman kita ini –pent]

Fasal: Sebaiknya majlisnya adalah berkeadaan lapang untuk memungkinkan para penuntut ilmu untuk duduk.

Di dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: ”Sebaik-baik majlis adalah yang paling lapang”.

Diriwayatkan oleh Abu Dawud di dalam Sunannya pada permulaan kitab adab dengan isnad yang sahih daripada riwayat Abi Said al Khudri ra.

Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 7

Fasal: Amatlah dianjurkan kepada para guru agar bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam mengajar para pelajarnya serta mengutamakan tugasnya itu berbanding kemahuan duniawinya yang melebihi keperluan.

Dia juga hendaknya mengosongkan hatinya daripada apa-apa saja yang menyibukkannya ketika ia mulai untuk mengajar.

Serta bersungguh-sungguh agar muridnya faham apa yang diajarnya dan memberikan setiap orang apa yang layak buat mereka. Iaitu janganlah ia memberi banyak kepada yang tidak mampu menerima banyak, dan jangan pula menahan dari seseorang yang mengharapkan tambahan.

Ia juga harus menyuruh mereka mengulangkaji pelajaran mereka, memuji sesiapa yang nyata kecerdasannya selagi tidak ditakuti terjadi ujub atau yang seumpamanya.

Sesiapa yang malas hendaknya dihukum dengan hukuman yang layak dan tidak terlampau menyakitkan selagi tidak ditakuti ia akan terus meninggalkan menuntut ilmu.

Jangan sesekali merasa hasad dengan kemampuan ilmu yang tampak pada seseorang anak muridnya (bimbang jika muridnya melebihi dirinya). Jangan mengira banyak apa yang dikurniakan Allah kepada seseorang sehingga ia meremehkan apa yang telah dianugerahkan Allah kepada dirinya sendiri.

Kerana dengki dengan orang yang tiada pertalian dengannya saja sudah sangat haram, apatah lagi dengan muridnya yang berkedudukan seumpama anaknya? Sedangkan (jika murid itu berjaya) kebaikannya akan kembali kepada gurunya juga, di akhirat nanti dengan pahala yang berlimpah sedangkan di dunia ini dengan pujian dan sebutan yang indah-indah. Hanya Allah sahajalah Pemberi Taufik.

Fasal: Jika murid itu ramai, maka hendaklah didahulukan yang lebih dahulu datang. Jika yang datang awal merelakan untuk dikemudiankan maka bolehlah didahulukan murid yang lain.

Hendaklah ia menemui mereka dengan wajah yang ceria dan berseri-seri, mengambil tahu keadaan mereka serta bertanyakan keadaan murid yang tidak hadir.

Fasal: Berkata para ulama’: “Janganlah enggan untuk mengajar murid disebabkan niatnya yang masih tidak lurus”. Kerana sesungguhnya telah berkata Sufyan dan yang lainnya:

“Menuntut ilmu itu perlukan niat. Pernah dahulu kami menuntut ilmu bukan kerana Allah, namun ia (ilmu itu) enggan melainkan kerana Allah”.

Maksudnya: niat seorang penuntut ilmu itu akan beransur-ansur menjadi kerana Allah (disebabkan pertambahan ilmunya).

Fasal: Di antara adab guru lagi yang perlu dijaga adalah:- Ia tidak membiarkan tangannya bermain-main tanpa tujuan ketika sedang mengajar. Atau membiarkan matanya memandang kepada sesuatu yang tidak perlu. Dan hendaklah ia duduk di dalam keadaan bersuci, mengadap kiblat, tenang dan pakaiannya putih dan bersih.

Dan apabila ia sampai di tempat mengajar, hendaklah ia solat dua rakaat sebelum duduk, tidak kira di masjid atau bukan. Jika di masjid lebih lagi dituntut kerana makruh duduk sebelum menunaikan solat dua rakaat (tahiyyatul masjid)

Kemudan ia boleh memilih untuk duduk bersila atau selainnya.

Abu Bakar bin Abi Dawud As Sijistani meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa ia mengajar manusia membaca Al Quran di masjid dalam keadaan berteleku di atas dua lututnya (seperti duduk iftirasy di dalam solat).

Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 6

Fasal: Patutlah baginya (pengajar) untuk memberi nasihat kepada para pelajarnya, kerana Rasulullah SAW telah bersabda: “Agama ini adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulallah?”. Jawab Baginda: “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin muslimin serta masyarakat muslimin seluruhnya”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Termasuk nasihat kepada Allah dan KitabNya adalah:- Memuliakan pembacanya serta penuntut ilmunya, menuntun mereka kepada apa yang membawa kebaikan untuk mereka, berlemah lembut kepada mereka, menolongnya untuk mendapatkan ilmu, menjinakkan hati penuntut, berlapang dada di dalam mengajar, berhemah serta memotivasikannya untuk menuntut ilmu.

Sudah semestinya seorang guru patut sentiasa mengingatkan penuntut ilmunya tentang kelebihan-kelebihan (ilmu dan menuntut ilmu) agar mereka lebih giat dan bertambah gemar kepada ilmu, lalu bertambah zuhud di dunia dan tidak tertipu dengan tipuannya.

Juga diperingatkan dengan kelebihan menyibukkan diri dengan Al Quran serta seluruh ilmu syariat, kerana ia adalah jalan para ‘arifin, hamba-hamba Allah yang solehin dan itulah martabat dan jalan yang ditempuh oleh para anbiya selawat dan salam ke atas mereka.

Semestinya ia mengasihi para pelajar serta mengambil berat permasalahan mereka, seumpama ia mengambil berat perihal anak-anaknya serta dirinya sendiri. Letakkan dirinya seolah-olah seorang bapa pada kasih sayang kepada mereka, bersabar di atas kedegilan dan kelakuan buruk mereka, memberi keuzuran terhadap kekurangan adab mereka pada sesetengah keadaan kerana manusia ini bersifat serba kekurangan, lebih-lebih lagi jika ia seorang kanak-kanak atau remaja.

Kemudian hendaklah ia menyukai untuk muridnya apa yang disukai untuk dirinya daripada kebaikan-kebaikan, serta membenci untuk muridnya apa yang ia sendiri tidak menyukainya.

Sesungguhnya telah tsabit di dalam As Sahihain daripada Rasulillah SAW bahawa Baginda bersabda:

“Tidak beriman (sempurna) seseorang daripada kamu sehingga ia menyukai untuk saudaranya apa yang ia sukai untuk dirinya sendiri”.

Dan daripada Ibn Abbas ra katanya: “Orang yang paling mulia padaku adalah teman duduk yang sanggup melangkahi manusia untuk duduk bersamaku. Seandainya aku dapat untuk tidak membiarkan seekor lalat singgah di wajahnya, pasti aku akan melakukannya”.

Di dalam riwayat yang lain: ”Jika seekor lalat hinggap di wajahnya sahaja, itu sudah cukup untuk menyakitiku”.

Hendaknya lagi ia tidak membesarkan diri kepada para muridnya sebaliknya berlemah lembut dan bertawadhu’ kepada mereka. Bertawadhu’ kepada seorang manusia biasa saja sudah perlu, bagaimana pula dengan mereka yang diibaratkan seperti anak-anaknya sendiri beserta dengan kesibukan mereka dengan Al Quran dan hak persahabatan yang dimiliki oleh mereka, ditambah lagi dengan kerapnya mereka mengunjungi dan bersamanya untuk menuntut ilmu.

Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Berlemah lembutlah kamu kepada sesiapa yang kamu ajari serta sesiapa yang kamu belajar darinya”.

Dan daripada Abi Ayyub as Sakhtiyani ra, katanya:

“Sepatutnya seorang yang alim itu menaburkan tanah di atas kepalanya sebagai tanda tawadhu’ kepada Allah”.

Fasal: Menjadi kewajaran kepada pengajar untuk mendidik pelajarnya secara beransur-ansur dengan adab yang terpuji, budi pekerti yang diredhai, melatih nafsu dengan mengenali selok belok tipuannya, membekalkannya dengan perisai untuk menghadapi setiap urusannya yang zahir mahupun yang batin, menggesanya dengan perkataan dan perbuatan agar mengikhlaskan amal, bersikap benar dan memperbaiki niat serta merasakan pengawasan Allah setiap ketika.

Beritahukan kepadanya bahawa semua itu akan menjadikan dadanya lapang dan bersedia untuk menerima siraman cahaya pengetahuan dan kearifan sehingga akan terpancar di dalam hatinya mata air hikmah dan rahsia-rahsia pengetahuan lantas ia akan diberkati pada ilmunya dan keadaannya serta akan dikurniakan taufiq pada perbuatan dan perkataannya.

Fasal: Tugas mengajar adalah fardhu kifayah, jika tiada yang mengemban / mendukung tugas ini maka ia akan bertukar menjadi fardhu ain. Tetapi jika di sana ada segologan manusia yang telah menjalankan tugas ini maka memadai. Jika tiada maka seluruh masyarakat berdosa, namun jika telah ada yang melakukannya, yang lain terlepas dari beban dosa.

Sekiranya seseorang diminta mengajar lalu ia tidak mahu, maka pendapat yang terpilih di antara dua pendapat adalah mereka tidak menanggung dosanya, sebaliknya orang yang diminta mengajar itu boleh dipaksa untuk mengajar jika ia tidak mempunyai sebarang keuzuran.

Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 5

Fasal: Berhati-hati dengan tidak menjadikan maksudnya untuk memperbanyak pengikut dan orang yang belajar kepadanya.

Hendaklah berjaga-jaga agar tidak membenci pelajarnya yang turut belajar dengan orang lain.

Ini adalah musibah yang menimpa sebahagian para pengajar yang jahil. Dan ini adalah menjadi petunjuk kepada buruknya niat dan rosaknya tujuan. Bahkan ia adalah hujjah yang pasti tentang kosongnya niatnya mengajar semata-mata kerana mengharapkan keredhoan Allah yang Maha Tinggi lagi Terpuji.

Disebabkan jika benarlah niatnya, maka mengapa ia membenci pelajarnya belajar dengan orang lain? Bahkan ia sepatutnya berkata kepada nafsunya; “Aku hanya mengharapkan pengajaranku ini satu ibadat, dan aku telah mencapai tujuanku itu, dan pelajarku hanya bermaksud untuk menambah ilmunya dengan orang lain, alangkah tidak patutnya jika aku mencela atau tidak menyukainya”.

Sesungguhnya kami telah meriwayatkan di dalam Musnad Imam yang disepakati dengan kekuatan hafalan dan keimamannya, Abi Muhammad Ad Daarimi ra, daripada Ali bin Abi Talib ra bahawa ia berkata: ”Wahai para penghafal Al Quran! Atau wahai pembawa ilmu! Beramallah dengannya, kerana yang disebut alim itu adalah seorang yang beramal dengan ilmunya, dan amalnya tepat pula dengan ilmunya. Nanti akan datang segolongan manusia yang membawa ilmu namun tidak melepasi kerongkongan mereka. Amal mereka berbeza dengan ilmu mereka, batin mereka tidak seperti zahir mereka. Mereka berkumpul untuk membangga-banggakan diri sesama mereka sehinggakan ada yang sampai memarahi temannya kerana temannya itu meninggalkan dirinya untuk pergi belajar kepada orang lain. Mereka itulah orang yang amal mereka di dalam perhimpunan mereka tidak akan diangkat kepada Allah Ta’ala”.

Sesungguhnya telah sahih daripada Al Imam As Syafi’e ra katanya:

”Aku berharap agar manusia mempelajari ilmu ini- yakni ilmunya dan kitab-kitab karangannya- lalu tidak menyebut-nyebut bahawa ianya dariku walau sepatah huruf pun!”

Fasal: Hendaklah seseorang pengajar itu berakhlak dengan akhlak yang mulia seperti yang telah disebutkan syarak, serta menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan keperibadian yang diredhai yang ditunjukkan Allah kepadanya seumpama zuhud di dunia, menyedikitkan daripadanya (dunia) serta menjauhi daripada menyibukkan diri dengannya dan para pemburunya.

Juga menjadikan hiasan dirinya sifat pemurah dan dermawan, akhlak yang mulia, berwajah ceria yang tidak menjadikan ia memejamkan mata dari kemungkaran, lemah lembut, sabar, jauh dari perbuatan hina, melazimkan sifat warak, khusyuk, tenang, sopan dan tawadhu’, rendah diri, menghindari ketawa dan gurau senda yang melampau.

