Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Friday, May 25, 2012

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 22

Sambungan..


Fasal: termasuk di antara perkara yang patut diberi perhatian dan ditekankan iaitu:

Menjaga kehormatan Al Quran daripada perkara-perkara yang diambil mudah oleh mereka yang lalai iaitu ketika membaca secara beramai-ramai. Antaranya adalah:-

a)      Menjauhi gelak tawa, bertingkah-tingkah suara dan bersembang-sembang di sela-sela pembacaan Al Quran, melainkan percakapan yang sangat-sangat diperlukan. Hendaknya mereka menuruti perintah Allah SWT: ”Dan apabila dibacakan Al Quran, maka hendaklah kamu semua mendengar dengan penuh perhatian kepada bacaan itu dan diamlah, mudah-mudahan kamu semua beroleh kerahmatan.” (Al A’raf, 204)

Sepatutnyalah mereka berpedoman dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Daud daripada Ibn Umar r.anhu bahawa: Apabila membaca Al Quran, beliau tidak akan berkata-kata sehinggalah selesai membaca apa yang dikehendakinya.

(Al Bukhari juga meriwayatkan di dalam Sohihnya dengan kata: Beliau tidak akan samasekali berbicara sehingga selesai daripadanya. Beliau menyebutkan hadith ini di dalam Kitab Tafsir pada firman Allah Ta’ala: ”Wanita-wanita kamu adalah ladang bagi kamu”. –Al Baqarah, 223)

b)       Bermain-main dengan tangan atau lainnya. (Seperti mematah-matahkan jari, memusing-musingkan dua ibu jari atu sama lain, bermain-main dengan hujung baju atau tikar, menggaris-garis di atas karpet dan seumpamanya-pent). Sesungguhya dia sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah dia berkelakuan endah tidak endah di hadapanNya.
c)      Antaranya lagi: Melihat-lihat kepada perkara-perkara yang melalaikan dan menghilangkan tumpuannya.
d)     Dan yang lebih teruk daripada semua ini adalah: Memandang kepada apa yang tidak dibolehkan memandangnya seperti budak lelaki yang amrad dan lainnya. Ini kerana memandang kepada budak lelaki yang amrad lagi tampan (jambu-pent) tanpa keperluan itu adalah haram, tidak kira samaada disertai syahwat atau tanpa syahwat.

Juga tidak kira samaada dirinya aman daripada fitnah atau tidak aman daripadanya.
(maksud aman daripada fitnah adalah seperti seorang yang menyangka dirinya tidak akan tergerak nafsu dalam memandang amrad disebabkan ilmunya yang hebat, atau kedudukannya sebagai seorang syeikh atau seumpamanya -pent.)
           
Ini adalah mazhab (pendapat) yang sahih lagi terpilih di sisi para ulama. (Iaitu haramnya memandang amrad tanpa keperluan). Sesungguhnya Imam Asy Syafie dan para ulama yang tidak terhitung bilangannya telah menyatakan keharamannya.

Dalilnya adalah firman Alah Ta’ala:
”Katakanlah kepada kaum mukminin untuk mereka menahan pandangan mereka (daripada yang diharamkan)”.
(An Nuur, 30).

Disebabkan bahawa amrad itu adalah seperti perempuan juga, bahkan kadangkala sebahagian mereka atau kebanyakan mereka lebih cantik daripada kebanyakan wanita.

Kerana itu ia lebih menguatkan lagi sebab-sebab untuk berlakunya perkara yang tidak elok, juga kerana jalan untuk berlakunya kejahatan disebabkan amrad itu lebih mudah dan terbuka berbanding dengan para wanita. Maka oleh sebab itu, pengharamannya lebih utama.

Kata-kata para salaf agar menjauhi mereka (para amrad itu) sangat banyak untuk dihitung. Dan sesunguhnya mereka menamakan amrad itu sebagai (Antaan) yakni ”sesuatu yang berbau busuk”  disebabkan mereka itu membawa keburukan dari segi syarak.

*maksud membawa keburukan di sini bukanlah salah amrad itu yang dikurniakan wajah yang cantik, tetapi disebabkan fitnah/ujian yang disebabkan oleh wajah itu bagi yang memandangnya –pent.

Adapun memandangnya ketika berjual-beli, menerima dan memberi barang, mengubat dan mengajar serta yang seumpamanya daripada tempat-tempat yang berlaku keperluan padanya, maka ia adalah dibolehkan kerana keperluan.

Tetapi ia (hukum ini) mengehadkan orang yang memandang itu sekadar keperluan sahaja. Tidak boleh berlama-lama memandang tanpa keperluan. Demikian juga seorang guru, hanyasanya dibenarkan ia memandang sekadar perlu sahaja.

Dan diharamkan kepada semua mereka yang tersebut di atas memandang dengan syahwat. Tidak sahaja dikhususkan kepada golongan amrad ini, bahkan diharamkan kepada sekelian mukallaf memandang dengan syahwat kepada sesiapa jua samaada yang dipandang itu lelaki atau perempuan, mahramkah perempuan itu atau bukan.

Melainkan ia memandang kepada isterinya atau hamba perempuannya yang dibolehkan ia bersedap-sedap dengannya.

Sampaikan ada dikalangan Ashaab kami (Ulama Syafi’iyyah) berkata: Haram seseorang itu memandang dengan syahwat kepada mahramnya seperti anak perempuannya dan ibunya. Wallahu a’lam.



Wajarlah kepada sekalian yang hadir di dalam majlis bacaan Al Quran, apabila mereka melihat sesuatu daripada kemungkaran-kemungkaran ini atau kemungkaran lainnya untuk mereka menegahnya mengikut kadar kemampuan.

Iaitu dengan tangannya jika ia berkuasa, dengan lisannya jika ia tidak mampu dengan tangan. Jika tidak, maka hendaklah ia mengingkari dengan hatinya. Wallahu a’lam.


***
Bersambung...

No comments: