Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Sunday, July 31, 2011

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 4

FASAL: MEMILIH ILMU, USTAZ/GURU DAN TEMAN SEPENGAJIAN SERTA TEGUH DIRI DALAM MENUNTUT ILMU


Seorang penuntut ilmu itu mestilah memilih daripada ilmu-ilmu yang ingin dipelajarinya itu, ilmu yang terbaik untuk ia mempelajarinya. Iaitu ilmu tentang apa yang diperlukan bagi urusan agamanya pada masa kini (ilmul haal), kemudian ilmu tentang apa yang ia perlukan untuk masa yang mendatang.

Maka hendaklah ia memulakan dengan mempelajari ilmu tauhid, dan mengenal Allah melalui dalil-dalil, kerana sesungguhnya iman orang yang ikut-ikutan itu sekalipun sah mengikut pandangan ulama kita, tetapi tetaplah dikira orang tersebut sebagai berdosa kerana meninggalkan pengetahuan tentang dalil-dalil (untuk mengukuhkan keimanan dengan sesungguhnya).

Seterusnya hendaklah ia memilih ilmu yang lama (yang dimaksudkan adalah ilmu Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh) berbanding ilmu yang baru-baru lagi diada-adakan.

Para ulama telah berkata: ”Berpeganglah kamu dengan yang lama, dan jaga-jagalah daripada setiap yang baru lagi diada-adakan”.

Jauhkanlah dirimu daripada perdebatan yang baru muncul setelah berlalunya zaman para tokoh ulama yang hebat-hebat, kerana ia sesungguhnya akan menjauhkan seorang penuntut ilmu daripada fiqh dan kefahaman.

Juga ianya hanya akan menyia-nyiakan umur dan menyebabkan keliaran hati antara sesama serta membawa kepada permusuhan. Perdebatan itu adalah termasuk di antara tanda-tanda kiamat dan terangkatnya ilmu dan kefahaman. Demikianlah seperti yang tersebut di dalam hadith Nabi SAW.

Adapun tentang memilih guru, maka hendaklah ia memilih guru yang paling alim, paling warak dan paling tua umurnya, sepertimana Imam Abu Hanifah telah memilih Hammad bin Sulaiman setelah menyelidik dan menimbang-nimbang serta memikirkan.

Kata Abu Hanifah: ”Aku mendapati beliau adalah seorang yang berumur, tenang wataknya, lemah-lembut dan tidak mudah marah, serta penyabar”.

Kata beliau lagi: ”Aku menyabarkan diri dengan tetap teguh bersama Hammad bin Abi Sulaiman, maka aku tumbuh membesar (di dalam lapangan ilmu)”.

Beliau juga berkata: ”Aku telah mendengar seorang yang bijaksana daripada para hukamak Samarqand menceritakan: katanya: ”Sesungguhnya telah ada seorang penuntut ilmu yang meminta pandanganku dalam hal menuntut ilmu. Ia sememangnya telah bertekad untuk mengembara ke Bukhara bagi mendapatkan ilmu...

Beginilah seharusnya bagi seorang penuntut ilmu itu untuk ia bermesyuarat di dalam setiap urusan, kerana Allah SWT sendiri telah menyuruh RasulNya SAW agar bermesyuarat di dalam urusan-urusan tertentu, sekalipun ternyata sememangnya tidak ada manusia yang lebih bijaksana daripada Nabi SAW. Meskipun begitu, Baginda tetap disuruh untuk bermesyuarat.

Baginda SAW bermesyuarat dengan para Sahabat radhiyallahu ’anhum di dalam segala urusan sehinggakan di dalam urusan keperluan rumahtangga.

Telah berkata Sayyidina Ali: ”Tidak akan celaka seseorang dengan bermesyuarat”.

Ada disebutkan: ”Terdapat tiga jenis laki-laki.

Pertamanya; lelaki yang boleh dikatakan laki-laki yang sebenarnya.

Keduanya; lelaki yang dikatakan sebagai separuh laki-laki.

Dan ketiganya; lelaki yang tidak bernilai apa pun.

Laki-laki jenis pertama adalah yang memiliki pandangan dan akal yang tepat dan benar serta boleh dibawa berbincang atau bermesyuarat. Jenis yang kedua pula iaitu lelaki yang memiliki akal dan pandangan yang benar, namun tidak sesuai untuk dibawa bermesyuarat atau berbincang. Manakala yang ketiga adalah lelaki yang tidak punya pandangan yang benar dan tepat, serta tidak pula boleh dibawa bermesyuarat dan bertukar pendapat”.*

*Ini adalah perkataan Ibn Abbas r.anhuma seperti yang aku terbaca di dalam Al-Bidayah wan Nihayah oleh Imam Ibn Katsir ketika membicarakan tentang riwayat hidup Ibn Abbas r.anhuma.


Telah berkata Ja’far Ash Shodiq kepada Sufyan Ats Tsauri rahimahumullah: ”Bermesyuaratlah dalam urusanmu dengan mereka yang takutkan Allah”. Menuntut ilmu adalah suatu urusan yang agung dan yang paling sukar, maka bermesyuarat tentang hal menuntut ilmu itu tentulah terlebih penting dan terlebih wajib untuk dilakukan.

(Sambungan cerita). Maka berkatalah orang yang bijaksana tersebut: ”Apabila engkau telah sampai ke Bukhara, maka jangan terlalu tergesa-gesa untuk pulang pergi kepada majlis para ulama yang berbeza-beza. Duduklah dahulu selama dua bulan sehingga engkau telah menyelidik dan menimbang-nimbang, lalu memilih seorang guru. Kerana engkau, sekiranya engkau telah pergi kepada seorang alim dan memulakan pelajaran dengannya, maka boleh jadi engkau tidak berkenan dengan pengajarannya sehingga membuatkan engkau meninggalkannya untuk pergi kepada guru yang lain. Maka ketika itu tidak akan diberkati dirimu di dalam menuntut ilmu”.

Maka selidiki dan timbang-timbangkanlah selama dua bulan dalam memilih guru, serta mintalah buah fikiran orang lain, sehingga tidak memerlukan engkau untuk meninggalkannya dan berpaling daripada pengajiannya. Setelah itu tetaplah teguh dan bersabar bersamanya sehingga jadilah ilmumu itu diberkati dan memberi manfaat yang banyak kepadamu.

# Ini adalah adab yang telah boleh kita katakan telah pupus daripada penuntut ilmu di zaman kita ini. Alangkah mereka amat menjaga hati para guru agar tidak terguris dan tercalar akibat tindak-tanduk diri yang bergelar pelajar. Meskipun diketahui para ulama itu sangat penyabar, lapang dada dan pemaaf, namun seorang penuntut ilmu seharusnya sedar diri dan menjaga adab sebagai tanda yang dirinya bersedia untuk bergelar seorang penuntut ilmu yang sebenar.

Betapa dapat kita lihat dan merasakan aura keberkatan para ulama dahulu sekalipun mereka telah lama pergi, melalui kitab-kitab yang diwariskan oleh mereka. Ini semua adalah tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan mereka sangat-sangat mempraktikkan adab di dalam menuntut ilmu. Maka bagaimanakah kiranya diri kita ini? Sewajarnyalah kita berpedoman kepada sirah para ulama dahulu dan menghidupkan kembali adab-adab di dalam menuntut ilmu, mudah-mudahan dengan itu ilmu kita akan diberkati dan memberi manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat. Amin.-pent


Ketahuilah bahawa kesabaran dan tetap teguh hati itu adalah paksi yang utama di dalam segenap perkara. Tetapi ianya amat jarang didapati. Seumpama kata serangkap syair:

” Untuk meraih keunggulan, setiap orang punya peluang,

Namun laki-laki yang teguh pendirian teramatlah kurang”


Ada disebutkan bahawa: ”Yang dinamakan keberanian itu adalah bersabar sesaat”

Maka hendaklah seorang penuntut ilmu itu teguh pendirian dan bersabar pada gurunya dan pada kitabnya, sehingga tidaklah ia terbiar akhirnya menjadi orang yang terbantut. Demikian juga hendaknya ia bersabar mempelajari suatu ilmu sebelum terjun ke dalam ilmu yang lain tanpa benar-benar menekuni ilmu yang pertama.

