Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Tuesday, February 1, 2011

ZAADUL MA'AAD - JENAZAH [ PART 3 ]

Sambungan...


Di antara petunjuk Baginda SAW adalah menyegerakan penyelenggaraan jenazah untuk (menghantarnya ) bertemu Allah, dengan menyucikannya, membersihkannya (memandikan), memberi wangi-wangian kepadanya serta mengafankannya di dalam kain putih, seterusnya dibawa kepada Nabi SAW untuk disembahyangkan.

Sedangkan sebelum itu Rasulullah (biasanya) akan dipanggil apabila seseorang hampir menemui ajal, lalu Nabi SAW akan berada di sampingnya sehinggalah ia wafat, kemudian Baginda akan hadir pula menyelenggarakan pengurusan jenazah tersebut, kemudian bersolat untuknya, kemudian mengiringinya ke perkuburan. Melihatkan hal tersebut kelihatannya memberatkan RasuluLLah, maka para sahabat r.anhum, apabila seseorang telah meninggal dunia, barulah mereka memanggil Rasulullah SAW mereka, lalu Baginda akan menghadiri pengurusan jenazah itu, memandikan dan mengafankannya. Kemudian para sahabat memandang hal itu juga menyulitkan Rasulullah, lalu apabila ada yang meninggal, mereka sendiri yang akan menguruskan jenazah tersebut, dan membawanya kepada Nabi SAW di atas usungannya (keranda), lalu disembahyangkannya oleh Rasulullah di luar masjid.

Tidaklah daripada petunjuk Baginda SAW melazimkan solat jenazah di dalam masjid. Bahkan yang sebenarnya adalah Baginda mensolatinya di luar masjid. Boleh jadi kadangkala Baginda mensolati jenazah di dalam masjid sepertimana Baginda pernah mensolati jenazah Suhail bin Baidho dan saudaranya. Namun bukanlah ianya suatu sunnah (yang selalu diaplikasikan) dan kebiasaan Baginda.

[Kenyataan ini janganlah pula disalahtafsirkan bahawa maksudnya tidak boleh samasekali mensolati jenazah di dalam masjid, kerana hukumnya adalah harus sepertimana yang akan dijelaskan oleh pengarang nanti ]

Sesungguhnya Abu Dawud telah meriwayatkan di dalam Sunannya daripada hadith Soleh Maula (bekas hamba yang dimerdekakan) At-Tau amah daripada Abi Hurairah, katanya; sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang mensolati jenazah di dalam masjid, maka tiada sesuatu baginya” ( tiada ganjaran )*

*[ kalimah Arabnya adalah: fala syai’a lahu ]

Lafaz hadis itu diperselisihkan (oleh para ulama hadith). Berkata Al Khatib (Al Baghdadi) pada riwayatnya yang beliau meriwayatkan kitab Sunan: Pada asalnya (lafaz hadith itu) adalah “Fala Syai’a ‘alaih” (tidak ada celaan keatasnya / tidak apa-apa). Yang lainnya meriwayatkan dengan lafaz “fala syai’a lahu” (seperti di atas tadi). Ibnu Majah pula telah meriwayatkan di dalam Sunannya dengan lafaz “falaisa lahu syai’un” (membawa makna: tidak mendapat apa-apa ganjaran)* Tetapi Imam Ahmad dan mereka yang lain telah mendhoifkan hadith ini. Kata Imam Ahmad: (hadith tersebut) adalah termasuk yang diriwayatkan secara bersendirian oleh Soleh maula At Tau amah.

