Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, September 9, 2012

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 25

Sambungan..


Fasal: Membaca dari mushaf dan membaca dari hafalan.

Membaca dengan melihat mushaf itu lebih afdhal dari membaca terus daripada hafalan. Kerana melihat mushaf itu sendiri adalah suatu ibadah yang dituntut. Maka dengan itu terhimpunlah antara (ibadah) pembacaan dan (ibadah) penglihatan.

Inilah apa yang telah disebutkan oleh Al-Qadhi Husain daripada ulama mazhab kita, serta Imam Abu Hamid Al-Ghazali dan beberapa golongan daripada Salaf.

Imam Al-Ghazali telah menukilkan di dalam Ihya’ bahawa ramai daripada para Sahabat radhiyallahu ’anhum, mereka itu membaca dengan melihat Mushaf. Bahkan mereka tidak suka jika berlalu satu hari tanpa mereka melihat kepada mushaf.

Ibn Abi Dawud juga telah meriwayatkan tentang pembacaan dengan melihat mushaf daripada ramai para Salaf. Dan aku sendiri (Imam An-Nawawi) tidak melihat ada khilaf dalam hal tersebut.

Sekiranya dikatakan: Hal itu berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Iaitu dipilihkan membaca secara melihat mushaf itu bagi sesiapa yang sama keadaan khusyu’ dan tadabburnya jika ia membaca melalui mushaf atau hafalannya.

Dan dipilihkan membaca secara hafalan bagi seseorang yang lebih sempurna khusyu’ dan tadabburnya jika ia membaca dalam keadaan tersebut (berbanding membaca dengan melihat mushaf) dan akan bertambah khusyu’ dan tadabburnya jika ia membaca dengan melihat mushaf.

Pasti (kita katakan) ini adalah pendapat yang baik.
Nyatanya adalah bahawa perkataan dan perbuatan para Salaf itu bolehlah difahami seperti penjelasan (pendapat) ini.

Bersambung...

Saturday, September 8, 2012

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 24

Sambungan..


Dan  Dua rakaat solat Sunat Fajar pada rakaat pertama Surah Qul Ya Ayyuhal Kaafiruun (Al-Kaafirun) dan pada rakaat kedua Surah Qul HuwaLLAHu Ahad (Al-Ikhlash).

Dan beberapa rakaat Witir, pada rakaat pertama Surah Sabbihisma Rabbikal A’la (Al-A’la), pada rakaat kedua Surah Qul ya Ayyuhal Kafiruun (Al-Kafirun), dan rakaat ketiga dengan Al-Mu’awwizatain (yakni surah Al-Falaq dan Surah An-Naas).

Sekiranya seseorang membaca tanpa mengikut turutan, lalu membaca surah yang tidak datang selepas surah pertama (contohnya pada rakaat pertama membaca Surah Ad-Dhuha dan turutan surah selepas Surah Ad-Dhuha adalah Surah Al-Insyirah, tetapi si fulan membaca pada rakaat kedua dengan surah2 lain seumpama Surah Al-Kautsar).

Atau ia membaca menyalahi tertib lalu dia membaca satu surah (Al-Insyirah contohnya), kemudian di membaca surah sebelumnya (Ad-Dhuha atau surah2 sebelumnya sebagai contoh), maka ianya harus (dan memadai solatnya).

Sesungguhnya telah tersebut atsar yang banyak berkenaan hal sebegitu (yakni bolehnya membaca Al-Quran dengan tidak menuruti susunan mushaf di dalam solat).

Sayyidina Umar Al-Khattab telah membaca Surah Al-Kahfi pada rakaat pertama Solat Subuh dan Surah Yusuf pada rakaat kedua. (sekadar satu contoh)

Sesungguhnya sekumpulan ulama tidak menyukai (memakruhkan) membaca dengan menyalahi tertib mushaf (di dalam solat).

Ibn Abi Dawud telah meriwayatkan daripada Al-Hasan (Al-Basri) bahawa beliau tidak menyukai pembacaan yang menyalahi tertib mushaf.

Dan dengan sanadnya yang sahih daripada Abdillah ibn Mas’ud bahawa telah dikatakan kepada beliau; ”Sesungguhnya ada seorang fulan telah membaca Al-Quran secara terbalik (menyalahi susunan mushaf).” Maka jawab beliau; ”Orang itu terbalik hatinya”.

Adapun membaca sesuatu Surah daripada akhirnya kepada awalnya (membaca secara songsang) maka ia adalah ditegah dengan sekeras-kerasnya. Disebabkan sesungguhnya ia menghilangkan sebahagian bentuk I’jaz (kemukjizatan Al-Quran) dan melenyapkan hikmah susunan ayat-ayat (Al-Quran).

Sesungguhnya Ibn Abi Dawud telah meriwayatkan daripada Ibrahim An-Nakha’ie, iaitu seorang Imam Tabi’ien yang mulia, serta daripada Imam Malik bin Anas, bahawa mereka berdua membenci hal tersebut. Bahkan Imam Malik menjelekkan perbuatan itu. Kata beliau; ”Ini satu hal yang dahsyat! (benar2 mencengangkan!)” (maksudnya seolah2 merasa takjub bagaimana ada orang yang begitu berani membaca Al-Quran dengan cara sebegitu).

Adapun mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran bermula daripada akhir mushaf terus kepada permulaannya, maka ia adalah suatu hal yang baik dan bukan termasuk di dalam bab (yang sedang dibahaskan) ini. (Seperti susunan Muqaddam yang bermula daripada surah An-Naas sehingga An-Naba).

Kerana sesungguhnya ianya adalah pembacaan yang terpisah-pisah, pada hari yang berbeza-beza. Juga bagi memudahkan untuk mereka menghafal (Al-Quran itu). Wallahu A’lam.

Bersambung...