Juga hendaklah ia bersabar pada suatu negeri yang ia belajar di situ sebelum ia berangkat ke negeri yang lain tanpa keperluan mendesak. Ini kerana sesungguhnya semua itu akan mencerai-beraikan urusannya dan memecah-belahkan fokusnya serta menyia-nyiakan waktunya dan juga menyakiti hati gurunya.

Selain itu, hendaklah juga ia bersabar daripada apa yang diinginkan oleh hawa nafsu serta keinginannya. Berkata seorang penyair:

”Hawa nafsu itu ia sendiri sebenar-benarnya hina,

Maka siapa yang menuruti setiap hawanya, ia menuruti kehinaan sebenarnya”.

Hendaknya juga ia bersabar di atas setia cubaan dan bala. Ada dikatakan:

”Khazanah impian itu tersimpan di dalam gedung cubaan”

Pernah dideklamasikan kepadaku seuntaian syair, yang dikatakan berasal daripada Ali bin Abi Talib:

”Ketahuilah! Tidak engkau dapatkan ilmu tanpa enam perkara.

Akan aku beritahukan kepadamu akan penjelasannya.

Kecerdikan, keinginan yang sungguh, sabar dan cukup belanja.

Ditambah bimbingan guru dan lamanya masa”.


Adapun dalam hal memilih teman sepengajian pula, maka hendaklah ia memilih teman yang bersungguh-sungguh, warak dan bertabiat baik serta cepat faham. Hindarilah teman yang bersikap pemalas dan suka menunda-nunda, banyak bicara, suka berbuat kerosakan dan kaki adu domba. Ada disebutkan:

” Tentang hal seseorang, tidak perlu engkau tanyakan,

Hanya lihatlah, dengan siapa ia berkawan.

Sesungguhnya seorang teman, dengan temannya lah ia berpedoman,

Jika ternyata pelaku kejahatan, maka segeralah engkau hindarkan,

Andai ia pemilik kebaikan, berkawanlah! Engkau kan ditunjuk jalan”.


Juga diungkapkan kepadaku sebuah syair:

”Janganlah berkawan dengan pemalas dalam segala halnya,

Betapa banyak si baik menjadi rosak kerana taulannya.

Penyakit kebodohan itu kepada si cerdik cepat sekali merebaknya,

Seperti bara dicampak ke abu, cepat pula padam apinya”.


Sabda Nabi SAW: ”Setiap bayi itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah Islam. Melainkan kedua ibu bapanya jualah yang bakal menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”.

# Hal ini membayangkan betapa kuatnya pengaruh lingkungan dan persekitaran serta pergaulan di dalam menentu arah dan membentuk hidup seseorang itu.-pent


Disebutkan di dalam sebuah untaian hikmah berbahasa Parsi yang bererti:

”Teman yang jahat itu lebih berbahaya daripada ular berbisa,

Demi Allah Tempat bergantung lagi Maha Esa,

Teman yang jahat menyeretmu ke jurang neraka,

Carilah teman yang baik! Ia kan menuntunmu ke taman syurga”.

Juga dikatakan:

”Jika engkau mencari ilmu dari ahlinya,

Atau petanda bagi perkara yang tidak nyata,

Maka kenalilah tanah berdasarkan namanya,

Dan kenalilah seseorang melalui temannya”.

***


Bersambung...

Saturday, July 30, 2011

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 3

NIAT DI DALAM MENUNTUT ILMU

Niat amatlah penting semasa menuntut ilmu. Kerana niat adalah perkara pokok dalam setiap keadaan, berdasarkan sabda Nabi SAW: ”Sesungguhnya setiap amalan itu mengikut niatnya..” . Hadith sohih.

Daripada RasuliLlah SAW lagi:

”Berapa banyak amalan yang kelihatan seperti amalan keduniaan namun bertukar menjadi amalan akhirat dengan bagusnya niat. Dan berapa banyak pula amalan yang kelihatannya amalan akhirat, namun bertukar menjadi amalan dunia kerana buruknya niat”.

Hendaknya seorang yang menuntut ilmu itu berniat dengan menuntut ilmu tersebut untuk mendapat keredhaan Allah dan kehidupan akhirat. Juga untuk menghilangkan kejahilan daripada dirinya dan seluruh orang jahil yang lain. Serta untuk menghidupkan agama dan melestarikan / mengekalkan Islam itu sendiri. Kerana sesungguhnya Islam itu tidak akan kekal selain dengan ilmu. Dan tidaklah sah kezuhudan dan ketaqwaan itu, melainkan yang dilakukan berdasarkan ilmu.

Syeikh Al Imam Al Ajall Burhanuddin, pengarang kitab Hidayah, telah mendeklamasikan seuntaian syair kepada para pelajarnya yang berbunyi:

”Kerosakan terbesar adalah seorang alim yang tak tahu malu,

Namun lebih besar lagi adalah si jahil yang ibadat kuat melulu,

Kedua-duanya cubaan besar kepada seluruh manusia,

Bagi yang menjadikan mereka ikutan di dalam beragama”.


Haruslah juga ia berniat untuk menunaikan kesyukuran dengan menuntut ilmu itu ke atas nikmat akal dan kesihatan badan yang telah dikurniakan Allah. Dan tidak sepatutnya ia berniat untuk menarik perhatian manusia kepadanya atau merebut habuan dunia dan kedekatan dan kemuliaan di sisi pemerintah dan yang seumpamanya (daripada golongan kaya, ahli korporat dan para tauke contohnya).

Telah berkata Muhammad bin Al Hasan: ”Kalaulah semua manusia itu para hambaku, pastilah aku akan membebaskan mereka semua dan melepaskan diri daripada ketaatan dan keterkaitan dengan mereka”.

Barangsiapa yang telah mengecapi kelazatan ilmu, maka akan kuranglah kegemarannya kepada apa yang ada pada tangan manusia. Telah mendeklamasikan kepada kami oleh Asy Syeikh Al Imam Al Ajall, Al Ustaz Qiwamuddin Hammad bin Ibrahim bin Ismail Ash Shoffar Al Anshori, seuntaian syair Imam Abu Hanifah rahimahullah yang berbunyi:

”Barangsiapa yang menuntut ilmu kerana akhirat,

Ia kan beruntung dengan mendapat petunjuk yang tepat.

Oh! Sungguh merugilah barangsiapa yang menuntutnya,

Hanya ’tuk mendapatkan apa yang di tangan para hamba”.


Kecualilah apabila ia mencari pangkat kedudukan atau kemegahan itu dengan tujuan untuk amar ma’ruf dan nahi mungkar serta melaksanakan kebenaran dan bagi menempatkan agama pada kedudukan yang mulia, bukannya untuk dirinya sendiri dan hawa nafsunya. Maka ketika itu menjadi haruslah baginya sekadar untuk membolehkannya menegakkan amar ma’ruf dan nahi mungkar itu.

Seorang penuntut ilmu mestilah merenung dan memikirkan hal tersebut. Kerana sesungguhnya ia telah berusaha mendapatkan ilmu itu dengan menempuhi kepayahan dan kelelahan yang cukup banyak. Maka tidak sepatutnyalah ia menukarnya dengan matabenda dunia yang hina lagi sedikit serta tidak kekal abadi ini.

Paling sedikit di antara yang sedikit; itulah dunia,

Dan para pencintanya paling hina di kalangan mereka yang hina.

Sihirnya memekakkan suatu golongan dan membutakan mereka,

Maka menjadilah mereka kebingungan tanpa penunjuk arahnya.


Hendaknya seorang yang berilmu itu tidak menghinakan dirinya sendiri dengan bersikap tamak pada apa yang tidak sepatutnya ia patut merasa tamak. Dan hendaklah ia menjaga diri daripada apa-apa yang boleh menyebabkan kehinaan kepada ilmu dan para pemiliknya.

Hendaknya ia bersikap tawadhu’ yang mana tawadhu’ itu berada pertengahan di antara sikap takabbur dan menghinakan diri. Juga hendaklah ia bersikap ’iffah iaitu menjaga kehormatan diri. Demikianlah. Dan semua yang tersebut itu dapat diketahui melalui kitab yang membicarakan tentang akhlak.

Telah bersyair Asy Syeikh Al Imam Al Ajall Al Ustaz Ruknul Islam yang dikenali sebagai Sasterawan Terpilih, dengan sebuah syair kepada diri beliau sendiri yang berbunyi:

”Sesungguhnya tawadhu’ adalah akhlak orang yang bertaqwa,

Dengannya jualah ketinggian martabat didaki mereka,

Menghairankan sekali, bagaimana si jahil itu ’ujub dengan dirinya,

Sedang ia sendiri tidak tahu, apakah dirinya nanti bahagia atau celaka,

Atau bagaimanakah pula ia kan menutup riwayat hidupnya,

Apakah ruhnya dibawa naik ke atas atau dihumban sahaja.