* Dikatakan: maksudnya di sini adalah kurangnya ganjaran pahala, kerana kebiasaannya orang yang solat jenazah di masjid akan terus pulang dan tidak mengambil peluang menghantar jenazah sehingga ke perkuburan.. [ sila lihat 'Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abi Daud, kitab Jenazah ]

Berkata Imam Al Baihaqi: ia dikategorikan di dalam afrad [hadith yang diriwayatkan secara bersendirian](oleh) Soleh, dan hadith ‘Aisyah lebih sohih dari hadith tersebut, sedang Soleh sendiri diperselisihkan keadilannya [ adil di sini bermaksud kelayakan seseorang periwayat hadith yang membolehkan hadithnya diterima/ tidak fasiq ]. Adalah Imam Malik menjarhnya [menyatakan kecacatan sesorang periwayat sehingga menjadikan hadithnya riwayatnya lemah/tidak diterima ]. Kemudian beliau ( Al Baihaqi) menyebutkan bahawa Abu Bakar dan Umar r.anhuma juga disolatkan jenazah mereka berdua di dalam masjid.

Saya (Al Khotib) katakan: Soleh adalah tsiqoh [dipercayai: kelayakan seorang periwayat hadith yang melayakkan hadithnya diterima ] sepertimana kata ‘Abbas Ad Duuri daripada Ibn Ma’in (Yahya Ibn Ma’in ): Ia (Soleh) adalah tsiqoh. Berkata Ibn Abi Maryam dan Yahya [moga-moga beliau adalah Yahya Al Qattan ]: (Soleh adalah) tsiqoh hujjah [ penegasan akan kebolehpercayaan Soleh sebagai seorang Rowi (periwayat hadith) ]. Lalu aku (Abbas) berkata kepadanya (Ibn Ma’in): Tetapi (Imam) Malik meninggalkannya (tidak mengambil riwayatnya)? Maka jawabnya: Sesungguhnya Malik bertemunya ketika ia (Soleh) telah khorif* [ bercampur baur hafalannya ]. Demikian juga (Sufyan) Ats Tsauri berjumpa dan mendengar daripadanya (Soleh) ketika ia telah khorif. Tetapi Ibn Abi Dzi’b mendengar periwayatannya (Soleh) ketika ia belum khorif.

Berkata Ali Ibn Al Madiini: Ia (Soleh) tsiqoh, melainkan ketika ia tua hafalannya bercampur baur, lalu Ats Tsauri menemui dan mendengar (hadith) darinya ketika itu. Adapun Ibn Abi Dzi’b, beliau mendengar (periwayatan hadith)nya sebelum itu (yakni sebelum ia khorif).

Berkata Ibn Hibban: (Soleh) berubah pada tahun seratus dua puluh lima ( 125 Hijrah ), lalu beliau meriwayatkan hadith-hadith daripada para perawi yang tsiqoh, namun seolah-olah hadith tersebut maudhu’ (hadith palsu/yang direka-reka) [akibat hafalannya yang tidak lagi mantap], lalu bercampur baur hadithnya yang diriwayatkan awal (sebelum khorif) dan yang kemudian (setelah khorif) sehingga tidak dapat dibezakan, maka lebih layak untuk ditinggalkan (hadith-hadith riwayatnya).

Tamat kata-kata beliau ( Al Khotib ) [ ini adalah kata-kata Ibn Qayyim ]

* khorif juga diertikan dengan nyanyuk, namun saya merasakan ianya tidak sesuai kerana konotasinya (bawaan maknanya) yang agak jelek di dalam Bahasa Melayu.

[ini adalah kata-kata Ibn Qayyim] Dan hadith ini adalah: Hasan. Kerana ia adalah daripada riwayat Ibn Abi Dzi’b daripadanya (Soleh). Dan sima’nya [ pengambilan riwayat dengan cara mendengar daripada Syaikh ] adalah sebelum bercampur baurnya hafalan beliau (Soleh). Bercampur baurnya hafalannya tidaklah mewajibkan kita menolak hadith-hadith yang diriwayatkannya sebelum terjadinya hal itu.*

*[ ini adalah satu perkara yang penting untuk diambil perhatian kerana terdapat sesetengah kalangan di zaman ini yang terburu-buru menolak terus hadith hafalan contohnya Ibn Lahi’ah tanpa meneliti adakah riwayat tersebut sebelum atau selepas hafalannya bercampur ]

Bersambung..

No comments: