Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Friday, May 25, 2012

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 23

Sambungan...


Fasal: Tidak boleh membaca AL Quran dengan selain bahasa Arab tidak kira samaada ia mahir membaca Arab atau tidak mahir membacanya. Juga samaada di dalam solat atau lainnya.

Maka sekiranya ia membacanya juga di dalam solat, tidak sah solatnya. Inilah pendapat kita (Mazhab Asy Syafie), Malik, Ahmad, Daud dan Abi Bakr Ibn Al Munzir.

Berkata Abu Hanifah: Harus membacanya dan sah solatnya.

Kata Abu Yusuf dan Muhammad: Harus bagi sesiapa yang tidak mahir membacanya di dalam bahasa Arab, tetapi tidak harus bagi yang mahir membacanya dalam bahasa Arab.

***

Fasal: Harus membaca Al Quran dengan Qiraat Tujuh yang disepakati bacaan itu. Tidak diharuskan dengan selain Qiraat Tujuh. Tidak pula dibolehkan dengan riwayat syadz (sekalipun) yang dinukilkan daripada Imam Qiraat yang Tujuh.

Nanti akan disebutkan –insyaAllah ta’ala- di dalam bab yang ke tujuh yang menerangkan kesepakatan para fuqaha tentang disuruh bertaubatnya orang yang membaca dengan qiraat Syadz apabila ia membacanya.

Berkata para Ashaab kita dan selain mereka:
Sekiranya seseorang itu membaca dengan Qiraat Syadz di dalam solat, nescaya batal solatnya jika dia mengetahui (bahawa tidak boleh membaca dengan qiraat Syadz). Sekiranya ia tidak tahu, maka tidak batal solatnya, tetapi bacaannya itu tidak dikira.

Sesungguhnya Imam Abu Umar Ibn Abdil Barr Al Hafizh telah menukilkan ijmak kaum muslimin bahawa tidak harusnya membaca dengan qiraat syadz serta tidak dibolehkan bersolat dibelakang orang yang membacanya (di dalam solat).

Berkata para ulama:
Barangsiapa yang membaca dengan qiraat Syadz, sekiranya ia tidak tahu (bahawa yang dibacanya itu qiraat syadz) atau tidak mengetahui hukum haram membacanya, maka hendaklah dia dimaklumkan akan hal tersebut.

Sekiranya ia tetap kembali membacanya, atau ia sememangnya mengetahui, maka hendaklah ia dita’zir dengan hukuman yang berat sehinggalah ia meninggalkan perbuatan tersebut.

Menjadi satu kewajipan kepada sesiapa yang boleh mengingkari dan menegahnya untuk mengingkari dan menegah daripada perbuatan itu.

***
Mencampur Aduk Antara Qiraat -pent

Fasal: Apabila ia memulakan dengan bacaan seseorang Qurra’ (Imam Qiraat), maka hendaklah ia meneruskan bacaan dengan Qiraat tersebut selama mana perkaitan antara ayat-ayat tersebut masih belum tamat.

Apabila susunan kalam ayat tersebut telah tamat, maka bolehlah jika ia hendak membaca dengan qiraat yang lain pula daripada qiraat yang tujuh itu. Namun yang lebih Aula (utama) adalah meneruskan bacaan dengan Qiraat yang awal tadi di dalam satu-satu majlis.

Membaca Mengikut Tertib Mushaf-pent.

Fasal: Berkata para ulama: Yang lebih utama adalah membaca mengikut tertib susunan Mushaf. Iaiatu dengan dibaca Al Fatihah, kemudian Al Baqarah, kemudian Aali Imran, seterusnya surah-surah yang mengikutinya mengikut susunan. Sama saja jika ia membaca di dalam solat atau lainnya.

Sehingga berkata sebahagian Ashaab kita:
 Jika seseorang membaca di dalam rakaat pertama surah: Qul a’udzu bu Rabbin Naas (Surah An Naas), maka hendaklah ia membaca di dalam rakaat kedua selepas Fatihah dengan sebahagian Surah Al Baqarah.

Berkata sebahagian Ashaab kita:
 Disunatkan apabila membaca suatu surah untuk membaca surah yang mengiringi surah tersebut.

Dalil bagi perkara ini adalah bahawa:-
Tertib (susunan) Mushaf ditentukan sedemikian ini kerana suatu hikmah yang tersendiri. Maka hendaklah memelihara tertib itu melainkan apa yang telah datang pada syarak akan pengecualiannya.

Contohnya pada solat Subuh Hari Jumaat dibaca pada rakaat pertama Surah As Sajdah dan pada rakaat kedua Hal Ata ’alal Al Insaan.

Solat Hari Raya pada rakaat pertama surah Qaaf, dan rakaat kedua Iqtarabatis Sa’ah (Al Qamar).


Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 22

Sambungan..


Fasal: termasuk di antara perkara yang patut diberi perhatian dan ditekankan iaitu:

Menjaga kehormatan Al Quran daripada perkara-perkara yang diambil mudah oleh mereka yang lalai iaitu ketika membaca secara beramai-ramai. Antaranya adalah:-

a)      Menjauhi gelak tawa, bertingkah-tingkah suara dan bersembang-sembang di sela-sela pembacaan Al Quran, melainkan percakapan yang sangat-sangat diperlukan. Hendaknya mereka menuruti perintah Allah SWT: ”Dan apabila dibacakan Al Quran, maka hendaklah kamu semua mendengar dengan penuh perhatian kepada bacaan itu dan diamlah, mudah-mudahan kamu semua beroleh kerahmatan.” (Al A’raf, 204)

Sepatutnyalah mereka berpedoman dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Daud daripada Ibn Umar r.anhu bahawa: Apabila membaca Al Quran, beliau tidak akan berkata-kata sehinggalah selesai membaca apa yang dikehendakinya.

(Al Bukhari juga meriwayatkan di dalam Sohihnya dengan kata: Beliau tidak akan samasekali berbicara sehingga selesai daripadanya. Beliau menyebutkan hadith ini di dalam Kitab Tafsir pada firman Allah Ta’ala: ”Wanita-wanita kamu adalah ladang bagi kamu”. –Al Baqarah, 223)

b)       Bermain-main dengan tangan atau lainnya. (Seperti mematah-matahkan jari, memusing-musingkan dua ibu jari atu sama lain, bermain-main dengan hujung baju atau tikar, menggaris-garis di atas karpet dan seumpamanya-pent). Sesungguhya dia sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah dia berkelakuan endah tidak endah di hadapanNya.
c)      Antaranya lagi: Melihat-lihat kepada perkara-perkara yang melalaikan dan menghilangkan tumpuannya.
d)     Dan yang lebih teruk daripada semua ini adalah: Memandang kepada apa yang tidak dibolehkan memandangnya seperti budak lelaki yang amrad dan lainnya. Ini kerana memandang kepada budak lelaki yang amrad lagi tampan (jambu-pent) tanpa keperluan itu adalah haram, tidak kira samaada disertai syahwat atau tanpa syahwat.

Juga tidak kira samaada dirinya aman daripada fitnah atau tidak aman daripadanya.
(maksud aman daripada fitnah adalah seperti seorang yang menyangka dirinya tidak akan tergerak nafsu dalam memandang amrad disebabkan ilmunya yang hebat, atau kedudukannya sebagai seorang syeikh atau seumpamanya -pent.)
           
Ini adalah mazhab (pendapat) yang sahih lagi terpilih di sisi para ulama. (Iaitu haramnya memandang amrad tanpa keperluan). Sesungguhnya Imam Asy Syafie dan para ulama yang tidak terhitung bilangannya telah menyatakan keharamannya.

Dalilnya adalah firman Alah Ta’ala:
”Katakanlah kepada kaum mukminin untuk mereka menahan pandangan mereka (daripada yang diharamkan)”.
(An Nuur, 30).

Disebabkan bahawa amrad itu adalah seperti perempuan juga, bahkan kadangkala sebahagian mereka atau kebanyakan mereka lebih cantik daripada kebanyakan wanita.

Kerana itu ia lebih menguatkan lagi sebab-sebab untuk berlakunya perkara yang tidak elok, juga kerana jalan untuk berlakunya kejahatan disebabkan amrad itu lebih mudah dan terbuka berbanding dengan para wanita. Maka oleh sebab itu, pengharamannya lebih utama.

Kata-kata para salaf agar menjauhi mereka (para amrad itu) sangat banyak untuk dihitung. Dan sesunguhnya mereka menamakan amrad itu sebagai (Antaan) yakni ”sesuatu yang berbau busuk”  disebabkan mereka itu membawa keburukan dari segi syarak.

*maksud membawa keburukan di sini bukanlah salah amrad itu yang dikurniakan wajah yang cantik, tetapi disebabkan fitnah/ujian yang disebabkan oleh wajah itu bagi yang memandangnya –pent.

Adapun memandangnya ketika berjual-beli, menerima dan memberi barang, mengubat dan mengajar serta yang seumpamanya daripada tempat-tempat yang berlaku keperluan padanya, maka ia adalah dibolehkan kerana keperluan.

Tetapi ia (hukum ini) mengehadkan orang yang memandang itu sekadar keperluan sahaja. Tidak boleh berlama-lama memandang tanpa keperluan. Demikian juga seorang guru, hanyasanya dibenarkan ia memandang sekadar perlu sahaja.

Dan diharamkan kepada semua mereka yang tersebut di atas memandang dengan syahwat. Tidak sahaja dikhususkan kepada golongan amrad ini, bahkan diharamkan kepada sekelian mukallaf memandang dengan syahwat kepada sesiapa jua samaada yang dipandang itu lelaki atau perempuan, mahramkah perempuan itu atau bukan.

Melainkan ia memandang kepada isterinya atau hamba perempuannya yang dibolehkan ia bersedap-sedap dengannya.

Sampaikan ada dikalangan Ashaab kami (Ulama Syafi’iyyah) berkata: Haram seseorang itu memandang dengan syahwat kepada mahramnya seperti anak perempuannya dan ibunya. Wallahu a’lam.



Wajarlah kepada sekalian yang hadir di dalam majlis bacaan Al Quran, apabila mereka melihat sesuatu daripada kemungkaran-kemungkaran ini atau kemungkaran lainnya untuk mereka menegahnya mengikut kadar kemampuan.

Iaitu dengan tangannya jika ia berkuasa, dengan lisannya jika ia tidak mampu dengan tangan. Jika tidak, maka hendaklah ia mengingkari dengan hatinya. Wallahu a’lam.


***
Bersambung...

ADAB HAMALATIL QURAN - SIRI 21

Sambungan..


Fasal: Keperluan Untuk Membaca Dengan Bacaan Yang Tartil

Sesungguhnya telah bersepakat para ulama radhiyallahu ta’ala ’anhum tentang sunatnya tartil di dalam bacaan.

Firman Allah Ta’ala:
”Ataupun lebih banyak daripada itu. Dan bacalah Al Quran dengan penuh tartil. (Al Muzzammil, 4)

Telah tsabit daripada Ummu Salamah r.anha tatkala beliau menyifatkan bacaan Nabi SAWsebagai bacaan yang jelas satu persatu huruf demi huruf. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tirmizi dan An Nasaie. Kata At Tirmizi, hadith hasan sohih)

Dan daripada Mu’awiyyah bin Qurrah, daripada Abdullah bin Mughaffal r.anhu katanya:
”Aku telah melihat Rasulullah SAW pada hari pembukaan Kota Makkah di atas untanya sedang Baginda membaca Surah Al Fath sambil mengalun-alunkan suaranya.”
(Al Bukhari dan Muslim)

Mujahid telah ditanya tentang dua orang lelaki yang salah seorangnya membaca Al Baqarah dan Aali Imran, manakala seorang lagi hanya membaca surah Al Baqarah di dalam sembahyang mereka. Sedangkan lama masa berdiri mereka, rukuk dan sujud mereka berdua adalah sama.

Maka jawab Mujahid: ”Lelaki yang membaca Al Baqarah sahaja itu lebih utama.”

*Kerana lelaki yang membaca Al Baqarah itu membacanya secara tartil berbanding yang membaca Al Baqarah dan Aali Imran yang membaca dengan cepat-cepat. –pent.



Daripada Ibni Abbas r.anhuma katanya:
”Jika aku membaca satu surah dengan tartil, maka itu benar-benar lebih aku sukai berbanding aku membaca seluruh Al Quran.”

Sesungguhnya telah ada larangan pada terlampau cepat dalam membaca Al Quran. Perbuatan itu dinamakan (Al Hazza).

Telah tsabit daripada Abdillah ibn Mas’ud bahawa seorang lelaki telah berkata kepada beliau: ”Sesungguhnya saya telah membaca Surah-surah Mufasshal hanya di dalam satu rakaat sahaja.”

Maka kata Abdullah Ibnu Mas’ud:
”Engkau mendeklamasikannya seperti mendeklamasi syair (puisi) saja. Sesungguhnya ada beberapa golongan yang mereka itu membaca Al Quran tetapi Al Quran itu tidak pun melepasi kerongkongan mereka. Tetapai jika ia masuk ke dalam hati lalu teguh di situ, nescaya itu lebih bermanfaat!.”
(Al Bukhari dan Muslim. Ini adalah lafaz Muslim dalam salah satu riwayatnya)

*Al Mufasshal adalah surah-surah pendek yang bermula daripada Surah Qaaf sehingga akhir Al Quran -pent.


Para ulama berujar: Tartil itu disunatkan bagi mentadabbur (merenung-renung isi kandungan ayat) serta lainnya.

Sambung mereka lagi: Kerana inilah disunatkan juga membaca dengan tartil bagi orang ’Ajami (yang bukan Arab) yang tidak memahami makna Al Quran itu. Ini disebabkan tartil itu membawa lebih dekat kepada rasa penghormatan dan mengagungkan Al Quran serta lebih berbekas kepada hati.

***

Fasal: Disunatkan apabila melewati ayat rahmat untuk seseorang itu memohon rahmat dan kurnia Allah, dan apabila melewati ayat azab untuk ia memohon perlindunganNya daripada keburukan dan azab.

Atau boleh juga ia berdoa:  ”Ya Allah! Aku memohon kepadamu keafiatan.”

Atau: ”Aku memohon kepadamu keafiatan daripada segala yang tidak disukai”.
Atau apa saja yang seumpamanya.

Apabila ia melalui ayat yang mensucikan Allah, maka ia turut mensucikanNya dengan berkata: Subhanahu wa Ta’ala. Atau : Tabaaraka wa Ta’ala. Atau: Jallat ’Azhomatu Rabbina”.

Telah sahih daripada Huzaifah bin Al Yaman r.anhu, katanya:

Aku telah bersolat bersama Nabi SAW pada satu malam. Baginda lalu memulakan dengan membaca Al Baqarah. Maka aku berkata (di dalam hati): Baginda akan rukuk setelah 100 ayat.
Namun kemudiannya Baginda terus membaca lagi. Maka aku berkata: Baginda akan menghabiskan Al Baqarah di dalam satu rakaat. Baginda meneruskan bacaannya. Lalu aku berkata: Baginda akan ruku apabila selesai (Al Baqarah).

Kemudian Baginda memulakan An Nisaa’ dan membacanya sehingga tamat. Setelah itu baginda membaca pula Aali Imran.

Baginda membaca dengan tenang dan teratur. Apabila saja Baginda melalui satu ayat yang mensucikan Allah, Baginda akan bertasbih. Apabila melalui ayat yang berisi doa, Baginda akan berdoa. Apabila melalui ayat yang berisi sesuatu yang patut diminta perlindungan daripadanya, maka Baginda akan memohon perlindungan.
(Riwayat Muslim di dalam Sahihnya)

Surah An Nisaa pada ketika itu terdahulu susunannya daripada Aali Imran.

Berkata Ashaab kami (para ulama Syafi’iyyah) rahimahumullahu Ta’ala:

”Disunatkan permohonan, minta perlindungan dan bertasbih ini bagi setiap orang yang membaca, samaada ia di dalam solat atau luar solat”.

Kata mereka lagi:
”Dan disunatkan hal itu di dalam solat bagi imam, makum dan orang yang solat bersendirian, kerana ia adalah doa. Maka ketika itu ia adalah sama seperti bacaan Amin selepas surah Al Fatihah.”

Apa yang kami sebutkan tentang sunatnya memohon doa dan perlindungan ini adalah merupakan mazhab Asy Syafie r.anhu dan majoriti ulama, rahimahumullah.

Kata Abu Hanifah rahimahullah:
”Tidak disunatkan hal itu, bahkan dimakruhkan di dalam solat.”

Pendapat yang benar adalah pendapat majoriti seperti yang telah kami nyatakan.

***

Bersambung...