Sombong itu sifat khusus bagi Tuhan kita,

Maka hindarilah ia dan berjaga-jagalah darinya”.


Telah berkata Abu Hanifah rahimahullah kepada para muridnya: ”Perbesarkanlah lilitan serban-serban kamu, dan lebarkanlah lengan-lengan jubah kamu!”. Hanyasanya yang membuatkan beliau mengatakan demikian adalah supaya ilmu dan para pemiliknya itu tidak dipandang remeh.

# Ini kerana manusia secara umumnya lebih memandang kepada zahir yang tampak padanya. Kerana itulah sering saja si jahil yang berpakaian seperti para ulama dengan serban dan jubahnya terutama di zaman kita ini turut diangkat sebagai si alim kerana masyarakat tertipu dengan penampilannya. Melihatkan penerimaan masyarakat kepadanya, ia pula turut terbelit dengan tipuan syaitan berupa sifat ’ujub sehingga berani pula ia berfatwa sehinggakan di dalam perkara-perkara yang kita rasakan jika disodorkan masalah itu kepada Umar radhiyallahu anhu pastilah beliau mengumpulkan Ahli Badar untuk menyelesaikannya.Kita berlindung kepada Allah daripada menjadi orang yang memperhiaskan rupa zahir tanpa memperhatikan batin.-pent


Hendaklah seorang penuntut ilmu itu mempelajari kitab Al Washiyyah yang telah ditulis oleh Imam Abu Hanifah kepada Yusuf bin Khalid As Samti ketika mana ia (Khalid) ingin pulang kepada ahli keluarganya (setelah menuntut ilmu kepada Imam Abu Hanifah). Sesiapa yang mencari kitab itu akan mendapatinya.

Ustaz kami juga, iaitu Asy Syeikh Al Imam Burhanul A-immah Ali bin Abi Bakr –semoga Allah mensucikan rohnya yang mulia- pernah menyuruhku untuk menulis kitab tersebut ketika aku ingin pulang ke negeriku, maka aku pun telah menulisnya. Maka sudah seharusnya bagi para guru dan mufti menggunakan kitab tersebut di dalam berurusan (muamalat) dengan manusia.

#Ini mungkin disebabkan di dalam kitab Al Washoya (Pesanan-pesanan) itu terdapat pesan-pesan dan tunjuk ajar yang maha penting oleh Imam Abu Hanifah.-pent

***

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SIRI 2


HAKIKAT ILMU, FIQH DAN KELEBIHANNYA


Sabda Rasulullah SAW: ”Menuntut ilmu itu satu kefardhuan bagi setiap muslim dan muslimah”.
#Hadith di atas dihasankan oleh sebahagian ulama. Namun tanpa tambahan ومسلمة

Ketahuilah bahawa tidaklah difardhukan ke atas setiap muslim dan muslimah untuk menuntut semua jenis ilmu. Tetapi yang disuruh adalah menuntut ilmu hal, [iaitu ilmu tentang keadaan yang terkait dengan dirinya pada waktu ini] iaitu sepertimana disebut: ”Sebaik-baik ilmu adalah ilmu hal, dan sebaik-baik amalan adalah memelihara hal”.

[Hal bermaksud; 1) keadaan; seperti bahasan dalam ilmu tasawwuf. 2) waktu kini/sekarang. di sini mungkin merujuk pada makna kedua yang bermaksud "Mengetahui apakah perintah dan larangan Allah ke atas diri saya waktu ini" ]

Maka seorang muslim wajib mempelajari ilmu yang berkaitan dengan hal dirinya, seperti contoh dia mesti bersolat dan ingin menunaikan solat; maka mestilah ia mempelajari hal-hal yang fardhu berkaitan dengan solatnya [contohnya syarat sah solat, perkara membatalkan solat dan rukun solat] sepertimana juga ia perlu mengetahui tentang perkara yang wajib di dalam solatnya [seperti bacaan yang wajib di dalam solat]

#Pengarang membezakan fardhu dan wajib di dalam solat kerana beliau rahimahullah bermazhab Hanafi yang mana fardhu dan wajib membawa maksud yang berbeza.-pent

Ini adalah kerana sesuatu yang membawa kepada terlaksananya perkara yang fardhu adalah fardhu pula. Demikian juga perkara yang membawa kepada terlaksananya perkara yang wajib hukumnya dikira wajib. Begitulah seterusnya pada puasa, zakat –jika ia memiliki harta- haji –sekiranya ia berkemampuan-, juga dalam hal jual beli –jika ia seorang peniaga-.

Pernah ditanyakan kepada Muhammad bin Al-Hasan rh: ”Mengapakah tuan tidak menulis kitab tentang zuhud? Jawab beliau: ”Aku telahpun menulis kitab tentang jual beli”. Maksudnya, orang yang zuhud itu adalah seorang yang menjauhi perkara-perkara yang syubhat dan makruh di dalam jual beli.

#[ Maka sekalipun beliau menulis kitab tentang jual beli, sebenarnya ia adalah mengandungi takrif zuhud yang sebenarnya. Di sini dapat dilihat betapa mendalamnya pemahaman tokoh ulamak ini yang memandang bahawa zuhud yang sebenarnya bukanlah dengan meninggalkan urusan kehidupan dan memakai yang lusuh dan sebagainya sepertimana yang sering disalah fahami oleh kebanyakan manusia sebaliknya Imam Muhammad Al-Hasan –daripada jawapan beliau- menunjukkan kepada kita bahawa orang yang zuhud yang sebenar adalah dengan menetapkan diri di atas landasan agama dengan menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan makruh sekalipun ia seorang yang berjaya di dalam perniagaan -pent]

Demikianlah seterusnya dalam seluruh hal muamalat dan perusahaan, maka bagi sesiapa yang menyibukkan diri dengan urusan itu, maka wajib baginya mempunyai ilmu untuk menghindari perkara-perkara yang diharamkan di dalam urusan tersebut.

Selain itu seorang muslim diwajibkan mempunyai ilmu tentang keadaan hati [ibadah berkaitan hati] seumpama tawakkal, taubat, rasa takut kepada Allah dan redho [dan lain-lain] kerana ianya berlaku di dalam setiap keadaan di sepanjang kehidupannya.

Kemuliaan ilmu adalah tidak tersembunyi lagi bagi setiap orang. Ilmu adalah sesuatu yang memang terkhusus kepada manusia. Ini disebabkan dalam hal-hal yang lain, manusia dan haiwan sama sahaja keadaannya, seperti keberanian, keteguhan hati, kekuatan tenaga, pemurah, belas kasihan dan lain-lain [bahkan mungkin manusia lebih lemah daripada haiwan dalam hal-hal itu, seperti kepantasan berlari kita jika dibandingkan dengan seekor cheetah, kekuatan kita jika dibandingkan dengan seekor beruang, ketahanan kita untuk menyelam di dalam air berbanding seekor ikan dan seterusnya –pent ] selain ilmu. [kerana itulah Allah mencela manusia yang tidak menggunakan inderanya untuk mendapatkan pengetahuan sehingga dapat beriman kepadaNya lebih teruk keadaannya berbanding haiwan ternakan-pent]

Dengan ilmulah Allah telah menampakkan kepada para malaikat akan kelebihan Nabi Adam as dan menyuruh mereka bersujud kepadanya. Sesungguhnya kemuliaan ilmu itu ialah kerana adalah jalan menuju taqwa yang mana dengan taqwa itulah seseorang berhak mengecap kemuliaan di sisi ALLAH dan kebahagian yang abadi, sepertimana pernah diucapkan kepada Muhammad bin Al-Hasan:

Tuntutlah ilmu! Kerana ilmu adalah perhiasan bagi pemiliknya;
Juga ianya satu keutamaan dan petanda segala yang terpuji,
Ambillah manfaatnya dalam setiap harimu dengan menambah ilmu,
Dan berenanglah di dalam lautan faedah dan maknanya pada setiap waktu.

Pelajarilah feqah! Kerana ia adalah sebaik-baik penunjuk jalan,
Kepada kebaikan dan ketaqwaan; dan ia juga pengadil yang penuh keadilan,
Dialah ilmu yang menunjuk ke jalan petunjuk,
Dan ia juga benteng penyelamat dari segala kesukaran,
Kerana seorang faqih yang wara’ itu lebih ditakuti oleh syaitan,
Daripada seribu abid yang beribadah dalam kejahilan.

Begitu juga, adalah menjadi kefardhuan menuntut ilmu berkaitan akhlak. Contohnya dermawan, bakhil, pengecut, berani, takabbur, tawadhu’, menjaga harga diri, boros, kikir dan lain-lainnya. Sifat sombong, bakhil, pengecut, dan boros itu haram, dan semua itu tidak mungkin dapat dihindari melainkan dengan ilmu dan mengetahui pula sifat-sifat yang berlawanan dengannya.

Sesungguhnya As Sayyid Al Imam yang mulia, Asy Syahid Nasiruddin Abul Qasim telah mengarang sebah kitab yang sangat baik tentang akhlak, maka sangatlah wajar bagi setiap muslim menghafaznya [mempelajari kitab tersebut ].

Adapun memelihara hal-hal yang sesekali berlaku, [seperti solat jenazah, melawat orang sakit dan lain-lain] maka hal tersebut merupakan fardhu kifayah. Apabila di dalam satu tempat atau negeri tersebut ada orang yang telah melakukannya, maka gugurlah kefardhuannya daripada mereka yang lain. Sebaliknya jika semua mereka tidak melakukannya, dosanya akan ditanggung oleh semua mereka. Dan wajib atas pemimpin menyuruh, bahkan memaksa mereka melakukan hal yang ditinggalkan itu.

Ada disebutkan: Bahawa ilmu yang fardhu ain itu seperti makanan yang tidak dapat tidak, diperlukan oleh seseorang. Manakala ilmu fardhu kifayah itu seumpama ubat-ubatan yang diperlukan pada sesetengah keadaan. Dan ilmu nujum (menilik nasib mengikut ramalan zodiak –pent) itu adalah seumpama penyakit.

Menuntut ilmu nujum itu hukumnya haram kerana ia tidak sedikitpun mendatangkan mudarat atau manfaat. Melarikan diri daripada ketetapan dan kekuasaan Allah [dengan berpandukan ramalan zodiak ] adalah sesuatu yang tidak mungkin.

Maka hendaklah seorang muslim itu memenuhkan waktunya dengan mengingati Allah (zikruLLAH), berdoa dan merendahkan diri kepadaNya, membaca Al Quran dan bersedekah –yang mana sedekah itu dapat menolak bala- serta memohon kepada Allah keselamatan dan keafiatan di dunia dan di akhirat, agar Allah memeliharanya daripada segala bala dan bencana. [bukan sebaliknya berharap nasib baik daripada zodiak-zodiak itu].

Barangsiapa yang dikurniakan kemahuan dan kesempatan untuk berdoa, maka tidak akan dihalang daripada diterimanya permohonannya itu. Seandainya sesuatu bala itu sudah ditentukan akan menimpanya, maka tidak ada yang dapat menghalangnya, namun Allah akan memudahkan urusannya dan mengurniakan kesabaran kepadanya dengan berkat doanya itu.

Melainkan sesorang mempelajari ilmu nujum [ilmu bintang / astronomi / falaq] itu sekadar untuk mengetahui arah qiblat dan waktu solat, maka ianya dibolehkan.

Mempelajari ilmu perubatan pula adalah diharuskan, kerana ianya hanyalah salah satu sebab dari sekian banyak sebab [yang berlaku mengikut sunnatullah, seperti jika ingin kenyang perlu makan, jika ingin sembuh perlu berubat dan sebagainya -pent]. Maka diperbolehkan mempelajarinya sepertimana diperbolehkan mempelajari sebab-sebab yang lain

#[Maknanya dalam urusan keduniaan seperti ingin pergi ke satu tempat dengan cepat perlu mencipta kapal terbang, maka mempelajari cara-cara membuat kapal terbang, kejuruteraanya dan lain-lain hukumnya harus. Maka kiaskanlah kepada contoh-contoh yang lain –pent].

Nabi SAW sendiri pernah berubat. Diceritakan daripada Imam Asy Syafi’e rh, bahawa beliau pernah berkata: ”Ilmu itu dua jenis ilmu. Ilmu feqah untuk agama dan ilmu perubatan untuk badan. Adapun selain itu, maka ia hanyalah pelengkap majlis sahaja”.

Makna ilmu adalah: sesuatu yang menyingkap hakikat sebenar sesuatu perkara.
Makna feqah pula adalah: mengetahui hal-hal yang mendalam di dalam ilmu.

Berkata Imam Abu Hanifah rh: ”Feqah ertinya sesorang mengetahui apa yang baik dan buruk kepada dirinya”. Kata beliau lagi: ”Ilmu itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk diamalkan. Mengamalkannya adalah dengan meninggalkan yang yang segera ( dunia ) untuk mendapatkan yang bakal tiba (akhirat)”.

Sewajarnyalah bagi manusia itu tidak meninggalkan untuk mengetahui bagi dirinya apa yang bermanfaat dan apa pula yang mudharat kepada dirinya di dunia dan di akhirat. Lantas ia memburu apa yang bermanfaat bagi dirinya dan menjauhi apa yang memudaratkan, supaya tidaklah aqalnya, ilmunya nanti akan menjadi pendakwa kepada dirinya lalu bertambah-tambahlah azab ke atasnya. Kita berlindung kepada Allah daripada kemurkaan dan azabNya.

Sesungguhnya telah ada tersebut di dalam penerangan mengenai ilmu dan keutamannya ayat-ayat dan khabar-khabar yang sahih lagi masyhur, tetapi kita tidak akn menyibukkan diri menyebutnya untuk mengelakkan daripada berpanjang lebar.
***

TA'LIIMUL MUTA'ALLIM - SYEIKH AZ ZARNUUJI r.h

Berikut adalah terjemahan kitab Ta'liimul Muta'allim yang menjadi teks pengajian para pelajar pondok terutamanya sejak sekian lama. Ia dikarang oleh seorang 'alim bermazhab Hanafi, bernama Syeikh Az-Zarnuuji.

Ianya adalah kitab yang nipis namun bermanfaat. Saya sekadar menterjemahkan apa yang ditulis pengarang, berdasar kepada kitab yang ada pada saya, dengan tidak berpanjang lebar membahaskan tahqiq hadits-hadits yang dibawa oleh pengarang rahimahullah. Contohnya hadits yang pertama yang disebut oleh Syeikh iaitu maksudnya: "menuntut ilmu itu satu kefardhuan kepada muslim lelaki dan perempuan" dengan tambahan muslimah. Mungkin ada yang akan menolak dengan mendatangkan kata-kata Syeikh fulan dan fulan berkenaan hadith ini lalau menghukumkan dhoif dan seterusnya. Tetapi bukan di ruang ini untuk membahaskannya. Cukuplah jika anda melihat di dalam kitab Jami' Bayan Al-'Ilmi wa Fadhlihi oleh Imam Ibn Abdil Barr, kerana di sana ada dibawakan hadith tersebut dengan sanad yang pelbagai.

Maka sekarang kita terus kepada terjemahan kitab, insyaAllah.

***


Kitab asal: Ta’liimul Muta’allim fi Toriiqit Ta’allum

Pengarang: Syeikh Az Zarnuuji

Terjemahan: A.M alfindani

***

MUQADDIMAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah yang telah melebihkan anak cucu Adam dengan ilmu dan amal berbanding seluruh alam (makhluk). Selawat kepada Muhammad, Pemimpin Bangsa Arab dan Ajam, kepada keluarganya serta para sahabatnya, pancaran mata air segala ilmu dan kebijaksanaan.

أما بعد, (Adapun setelah itu);

Ketika mana aku melihat banyaknya para penunutut ilmu di zaman kita ini (zaman Pengarang) yang berusaha menuntut ilmu, namun mereka tidak pula sampai kepadanya; atau terhalang daripada memetik manfaat dan buahnya, disebabkan mereka tersalah jalannya dan meninggalkan pula syarat-syarat (keberhasilannya). Setiap yang tersalah jalan akan tersesat dan tidak akan mencapai tujuan, sedikit atau banyaknya.

Maka aku berhasrat dan suka untuk memperjelaskan kepada mereka jalan pembelajaran itu, mengikut apa yang aku lihat di dalam kitab-kitab dan apa yang aku dengar daripada guru-guruku -para pemilik ilmu dan kebijaksanaan- kerana mengharapkan doa daripada para penggemar ilmu yang ikhlas untuk diriku agar mendapat kejayaan dan kelepasan daripada siksa pada Hari Pembalasan, setelah terlebih dahulu aku beristikharah kepada Allah Ta’ala.

Aku namakannya ( kitab ini ) sebagaiطريق التعلم تعليم المتعلم في (Pedoman Para Penuntut Ilmu dalam Menuntut Ilmu). Aku membuat bahagian-bahagian pembahasan seperti berikut:

  1. Hakikat ilmu dan fiqh serta kelebihannya.
  2. Niat dalam menuntut ilmu
  3. Memilih ilmu, guru, teman dan keteguhan hati dalam menuntut ilmu
  4. Mengagungkan ilmu dan ahlinya
  5. Kesungguhan, istiqamah dan kuat semangat / tinggi cita-cita
  6. Memulakan pembelajaran, kadar dan urutannya
  7. Tawakkal kepada Allah
  8. Mendapatkan / menghasilkan ilmu
  9. Berlemah lembut dan menasihati
  10. Memburu faedah daripada ilmu
  11. Bersikap wara’ semasa menuntut ilmu
  12. Apa yang menguatkan hafalan dan apa menyebabkan lupa
  13. Mencari rezeki dan apa yang dilarang di dalam mencarinya.
  14. Apa yang menambahkan umur dan apa yang memendekkannya

Tiadalah yang menunjukkan jalan kebaikan kepadaku selain Allah, kepadaNya jualah aku bertawakkal dan kepadaNya lah aku bertaubat.

***

Monday, July 25, 2011

AL-ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - BAB TUJUH PERKARA

Bab 7 (Perkara)

***


Daripada Abi Hurairah r.anh, sabda Nabi SAW:

"Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat di bawah lindungan arasyNya di hari di mana tiada naungan selain naunganNya.

  1. Pemimpin yang adil,
  2. Pemuda yang membesar di dalam beribadah kepada Allah,
  3. Seorang lelaki yang mengingati Allah bersendirian lantas bergenang air matanya kerana takutkan Allah,
  4. Seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid sehingga ia kembali padanya,
  5. Seorang lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah yang mana tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya (bersedekah secara rahsia),
  6. Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah,
  7. Dan seorang lelaki yang digoda oleh seorang perempuan yang cantik agar berzina dengannya, lalu ia enggan sambil berkata; “Aku takutkan Allah”!."


Abu Bakr As-Siddiq r.anh berkata: "Si bakhil tidak akan terlepas daripada tujuh keadaan.

  1. Samaada ia akan mati, lalu warisnya kan menghabiskan harta itu pada jalan yang tidak diperintahkan Allah (maksiat);
  2. Atau penguasa yang zalim akan merampas hartanya setelah menghinakannya;
  3. Atau syahwatnya akan mengajaknya menghabiskan harta itu;
  4. Atau ia akan terfikir untuk membina bangunan atau binaan yang akan runtuh sehingga menghancurkan hartanya (yang dilaburkan untuk membinanya);
  5. Ataupun ia akan ditimpa sesuatu daripada musibah di dunia seumpama karam, terbakar, kecurian dan yang semisalnya;
  6. Atau ia tertimpa sesuatu sebab (seperti penyakit contohnya) yang berterusan yang mengakibatkan ia terpaksa membelanjakan hartanya bagi mengubati penyakit itu;
  7. Atau ia menyimpannya pada satu tempat lalu ia lupa sehingga ia tidak mendapatinya lagi".


Berkata Umar r.anh:

  1. "Sesiapa yang banyak ketawa kuranglah wibawanya;
  2. Sesiapa yang meremehkan manusia dia akan diremehkan;
  3. Sesiapa yang menekuni sesuatu ia akan dikenali dengannya;
  4. Sesiapa yang banyak cakapnya banyaklah salahnya;
  5. Sesiapa yang banyak salahnya kuranglah malunya;
  6. Sesiapa yang kurang malunya kuranglah pula wara’nya; dan
  7. Barangsiapa yang kurang wara’nya matilah hatinya".


Utsman r.anh berkata tentang firman Allah: “Dan di bawah dinding itu ada harta terpendam untuk kedua anak yatim tersebut, yang mana ibu bapa keduanya adalah orang baik-baik” –Surah Al-Kahf-.

Katanya: "Harta terpendam itu adalah satu papan tulis daripada emas yang tertulis padanya tujuh baris ungkapan.

  1. Pertamanya; "Aku merasa hairan kepada seorang yang mengetahui mati (itu akan mendatanginya) sedangkan ia masih tertawa".
  2. "Aku merasa hairan kepada seorang yang mengetahui bahawa dunia itu fana’ namun ia masih gemarkannya,
  3. "Aku kehairanan denga seorang yang mengetahui bahawa segala urusan itu telah ditentukan, namun ia masih lagi memperbanyakkan barang yang akan hilang (binasa)".
  4. "Aku sangat hairan dengan seorang yang mengetahui adanya hisab namun ia masih mengumpulkan harta,
  5. "Aku merasa ta’ajub dengan seorang yang mengetahui neraka, namun ia masih melakukan dosa,
  6. "Aku merasa pelik dengan seorang yang mengetahui dan meyakini Allah namun ia masih mengingati yang lain (selain Allah);
  7. "Aku juga merasa aneh dengan seorang yang meyakini syurga namun ia masih bersenang-senang dengan dunia; dan
  8. "Aku juga merasa hairan dengan seorang yang mengetahui bahawa syaitan itu musuhnya namun ia masih lagi mentaatinya".


Ali r.anh ditanya: "Apakah yang lebih berat daripada langit, lebih luas daripada bumi, lebih kaya daripada laut, lebih keras daripada batu, lebih panas daripada api, lebih sejuk daripada kaca dan lebih pahit daripada racun?"

Jawab beliau:
  1. "Membuat fitnah / tuduhan dusta (buhtaan) ke atas orang yang tidak melakukannya itu lebih berat daripada langit;
  2. kebenaran itu lebih luas daripada bumi;
  3. hati orang yang qana’ah (merasa cukup) itu lebih kaya daripada lautan;
  4. hati orang munafik itu lebih keras daripada batu;
  5. penguasa yang zalim lebih panas daripada api;
  6. berhajat kepada orang yang hina itu lebih sejuk daripada kaca, dan
  7. kesabaran itu lebih pahit daripada racun. [dikatakan juga mengadu domba (namimah) lebih pahit daripada racun]".


Sabda Nabi SAW: "Dunia adalah rumah bagi orang yang tiada rumah, harta bagi orang yang tidak punya harta, kerana ialah orang yang tidak berakal mengumpulkannya serta bergelumang dengan kesenangannya orang yang tidak memahami,…

Sampai di sini ada sehelai mukasurat yang kosong tidak bercetak


Daripada Jabir bin Abdillah Al-Anshori r.anh, daripada Nabi SAW sabdanya:

  1. "Sentiasalah Jibril mengingatkanku perihal jiran sehingga aku menyangka jiran itu boleh mewarisi harta,
  2. sentiasalah juga Jibril memperingatkan aku perihal wanita sehingga aku menyangka akan diharamkan menceraikan mereka;
  3. amatlah seringnya Jibril berpesan kepadaku perihal hamba sahaya sehinggakan aku menyangka akan ditentukan batas waktu untuk membebaskan mereka;
  4. dan sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang bersiwak sehinga aku menyangka bahawa ia akan difardhukan;
  5. sentiasalah Jibrl memperingatkanku tentang solat berjemaah sehingga aku menyangka bahawa Allah tidak akan menerima solat selain yang dilakukan secara berjemaah;
  6. sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang qiyamullail sehingga aku menyangka tidak boleh tidur pada waktu malam; dan
  7. sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang zikrullah sehingga aku menyangka tidak akan berguna perkataan melainkan dengannya".


Sabda Nabi SAW: "Tujuh golongan yang tidak akan dilihat oleh Allah pada hari kiamat, dan tidak akan disucikan mereka serta akan dimasukkan ke dalam neraka:

  1. Orang yang melakukan (liwat) dan dilakukan (liwat) kepadanya,
  2. orang yang menikahi tangannya (onani/masturbasi),
  3. orang yang menyetubuhi binatang,
  4. orang yang mendatangi isterinya melalui duburnya,
  5. orang yang menikahi seorang perempuan dan anak perempuan tersebut,
  6. orang yang berzina dengan jirannya; dan
  7. orang yang menyakiti jirannya sehingga jirannya melaknatnya".

Sampai di sini kitab kecil ini telah hilang dari simpananku dan tidak ketemu sampai kini. Mungkin ada terselit di dalam maktabah madrasah..

AL-ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - BAB ENAM PERKARA

Bab 6 (Perkara)

***

Bersabda Nabi SAW: "Enam perkara akan menjadi janggal dan aneh pada enam tempat.
  1. Masjid akan menjadi asing pada suatu kaum yang tidak bersolat padanya,
  2. Mushaf (Al Quran) akan menjadi asing pada sebuah rumah yang tidak dibacakan Al Quran padanya,
  3. Al Quran (yang dihafal) akan menjadi asing di dalam dada orang yang fasik,
  4. Perempuan muslimah yang solehah akan menjadi janggal di bawah jagaan suaminya yang zalim lagi buruk akhlaknya,
  5. Lelaki muslim yang soleh akan menjadi asing memiliki isteri yang jelek dan buruk akhlaknya,
  6. Seorang alim akan menjadi aneh di kalangan kaum yang tidak mahu mendengar kata-kata nasihatnya.
Kemudian Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan memandang kepada mereka itu dengan pandangan RahmatNya pada hari kiamat kelak!"


Sabda Nabi SAW: "Enam golongan yang aku melaknat mereka serta turut dilaknat oleh Allah; dan setiap Nabi itu diterima doa mereka.

  1. Orang yang menambah-nambah di dalam Kitab Allah,
  2. Tali barut penguasa yang zalim
  3. (Orang) yang memuliakan sesiapa yang dihina Allah
  4. serta menghinakan sesiapa yang dimuliakan Allah,
  5. Orang yang menghalalkan dari keluargaku apa yang diharamkan Allah, dan
  6. Orang yang meninggalkan Sunnahku. Sesungguhnya mereka itu tidak akan dipandang oleh Allah dengan pandangan RahmatNya pada hari kiamat.


Berkata Abu Bakr As Siddiq r.anh: "Sesungguhnya iblis berdiri di hadapanmu, nafsu di kananmu, keinginan di kirimu, dunia di belakangmu, anggota badan di sekelilingmu dan Allah yang Maha Perkasa di atasmu dengan kekuasaanNya.

Iblis la’natullah akan mengajakmu meninggalkan agama, nafsu mendorongmu melakukan maksiat, keinginan menyuruhmu kepada syahwat,dunia menggodamu agar memilihnya berbanding akhirat, anggota badan menghasutmu melakukan dosa, sementara Allah yang Maha Perkasa sentiasa menyerumu kepada syurga dan keampunanNya.

Sesiapa yang mengikut ajakan iblis hilanglah agamanya, sesiapa yang terdorong mengikuti nafsu hilanglah ruhnya, sesiapa yang menerima arahan keinginannya hilanglah akalnya, sesiapa yang tergoda dengan dunia hilanglah akhiratnya, sesiapa yang termakan hasutan anggota badannya akan hilanglah darinya syurga dan barangsiapa yang menyahut seruan Allah akan hilanglah darinya segala kejahatan dan akan beroleh segala kebaikan yang tidak terhingga.


Umar r.anh berkata; "Allah menyembunyikan enam perkara pada enam perkara;

  1. Dia menyembunyikan redhoNya dalam amal ketaatan,
  2. Ia menyembunyikan murkaNya dalam kemaksiatan,
  3. Ia merahsiakan NamaNya yang teragung di dalam Al-Quran,
  4. Ia merahsiakan Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan,
  5. Ia menyembunyikan Solatul Wustho dalam solat lima waktu, dan
  6. Ia merahsiakan kiamat dalam hari-hari yang mendatang.


Kata Utsman r.anh: "Sesungguhnya seorang mukmin itu sentiasa berada di dalam enam ketakutan;

  1. Takut-takut seandainya Allah mencabut iman daripadanya;
  2. Takut-takut malaikat hafazah (pencatat amal) akan mencatat amal yang boleh memalukannya di hari kiamat kelak;
  3. Takut-takut syaitan akan menghapuskan amalannya,
  4. Takutkan malaikat maut yang mungkin akan mencabut nyawanya dalam keadaan ia sedang lengah (kelalaian);
  5. Takut akan dunia yang menipunya dan menyibukkannya daripada akhirat; dan
  6. Takut-takut ahli keluarganya menjadikannya sibuk sehingga menyibukkannya daripada mengingati Allah.


Ali r.anh berkata: "Sesiapa yang menghimpunkan enam perkara pada dirinya pasti akan menjadikan syurga harapannya dan neraka ketakutannya.

  1. Sesiapa yang mengenali Allah lalu mentaatiNya;
  2. Ia mengenali syaitan lalu membantahnya,
  3. Ia mengenal akhirat lalu ia berusaha meraihnya,
  4. Ia mengenali dunia (tipuannya) maka ia menolaknya;
  5. Ia mengenali kebenaran lalu mengikutinya,
  6. Ia mengenali kebatilan lantas menjauhinya.


Kata Ali r.anh lagi: "Ni’mat itu ada enam: Islam, Al-Quran, Nabi Muhammad SAW, ke’afiatan (kesihatan dan kesejahteraan), tutupan (Allah menutup aibnya) dan merasa cukup daripada manusia (tidak berharap kepada mereka)".


Yahya bin Muadz Ar Razi r.h berkata: "Ilmu itu petunjuk bagi amal, kefahaman itu memelihara ilmu, akal itu pemandu ke arah kebaikan, keinginan hawa nafsu itu tunggangan dosa, harta itu selendang orang yang sombong, dan dunia itu pasar akhirat".


Abu Dzarr Jimhar berkata: "Enam hal yang menyamai seluruh kenikmatan dunia. Makanan yang lazat, anak yang soleh, isteri yang tidak membantah, percakapan yang berhikmah, akal yang sempurna dan badan yang sihat".


Kata Hassan Al-Basri r.h:

  1. "Kalaulah tidak kerana para abdal (wali-wali Allah) pastilah akan ditenggelamkan bumi dan seisinya.
  2. Kalaulah tidak kerana para solehin, binasalah mereka yang menderhaka.
  3. Kalaulah tidak kerana para ulama, jadilah manusia itu seumpama binatang ternak.
  4. Kalaulah tidak kerana kekuasaan ( yang diberikan Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya) pastilah manusia akan berbunuhan sesama mereka.
  5. Kalaulah tidak kerana mereka yang kurang akal (yang mengutamakan yang fana’ daripada yang kekal) maka runtuhlah dunia, dan
  6. Kalaulah tidak kerana angin akan membusuklah segala sesuatu".


Sebahagian Hukamak berujar:

  1. "Sesiapa yang tidak takutkan Allah tidak akan terselamat daripada ketergelinciran lidah.
  2. Barangsiapa yang tidak takutkan hari berdirinya di hadapan Allah nanti, tidak akan terselamat hatinya daripada yang haram dan syubhat.
  3. Barangsiapa yang tidak berputus asa daripada makhluk tidak akan terselamat daripada tamak haloba.
  4. Barangsiapa yang tidak memelihara amalnya tidak akan terselamat daripada riya’.
  5. Barangsiapa yang tidak merasa cukup dengan Allah dalam mengawal hatinya tidak akan terselamat ia daripada hasad dengki.
  6. Akhirnya barangsiapa yang tidak melihat kepada orang yang melebihinya dalam ilmu dan amal tidak akan terselamat daripada ‘ujub (bangga diri)".


Hassan Al-Basri r.h berkata: "Rosaknya hati disebabkan enam perkara;melakukan dosa sambil mengharapkan taubat, menuntut ilmu tidak diamalkan, jika diamalkan tidak ikhlas pula, memakan rezeki Allah namun tidak mensyukurinya, tidak redho dengan pembahagian Allah, menguburkan jenazah namun tidak mengambil iktibar".

Beliau berkata lagi: "Sesiapa yang menginginkan dunia dan memilihnya berbanding akhirat akan ditimpa enam balasan: tiga di dunia dan tiga lagi di akhirat;

Adapun tiga di dunia adalah; angan-angan yang tak berkesudahan, dikuasai rasa tamak yang tidak dapat dipuaskan, serta ditarik daripadanya kelazatan beribadah.

