Background photo di atas saya ambil daripada facebook seorang teman. Ia adalah hakmilik Hairul Anuar Photography & Design (Klik).

Monday, February 7, 2011

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SOLAT MALAM

PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SOLAT MALAM.

Adalah Nabi SAW memanjangkan rakaat-rakaat solat malam berbanding solat siang hari. Adakalanya Baginda membaca surah Al Baqarah, Ali Imran dan An Nisaa di dalam satu rakaat.

Adapun bilangan rakaat solat malam Baginda adalah tidak pernah melebihi 11 (sebelas) rakaat. Berkait dengan itu, para ulama berbeza pandangan tentang mana yang lebih afdhal di antara berdiri dan sujud.

Berkata segolongan ulama: Berdiri itu lebih utama.

1. Kerana Nabi SAW sangat memanjangkan solat malamnya (dengan membaca bacaan yang panjang). Jikalau sujud lebih afdhal, pasti Baginda akan melamakannya (sujud).

2. Juga bahawa dzikir yang disyariatkan semasa berdiri (iaitulah bacaan Al Quran) adalah seutama-utama dzikir, dengan itu jadilah rukunnya (berdiri) juga seafdhal-afdhal rukun.

3. Demikian juga, telah ada di dalam hadith sahih : “Seutama-utama solat adalah yang panjang Qunutnya”. Yang dimaksudkan dengan kata Qunut di sini adalah berdiri.

Berkata sekelompok ulama yang lain pula: Sujud itu lebih utama.

1. Kerana terdapat di dalam hadith sahih : “sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika ia sedang bersujud”.

2. Dan sabdanya di dalam hadith lain: “Tidaklah seorang hamba bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan mengangkat baginya satu darjat dan menghapuskan daripadanya satu kesalahan”.

3. Berkata Rabi’ah Al Aslami r.a : “Ya Rasullallah! Aku sangat berharap agar dapat menemanimu di dalam syurga..”. Maka jawab Nabi SAW : “Bantulah aku untuk dirimu (mendapatkan hal tersebut) dengan memperbanyakkan sujud (yakni memperbanyakkan solat sunat)”.

4. Juga, surah pertama diturunkan di dalam Al Quran iaitulah ( Iqrak ) diakhiri dengan sujud.

5. Demikian juga, sujud adalah petanda kepada ketundukan dan pengabdian kepada Allah dengan sebenarnya berbanding rukun-rukun yang lain. Dan sujud adalah rahsia pengabdian kepada Allah, kerana pengabdian itu adalah ketundukan dan kehinaan dan itu di dalam sujud adalah lebih tampak dan ternyata.

Berkata segolongan ulama yang lain pula: Lamanya berdiri di dalam solat malam itu lebih utama; dan banyaknya rukuk dan sujud pada siang hari itu lebih utama.

1. Kerana dikhususkan ibadah malam itu dengan penyebutan berdiri ( Qiyam ). Seperti firman Allah : “Dan bangunlah berdiri pada waktu malam..” [Surah Al Muzzammil]

2. Dan sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berdiri (beribadat malam) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampunkan dosanya yang telah lalu”.

Sebahagian ulama pula berpandangan : Sama sahaja kelebihan kedua-dua rukun ini. Kelebihan berdiri adalah dengan bacaan Al Quran di dalamnya, sementara kelebihan sujud pula adalah dengan posisinya yang penuh ketundukan dan kekhusyukan itu. Maka dzikir (bacaan) ketika berdiri lebih afdhal dari dzikir (bacaan) sujud. Dan posisi sujud adalah lebih afdhal daripada posisi berdiri.

Tamat bab.

Akan menyusul fasal petunjuk Nabi SAW ketika bangun dari sujud, insya Allah.

-alfindani, MTK, 4 Rabi’ul Awwal 1432 / 7 Feb 2010. Isnin 11.10 mlm-

Sunday, February 6, 2011

SIFRUSSA'ADAH - PETUNJUK NABI DI DALAM SUJUD DAN DZIKIR YANG DIBACAKAN DI DALAMNYA

PETUNJUK NABI SAW DI DALAM SUJUD DAN DZIKIR YANG DIBACAKAN PADANYA

Adalah Baginda SAW apabila ingin turun sujud tidak mengangkat kedua belah tangannya. Apa yang diriwayatkan di dalam sesetengah hadis iaitu : “Baginda SAW akan mengangkat kedua tangannya setiap kali turun dan bangun” maka terdapat kekeliruan. Riwayat yang benar/ sohih adalah: “Baginda akan bertakbir setiap kali turun dan bangun”.

Baginda akan meletakkan kedua lututnya sebelum kedua belah tangannya, setelah itu barulah kedua tangannya, kemudian dahinya dan hidungnya, mengikut tertib anggota badan.

Adapun hadis Abi Hurairah ra daripada Nabi SAW bahawa sabdanya: “Apabila sujud salah seorang kamu, maka janganlah ia turun seperti turunnya unta (yang hendak duduk). Maka hendaklah ia mendahulukan kedua tangannya sebelum kedua lututnya” maka berlaku kesamaran / kekeliruan sebahagian periwayat; kerana awal hadis tersebut menyalahi bahagian akhirnya. Kerana sesungguhnya unta, apabila ia hendak duduk akan meletakkan kedua tangannya dahulu. Orang yang mengatakan lutut unta terletak pada kedua tangannya adalah salah, keliru dan menyalahi perkataan para ulama’ pakar bahasa (Arab).

Yang benarnya adalah: Baginda melarang daripada menyerupai haiwan (di dalam solat). Sabdanya : Janganlah turun seperti menderumnya unta; janganlah berpaling seperti berpalingnya musang; jangan duduk seperti duduknya binatang buas* ; janganlah duduk seperti duduknya anjing; janganlah mematuk seperti mematuknya gagak; janganlah mengangkat tangan-tangan kamu ketika memberi salam seperti ekor kuda liar; dan jauhilah semua itu.**

*lafaz Arabnya adalah: “wala taftarisyu iftiraasyi as sab'ie “ yang mungkin juga maknanya “janganlah menghamparkan (lengan) {ketika sujud} seperti binatang buas”.

**ini bukanlah lafaz sebuah hadith, tetapi makna daripada pelbagai hadith yang digabungkan oleh pengarang.

Terdapat di dalam riwayat Abu Hurairah bahwa Baginda SAW bersabda : “Apabila sujud seseorang kamu, maka mulakanlah dengan kedua lututnya sebelum kedua tangannya, dan jangan ia turun seperti menderumnya unta.”

Di dalam Sohih Ibn Khuzaimah: “Adalah Rasulullah SAW apabila ia bersujud, Baginda memulakan dengan kedua lututnya dahulu.”

Di dalam riwayat Saad: “ Kami dahulunya meletakkan kedua tangan sebelum kedua lutut, lalu kami diperintahkan meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan.” Dan kebanyakan ulama’ berpandangan dengan ini melainkan Imam Malik dan Al Auza’ie dan segolongan Ahlil Hadith.

Dan Nabi SAW tidak pernah sujud di atas lilitan serbannya (maksudnya sujud dalam keadaan dahi terlapik dengan lilitan serban), bahkan Baginda meletakkan dahinya ke atas tanah atau ke atas tanah berlumpur [peristiwa malam Laitul Qadar ketika Nabi solat dan hujan turun membasahi tanah lantai masjid Nabi SAW dan Nabi bersujud dalam keadaan tanah yang basah tersebut], atau (sujud) di atas sejadah daripada sabut pelepah kurma, atau kulit yang disamak.

Dan adalah Nabi SAW apabila sujud akan meletakkan dahi dan hidungnya ke atas tanah, merenggangkan kedua tangannya daripada kedua rusuknya seta meletakkan kedua tangannya setentang dengan kedua bahunya.

Baginda bersabda: “Apabila engkau sujud, maka letakkan kedua telapak tanganmu dan angkatlah kedua sikumu.” Baginda merenggangkan (membuka) jari jemarinya ketika rukuk dan merapatkannya ketika sujud.

Baginda membaca di dalam sujudnya: “Subhana Robbiyal A’laa” (Maha suci Tuhanku Yang Maha Tinggi) dan menyuruh (kita ) untuk membacanya. Setelah itu Baginda membaca pula: “Maha suci Engkau wahai Tuhan kami dan segala kepujianMu. Wahai Tuhan, ampunilah aku..”.

(Di antara doa Baginda yang lain ketika sujud adalah) : “Maha Suci dan Quddus, Tuhan para malaikat dan Ar ruuh, tiada Tuhan selain Engkau.”

“Ya Allah! Aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan dengan keampunanMu daripada balasan azabMu, aku berlindung denganMu daripadaMu, tidak berdaya aku memujiMu, Engkau adalah sepertimana Engkau memuji DiriMu sendiri”.

“Ya Allah! KepadaMu lah aku bersujud, kepadaMu jualah aku beriman, kepadaMu lah aku berserah diri. Telah sujud wajahku kepada Yang Menciptakannya dan (memperelokkan) paras dan bentuknya, serta menjadikan pendengaran dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik pencipta”.

“Ya Allah! Ampunilah dosaku seluruhnya, kecil dan besarnya; awal dan akhirnya; yang tampak dan yang tersembunyinya (dosa-dosa)”.

“Ya Allah! Ampunilah kesalahan-kesalahanku; kejahilanku, keterlanjuranku dalam urusanku, dan segala apa yang Engkau lebih tahu tentangnya (dosa-dosa itu) daripadaku. Ya Allah ampunilah kesungguhanku, kelemahanku, kesalahanku, kesengajaanku dan segalanya padaku. Ya Allah! Ampunilah aku apa yang telah aku lakukan, apa yang belum aku lakukan, apa yang aku sembunyikan dan apa yang aku zahirkan; Engkau Tuhanku, tiada Tuhan selainMu”.

Ada ketikanya Baginda membaca: “Ya Allah! Jadikanlah bagiku di dalam hatiku nuur. Pada pendengaranku nuur, pada penglihatanku nuur, di kananku nuur, di kiriku nuur, di hadapanku nuur, di belakangku nuur, di atasku nuur, di bawahku nuur. Dan jadikanlah untukku nuur”.

Baginda sangatlah menekankan untuk bersungguh-sungguh di dalam doa ketika sujud dan bersabda: “Pastilah akan dikabulkan doa seorang yang bersujud”.*

*Pengarang menyebut hadith dengan maknanya. Lafaznya adalah: “Adapun sujud, maka bersungguhlah berdoa, maka pastilah diperkenankan doamu”.

DOA DI DALAM SUJUD

Doa itu DUA JENIS:

1.Doa memuji dan mengagungkan, serta

2. Doa permohonan dan permintaan.

Dan doa yang dibaca oleh Nabi SAW merangkumi keduanya (jenis doa tersebut).

Pengabulan doa juga ada DUA JENIS:

Satunya: Dikabulkan doa yang meminta dengan diberikan apa yang dimintanya dan ditunaikan hajatnya.

Keduanya: Digantikan permohonannya itu dengan pahala.

Dengan dua hal itulah ditafsirkan firman Allah SWT: “Aku menjawab/mengkabulkan doa orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKU..” [Al Baqarah; ayat 186]. Yang benar adalah ianya (pengabulan doa tersebut) merangkumi kedua-dua jenis yang tersebut di atas. WaLLahu a’lam.

Bersambung.

Akan menyusul fasal petunjuk Baginda SAW di dalam solat malam, insyaAllah.


-alfindani-

MTK,11.50 mlm, 6 Feb 2011, Ahad.

Thursday, February 3, 2011

RISALAH MENGENAI SOLAT KETIKA KHUTBAH

Bersempena datangnya hari Jumaat, inilah risalah ringkas yang dikarang setelah terlalu lama aku melihat orang ramai melakukan satu amalan yang samasekali tidak bertepatan dengan apa yang diberitahukan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka.

Lantas aku mengambil keputusan mengarang risalah ini bagi memperjelaskan apa yang samar dan merungkai simpulan kekeliruan berdasarkan rujukan yang tidak terlalu sarat namun memadai untuk bersandar padanya.

Sesiapa yang berkehendak untuk menyebarkannya di masjid-masjid bolehlah berbuat demikian dan jangan risau, aku tidak akan menuntut royalti dari anda.

Inilah artikel ringkas yang aku namakan dia sebagai:


RISALAH BERHIKMAH PADA MENYATAKAN HUKUM BERSOLAT KETIKA KHUTBAH

Sabda Nabi SAW: “Apabila salah seorang kamu datang ke masjid ketika khatib sedang berkhutbah, maka hendaklah ia bersolat dua rakaat dengan meringkaskannya” [ Muslim, Abu Dawud]

Berkata Imam An Nawawi mengulas hadith di atas: “Ini adalah nas yang tidak dapat ditakwilkan lagi ( jelas maknanya ). Dan aku tidak merasa bahawa ada seorang alim yang sampai kepadanya lafaz ( hadith) ini serta menganggapnya sahih akan mengatakan sebaliknya” [ Fathul Baari, jilid 3 m/s 76 ]

Melalui hadith di atas dan hadith-hadith yang lain serta kata-kata Imam Nawawi tersebut, maka dapatlah difahami bahawa sesiapa yang BARU MASUK KE MASJID diperintahkan untuk bersolat sunat 2 rakaat yang ringkas samaada Tahiyyatul masjid ataupun sunat Qabliah Jumaat ( jika mengikut pendapat ulama mazhab Asy Syafi’e), sekalipun ketika khatib sedang berkhutbah. Hukumnya adalah SUNAT.

Sekarang, mari kita lihat apakah pula hukum bagi orang yang SUDAH HADIR di dalam masjid mengerjakan solat ketika khatib sudah di atas mimbar. Berikut adalah sejumlah keterangan yang dinukil daripada kitab-kitab muktabar mazhab Asy Syafi’e.

1. “ Dan MAKRUH TAHRIM walaupun bagi orang yang tidak wajib baginya Jumaat, setelah duduknya khatib di atas mimbar, sekalipun ia tidak mendengar khutbah, melakukan solat fardhu walaupun solat yang ia tertinggal lalu diingatnya ketika itu yang mana pada hukum asalnya solat tersebut hendaklah ditunaikan segera apabila teringat, atau solat sunat; walaupun sewaktu doa kepada pemerintah (di dalam khutbah). Pendapat yang awjah (terpilih) ialah solat itu (jika dikerjakannya) TIDAK SAH, seumpama (hukum) solat di dalam waktu yang dimakruhkan, bahkan lebih utama lagi (dihukumkan makruhnya). Dan wajib bagi orang yang sedang bersolat untuk meringkaskan solatnya sekadar melaksanakan apa yang perlu (rukun solat) ketika khatib telah duduk di atas mimbar.” [ Fathul Mu’in, fasal Solat Jumaat, m/s 68 ]

2. “Dan HARAM atas orang yang hadir di dalam masjid mengerjakan sembahyang kemudian daripada khatib sudah duduk di atas mimbar dan jika tiada ia mendengar akan khutbah sekalipun.” [ Sabilal Muhtadiin, Jilid 2, m/s 52 ]

3. “Selain daripada tahiyyatul masjid (atau Qabliah Jumaat mengikut ulama mazhab Asy Syafi’e) adalah DIHARAMKAN solat dengan sebab naiknya khatib ke mimbar, sekalipun ia belum berkhutbah..” [ Al Fiqhul Islami Wa Adillatuh, Jilid 2 m/s 1314 ]

4. “maka HARAM orang yang sudah hadir di dalam masjid, lagi TIADA SAH ia sembahyang sunat atau fardhu tatkala khatib membaca, samaada sudah diperbuat sunat itu dahulu daripada khutbah atau belum lagi diperbuatnya.” [ Matla’al Badrain, akhir Bab Solat Jumaat, m/s 47 ]

Pecahan masalah

Sekarang mari kita lihat situasi yang seringkali berlaku di masjid-masjid ketika hari Jumaat di mana seseorang masuk ke masjid ketika AZAN KEDUA berkumandang dan khatib sudahpun berada di atas mimbar. Lalu kita dapati orang tersebut akan berdiri menunggu sehingga habisnya azan dan setelah itu apabila khatib berdiri memulakan khutbahnya, ia pula bertakbiratul ihram untuk bersolat!

Jika kita merujuk kembali keterangan-keterangan yang telah dikemukakan sebelum ini, nyatalah bahawa solat yang dilakukannya adalah HARAM atau sekurang-kurangnya MAKRUH TAHRIM dan TIDAK SAH.

Seandainya ada yang beralasan bahawa orang tersebut dikira baru masuk ke masjid kerana ia belum duduk, maka alasan ini adalah dangkal dan tidak dapat dijadikan hujjah sama sekali. Ini kerana masa yang diambilnya untuk menunggu habisnya azan adalah mencukupi untuknya menyelesaikan dua rakaat yang ringkas. Demikian juga dari segi adatnya, orang tersebut dikira sebagai orang yang TELAH HADIR dan bukannya baru hadir berdasarkan lamanya berdiri di dalam masjid itu.

Jika ada yang mengatakan, dia perlu menjawab azan! Maka kita katakan, menjawab azan itu hukumnya sunat dengan kesepakatan ulama, sedangkan diam mendengar khutbah itu wajib mengikut pendapat sebahagian ulama. Dan tidaklah wajar untuk melakukan sesuatu yang sunat yang mengakibatkannya jatuh kepada yang haram atau sekurang-kurangnya makruh tahrim.

Mungkin asal kepada kekeliruan ini adalah apabila ada si fulan yang melihat si A masuk ke masjid ketika AZAN PERTAMA berkumandang, dan si A itu berdiri menjawab azan kemudian lalu bersolat. Lantas si fulan ini yang beramal secara ikut-ikutan tanpa ilmu menyangka tiada bezanya berdiri ketika azan pertama dan azan kedua lalu meniru perlakuan si A pada azan yang kedua. Kemudian perkara tersebut ditiru pula oleh orang lainnya sehingga meratalah dan teradatlah kekeliruan tersebut. Sehingga kita menyaksikan orang yang melakukan hal tersebut dianggap benar, sedangkan orang yang melakukan yang sebenarnya pula dipandang tidak memahami agama. Allahul musta’aan.

Penyelesaiannya

Secara ringkasnya, apa yang patut dilakukan oleh orang yang masuk ke masjid KETIKA AZAN KEDUA berkumandang adalah TERUS MENUNAIKAN SOLAT 2 RAKAAT YANG RINGKAS TANPA PERLU MENUNGGU SEHINGGA HABISNYA AZAN berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dijelaskan di atas.

Semoga risalah yang ringkas ini bermanfaat untuk penulisnya serta sesiapa yang membaca dan menyebarkannya dan menjadi bekalan yang berguna di hari yang tiada berguna anak pinak dan harta benda, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Ameen.

Selesai pada 28 Safar 1432 / 2 Februari 2011, Rabu, 6.50 petang

alfindani,. www.hadyunnabiyy.blogspot.com.

Wednesday, February 2, 2011

MAKLUMAN

Salaam.

Jika anda membaca entry terkini sambungan terjemahan Zaadul Ma'ad berkenaan jenazah tersebut, akan didapati begitu banyak sekali tulisan berdakwat biru (penjelasan saya). Ini kerana saya terpaksa melakukan demikian disebabkan saya merasa jika dibiarkan tanpa penjelasan mungkin akan menjejaskan kefahaman dan mood membaca bagi mereka yang belum pernah mengenal istilah-istilah tertentu. Walaupun demikian, terlalu banyak penjelasan di celah-celah ayat juga sebenarnya mengganggu mood membaca.

