TERJEMAHAN KITAB MATAN IMAM ABI
SYUJA’ BERSERTA PENJELASAN RINGKAS
Oleh: alfindani, Bermula Pada 14
Rabiulawwal 1432 Bersamaan 17 Februari 2011, Khamis, 11.30 am, MTK,.
***********************
Penjelasan: Tulisan yang
ditebalkan adalah terjemahan matan, manakala tulisan condong -tanpa ditebalkan-
adalah keterangan penterjemah. Harap
maklum.
***********************
MUQADDIMAH
“Barangsiapa yang dikehendaki
Allah kebaikan padanya, akan difaqihkannya (diberi kefahaman) tentang agama
(Islam)”
Bismillahirrahmaanirrahiim.
Segala puji bagi
Allah Pemilik dan Pentadbir sekalian alam. Selawat dan salam kepada Penghulu
kita Nabi Muhammad SAW dan keluargana yang suci serta para sahabat Baginda
seluruhnya.
Berkata Al Qadhi Abu Syuja’
Ahmad bin Al Husain bin Ahmad Al Asfahaani* rahimahuLLAH:
“Sebahagian para sahabatku –semoga mereka dilindungi Allah- telah memintaku membuat ringkasan di dalam
ilmu Fiqh menurut Mazhab Imam Asy Syafi’e –semoga rahmat dan redho Allah
tercurah kepadanya- dengan ringkasan yang paling ringkas bagi menggemarkan
penuntut ilmu mempelajarinya dan memudahkan orang yang baru belajar (ilmu fiqh) menghafalnya.
Juga (mereka memintaku) untuk membahagi-bahagikan (topik) mengikut bahagian-bahagian dan mengehadkan
pembahasan, maka aku memperkenankan permintaan mereka kerana mengharapkan
pahala daripada Allah, serta mengharapkan taufiq (bimbingan) Allah kepada kebenaran.
Sesungguhnya DIA berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNYA dan Maha
Lemah-lembut (amat belas kasihan)
lagi Maha Mengetahui keadaan
hamba-hambaNYA.”
*[ Asfahan adalah
sebuah negeri di Iran ]
***********************
KITAB AT THOHAROH (BERSUCI)
AIR YANG DIBOLEHKAN
BERSUCI ADALAH TUJUH (7)* JENIS AIR:
1. Air hujan
2. Air laut
3. Air sungai
4. Air telaga
5. Air mata air
6. Air salji
7. Air embun/hujan batu
*[Ini adalah
pembahagian pada zaman tersebut. Pada zaman kita ini boleh dimasukkan juga air
paip. Pembahagian tersebut boleh diringkaskan kepada dua (2) jenis air iaitu:
yang bersumber dari langit dan yang bersumber dari perut bumi.]
AIR TERBAHAGI KEPADA
EMPAT (4) BAHAGIAN:
1. Air yang suci,
boleh menyucikan* dan tidak makruh; iaitu: AIR MUTLAQ
*( menyucikan
bermaksud boleh digunakan untuk menyucikan daripada hadas kecil dan besar, atau
menyucikan najis )
2. Air yang suci,
boleh menyucikan tetapi makruh; iaitu: AIR MUSYAMMAS*
* ( Air yang berada di
dalam bekas logam yang boleh berkarat selain emas dan perak, terjemur di bawah
sinaran matahari, di negeri yang bercuaca panas ).
3. Air yang suci,
namun tidak boleh digunakan untuk menyucikan; iaitu:
· AIR MUSTA’MAL*.
*( AIR MUSTA’MAL bermaksud
air yang sedikit ( kurang daripada 2 Qullah )yang bercerai daripada anggota
badan setelah digunakan untuk membasuh anggota wudhu dengan basuhan yang
sempurna pada kali pertama (basuhan yang fardhu daripada wudhuk yang fardhu). Atau
air yang telah digunakan untuk membasuh najis dengan syarat tidak berubah sifat
air yang tiga iaitu bau, warna dan rasa, serta tidak bertambah timbangannya. )
· AIR MUTAGHAYYIR* yang bercampur dengan benda-benda yang suci.
*(
iaitu air yang berubah sifatnya yang 3 iaitu bau, warna dan rasa. Contoh air
mutaghayyir adalah: air teh, kopi dan sebagainya )
4. AIR NAJIS ( atau dinamakan juga AIR MUTANAJJIS ). Iaitu air yang bercampur dengan najis
sedangkan air tersebut kurang daripada 2 Qullah, ataupun ianya 2 Qullah namun
telah berubah (sifat air yang tiga).
UKURAN 2 QULLAH*
adalah 500 Ritl ( kati ) Baghdad mengikut pendapat yang lebih
sohih.
*[mengikut ukuran
zaman ini adalah 192.857 kilogram (kg) atau bersamaan bekas empat persegi berukuran
1 ¼ hasta bagi setiap panjang, lebar dan dalamnya (Fiqh manhaji m/s 34)]
FASAL / BAB: KULIT BANGKAI BINATANG ADALAH (DIKIRA ) SUCI APABILA DISAMAK*, melainkan kulit anjing dan babi dan keturunan
keduanya atau salah satunya.
*[Samak di sini
bukannya bermaksud membasuh sekali dengan air tanah dan enam kali dengan air
mutlaq. Tetapi samak di sini bermaksud menghilangkan kotoran yang basah
(seperti darah dan daging yang terlekat pada kulit tersebut yang boleh
menyebabkan kulit itu menjadi busuk apabila disimpan) pada kulit binatang
dengan menggunakan bahan-bahan yang sifatnya tajam dan kelat seperti tawas dan
buah manjakani, atau menggunakan bahan yang najis sekalipun, seumpama tahi
burung merpati.]
TULANG DAN BULU BANGKAI
adalah NAJIS kecuali (tulang dan bulu
daripada) anak Adam (manusia).
FASAL / BAB: TIDAK
DIBOLEHKAN MENGGUNAKAN BEKAS DARIPADA EMAS DAN PERAK*, dan dibolehkan
menggunakan bekas yang diperbuat daripada bahan selain keduanya**.
*[Di antara hikmahnya
adalah untuk menjauhkan seorang muslim daripada bersifat sombong selain emas
dan perak adalah bahan untuk dijadikan matawang (dinar dan dirham). Jika
manusia mengambilnya untuk membuat barang-barang seperti pinggan mangkuk dan
sebagainya, maka akan hilanglah fungsinya yang sebenar. Pengharaman di sini
adalah terkena bagi lelaki dan juga wanita.]
**[Sekalipun bahan
tersebut lebih mahal daripada emas dan perak, seperti berlian, jade dan
lain-lain batu permata.]
*** “Emas putih”
bukanlah emas yang sebenar, ia adalah logam lain yang digelar emas, sepertimana
petroleum juga digelar dengan “emas hitam”.
FASAL / BAB: BERSIWAK
(BERSUGI) ADALAH DISUNATKAN (digalakkan) dalam setiap keadaan, melainkan selepas
gelincir matahari bagi orang yang berpuasa*.
*[Tiada dalil yang
kukuh mengatakan makruh bersugi selepas gelincir matahari bagi orang yang
berpuasa. Hadith yang digunakan sebagai dalil iaitu hadith yang menyatakan:
“sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu terlebih harum di sisi Allah
berbanding bau kasturi..” tidaklah bermaksud seseorang yang berpuasa perlu
membiarkan mulutnya berbau agar lebih disukai Allah.
Ini kerana seseorang yang
berpuasa akan tetap mempunyai bau mulut yang berubah akibat perut yang kosong.
Hadith yang lebih sahih bahkan menggalakkan seorang muslim untuk bersugi pada
setiap kali ingin solat atau berwudhuk dengan tidak mengecualikan orang yang
berpuasa.]
IA (BERSUGI) ADALAH SANGAT DIGALAKKAN PADA TIGA (3)
KEADAAN iaitu:
·
Ketika berubah bau mulut disebabkan diam yang lama atau selainnya*.
*[ seperti akibat memakan makanan seperti petai dan
seumpamanya atau akibat penyakit resdung yang serius ]
·
Ketika bangun daripada tidur.
·
Ketika ingin mengerjakan solat.
FASAL / BAB: FARDHU
WUDHUK ENAM (6) PERKARA.
1. Niat ketika membasuh
muka*.
*[ Disebutkan
ketika membasuh muka kerana muka adalah anggota wajib yang pertama perlu
dibasuh].
2. Membasuh muka
3. Membasuh tangan sehingga
ke siku
4. MENYAPU sebahagian kepala
5. Membasuh kaki sehingga
buku lali.
6.
Tertib (membasuh anggota
mengikut urutan di atas didahului dengan niat)
SUNNAT WUDHUK SEPULUH
(10) PERKARA, iaitu:
1. Membaca Basmalah
2. Membasuh kedua tangan
sehingga pergelangan tangan sebelum mencelupnya ke dalam bekas air wudhuk.
3. Berkumur-kumur dan memasukkan
air ke dalam hidung, kemudian mengeluarkannya semula
4. Menyapu keseluruhan
kepala.
5. Menyapu kedua telinga
luar dan dalam menggunakan air yang baru (bukan air dari meyapu kepala).
6. Menyelat-nyelati janggut yang tebal.
7. Menyelat-nyelati jari-jari
tangan dan kaki.
8. Mendahulukan anggota
kanan daripada anggota kiri.
9.
Membasuh ( dan menyapu ) tiga kali (bagi setiap anggota).
10.
Muwalaat ( Bermaksud basuhan
dilakukan secara berturut-turut iaitu membasuh anggota sebelum kering air di
anggota yang dibasuh sebelumnya )
FASAL / BAB: ISTINJAK
ADALAH DIWAJIBKAN BAGI ORANG YANG MEMBUANG AIR KECIL DAN AIR BESAR.
1.
Paling afdhal adalah beristinjak menggunakan batu, kemudian disusuli
membasuh menggunakan air.
2.
Boleh menggunakan air sahaja atau sekadar (minima) TIGA (3) biji batu [atau sebiji batu yang mempunyai 3 bucu , atau benda kesat seperti
tisu, kertas dan sebagainya yang tidak dihormati] yang boleh menghilangkan najis dari tempat keluarnya.
3.
Apabila memilih untuk memadai dengan batu atau air, maka menggunakan air lebih afdhal.
4.
Hindari dari menghadap kiblat atau membelakanginya sekiranya mengqadha
hajat di tanah lapang.
5. Hindari mengqadha hajat
di dalam air yang bertakung*, di bawah pokok yang berbuah, di jalanan, di bawah
teduhan (tempat orang berteduh) dan di dalam lubang (selain lubang tandas).
*[air
yang bertakung di dalam mangkuk tandas adalah tidak termasuk di dalam larangan
ini]
6.
Jangan bercakap-cakap ketika membuang air kecil atau besar.
7.
Jangan mengadap matahari atau membelakanginya (jika di tanah lapang).
FASAL / BAB: PERKARA
YANG MEMBATALKAN WUDHU ENAM (6) PERKARA.
1.
Keluar sesuatu daripada dua jalan*.
*[Qubul
(kemaluan hadapan) atau Dubur (kemaluan belakang)].
2.
Tidur dalam keadaan tidak tetap (
papan punggung).
3.
Hilang akal disebabkan mabuk atau penyakit.
4.
Seorang lelaki menyentuh perempuan ajnabiyah (perempuan yang halal nikah dengannya) tanpa berlapik [ begitu juga
sebaliknya].
5.
Menyentuh kemaluan manusia dengan telapak tangan (tanpa lapik).
6.
Menyentuh lingkaran dubur, mengikut Qaul Jadid (pendapat terakhir Imam Asy Syafi’e).
FASAL / BAB: PERKARA
YANG MEWAJIBKAN MANDI ENAM (6) PERKARA.
TIGA (3) perkara yang
berlaku sama kepada lelaki dan perempuan iaitu:
1.
Bertemu dua khitan (bersetubuh
/ jima’ )
2.
Keluar mani
3.
Mati
Dan TIGA (3) perkara
yang berlaku khusus bagi perempuan, iaitu:
1.
Haid
2.
Nifas
3.
Wiladah (melahirkan anak)
FASAL / BAB: FARDHU
MANDI TIGA (3) PERKARA.
1. Niat
2. Menghilangkan najis
daripada badan jika ada
3. Menyampaikan / meratakan
air ke seluruh bulu dan kulit.
(PERKARA) SUNATNYA (MANDI) PULA ADA LIMA (5),
IAITU:
1. Membaca Basmalah
2. Mengambil wudhuk sebelum
mandi
3. Menggosok badan dengan
tangan (bagi meratakan air)
4. Muwaalaat
5.
Mendahulukan anggota kanan sebelum anggota kiri (dalam menjirus)
FASAL / BAB: MANDI
YANG DISUNATKAN ITU ADA TUJUH BELAS (17) JENIS MANDI
1.
Mandi Jumaat* (waktunya bermula daripada terbit fajar
sehingga habis waktu untuk solat Jumaat di tempatnya. Lebih afdhal jika mandi
ketika waktu hampir ingin pergi ke masjid untuk solat Jumaat )
*(
Mandi Jumaat disunatkan bagi yang ingin menghadiri solat Jumaat bukan kerana
hari Jumaat, dan ini berbeza dengan mandi hari raya)
2.
Mandi dua hari raya (Aidilfitri
dan Aidil Adha)
3. Mandi untuk solat minta
hujan
4. Mandi kerana gerhana
matahari
5. Mandi kerana gerhana bulan
6. Mandi sebelum memandikan
mayat
7. Mandi seorang kafir yang
baru memeluk Islam
8. Mandi orang yang gila
apabila ia sedar
9. Mandi orang yang pengsan
apabila ia sedar
10. Mandi untuk berihram
11. Mandi kerana masuk ke
Makkah
12. Mandi kerana wukuf di
Arafah
13. Mandi kerana bermalam di
Muzdalifah
14. Mandi kerana melontar tiga
(3) Jamrah
15. Mandi kerana Tawaf
16. Mandi kerana Sa’ie
17. Mandi kerana memasuki
kota Madinah RasuluLlah SAW
FASAL /BAB: MENYAPU
ATAS DUA KHUF* ADALAH DIBOLEHKAN DENGAN TIGA (3) SYARAT; iaitu:
*[Khuf adalah kasut
kulit yang menutupi had buku lali]
1.
Memulakan memakai khuf tersebut setelah sempurna bersuci (setelah selesai mengambil wudhu dahulu,
barulah menyarungkan khuf)
2.
Hendaklah dua khuf tersebut menutupi tempat yang wajib dibasuh pada
kaki (ketika mengambil wudhuk. Iaitu
menutupi lebih daripada had buku lali)
3.
Hendaklah dua khuf tersebut adalah yang sesuai dipakai untuk berjalan (maksudnya bukan khuf yang nipis atau koyak
rabak).
Orang yang bermukim
dibenarkan menyapu khuf selama sehari semalam, manakala orang musafir pula
selama TIGA (3) hari TIGA (3) malam. Jangkamasanya adalah dikira daripada
permulaan hadas kali yang pertama setelah memakai khuf tersebut.
Jika seseorang
menyapu khuf ketika bermukim, kemudian ia bermusafir; atau ia menyapu ketika ia
bermusafir kemudian ia bermukim, maka tempohnya adalah dikira mengikut
tempoh bagi orang bermukim.
Terdapat TIGA (3)
PERKARA YANG MEMBATALKAN (rukhshoh /
keringanan) menyapu khuf, iaitu:
1. Menanggalkan khuf
2. Tamat tempoh yang
dibenarkan
3. Terjadi perkara yang
mewajibkan mandi
FASAL / BAB: SYARAT
TAYAMMUM ADA LIMA (5)*, iaitu:
*[ sekalipun disebut
5, namun dinyatakan 6 di sini.
Kemungkinan pengarang rahimahullah menggabungkan antara syarat 4 dan 5 sebagai satu syarat. Wallahu a’lam.]
1. Mempunyai uzur dengan
sebab bermusafir atau sakit
2. Masuk waktu solat
3. Mencari air
4. Mempunyai keuzuran untuk
menggunakan air* (sekalipun air ada
di tempat berdekatan dan ia tidak sakit)
*[
Kerana takut hilang nyawa / anggota badan kerana gangguan orang jahat di tempat
air tersebut atau takut tertinggal daripada rombongan jika ia pergi mencarinya]
5. Berhajat kepada mengguna (air) setelah mencarinya (dan
mendapatinya)*
*[
maksudnya tidak dapat menggunakan air tersebut kerana hajat yang lebih utama
seperti ada air tetapi untuk bekalan minuman sendiri atau haiwan tunggangannya
]
6. Tanah yang bersih dan
berdebu. Jika bercampur dengan tanah liat atau pasir, maka tidak dibolehkan.
FARDHUNYA (TAYAMMUM) ADA EMPAT (4) PERKARA, iaitu:
1. Niat
2. Menyapu muka
3. Menyapu kedua tangan
sehingga siku
4. Tertib
SUNATNYA PULA ADA
TIGA (3) PERKARA, iaitu:
1. Membaca Basmalah
2. Mendahulukan anggota
kanan sebelum anggota kiri
3. Muwalaat (berturut-turut / tidak selang masa yang
lama antara menyapu anggota)
PERKARA YANG
MEMBATALKAN TAYAMMUM juga TIGA (3) perkara, iaitu:
1. Sama seperti perkara yang
membatalkan wudhuk (sila rujuk 6
Perkara membatalkan wudhuk).
2. Melihat (mendapati) air
di luar solat*
*[
Maksudnya seorang yang bertayammum itu bukan di dalam solat (belum lagi solat).
Jika ia di dalam solat, maka ia boleh meneruskan solatnya kerana tayammum dan
solatnya tidak batal]
3. Murtad
ORANG YANG MEMPUNYAI
BALUTAN LUKA ( Al jabaair ) boleh menyapu (air) di atasnya dan
bertayammum serta bersolat tanpa perlu mengulangi solatnya (qadha solat) seandainya ia memakai balutan tersebut semasa berkeadaan suci (tidak berhadas)*.
*[di dalam Mazhab Asy
Syafi’e, seseorang yang memakai balutan luka seperti disebutkan di atas perlu
melakukan DUA (2) perkara apabila ingin bersolat. Pertamanya, ia perlu
berwudhuk seperti biasa, kemudian bertayammum pula untuk anggota yang dibalut,
jika anggota yang dibalut itu adalah anggota wudhuk.
Hendaklah bertayammum
setiap kali ingin menunaikan solat fardhu*.
*[ satu tayammum hanya
terpakai untuk satu solat fardhu sahaja ]
Seseorang boleh untuk
bersolat sunat sebanyak mana yang dikehendakinya menggunakan satu
tayammum.
FASAL / BAB: Setiap
yang cair yang keluar daripada dua jalan ( Qubul atau Dubur ) adalah
najis, kecuali mani.
Membasuh semua jenis
kencing dan tahi adalah WAJIB melainkan kencing kanak-kanak yang belum memakan
makanan (selain susu) kerana ia (kencing budak itu)
memadai dibersihkan hanya dengan merenjiskan air pada tempat
terkena kencing tersebut.
Tidak dimaafkan (semua jenis najis, melainkan jika ia
sedikit pada ‘uruf / adat) kecuali
darah dan muntah yang sedikit. Atau binatang (serangga) yang tidak
mempunyai darah yang mengalir, apabila ia terjatuh ke dalam bekas (berisi makanan / air) lalu mati di dalamnya kerana ianya
tidaklah menajiskannya.
Semua HAIWAN adalah
bersih kecuali anjing dan babi serta keturunan keduanya atau keturunan salah
satunya*.
*[ makna keturunan
salah satunya di sini adalah seperti anjing yang menyetubuhi kambing lalu
melahirkan anak, maka anak itu dikira najis sepertimana anjing ]
Semua BANGKAI adalah
najis melainkan:
1. Ikan
2. Belalang
3. Manusia
Bekas yang terkena
JILATAN ANJING DAN BABI mestilah dibasuh TUJUH (7) kali menggunakan air yang
salah satunya adalah air (bercampur) tanah.
Semua najis (selain anjing dan babi) dibasuh sekali sahaja (menggunakan air mutlaq) yang dicurahkan ke atasnya (dan menghilangkannya ). Jika dibasuh TIGA (3) kali adalah lebih
afdhal (utama).
ARAK apabila bertukar
menjadi cuka dengan sendirinya (secara
proses semulajadi), maka ia adalah suci.
Jika ia bertukar menjadi cuka dengan dimasukkan sesuatu ke dalamnya (proses yang melibatkan campur tangan
manusia) maka ia tidak suci (najis).
Selesai terjemah pada: 5.57 ptg,Khamis
14 Rabiul Awwal 1432 H / 17 Februari 2011
MTK