Selain itu ia juga sewajarnya melazimkan diri dengan menjaga kebersihan dan kerapian iaitu menghilangkan kekotoran dan bulu-bulu yang diperintahkan syarak untuk membuangnya seperti memendekkan misai, memotong kuku, merapikan janggut, menghilangkan bau-bau yang tidak enak serta pakaian yang dibenci syarak.

Hendaklah ia berhati-hati dengan menjauhi sama sekali sifat hasad, riya, ujub, meremehkan orang lain meskipun yang lebih rendah (kedudukan dan keilmuan) darinya, dan sewajarnyalah ia mengamalkan tasbih, tahlil, zikir dan doa-doa yang dinukil dari hadis-hadis, serta sentiasa merasakan pengawasan Allah terhadapnya ketika bersendirian mahupun bersama manusia dan menjadikan penyerahan seluruh urusannya hanyalah semata-mata kepada Allah yang Maha Tinggi.

Fasal: Hendaklah seorang pengajar itu berlemah lembut dengan pelajarnya, meraikannya serta berbuat baik kepadanya mengikut keadaan pelajar itu.

Kerana sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada Abi Harwan al ‘Abdi katanya: kami datang kepada Abu Said al Khudri ra, lalu ia berkata: ”Selamat datang wahai mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW! Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Manusia akan mengikuti kamu (para sahabat). Nanti akan datang lelaki-lelaki dari segenap penjuru dunia untuk mempelajari agama dari kamu, maka apabila mereka datang sambutlah mereka dengan kebaikan”.

Diriwayatkan oleh At Tirmizi, Ibnu Majah dan selainnya. Dan kami juga telah meriwayatkan seumpamanya di dalam Musnad Ad Daarimi daripada Abi Dardaa ra.

Bersambung...


ADAAB HAMALATIL QURAN - SIRI 4

BAB 4: ADAB PENGAJAR DAN PELAJAR AL QURAN

Bab ini dan dua bab yang berikut adalah tujuan penulisan kitab ini. Ianya panjang, namun saya akan meringkaskannya dengan menjadikannya kepada beberapa fasal untuk memudahkan menghafalnya serta mengingatinya InsyaAllah.

Fasal: Pertama-tama yang patut diberi perhatian adalah tujuan mengajar dan belajar itu adalah kerana Allah. Firman Allah Ta’ala:

Dan mereka tidaklah diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan demikian itulah agama yang benar (lurus)”.

Di dalam As Sahihain daripada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu (dikira berdasarkan) dengan niat. Dan bagi setiap orang apa yang ia niatkan”.

Dan hadis ini adalah daripada perkara pokok di dalam Islam.

Dan kami meriwayatkan dari Ibni Abbas ra katanya: “Sesungguhnya seseorang akan diganjari berdasarkan niatnya”.

Dan daripada riwayat selain beliau: ”Bahawasanya seseorang manusia akan mendapat ganjaran sekadar apa yang mereka niatkan”.

Dan kami meriwayatkan daripada Al Ustaz Abil Qasim Al Qusyairi ra katanya:

Ikhlas itu adalah menjadikan tujuan hanya satu. Iaitu mengkehendaki dengan amalan taatnya hanya untuk menghampirkan diri kepada Allah, bukan tujuan-tujuan yang lain seumpama menunjuk-nunjuk kepada manusia, atau mengharapkan kecintaan dan pujian mereka, atau tujuan-tujuan yang selainnya.

Beliau berkata, -dan benarlah perkataannya- iaitu: ”Ikhlas adalah membersihkan amal daripada pengawasan makhluk”.

Daripada Huzaifah Al Mar’asyi ra: “Ikhlas itu adalah sama saja amalan seseorang itu zahir dan batinnya”.

Dan daripada Zin Nun ra katanya:-

Tanda-tanda ikhlas itu ada tiga:

  1. Sama saja baginya pujian dan celaan manusia.
  2. Tidak memandang (dengan mengingat-ngingat) amalan (kebaikan) yang dilakukan.
  3. Mengharapkan ganjaran amalan di akhirat (bukan di dunia dengan kecintaaan manusia atau pujian mereka).

Dan daripada Al Fudhail Ibn Iyadh ra, katanya:

“Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riya’ sebaliknya beramal kerana manusia adalah syirik. Sedangkan ikhlas adalah engkau diselamatkan Allah daripada keduanya”.

Dan daripada Sahl At Tustari ra katanya:

“Orang yang berakal cemerlang mencari-cari makna ikhlas, lalu mereka tidak mendapatinya selain pada makna ini; iaitu seseorang menjadikan geraknya dan diamnya, di dalam keadaan bersendirian atau keramaian hanya semata-mata hanya kerana Allah dan untukNya. Tidak bercampur dengan sesuatu daripada nafsu atau keinginannya atau dunianya”.

Daripada As Sirri ra:”Jangan engkau beramal kerana manusia dengan satu amal pun, dan jangan pula engkau tinggalkan sesuatu amal kerana mereka. Jangan engkau menutup sesuatu pun dari mereka dan jangan pula engkau menyingkap sesuatu pun untuk mereka”.

(di dalam kitab tercetak wala tu’ti, dengan ‘ain muhmalah [jangan memberi] tetapi penterjemah merasakan ianya adalah wala tughti, dengan ‘ain mu’jamah/ghain [jangan menutupi])

Dan daripada Al Qusyairi, katanya:

”Sifat benar yang paling utama adalah: Sama saja keadaan di dalam rahsia (berseorangan) atau terang-terangan (bersama manusia)”.

Dan daripada Al Harith Al Muhasibi ra katanya:

“Orang yang sadiq adalah orang yang tidak peduli walau apapun yang keluar dari hati manusia disebabkan kebaikan hatinya. Dia tidak menyukai secuil pun daripada perhatian manusia kepada kebaikan amalannya, dan dia juga tidak membenci perhatian manusia terhadap keburukan amalnya. Jika dia membencinya, maka itu adalah tanda bahawa ia mengharapkan sesuatu dari mereka, dan ini bukanlah daripada akhlak para Siddiqin”.

Daripada para tokoh yang lain, kata mereka: “Jika engkau memohon kepada Allah sifat benar, maka Dia akan mengurniakanmu cermin yang akan menampakkan kepadamu keajaiban dunia dan akhirat”.

Perkataan para Salaf tentang hal ini banyak sekali, namun kami hanya mendatangkan sebahagian sahaja sekadar peringatan.

Dan aku telah menyebutkan banyak daripada perkataan mereka beserta penjelasannya pada awal kitab Syarhil Muhazzab. Juga aku catatkan di sana adab-adab seorang alim,adab seorang pelajar,adab seorang faqih serta seorang penuntut ilmu agama yang mana mesti diambil perhatian oleh para penuntut ilmu. Wallahu ‘alam.

Fasal: Hendaklah ia (seorang pengajar Al Quran) tidak menjadikan tujuannya adalah untuk mendapatkan sesuatu daripada keduniaan seperti harta, kepimpinan dan pangkat, kemegahan, ketinggian di antara para sahabatnya, pujian dan perhatian manusia kepadanya atau yang seumpamanya.

Janganlah seorang pembaca Al Quran itu berhasrat agar condong hati manusia kepadanya sehingga menjadikan mereka memberi harta kepadanya, atau berkhidmat kepadanya, walaupun di atas nama hadiah sekalipun, yang mana jika ia tidak membacakan Al Quran kepada mereka pasti mereka tidak akan menghadiahkan kepadanya sesuatu apa pun.

Firman Allah: “Sesiapa yang menginginkan ganjaran akhirat, akan kami tambahkan baginya ganjaran. Namun sesiapa yang menginginkan ganjaran di dunia, maka akan kami berikan padanya, namun ia tidak akan beroleh ganjaran apapun di akhirat nanti”.

FirmanNya lagi: “Barangsiapa yang menginginkan balasan yang segera (di dunia ini) akan kami segerakan balasannya kepada sesiapa yang kami kehendaki”.

Daripada Abi Hurairah ra, sabda Rasulullah SAW: ”Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang dengan ilmu itu sepatutnya mencari redho Allah, lalu ia mempelajarinya untuk mendapatkan habuan dunia, maka ia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat”.

Diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan isnad sahih. Hadis-hadis seumpama itu banyak sekali.

Daripada Anas, Huzaifah dan Kaab bin Malik r.anhum, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang menuntut ilmu untuk bermegah-megah di kalangan orang jahil, atau untuk menandingi para ulama, atau untuk menarik perhatian manusia kepadanya, maka persiapkanlah tempat duduknya di dalam neraka”. Diriwayatkan At Tirmizi dari riwayat Kaab bin Malik, katanya: ”Akan dimasukkan ke dalam neraka”.

Bersambung..

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 3

BAB 3: MEMULIAKAN AHLIL QURAN DAN TEGAHAN DARIPADA MENYAKITI MEREKA

Firman Allah ‘Azza wa Jalla.

“Barangsiapa yang mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah maka ia (pengagungan tersebut) adalah (terbit) daripada hati yang bertaqwa.”

“Dan barangsiapa yang mengagungkan hukum-hukum Allah, maka ia menjadi satu kebaikan baginya di sisi Tuhannya.”

“Dan rendahkanlah dirimu kepada mereka yang mengikutimu dari kalangan orang mukminin”.

“Dan orang-orang yang menyakiti orang mukminin dan mukminat dengan apa yang tidak diperbuat oleh mereka, maka mereka itu telah menanggung kesalahan menuduh secara dusta dan dosa yang besar.”

Di dalam bab ini juga terkait dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Mas’ud dan Ibn Abbas sebelum ini.

Daripada Abi Musa al Asy’ari ra katanya, sabda Nabi SAW: “Di antara tanda-tanda pengagungan terhadap Allah adalah memuliakan orang tua-tua yang muslim, (memuliakan) para penghafal Al Quran yang tidak melampau batas Al Quran atau tidak menjaga haknya, serta (memuliakan) penguasa yang adil”.

Diriwayatkan oleh Abu Dawud, hadis hasan.

Daripada Aisyah ra katanya,: “Rasululullah SAW telah memerintahkan kami untuk memuliakan manusia mengikut kedudukan mereka”.

Diriwayatkan oleh Abu Dawud di dalam Sunannya dan Al Bazzar di dalam Musnadnya. Kata Al Hakim Abu Abdillah di dalam kitab ‘Ulumul Hadisnya: Hadis ini sahih.

Daripada Jabir ra: Bahawa Nabi SAW pernah mengebumikan dua orang syuhada perang Uhud di dalam satu liang lalu Baginda SAW bersabda: “Siapakah di antara kedua orang ini yang lebih banyak menghafal Al Quran?” Orang yang ditunjuk oleh para sahabat (sebagai jawapan kepada soalan Nabi SAW itu) akan didahulukan untuk dikebumikan.

Diriwayatkan oleh Al Bukhari.

Daripada Abi Hurairah ra daripada Nabi SAW: Allah Ta’ala berfirman; “Sesiapa yang menyakiti seorang waliKu maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang kepadanya. Bukhari.

Dan telah tsabit di dalam As Sahihain dari Baginda SAW sabdanya: “Sesiapa yang bersolat subuh maka dia di dalam jaminan Allah Ta’ala. Maka janganlah seorang daripada kamu berhasrat untuk mengganggu orang yang dijamin oleh Allah.”

Dan daripada dua orang Imam yang mulia, Abi Hanifah dan As Syafi’e ranhuma, kata mereka: “Jika para ulama itu bukan para wali Allah maka tiadalah wali Allah”. ( Yakni: siapa lagi wali Allah itu selain para ulama).

Berkata Al Imam Al Hafiz Abul Qasim Ibn Asakir ra: “Ketahuilah wahai saudaraku! -semoga Allah memberi taufik kepada redhoNya untuk kami dan dirimu serta menjadikan kita dari kalangan orang yang takut dan bertaqwa kepadaNya dengan sebenar-benar taqwa-; Sesungguhnya daging para ulama itu beracun, dan telah menjadi sesuatu yang termaklum bahawa Allah akan membuka rahsia dan keaiban mereka yang menghina para ulama itu. Dan barangsiapa yang membiarkan lidahnya mencaci dan mengumpat para ulama, maka ia akan dibalakan Allah dengan mematikan hatinya sebelum kematiannya yang sebenar”.

“Maka hendaklah orang yang menyelisihi perintah Rasul itu takut akan ditimpa fitnah (bala bencana) atau akan ditimpa azab yang pedih”. (An Nuur-93)

Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 2

BAB 2: KEUTAMAAN BACAAN AL QURAN DAN PEMBACANYA DI ATAS SELAINNYA.

Telah tsabit daripada Abi Mas’ud al Ansari al Badri ra daripada Nabi SAW, sabdanya: “Hendaknya yang menjadi pemimpin sesuatu kaum adalah orang yang paling pakar tentang kitab Allah Ta’ala.” Diriwayatkan oleh Muslim.

Daripada Ibni Abbas ra katanya: “Sesungguhnya para Qurra’ adalah anggota majlis mesyuarat Umar ra yang terdiri daripada para pemuda”. Diriwayatkan oleh Al Bukhari di dalam Sahihnya.

Akan datang di dalam bab yang berikut hadis-hadis yang bersangkut dengan bab ini.

Ketahuilah!

Bahawa mazhab yang sahih lagi terpilih serta menjadi pegangan para ulama menyatakan yang bacaan Al Quran itu lebih utama daripada tasbih,tahlil, dan zikir-zikir yang lain dari keduanya dan sesungguhnya telah jelas dalil-dalil tentang perkara tersebut. Wallahu a’lam.

Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 1

Berikut adalah terjemahan daripada sebuah kitab yang sangat terkenal karangan Imam An-Nawawi rahimahullah rahmatan waasi'ah, yang bertajuk At-Tibyaan fi Adaabi Hamalatil Quran yang bermaksud "Penerangan berkaitan Adab Para penghafal Al-Quran".

Kitab ini membahaskan kelebihan dan adab-adab yang berkaitan dengan Al-Quran dan para penghafal Al-Quran, serta adab yang patut dijaga oleh seluruh manusia amnya apabila berinteraksi dengan Al-Quran.

Ini juga masih belum sempat saya terjemahkan secara keseluruhannya disebabkan kekangan masa yang belum lagi mengizinkan. Namun saya tetap mengeposnya sebagai entry di sini untuk manfaat sesiapa yang membacanya, juga sebagai satu simpanan kalau-kalau berlaku sesuatu pada laptop.

Ayat-ayat Al Quran tidak dapat saya masukkan ayatnya melainkan terjemahannya sahaja, kerana apabila saya 'paste'kan copy daripada MSwords yang terdapat ayatnya, yang muncul di sini hanyalah simbol-simbol dan karakter-karakter yang tidak difahami.

Kemudian, saya belum lagi menterjemahkan muqaddimah oleh Imam An-Nawawi, sebaliknya terus kepada Bab 1. Jika waktu mengizinkan, akan saya terjemahkannya dan poskan di sini. InsyaAllah.

Sekarang, inilah terjemahannya.



***

BAB 1: SEDIKIT TENTANG KELEBIHAN MEMBACA DAN MENGHAFAL AL QURAN

Firman Allah: “Sesungguhya orang-orang yang membaca kitab Allah dan mendirikan solat serta menafqahkan apa-apa yang telah kami rezekikan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, maka mereka itulah orang-orang yang mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi. Balasan amalan mereka akan disempurnakan beserta tambahan dari kurniaNya. Sesungguhnya Dia amat Pengampun lagi berterima kasih”.

Dan kami telah meriwayatkan dari Usman bin Affan ra katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Al Bukhari di dalam Sohihnya iaitu kitab yang paling sohih setelah Al Quran.

Daripada Aishah ra katanya, Nabi SAW bersabda: “Orang yang mahir membaca Al Quran bersama para malaikat yang mulia sementara orang yang tergagap-gagap membaca dan susah untuk menyebut akan diberi dua pahala” (pahala membaca dan pahala disebabkan ia mengulang-ngulang). Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Nisaaburi di dalam Sohih mereka.

Daripada Abi Musa Al Asy’ari ra katanya, Nabi SAW bersabda: “Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al Quran adalah seperti buah limau manis. Harum baunya serta enak rasanya. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al Quran pula seumpama buah kurma kering (tamar). Tiada harumnya namun rasanya sedap dan manis. Perumpamaan orang munafiq yang membaca Al Quran adalah seperti tumbuhan Raihanah yang harum baunya namun pahit rasanya. Adapun orang munafiq yang tidak membaca Al Quran pula adalah seumpama buah labu yang tidak berbau serta pahit pula rasanya”. Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim.

Daripada Umar Al Khattab ra, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat (memuliakan) segolongan manusia dengan kalam ini (Al Quran) dan merendahkan (menghinakan) segolongan yang lain”.

Daripada Abi Umamah Al Bahili ra katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al Quran kerana ia akan datang di hari kiamat sebagai penolong kepada yang membacanya”. Diriwayatkan oleh Muslim.

Daripada Ibni Umar ra daripada Nabi SAW yang bersabda: “Tidak boleh hasad kecuali kepada dua jenis manusia;

  1. Lelaki yang diberi Al Quran oleh Allah lalu dia membaca (dan menegakkan haknya) malam dan siang.
  2. Lelaki yang diberi harta oleh Allah lalu dia menyedekahkannya malam dan siang”.

Kami juga telah meriwayatkan dari Ibni Mas’ud dengan lafaz:-

  1. Lelaki yang diberi Allah harta lalu dia membelanjakannya dengan benar
  2. Lelaki yang diberi Allah hikmah lalu dia menghukum dengannya serta mengajarkannya”.

Dan daripada Ibni Mas’ud ra, sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu pahala akan digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf”. Diriwatkan oleh Abu Isa Muhammad bin Isa At Tirmizi. Katanya hadis hasan sohih.

Daripada Abi Said Al Khudri ra, sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang disibukkan oleh (membaca) Al Quran dan mengingatiKu daripada meminta-minta kepadaKu, akan Kuberikan kepadanya lebih daripada apa yang diminta oleh orang-orang yang meminta (kepadaKu)”. Diriwayatkan oleh At Tirmizi. Hadis hasan gharib.

Daripada Ibni Abbas ra katanya: sabda Rasulullah SAW: ”Orang yang tidak ada di dalam dadanya sesuatu (bahagian) daripada Al Quran adalah seperti rumah yang roboh”.

Diriwayatkan oleh At Tirmizi dan katanya hadis hasan sahih.

Daripada Abdillah bin Amru ibnil Ash ra daripada Nabi SAW, sabdanya: “Akan dikatakan (di hari kiamat) kepada Sohibil Quran (penghafal dan orang yang selalu membaca Al Quran serta mengamalkannya) bacalah dan naiklah! Seperti mana dahulu engkau membaca di dunia. Sesungguhya tempatmu (di dalam syurga) adalah pada ayat terakhir yang engkau membacanya”.

Diriwayatkan oleh Abu Dawud, At Tirmizi dan An Nasaie. Kata At Tirmizi, hadis hasan sahih.

Daripada Suhail bin Muaz daripada bapanya Muaz ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca Al Quran dan beramal dengan kandungannya, akan dipakaikan Allah kepada kedua ibu bapanya mahkota pada hari kiamat. Cahaya sinaran mahkota itu lebih indah daripada sinaran matahari yang memancar ke dalam rumah-rumah di dunia. (jika demikian keadaan kedua ibu bapanya) maka bayangkanlah tentang keadaan orang yang beramal itu sendiri.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud.

Ad Daarimi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdillah ibn Mas’ud ra daripada Nabi SAW, sabdanya: “Bacalah Al Quran kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan mengazab hati yang menampung Al Quran. Sesungguhnya Al Quran ini hidangan/ majlis jamuan Allah. Sesiapa yang masuk kedalamnya akan aman. Dan sesiapa yang mencintai Al Quran maka bergembiralah”.

Daripada Abdil Hamid al Hammani katanya. ”Aku bertanya Sufyan Ats Tsauri tentang apakah lelaki yang berperang jihad atau lelaki yang membaca Al Quran lebih disukainya?”. Beliau menjawab: ”Yang membaca Al Quran, kerana Nabi telah bersabda; “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”.

Bersambung...