Seperkara lagi, di dalam Zaadil Ma'aad ini ada perbahasan-perbahasan yang panjang lebar sehingga kepada pelbagai cabang ilmu yang lain pula seperti perbahasan tentang kecacatan rawi hadith, perbezaan lafaz hadith dan macam-macam lagi. Semua itu tidak dinafikan lagi adalah ilmu-ilmu yang bermanfaat. Namun bagi kebanyakan orang, ia seolah-olah sudah hilang fokus dan terlalu berjela-jela.

Disebabkan dua perkara di atas, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan saja terjemahan perbahasan-perbahasan tersebut, dan memfokuskan untuk menterjemah hanya petunjuk Nabi yang dipaparkan di dalamnya sehingga jadilah ianya seperti Mukhtasar atau ringkasan bagi kitab Zaadil Ma'aad itu. Barangsiapa yang berhasrat menambahkan ilmu, maka bolehlah ia merujuk kepada kitab asalnya yang berbahasa Arab.

Harap maklum.

Tuesday, February 1, 2011

ZAADUL MA'AAD - JENAZAH [ PART 3 ]

Sambungan...


Di antara petunjuk Baginda SAW adalah menyegerakan penyelenggaraan jenazah untuk (menghantarnya ) bertemu Allah, dengan menyucikannya, membersihkannya (memandikan), memberi wangi-wangian kepadanya serta mengafankannya di dalam kain putih, seterusnya dibawa kepada Nabi SAW untuk disembahyangkan.

Sedangkan sebelum itu Rasulullah (biasanya) akan dipanggil apabila seseorang hampir menemui ajal, lalu Nabi SAW akan berada di sampingnya sehinggalah ia wafat, kemudian Baginda akan hadir pula menyelenggarakan pengurusan jenazah tersebut, kemudian bersolat untuknya, kemudian mengiringinya ke perkuburan. Melihatkan hal tersebut kelihatannya memberatkan RasuluLLah, maka para sahabat r.anhum, apabila seseorang telah meninggal dunia, barulah mereka memanggil Rasulullah SAW mereka, lalu Baginda akan menghadiri pengurusan jenazah itu, memandikan dan mengafankannya. Kemudian para sahabat memandang hal itu juga menyulitkan Rasulullah, lalu apabila ada yang meninggal, mereka sendiri yang akan menguruskan jenazah tersebut, dan membawanya kepada Nabi SAW di atas usungannya (keranda), lalu disembahyangkannya oleh Rasulullah di luar masjid.

Tidaklah daripada petunjuk Baginda SAW melazimkan solat jenazah di dalam masjid. Bahkan yang sebenarnya adalah Baginda mensolatinya di luar masjid. Boleh jadi kadangkala Baginda mensolati jenazah di dalam masjid sepertimana Baginda pernah mensolati jenazah Suhail bin Baidho dan saudaranya. Namun bukanlah ianya suatu sunnah (yang selalu diaplikasikan) dan kebiasaan Baginda.

[Kenyataan ini janganlah pula disalahtafsirkan bahawa maksudnya tidak boleh samasekali mensolati jenazah di dalam masjid, kerana hukumnya adalah harus sepertimana yang akan dijelaskan oleh pengarang nanti ]

Sesungguhnya Abu Dawud telah meriwayatkan di dalam Sunannya daripada hadith Soleh Maula (bekas hamba yang dimerdekakan) At-Tau amah daripada Abi Hurairah, katanya; sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang mensolati jenazah di dalam masjid, maka tiada sesuatu baginya” ( tiada ganjaran )*

*[ kalimah Arabnya adalah: fala syai’a lahu ]