Adapun tiga di akhirat adalah; ketakutan yang teramat pada hari kiamat, hisab yang berat dan kerugian yang berpanjangan.


Ahnaf bin Qais r.anh berkata: "Tiada kerehatan bagi pendengki, tiada muru’ah (kehormatan diri) bagi pendusta, tiada jalan keluar bagi seorang yang bakhil, tiada pemenuhan janji bagi raja-raja, tiada ketinggian (kemuliaan) bagi orang yang buruk akhlak, dan tiada rintangan bagi qadha Allah".


Ditanyakan kepada sebahagian hukamak: "Apabila seorang hamba bertaubat, apakah ia tahu taubatnya diterima atau sebaliknya?"

Jawabnya: "Aku tidak tahu tetang hal itu, tapi di sana ada tanda-tandanya.

  1. Satunya, ia melihat dirinya bukanlah terpelihara daripada maksiat,
  2. dan ia melihat kegembiraan telah lenyap daripada hatinya digantikan dengan kesedihan,
  3. ia berdampingan dengan ahli kebaikan dan menjauhi ahli maksiat,
  4. ia melihat sedikitnya dunia yang dimiliki itu banyak dan melihat amal akhiratnya yang banyak itu masih sedikit,
  5. dan ia melihat apa yang hatinya sibuk dengan apa yang ia janjikan Allah, bukan apa yang Allah janjikan kepadanya,
  6. dan ia memelihara lisan, tenggelam dalam fikir, sentiasa berduka dan menyesal".


Berkata Yahya Bin Muadz Ar-Razi rh: "Aku melihat tipuan yang terbesar itu adalah berterusan melakukan dosa sambil mengharapkan keampunan Allah tanpa adanya penyesalan; menginginkan kedekatan kepada Allah tanpa melakukan ketaatan; mengharapkan tanaman syurga dengan benih neraka; menuntut negeri orang yang taat (syurga) dengan amal maksiat; menanti habuan tanpa beramal; berangan-angan kepada Allah (agar Allah mengampuninya dan memasukkannya ke syurga) dengan tidak menghiraukan batasanNya".

Engkau mengharapkan kejayaan tanpa menjejaki jalannya,

Sesungguhnya kapal itu tidak akan dapat belayar di atas daratan.



Ahnaf bin Qais ditanya; "Apakah yang terbaik diberikan kepada seorang hamba?" Jawabnya; "Aqal yang berguna (mampu berfikir dengan baik)".

"Jika tidak?" Jawabnya: "Adab yang baik".

"Jika tidak?" "Sahabat yang sependapat".

"Jika tidak?" "Hati yang sentiasa berhubung dengan Allah".

"Jika tiada juga?" "Diam yang berterusan".

"Jika tidak?" "Mati yang segera".

Wednesday, June 8, 2011

AL-ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - BAB 5 PERKARA

Bab 5 (Perkara)

***


Diriwayatkan daripada Nabi SAW sabdanya: "Sesiapa yang meremehkan lima perkara akan kerugian lima perkara:

  1. Sesiapa yang meremehkan ulama akan kerugian agamanya,
  2. sesiapa yang meremehkan pemerintah akan kerugian dunianya,
  3. sesiapa yang meremehkan jirannya akan kerugian manfaat-manfaat,
  4. sesiapa yang meremehkan orang kuat (aqwiyaa) kerugian kasih sayang; dan
  5. sesiapa yang meremehkan ahli keluarganya (isterinya) akan kerugian kehidupan yang baik".


Bersabda Nabi SAW: "Akan datang suatu zaman ke atas umatku di mana mereka akan mencintai lima perkara dan melupakan lima perkara.

  1. Mereka mencintai dunia dan melupakan akhirat,
  2. mereka mencintai rumah dan melupakan kubur,
  3. mereka mencintai harta dan melupakan hisab,
  4. mereka mencintai kaum keluarga namun melupakan hak-haknya,
  5. mereka mencintai nafsu dan melupakan Allah.
Mereka itu bukan daripada golonganku dan aku berlepas diri daripada mereka".


Nabi SAW bersabda lagi: "Tidak dianugerahkan seseorang lima perkara melainkan akan disediakan untuknya lima perkara pula;

  1. Tidak dikurniakan kepadanya syukur melainkan disediakan baginya tambahan nikmat,
  2. tidak dikurniakan kepadanya doa melainkan disediakan buatnya istijabah (pengabulan doa),
  3. tidak diberikan kepadanya istighfar melainkan disediakan baginya keampunan,
  4. tidak dikurniakan kepadanya taubat melainkan disediakan buatnya penerimaan, dan
  5. tidak dikurniakan baginya sedekah melainkan disediakan baginya gantian".


Abu Bakr r.anh berujar: "Lima kegelapan dan lima penerangnya.

  1. Cinta dunia itu kegelapan dan penerangnya adalah taqwa,
  2. dosa itu kegelapan dan penerangnya adalah taubat,
  3. kubur itu gelap dan penerangnya adalah kalimah syahadah,
  4. akhirat adalah kegelapan dan penerangnya adalah amal soleh,
  5. manakala Siratal Mustaqim itu gelap dan penerangnya adalah yakin (iman)".


Umar berkata: "Jikalau aku tidak mahu dikatakan mengetahui perkara ghaib, pasti aku kan bersaksi ke atas lima golongan ini bahwa mereka adalah para penghuni syurga.

  1. Iaitu seorang fakir yang memiliki keluarga yang besar,
  2. seorang isteri yang diredhai suaminya,
  3. seorang isteri yang menyedekahkan maharnya kepada suaminya,
  4. anak yang diredhai kedua orang tuanya; serta
  5. seorang yang bertaubat daripada dosanya".


Utsman r.anh berkata: "Lima tanda orang bertaqwa.

  1. Tidak duduk melainkan bersama orang yang akan menambah kebaikan kepada agamanya,
  2. dapat menguasai kemaluan dan lidahnya,
  3. apabila ia didatangi sesuatu yang banyak/besar daripada dunia, dia memandangnya remeh sahaja, apabila ia didatangi sesuatu yang kecil daripada urusan agama ia cepat-cepat merebutnya,
  4. ia tidak memenuhkan perutnya dengan yang halal kerana takutkan bercampurnya dengan yang haram, serta
  5. ia melihat manusia seluruhnya selamat dan dirinya sendiri itu binasa".


Ali berkata: "Kalaulah tidak kerana lima perkara ini, manusia semuanya akan tergolong daripada orang baik-baik.

  1. Pertamanya ialah merasa cukup dengan kejahilannya (bodoh sombong),
  2. kemudian tamak dengan dunia,
  3. seterusnya bakhil dengan kekayaan,
  4. riya’ dengan amalan,
  5. dan kagum dengan pendapat sendiri".


Kebanyakan ulamak berkata: "Bahawa Allah telah memuliakan NabiNya SAW dengan lima kemuliaan.

  1. Pertamanya Allah tidak memanggil Nabi dengan namanya seperti nabi-nabi yang lain (Adam, Nuh, Ibrahim dsb) tetapi dengan pangkatnya iaitu Nabi dan Rasul.
  2. Keduanya, Nabi SAW tidak berdoa kepada Allah melainkan Allah menjawabnya dengan dirinya ? yang mana Allah tidak melakukan demikian kepada Nabi-Nabi yang lain,
  3. Allah juga memberikan kurniaNya kepada Nabi tanpa permintaan,
  4. selain itu Allah juga menyebutkan keampunanNya sebelum kesalahan Baginda ketika Allah berfirman “’afaLLahu ‘anka”,
  5. adapun ridha iaitu tidak ditolaknya tebusannya, sedekahnya dan nafkahnya seperti ditolak daripada nabi-nabi yang lain".


Abdullah bin ‘Amru ibn ‘Ash r.anh berkata; "Sesiapa yang memiliki lima perkara ini akan berbahagia dunia akhirat.

  1. Sesiapa yang mengingati bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Pesuruh Allah pada setiap ketika;
  2. apabila ia ditimpa musibah ia mengucapkan "inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun wala hawla wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim";
  3. apabila mendapat ni’mat ia mengucapkan "alhamdulillahi rabbil ‘alamin syukran lin ni’mah",
  4. apabila memulakan sesuatu urusan ia mengucapkan "bismillahir rahmaanir rahim",
  5. apabila terlanjur melakukan dosa ia mengucapkan "astaghfirullahal ‘azhim wa atuubu ilaih".


Hassan al Basri berkata: "Tercatat lima perkara di dalam Taurat;

  1. bahawa kekayaan itu pada sifat qana’ah,
  2. keselamatan itu pada ‘uzlah,
  3. kehormatan diri itu pada menolak keinginan syahwat,
  4. kesenangan itu pada hari-hari yang panjang (akhirat); dan
  5. bersabar itu pada hari-hari yang pendek (dunia)".


Daripada Nabi SAW; "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

  1. Waktu mudamu sebelum tibanya waktu tuamu,
  2. waktu sihatmu sebelum waktu sakitmu,
  3. waktu kayamu sebelum waktu faqirmu,
  4. waktu hidupmu sebelum waktu kematianmu; dan
  5. waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu".


Yahya bin Muadz Ar Razi berkata: "Sesiapa yang banyak kenyang (makan) banyaklah dagingnya, sesiapa yang banyak dagingnya banyaklah syahwatnya, sesiapa yang banyak syahwatnya banyaklah dosanya, sesiapa yang banyak dosanya keraslah hatinya dan sesiapa yang keras hatinya akan tenggelam di dalam dunia dan perhiasannya".


Sufyan Ats Tsauri berujar: "Orang fakir memilih 5 perkara dan orang kaya memilih 5 perkara pula.

Orang faqir memilih kerehatan jiwa, kelapangan hati, menghambakan diri kepada Tuhan,ringannya hisab dan darjat yang tinggi.

Sementara orang kaya pula memilih kepenatan jiwa, kesibukan hati, perhambaan kepada dunia, kesukaran hisab serta kerendahan darjat".


Abdullah Al Anthaki berkata: "Lima ubat hati adalah;

  1. bergaul dengan para solehin,
  2. membaca Al Quran,
  3. mengosongkan perut,
  4. qiyamullail; dan
  5. merendahkan diri kepada Allah pada waktu subuh".


Para ulamak berkata;

  1. "Tafakkur pada ayat-ayat Allah akan menghasilkan tauhid dan keyakinan,
  2. tafakkur pada ni’mat Allah akan membuahkan cinta kepadaNya,
  3. berfikir akan janji-janji Allah akan menghasilkan rasa gemar,
  4. memikirkan ancaman Allah akan membenihkan rasa gerun, dan
  5. memikirkan kekurangan dirinya dalam melakukan ketaatan beserta kebaikan Allah kepadanya akan membangkitkan rasa malu".


Sebahagian ulama berkata: "Sebelum menemui taqwa seseorang perlu melepasi lima bukit.

  1. Pertamanya, memilih kesusahan berbanding kenikmatan,
  2. memilih kesukaran berbanding kerehatan,
  3. memilih kehinaan berbanding kemuliaan,
  4. memilih diam daripada ucapan yang tidak perlu; serta
  5. memilih kematian berbanding kehidupan".


Daripada Nabi SAW: "Bisikan itu memelihara rahsia, sedekah itu memelihara harta, ikhlas itu menjaga amalan, berkata benar itu memelihara perkataan, dan bermesyuarat itu memelihara pendapat".


Sabda Nabi SAW: "Pada mengumpul kekayaan itu ada lima perkara;

  1. Kepayahan / kehinaan dalam mengumpulnya,
  2. disibukkan daripada mengingati Allah disebabkan menguruskannya;
  3. ketakutan daripada dirampas dan kecurian,
  4. membawa nama bakhil pada dirinya,
  5. terpisah daripada orang soleh disebabkannya".

Adapun pada menjauhinya pula terdapat lima perkara:

  1. "Kerehatan jiwa daripada mencarinya,
  2. lapangnya waktu untuk mengingati Allah,
  3. aman daripada rasa takut kehilangan atau kecuriaannya,
  4. membawa nama yang mulia pada dirinya; dan
  5. berpeluang bersahabat dengan orang soleh dengan menjauhinya".


Sufyan Ats Tsauri berkata: "Tidak terkumpul pada seseorang harta pada zaman ini melainkan terkumpul juga padanya lima perkara;

  1. "Panjang angan-angan,
  2. dikuasai rasa tamak haloba,
  3. kebakhilan yang melampau,
  4. kurang wara’nya; serta
  5. melupakan akhirat".


Seorang bersyair:

Wahai orang yang meminang dunia untuk dirinya,

Sesungguhnya dunia itu bertukar kekasih setiap harinya,

(Terdapat sambungan syair ini yg belum sempat diterjemahkan..)


Hatim Al Ashom berujar; "Tergesa-gesa itu daripada syaitan kecuali pada lima keadaan kerana ianya daripada Sunnah Rasulillah SAW.

  1. Menjamu tetamu apabila datangnya,
  2. menyempurnakan jenazah apabila meninggalnya,
  3. menikahkan anak dara apabila cukup umurnya,
  4. melunaskan hutang apabila tiba tempohnya, dan
  5. bertaubat daripada dosa apabila terlanjur melakukannya".


Muhammad Ad Duuri berkata; "Iblis celaka disebabkan lima perkara;

  1. ia tidak mengakui dosa,
  2. tidak menyesalinya,
  3. tidak mencerca dirinya sendiri akibat dosa itu,
  4. tidak berazam untuk bertaubat, serta
  5. putus asa dari rahmat Allah".

Bahagianya Adam disebabkan lima perkara;

  1. ia mengakui dosanya,
  2. ia bertaubat darinya,
  3. ia menyesalinya,
  4. mencerca dirinya,
  5. cepat-cepat bertaubat; dan
  6. tidak putus asa dari rahmat Allah".


Syaqiq Al Balkhi berkata:

  1. "Sembahlah Allah sekadar hajat kamu kepadaNya,
  2. ambillah daripada dunia ini sekadar umur kamu padanya,
  3. berdosalah kepada Allah sekadar kemampuan kamu menanggung azabNya,
  4. berbekallah daripada dunia ini sekadar lamanya kamu menetap di dalam kubur nanti,
  5. beramallah untuk syurga sekadar kedudukan yang kamu impikan untuk duduk di dalamnya".


Umar r.anh berkata:

  1. "Aku melihat para kekasih maka aku tidak melihat kekasih yang lebih baik daripada memelihara lidah,
  2. aku melihat pakaian dan aku tidak mendapati pakaian yang lebih utama daripada wara’,
  3. aku melihat harta dan aku tidak mendapati harta yang lebih utama daripada qana’ah,
  4. aku melihat kebaikan dan aku tidak mendapai yang lebih baik daripada nasihat, serta
  5. aku melihat makanan dan aku tidak mendapati makanan yang lebih lazat daripada kesabaran".


Sebahagian hukamak berujar: "Zuhud itu lima komponen:

  1. Menaruh keyakinan kepada Allah,
  2. berlepas diri daripada makhluk,
  3. ikhlas dalam beramal,
  4. menanggung kezaliman; serta
  5. qana’ah (merasa cukup) dengan apa yang dimiliki".


Sebahagian ahli ibadah berkata di dalam munajatnya: "Tuhanku, panjangnya angan-angan telah menipuku,cinta dunia telah membinasakanku, syaitan pula telah menyesatkanku, nafsu ammarah menghalangiku dari jalanMu, teman-teman yang jahat sering mengajakku ke arah kemaksiatan kepadaMu, maka tolonglah daku wahai Zat yang menolong orang yang memerlukan pertolongan. Jika Engkau tidak mengasihaniku, siapakah lagi yang akan mengasihiku…"


Sabda Nabi SAW: "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana mereka mencintai lima perkara dan melupai lima perkara.

  1. Mereka mencintai dunia dan melupakan akhirat,
  2. mereka mencintai kehidupan dan melupakan kematian,
  3. mereka mencintai istana-istana (rumah) dan melupakan kuburan,
  4. mereka mencintai harta benda dan melupakan hisab, serta
  5. mereka mencintai makhluk dan melupakan Khalik (Pencipta)".


Yahya bin Muadz Ar Razi bermunajat: "Tuhanku, tiada indahnya malam melainkan dengan munajat kepadaMu, tiada serinya siang melainkan dengan mentaatimu. Tiada harumnya dunia tanpa ingatan kepadaMu, tiada wanginya akhirat tanpa keampunanMu dan tiadalah indahnya syurga melainkan dengan melihat kepada WajahMu".


Tamat edit pada 2.28 tgh hari,

Rabu, 8 Jun 2011,

MTK .