Lafaz hadis itu diperselisihkan (oleh para ulama hadith). Berkata Al Khatib (Al Baghdadi) pada riwayatnya yang beliau meriwayatkan kitab Sunan: Pada asalnya (lafaz hadith itu) adalah “Fala Syai’a ‘alaih” (tidak ada celaan keatasnya / tidak apa-apa). Yang lainnya meriwayatkan dengan lafaz “fala syai’a lahu” (seperti di atas tadi). Ibnu Majah pula telah meriwayatkan di dalam Sunannya dengan lafaz “falaisa lahu syai’un” (membawa makna: tidak mendapat apa-apa ganjaran)* Tetapi Imam Ahmad dan mereka yang lain telah mendhoifkan hadith ini. Kata Imam Ahmad: (hadith tersebut) adalah termasuk yang diriwayatkan secara bersendirian oleh Soleh maula At Tau amah.

* Dikatakan: maksudnya di sini adalah kurangnya ganjaran pahala, kerana kebiasaannya orang yang solat jenazah di masjid akan terus pulang dan tidak mengambil peluang menghantar jenazah sehingga ke perkuburan.. [ sila lihat 'Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abi Daud, kitab Jenazah ]

Berkata Imam Al Baihaqi: ia dikategorikan di dalam afrad [hadith yang diriwayatkan secara bersendirian](oleh) Soleh, dan hadith ‘Aisyah lebih sohih dari hadith tersebut, sedang Soleh sendiri diperselisihkan keadilannya [ adil di sini bermaksud kelayakan seseorang periwayat hadith yang membolehkan hadithnya diterima/ tidak fasiq ]. Adalah Imam Malik menjarhnya [menyatakan kecacatan sesorang periwayat sehingga menjadikan hadithnya riwayatnya lemah/tidak diterima ]. Kemudian beliau ( Al Baihaqi) menyebutkan bahawa Abu Bakar dan Umar r.anhuma juga disolatkan jenazah mereka berdua di dalam masjid.

Saya (Al Khotib) katakan: Soleh adalah tsiqoh [dipercayai: kelayakan seorang periwayat hadith yang melayakkan hadithnya diterima ] sepertimana kata ‘Abbas Ad Duuri daripada Ibn Ma’in (Yahya Ibn Ma’in ): Ia (Soleh) adalah tsiqoh. Berkata Ibn Abi Maryam dan Yahya [moga-moga beliau adalah Yahya Al Qattan ]: (Soleh adalah) tsiqoh hujjah [ penegasan akan kebolehpercayaan Soleh sebagai seorang Rowi (periwayat hadith) ]. Lalu aku (Abbas) berkata kepadanya (Ibn Ma’in): Tetapi (Imam) Malik meninggalkannya (tidak mengambil riwayatnya)? Maka jawabnya: Sesungguhnya Malik bertemunya ketika ia (Soleh) telah khorif* [ bercampur baur hafalannya ]. Demikian juga (Sufyan) Ats Tsauri berjumpa dan mendengar daripadanya (Soleh) ketika ia telah khorif. Tetapi Ibn Abi Dzi’b mendengar periwayatannya (Soleh) ketika ia belum khorif.

Berkata Ali Ibn Al Madiini: Ia (Soleh) tsiqoh, melainkan ketika ia tua hafalannya bercampur baur, lalu Ats Tsauri menemui dan mendengar (hadith) darinya ketika itu. Adapun Ibn Abi Dzi’b, beliau mendengar (periwayatan hadith)nya sebelum itu (yakni sebelum ia khorif).

Berkata Ibn Hibban: (Soleh) berubah pada tahun seratus dua puluh lima ( 125 Hijrah ), lalu beliau meriwayatkan hadith-hadith daripada para perawi yang tsiqoh, namun seolah-olah hadith tersebut maudhu’ (hadith palsu/yang direka-reka) [akibat hafalannya yang tidak lagi mantap], lalu bercampur baur hadithnya yang diriwayatkan awal (sebelum khorif) dan yang kemudian (setelah khorif) sehingga tidak dapat dibezakan, maka lebih layak untuk ditinggalkan (hadith-hadith riwayatnya).

Tamat kata-kata beliau ( Al Khotib ) [ ini adalah kata-kata Ibn Qayyim ]

* khorif juga diertikan dengan nyanyuk, namun saya merasakan ianya tidak sesuai kerana konotasinya (bawaan maknanya) yang agak jelek di dalam Bahasa Melayu.

[ini adalah kata-kata Ibn Qayyim] Dan hadith ini adalah: Hasan. Kerana ia adalah daripada riwayat Ibn Abi Dzi’b daripadanya (Soleh). Dan sima’nya [ pengambilan riwayat dengan cara mendengar daripada Syaikh ] adalah sebelum bercampur baurnya hafalan beliau (Soleh). Bercampur baurnya hafalannya tidaklah mewajibkan kita menolak hadith-hadith yang diriwayatkannya sebelum terjadinya hal itu.*

*[ ini adalah satu perkara yang penting untuk diambil perhatian kerana terdapat sesetengah kalangan di zaman ini yang terburu-buru menolak terus hadith hafalan contohnya Ibn Lahi’ah tanpa meneliti adakah riwayat tersebut sebelum atau selepas hafalannya bercampur ]

Bersambung..

ZAADUL MA'AAD - SAMBUNGAN ( PERIHAL JENAZAH)

Sambungan...


Tatkala mana hal tersebut [hati bersedih sedang masih tetap merasa redho] dan (keupayaan) untuk menghimpunkan kedua-dua keadaan tersebut sukar bagi sesetengah ‘arifin (mereka yang tinggi ma’rifat kepada Allah) pada hari kematian anaknya lantas ia bahkan ketawa (dengan kematian anaknya itu).

Lalu ditanyakan kepadanya: “Apakah (patut) engkau ketawa pada suasana seperti ini?” Jawabnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan suatu keputusan (taqdir), maka aku suka untuk (menunjukkan) rasa redhoku dengan taqdirnya itu”.

(Keadaan yang berlaku kepada orang ‘arif ini) mendatangkan kemusykilan kepada sesetengah ahlil ‘ilmi (orang alim). Kata mereka: “Bagaimana boleh jadi Rasulullah SAW menangis pada hari kematian anaknya Ibrahim sedangkan Baginda adalah seredho-redho makhluk kepada (taqdir) Allah, dan orang alim ini pula (begitu hebat) redhonya sehingga ia mampu ketawa?” (seolah-olah pada zahirnya si ‘arif ini lebih hebat redhonya berbanding Nabi SAW).

Maka aku telah mendengar Syaikhul Islam Ibn Taymiyyah berkata (mengulas tentang kemusykilan ini): “Petunjuk Nabi adalah terlebih sempurna daripada petunjuk si ‘arif ini. Kerana sesungguhnya Baginda memberikan hak kehambaan (dan ketundukan) kepada Allah (dengan sebenarnya). Maka hatinya SAW merasa lapang dengan keredhoaan kepada Allah (dalam masa yang sama) rasa belas kasih kepada anaknya. Lalu (kerana itu) Baginda memuji Allah dan merasa redho dengan qadhaNya serta menangis (yang terbit daripada) rasa belas kasih dan kelembutan hatinya.

Maka kelembutan hati Baginda membawanya kepada tangisan, sedangkan rasa kehambaan dan ketundukan kepada Allah dan cinta kepadaNya membawanya kepada merasa redho dan memujiNya (walaupun atas musibah yang menimpa). Sedangkan si ‘arif ini pula, hatinya tidak mampu untuk mengumpulkan dua rasa tersebut (kerana hatinya bukanlah seperti hati Rasulillah SAW), dan batinnya tidaklah cukup luas untuk menampung keduanya (secara serentak), lalu rasa redhonya (akan taqdir Allah) telah menyibukkan dirinya (dan memenuhkan hatinya) berbanding rasa belas kasih dan kecintaan (kepada anaknya sendiri)”.


Bersambung..